Monday 26 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 31 – Nor Aizan Ab Halim

Berkumpul Bersama Keluarga Irfan
Seronok hati mendengar dari Irfan, ibubapanya akan pulang bercuti panjang sebelum memulakan tugas di tempat baru, atau mungkin jika tidak dapat mencari pengganti Irfan, untuk mengurus perusahaan mereka, mungkin papanya akan memilih bertugas di kementerian luar atau pencen lebih awal.

Irfan yang sudah diterima meneruskan sarjananya di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, hanya menunggu masanya saja untuk berlepas ke sana. Berat rasa hati kami mahu berpisah, namun apa kan daya, inilah pengorbanan untuk masa depannya dan kami bersama.

Pertama kali mahu berjumpa ibubapa Irfan, bakal mertuaku. Berdebar juga dalam hati walaupun sudah mengenali mereka melalui gambar-gambar yang ditunjukkan oleh Irfan kepadaku, dan perbualan melalui telefon. Melalui perbualan telefon sangat menunjukkan keramahan, tetapi tidak tahulah nanti kalau sudah berjumpa adakah suasana mesra ini akan berterusan atau berubah menjadi lain pulak.

Mereka juga telah melihat gambarku, harap-harap dari gambar sudah turun ke hati walaupun aku tidak secantik dan sesempurna seperti yang diharapkan.

Aku dan Irfan ke Lapangan Terbang untuk menyambut kepulangan ibubapanya. Irfan membawa keretanya sendiri kerana dia menjemput aku di Depok dulu sebelum ke lapangan terbang. Supir mereka Maman yang menjemput ibubapa Irfan dan akan membawa mereka pulang ke rumahnya.

“Fan, seram deh gue...gimana nanti mama dan papamu, suka aku apa enggak...” Aku melahirkan kebimbangan yang akhirnya menyebabkan Irfan tersenyum. Aku tidak tahu apa maksud senyumannya.

“Kok senyum, aku nanya tapi kamu senyum, ngejek aku ye?” Tanyaku.

“Enggaklah...cuma aku kasian sama kamu Nur, khawatir trus... janganlah begitu sayang, kan mereka udah kenal kamu. Mama, dan papaku baik sekali orangnya. Aku udah bilang sama mereka tentang kamu. Mama dan papa menerima kamu, senang sama kamu, malah ngak sabar mahu ketemu kamu, tau ngak.” Irfan terus meyakinkan aku tentang penerimaan keluarganya terhadapku.

Aku tidak tahu apa yang harusku nyatakan tentang keresahanku ini. Aku hanya mengangguk tanda percaya dengan apa yang dikatakan. Irfan menarik tanganku dan menggenggamnya erat.

“Percaya sama aku ya sayang. Tenang-tenang aja, ngak apa-apa.” Irfan sekali lagi menyakinkan aku. Kami berjalan menuju ke balai ketibaan di Bandara Soekarno-Hatta. Papa dan mamanya sudah tiba. Hanya menunggu proses rutin di lapangan terbang.
Dari jauh aku dapat melihat sosok tubuh dan raut wajah papa dan mama Irfan. Aku boleh mengecam mereka dari jauh kerana sudah kerapkali melihat gambar-gambar mereka. Tidak berubah mereka dari gambar yang selalu ditunjukkan oleh Irfan kepadaku. Gambar keluarganya ada di rumah, ofis dan dalam keretanya juga. Katanya, untuk menghilangkan kerinduan kepada ibubapanya, dia telah meletakkan gambar mereka di mana-mana sahaja.

Masih tegap dan bergaya mereka berdua pada usia lima puluhan. Mamanya kelihatan anggun sekali dengan berbaju blaus putih berseluar hitam. Cantik sekali wajahnya. Papa dan mamanya jalan beriringan, dengan papanya memimpin tangan mamanya erat lagi. Seronok sekali aku melihatnya. Betapa bahagianya mereka. Akupun ingin bahagia seperti itu. Apakah aku juga akan Kau anugerahkan semua ini Tuhan.
Mama dan papanya datang menghampiri kami. Mamanya bersalam dan memeluk cium Mbak Fitri, Irfan dan akhirnya aku. Giliran papanya pula bersalaman dengan kami. Aku mencium tangan papanya. Papanya memegang kepalaku ketika aku mencium tangannya.
“Oh ini yang namanya Nur, yang disebutin Irfan trus.....,” tanya papanya, seorang yang kelihatannya sangat berhemah.

“Iya Om....apa khabar, bagaimana dengan perjalanan tadi?” Aku memulakan bicaraku untuk menutup kegugupan.

“Baik-baik saja, bagus. Kamu gimana, jauh dari orang tua, ada Irfan bantu kamu kalau lagi kangen sama orang tuamu?” Tanya bapanya pula ramah sekali.
Ibunya pun sama, aduh mesra sekali. Memimpin tanganku ketika berjalan keluar menuju ke mobil, “nanti trus mampir ke rumah ya Nur?” Tanya ibunya.

“Enggak Tante. Maaf, sekarang pulang dulu, nanti kapan-kapan saya datang ya.” Aku mula berani berdepan dengan ibubapa Irfan setelah melihat kemesraan dan keramahan mereka berdua. Begitu juga dengan adiknya yang telah aku kenal waktu dia pulang bercuti semester lepas.

“Oh iya...kenapa nggak terus ikut aja sekalian sama kami,” tanya ibunya meminta penjelasan.

“Udah sore, Tante....lagi ada urusan yang perlu dibereskan. Terima kasih Tante sama Om, senang banget ketemu sama Om dan Tante,” balasku ikhlas. Baik sekali orangtua Irfan. Aduh... jauh benar bezanya dengan mama Roslan, macam langit dengan bumi. Tiba-tiba sahaja muncul mama Roslan di mindaku. Ish....syaitan mula membisikkan ayat-ayat racunnya....jangan banding-banding orang dan melihat keburukan orang, kata hatiku sendiri, melawan bisikan syaitan yang selalu mengambil kesempatan.

Aku dan Irfan menunggu mereka pergi dulu sambil aku dan Irfan melambaikan tangan. Setelah mereka berlalu, Irfan menghantar aku ke Depok.

“Kita makan dulu ya Nur....,” kata Irfan sambil memandang ke arahku, menunggu persetujuanku. Aku menganggukkan kepalaku tanda setuju.

“Kok diam aja....?” Tanya Irfan apabila mendapati aku masih berdiam diri.

“Terima kasih sayang....” Aku jadi sebak.

“Lho....untuk apa terima kasihnya?” Tanyanya bingung.

“Punya papa dan mama yang baik dan memberikan aku bakal bapa dan ibu mertua yang baik sekali.” Aku meluahkan isi hatiku dalam nada sebakku.

“Adui....mulai lagi tuh...janganlah begitu sayang...doa aja semoga kita semua terus bahagia dengan kebaikan kita masing-masing. Kita belajar dari mereka apa yang baik....yang ngak baik jangan sekali-kali kita ikuti.....” Irfan mula menormalkan semula suasana. Lebih senang kalau kami seperti biasa berbicara tentang hal-hal kami sendiri dan isu-isu semasa. Setiap kali mahu bercerita tentang keluarganya, Irfan tidak suka aku memuji-muji. Dia selalu menegaskan semua manusia sama, ada baik dan buruknya.

Aku tidak tahu mahu makan apa ketika Irfan mengajakku makan. Terasa kenyang dapat berjumpa dengan orang tua Irfan.

“Mau makan apa...?” Ulang tanya Irfan. Hmm....baru terfikir mahu makan yang tidak mengenyangkan sangat.

“Hmm...Pempek Pelembang di Gang Cina......mau nggak?” Hanya itu yang terfikir olehku. Irfan mengangguk setuju. Dia pun suka makanan ini. Susah mahu jelaskan keenakan makanan ini. Dimakan bersama kuahnya yang manis, pedas dan sedikit rasa masam. Isinya macam bentuk karipap, tapi tidak garing, rasanya dibuat dari tepung juga, kurang pasti aku kerana aku kurang pandai memasak. Nanti ada timun juga dipotong-potong dimasukkan bersama kuah. Hmmm...sedap tu....meleleh air liurku bila ingatkan Pempek Palembang Gang Cina yang menyelerakan.

Kami makan dua porsi setiap seorang. Lapar, ganti makan tengahari tadi. Selepas makan Irfan menghantar aku pulang. Berpisah kami seketika.

“Besok aku jemput kamu ke rumah, ketemu mama boleh?” Tanya Irfan.

“Besok nggak bisa, aku mahu ke Wisma Malaysia, ada yang mau nelefon aku?” balasku.
Nasib baik aku tidak mengiakan ajakan Irfan. Teringat pesanan Lukman ada yang pesan suruh aku tunggu di Wisma Malaysia, ada yang akan telefon dari New York pukul sembilan malam. Roslanlah tu. Sejak di sana dia sudah beberapa kali menelefon aku. Aku sendiri sekalipun belum pernah telefon dia.

“Siapa mau telefon kamu, ibu?” Tanya Irfan berbau curiga.

“Temanku,” jawabku ringkas. Tergagap juga mahu menjawab, nyaris tersebut nama Roslan.

"Teman dari mana?” Tanya Irfan lagi. Nampaknya semakin menebal rasa ingin tahu Irfan dan sudah mula pandai cemburu rasanya.

“Alaah......teman lama di Malaysia,” maklumku lagi.

“Cewek atau cowok?” Irfan terus mengorek rahsia untuk mendapatkan kepastian. Ada riak kurang senang di wajahnya.

“Cowok, teman biasa aja la sayang,” jawabku untuk mengelak investigasi berterusan dari Irfan, buah hatiku. Cemburu juga dia...hehe, suka dia cemburu, bermaksud ada juga nilainya aku di hatinya.

“Benar nih...?” Irfan masih belum yakin lagi dengan jawapanku.

“Benar, swear......,” jawabku sambil aku mengangkat tangan seperti orang sedang bersumpah.

“Awas sayang, kalo kamu macam-macam tau,” kata Irfan sambil tersenyum malu, bila dia perasan aku dapat mencium rasa cemburunya...hehe.

“Hehe....cemburu ya,” ejekku. Kami sama-sama ketawa. Irfan menarik hidungku dengan kuat, melepaskan geramnya. Menjerit kesakitan aku, betul-betul sakit.

“Jahat kamu,” jeritku kesakitan.

“Sori, sori, sori......ngak niat sakitin kamu.” Pujuk Irfan sambil menarik tanganku dan menciumnya.. Terbang semua rasa sakit bila dimanjakan...buat-buat sakit, saja nak bermanja dan mengada-ngada sikit.

Tiba-tiba saja lagu kegemaran kami `Antara Anyer dan Jakarta’ Shiela Majid berkumandang di radionya, kami ikut sama menyanyi bersama-sama. Hilanglah sudah cemburu, rajuk dan sakit kami ditelan merdunya suara Shela Majid, aku dan Irfan.
“Siapa yang nemanin ke Wisma Malaysia?” Irfan ingin memastikan aku berjalan berteman di Jakarta, bahaya katanya kalau sendirian.

“Sama anak-anak Malaysia yang lain. Ada acara makan-makan, ada anak pegawai yang meraikan hari lahirnya hari ini,” jawabku untuk meyakinkan dia, aku tidak sendirian.

“Apa perlu aku ngantarin?” Irfan menawarkan pertolongan. Belum puas hati dia dengan jawapanku.

“Ngak usahlah...kan ramai anak-anak tu, don’t worry my dear?” jawabku perlahan terus meyakinkan dia. Begitu mengambilberat sekali dia tentang aku.

Apakah sikapnya ini akan berterusan sampai bila-bila, atau bila sudah berjauhan dari aku, ke US sana, dia akan berubah jadi orang lain. Selalu timbul pertanyaan di dalam diri mengenai perubahan sikap yang mungkin akan berlaku. Amat menakutkan bila memikirkan hal ini. Tetapi bila diletakkan pada Qada dan Qadar Allah, hati jadi tenang dan tidak perlu lagi memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menyakitkan. Berserahlah kepada Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Lega hati dan jiwa.

“Benar nih? Sementara aku ada di sini dan bisa bantu, kamu bilang aja kalau mahu bantuanku ya sayang.” Aku mengangguk senang. Namun jauh di sudut hati, setiap kali dia bercakap tentang ketiadaannya di sini, hati aku jadi kosong dan melayang. Hampa rasanya.

Sesungguhnya memang benar, cinta dan kasih sayang itu boleh membuatkan hidup ini jadi sangat indah, ceria, bersemangat, bahagia dan bermakna sekali. Bagaimana hidup boleh diteruskan dengan bersemangat, ceria, bahagia dan bermakna jika hanya tinggal cinta di hati tetapi jasadnya tiada di sini, untuk menzahirkan kasih dan sayang. Huh...sebu rasa hati....sebak dadaku. Sudah hampir tiba suasana ini dalam hidupku. Cuma tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Huuuhhhh.......Irfan, jangan tinggalkan aku.

Sudah sampai di kostku. Seperti biasa sangat berat hendak melepaskan Irfan pergi. Rasa sayangku semakin menebal dan rinduku kepadanya hampir setiap detik. Susah mahu mengucapkan selamat tinggal atau selamat jalan kepadanya. Janjinya besok dia akan menjemputku ke rumahnya jam 3 petang.

Aku melangkah longlai ke kostku. Makin lama makin longlai. Nanti malam, selepas Maghrib, kami ramai-ramai, berlima sebenarnya, aku, Lukman, Rodzi, Milah dan Sharifah akan ke Wisma Malaysia. Setiap kali ada acara di sana kami akan pergi bersama-sama pada petang atau selepas Maghrib.

Kalau acaranya selesai lewat, kami akan menginap di bilik-bilik yang tersedia di Wisma Malaysia, itupun kalau ada yang kosong. Kalau cepat habis, kami akan terus balik, tidak selesa di Wisma Malaysia kalau terlalu ramai. Biasanya kami akan memberi ruang untuk pelajar yang tinggal lebih jauh dan tidak sempat pulang ke rumah, apabila acara habis lewat.

Ada masalah juga di Wisma Malaysia tu, sepatutnya hanya tempat menginap sementara atau berkumpul kalau ada acara-acara tertentu sahaja, tetapi ada orang yang menjadikan Wisma Malaysia seperti tempat tinggal mereka. Walaupun mereka membayar sewa, tetapi akan mengganggu orang-orang lain yang berniat mahu transit di sini.

Sampai di bilik kostku, merehatkan badan seketika sebelum mandi, sambil mata merenung mawar merah yang tergantung di dinding, hujung katilku. Indah sekali. Makin direnung semakin hidup dan cantik warnanya, serta kelopaknya tersusun cantik.
Subhanallah, pandainya pelukis ini. Betul-betul anugerah Tuhan untuknya. Keindahan mawar merah ini melambangkan betapa indahnya Irfanku juga, semakin kurenung semakin menarik, seperti juga Irfanku, betul. Itulah yang menyebabkan aku semakin sayang kepadanya. Satu lagi, lagu Sekuntum Mawar Merah dendangan Alleycats, juga sangat suka aku mendengarnya. Terasa meresap ke seluruh jiwaku apabila penyanyinya mendendangkan lagu ini, indah sekali melodi dan liriknya, yang juga berkaitan dengan mawar merah. Kenapa istimewa sangat mawar merah ni? Entahlah......
Selesai mandi dan solat, aku merebahkan diri di katil bujangku sambil sekali lagi merenung mawar merahku. Aku menekan tombol kasetku yang kubeli dengan harga Rp250,000, berjenama Sony. Di dalamnya telah kuletakkan kaset lagu Alleycats, yang mana aku telah setkan lagu Sekuntum Mawar Merah. Kukecilkan volumenya supaya dapat menemani aku melayan perasaan sambil merenung mawar merahku. Adoi....merdunya lagu, syahdunya jiwa. Akhirnya aku terlelap dalam ulikan lagu mawar merah dan lukisan mawar merah pujaan hatiku.

Aku dikejutkan suara bising Lukman memanggilku makan mee hoon goreng, hasil tangannya di petang ini. Aku masih kenyang sebenarnya, tadi makan pempek palembang dengan Irfan banyak betul. Tetapi aku bangun untuk mengambil hati Lukman, sahabat dan jiran yang sangat budiman aku rasakan. Biasanya orang yang sangat baik ini, umurnya tidak panjang, cetus hatiku. Hisss...selisih malaikat empatpuluh empat, semoga itu tidak menjadi kenyataan, hanya cakap-cakap orang sahaja.

Selepas makan, azan maghrib kedengaran dari surau. Aku balik ke bilik selepas berterima kasih dengan Lukman. Cepat-cepat solat dan berpakaian yang sesuai untuk majlis malam ini. Kasual saja, baju blaus warna pink dengan sedikit ropol-ropol di bahagian leher. Seluar baggy warna putih dari kain sutera lembut. Sesuai dengan majlis parti kanak-kanak. Sentuhan terakhir untuk muka dan semburan minyak wangi Anais, hadiah hari jadi dari seorang kawan. Siap.

Lukman dan Rodzi sudah siap. Hanya menunggu dua dara teman serumahku. Setelah semuanya bersedia, kami melangkah ke Margondaraya menunggu bas mikrolet ke Pasar Minggu, kemudian ke Sarinah dan mengambil bajai ke Wisma Malaysia. Sampai di Wisma, sedang elok, majlis akan bermula. Mata tetap mengawasi jam untuk ke angka sembilan malam. Menunggu panggilan Roslan, takut terlepas, kasihan pula dia. Apapun, dia tetap kawanku, kerana dia baik dan sangat menghormati aku.

‘Birthday girl’ sudah potong keknya, berarti sudah kemuncak acara majlis. Ketika semua orang mulai mengambil makanan masing-masing, Pak pengawal memanggil aku, ada telefon katanya. Aku berjalan pantas menuju ke arah telefon, sambil membawa bersama makanan yang telah kumasukkan ke piring. Duduk di sofa sebelah telefon. Suara Abang Roslan sayup kedengaran. Tiba-tiba hatipun jadi sayu, mendengar suaranya dan melihat kesungguhan dia menghubungiku selalu, walaupun jaraknya jauh sekali.

Perbualan kami seperti biasa. Bertanya khabar masing-masing. Kata Roslan melepaskan rindu, tapi bagiku bukan melepas rindu, hanya mendapatkan khabar terkini tentang dia dan keadaan di New York ketika ini. Tidak mengapalah kalau dia rindu, bukan boleh ditahan atau disekat kemahuannya orang. Kalau sudah bosan, akan berhentilah dia merinduiku. Atau mungkin aku pulak akan merinduinya? Tidak ada perkara mustahil dalam hidup ini. Lama juga Roslan menelefon aku. Hampir satu jam kami berbual-bual kosong. Sudah habis idea aku untuk berbual-bual dengannya. Piring makananku pun sudah kosong.

Akhirnya dari rasa seronok, timbul rasa mengantuk. Mungkin lama sangat, jadi mengantuklah pulak. Maaf Abang Roslan, sesungguhnya aku tidak berniat untuk mengabaikanmu. Aku hanya manusia biasa yang sangat banyak kekurangan dan kelemahanku. Akhirnya kami menamatkan perbualan kami dengan Roslan memintaku menunggunya telefon lagi. Aku hanya mengiakan sahaja. Terpulanglah mengikut kelapangan dia. Sebenarnya seronok juga berbual-bual dengannya.

Kawan-kawan mengajak aku balik kerana terlalu ramai pengunjung yang datang ke Wisma Malaysia hari ini. Tiada bilik kosong untuk kami tidur. Jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Sudah lewat sangat, tetapi kena balik juga, tidak mungkin dapat tidur di sini. Sangat penuh.

Lukman sudah memanggil teksi. Naik berlima satu teksi. Kami berlepas pulang setelah bersalam dengan semua yang ada pada hari itu, terutama si cilik `birthday girl’ dan mengucapkan terima kasih kepada ibunya.

Hampir pukul dua belas sampai ke rumah, cuci muka, solat isyak, pakai bedak sejuk dan terus baring. Mata tetap merenung mawar merah di hadapanku. Mawar yang selalu tersenyum kepadaku, mengubat kerinduan untuk orang-orang yang kusayang. Akhirnya boleh melelapkan mata dengan tenang dan senyuman terukir dibibir.

Pagi-pagi boleh bangun dengan tenang. Tidur cukup, hati senang. Nanti petang akan bertemu bakal ibu dan bapa mertuaku. Selesai mandi, kedengaran suara bising di rumah sebelah. Aku menjenguk, oh..rupa-rupanya ada Faiz, Fuad dan beberapa orang kawan Malaysia yang lain. Akupun ikut sama memeriahkan suasana, sambil membawa tin biskutku dan secawan nescafe, sarapan pagiku. Aku mempelawa Faiz makan biskut kering yang kubawa. Akhir-akhir ini Faiz sering datang ke kost kami, berbual-bual dan berkumpul di sini. Sunyi agaknya di kost dia yang terpencil dan jauh ke dalam.
Di atas meja ada lempeng goreng Lukman dan ubi rebus yang diberi ibu Abri. Aku mempelawa mereka makan biskut dan Lukman ke dapur, buat air teh lagi, tambah, tekonya telah kosong. Seronok juga makan beramai-ramai walaupun makanan yang ringkas dan murah sahaja. Itulah nikmatnya dari hubungan silaturahim atau membina hubungan baik sesama manusia.

Tengahari pula kami sama-sama konvoi, ke rumah makan minang di Jalan Margondaraya. Makan nasi dengan ayam gulai minang dan daging dendeng. Teringin minum teh botol, lama tak minum. Masing-masing makan dengan seleranya. Semuanya jenis kuat makan. Mungkin sampai Rp10,000 atau lebih kurang RM 15 seorang agaknya.

Balik berehat seketika sementara menunggu Irfan menjemputku. Baring sambil merenung mawar merahku, damainya hati. Mata sudah layu disebabkan perut penuh diisi, malas nak berfikir, layan perasaan mengantuklah, lalu mata terpejam.

Terjaga hampir jam 2.20 petang. Sedang elok bersiap sedia untuk ke rumah Irfan. Mandi dan berpakaian, sesuai dengan pertemuan keluarga. Berjumpa dengan ibubapanya. Pakai seluar panjang dan blaus putih sesuai rasanya. Aku mesti bersiap cepat-cepat kerana seperti biasa Irfan akan tepat pada masanya. Janji pukul tiga petang. Pukul 2.50 petang, aku harus menunggunya di Jalan Margondaraya. Tidak boleh lambat. Malu dengan dia.

Betul, kurang lima minit pukul tiga, Irfan sudah sampai. Seperti biasa kami menuju ke rumah Irfan di Pondok Indah dengan selamatnya. Aku disambut ibu dan bapanya dengan mesra sekali. Memang keluarga mereka jenis yang meraikan tetamu. Aku dipeluk erat oleh mamanya. Begitu juga papanya, mengusap-usap kepalaku ketika aku mencium tangannya. Bahagianya rasa hati ketika berada di dalam keluarga ini. Moga-moga ini bukanlah hanya permulaan tetapi akan berterusan sampai bila-bila. Amin.

Majlis makan malam keluarga bermula. Tidaklah ramai. Hanya keluarga terdekat, termasuklah aku, yang mungkin sudah dianggap keluarga terdekat. Aku diperkenalkan kepada dua keluarga terdekat, Tante (ibu saudara sebelah mama) dan Om (bapa saudara sebelah ibu) serta dua orang ibu saudara sebelah papanya, bersama-sama anak mereka lima orang semuanya. Semuanya tiga belas orang ahli keluarga terdekat, tambah lima orang ahli keluarga Irfan dan aku. Ya...hanya sembilan belas orang semuanya.

Kami hanya makan dan berbual-bual sama sendiri, mengeratkan hubungan sesama kami. Dapat aku rasakan, hubungan aku dan Irfan sudah diperbincangkan sesama mereka.
Buktinya, ketika soalan-soalan diajukan oleh tante-tentenya, seperti sudah dimaklumkan mengenai hubungan kami. Tak kisahlah apa pun, yang penting aku rasakan keberadaan aku di sini menyenangkan mereka dan aku senang, cukuplah dulu setakat ini, sebagai permulaan sebuah perhubungan persaudaraan.

Aku dihantar pulang oleh Irfan sudah lewat malam. Sebelum pulang, mama Irfan mengingatkan aku supaya datang hari Jumaat nanti untuk majlis kesyukuran keluarga. Aku mengiakan sahaja sambil bersalaman dan mengucapkan selamat malam kepada semua yang ada. Sampai di rumah sudah hampir jam 12 malam.

“Jangan lupa Jumat nanti aku jemput kamu ke rumah...” Irfan mengingatkanku.

“Ada apa?” Tanyaku kebingungan

“Waduh...kan tadi ibu udah bilang,” balas Irfan. Aku memang betul-betul lupa.

“Kamu sih....lupa lagi tuh...acara kesyukuran.....arisan di rumahku...dalam rangka kesyukuran aku lulus dan mama papa pulang, kumpul sama famili....” Irfan menjelaskan, masih sabar dia dengan aku yang mudah lupa.

“Oh, ok....nggak lupa cuma nggak ingat,” jawabku.

“Apa nggak sama lupa sama nggak ingat?” Ejek Irfan. Aku hanya ketawa, menyedari kelemahan sendiri.

Irfan akan menemani aku dan memerhati dari jauh untuk memastikan aku selamat masuk ke rumah, barulah dia akan berlalu. Seperti biasa, kami berpisah dan berjanji untuk berjumpa lagi, hari Jumaat nanti.

Setelah siap mandi dan solat, merenung mawar merah di depanku dengan tenang. Akhirnya aku melelapkan mata dalam keadaan yang tenang kerana apa yang aku lalui hari ini sangat mengembirakan hati.

***********

Jumaat yang mencemaskan juga bagiku. Maklum, hari ini lebih ramai keluarga Irfan dan kawan-kawannya akan berkumpul sempena arisan keluarga dan kesyukuran keluarga mereka. Takut sangat menemui ahli keluarganya yang akan menyesakkan nafasku, atau yang terlalu banyak soalan-soalan yang merimaskan aku.

Namun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Aku tetap menerima layanan kelas satu bersama-sama keluarga ini. Mereka seolah-olah satu hati dalam setiap perkara. Apakah mungkin ini tradisinya keluarga Jawa. Irfan hanya tersengih ketika aku kemukakan soalan ini. Akhirnya dia menjawab, “nggaklah Nur, hanya kebetulan adem.” Aku tidak tahu apa maksudnya dan tidak sempat bertanya, dia sudah berlalu dipanggil kawannya. Keriuhan dan keramahan yang ditunjukkan merupakan perkara yang amat menyenangkan aku.

Di Malaysia, aku jarang sekali dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang ramai kerana kami lebih menumpukan kepada kerja kami mencari rezeki. Jarang sekali mak menutup kedainya, kecuali untuk sesuatu hal yang resmi sahaja. Kalau ada kematian atau kenduri perkahwinan ahli keluarga terdekat sahaja, maka mak akan menutup kedainya. Sebenarnya mak juga jauh hati dengan ahli keluarga terutama sebelah ayah, ketika mak dalam kesusahan, tiada yang sanggup menolong mak. Akhirnya mak lebih suka membawa hal sendiri, hati tidak sakit katanya. Kami hanya akur menerima apa kata mak, kerana dia yang melalui semuanya.

Ketika majlis hampir berakhir, Irfan naik ke biliknya untuk mandi sebelum menghantar aku balik, sudah berbau badan katanya. Memang betul, sibuk sekali dia melayan tetamu yang hadir tadi, maklum ini majlisnya, ramai kawan-kawannya yang datang. Kawan-kawan SMA (Sekolah Menengah Atas) dan SMP juga ramai yang datang. Aku tidak mengenali mereka kerana mereka belajar di universitas yang berlainan.

Aku melangkah satu demi satu tangga ke tingkat atas untuk ke bilik Irfan. Mamanya meminta aku memanggil Irfan turun segera kerana kawan-kawannya sudah menunggu. Ada lagi yang baru datang, ingatkan sudah habis. Penat juga rasa kaki, maklum sudah seharian aku di rumah ini membantu apa yang patut untuk majlis doa selamat dan kesyukuran pemergian Irfan ke Amerika Syarikat.

Aku menuju ke bilik Irfan yang terletak di hujung sekali. Aku mengetuk pintu, memanggil Irfan beberapa kali. Masih belum menyahut ini anak. Cuma kedengaran bunyi air mencurah dari bilik airnya, mungkin sedang mandi dia, sebab itulah lama benar dia di biliknya. Aku membuka pintu biliknya yang tidak berkunci setelah lama menunggu, dan panggilanku tidak berjawab.

Daun pintu bilik kutolak perlahan. Cantik kemas tersusun bilik tidur buah hatiku ini. Senang mataku memandangnya. Senang hatiku bila memikirkan nanti aku tidak perlu bersusah-payah mendisiplinkan si suami untuk menjaga bilik supaya rapi, tuala mandi tersidai, baju seluar kotor dimasukkan ke dalam bakul pakaian kotor yang sudah tersedia. Mataku terus menelusuri setiap sudut dan dinding. Tiba-tiba hatiku berdegup kencang apabila di satu sudut tergantung satu objek yang tidak kuharapkan akan kutemui disitu.

Ya Allah, apakah maksud yang tersirat disebalik apa yang kulihat di depan mataku ini. Tolonglah...bukan itu maksud sebenarnya. Hanya dia suka-suka meletakkan di situ. Aku tidak sanggup menerima semua ini kalaulah ia benar seperti apa yang bermain difikiranku. Lututku mula terasa lemah dan menggigil. Nafasku juga sesak. Aku keluar dari bilik secepatnya untuk menenangkan diriku sendiri. Kalau ini benar, akan hancurlah hidupku sekali lagi.

Ya Tuhan, tolonglah aku hambaMu yang lemah ini. Janganlah aku diuji lagi, cukuplah, aku tidak sanggup lagi.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 26 Disember 2011.

No comments:

Post a Comment