Thursday 22 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 30 – Nor Aizan Ab Halim

Kuliah Bermula Lagi
Subuh-subuh hari aku telah bangun. Memaksa diri bangun walaupun rasanya sangat malas dan masih mengantuk. Malam tadi tidur hampir pukul dua pagi. Badanpun penat. Tenaga digunakan dalam tempoh empat hari, hampir habis dan cukup memenatkan. Selepas solat subuh aku mahu tidur lagi sekejap. Pukul lapan nanti bangun dan ke kampus pukul sembilan untuk pendaftaran.

Aku menarik selimut. Seronok juga melayan perasaan malas. Kipas yang kuputar ke angka 5, cukup untuk mengingatkan aku kenyamanan Vila Irfan di Puncak. Hmm......masih segar dalam ingatan, semua itu. Bahagianya rasa, apalagi kalau dia berada di sisiku. Irfan yang baik. Irfan yang tampan. Irfan yang sangat bertanggung jawab. Irfan yang sangat sayang aku. Irfan yang.....yang.....yang...akhirnya aku sudah tidak sedar lagi. Tertidur dalam anganan Irfanku.

Apabila jam loceng berbunyi dengan nyaring, menandakan pukul lapan, aku masih malas hendak bangun. Penat benar rupa-rupanya aku ni. Terpaksa juga bangun. Pasti nanti sekejap lagi Lukman akan bising memanggil aku untuk sama-sama ke kampus, mendaftar bersama-sama. Semester ini masih banyak kuliah pengantar fakulti yang akan aku ambil bersama-sama Lukman. Semester tiga dan seterusnya, barulah kami akan menjurus ke jurusan masing-masing, aku ilmu komunikasi, dia kesejahteraan sosial.

Semester ini aku akan cuba untuk mengambil kuliah teknik menulis berita. Kata kawan-kawan, kalau ikut syarat sebenarnya, sepatutnya belum boleh semester ini, tetapi aku akan mencuba dan mungkin juga merayu kerana aku teringin sekali ‘magang’ di surat khabar Kompas, yang dikatakan surat khabar terbesar milik kumpulan kristian. Kata kawanku Kompas itu sendiri singkatan dari Kumpulan pastur. Betul atau tidak aku sendiripun tidak pasti. Yang penting aku mahu ‘magang’ atau praktikal di sebuah surat khabar yang hebat, banyak ilmu yang boleh ditimba. Cara kerja dan pengurusan mereka, sangat menggamit aku untuk ingin tahu.

Ketika aku menyuarakan keinginanku, kawan-kawanku terkejut, “gilak kamu Nur, ngak gampang lho mau magang di sana?” Kawanku Ela terkejut mendengar keinginanku.

“Ngak apa-apa, kita coba, mana tahu ada rezeki, siapa mau ikut aku?” Masih aku ingat perbualanku bersama kawan-kawan di akhir semester lepas. Nenty dan Ineng mahu ikut magang bersama aku di Kompas nanti.

Aku menarik selimutku. Baru mahu memejamkan mataku sekejap lagi, teringat bungkusan pemberian Irfan malam tadi. Aku terus bangun. Mengangkat ke atas katil lalu membukanya.

“Wah.....cantiknya....,” cetusku. Aku betul-betul terkejut melihat pemberian buah hatiku. Rupa-rupanya lukisan sekuntum mawar merah yang kami rebutkan di Puncak tempohari dibelinya untukku. Siap dengan bingkainya yang menarik. Tidak dapat aku gambarkan kegembiraan aku melihat mawar yang sangat cantik ini sudah jadi milikku. Terima kasih pujaan hatiku.

Sesungguhnya kaulah manusia paling istimewa yang dianugerahkan Tuhan untuk mengubat luka hatiku. Terima kasih Tuhan. Aku menarik nafas sayang aku kepadanya. Teruknya aku, tiada hadiah istimewa aku belikan untuknya. Hanya cincin perak di Bandung yang aku beli sepasang, satu untukku dan satu untuk Irfan. Akan kuberikan ketika kami berjumpa nanti.

Aku sudah mendengar suara Lukman dan Rodzi yang mulai bising di sebelah. Sudah siap ke mereka? Aku bangun dan terus ke bilik air. Nantilah, akan kugantung gambar ini di hujung katilku supaya boleh menatapnya setiap masa, sebagai tanda ingatanku kepadanya tidak pernah hilang.

“Zan....kau nak pergi pukul berapa, join aku ke pergi sendiri....!!!” Jerit Lukman dari beranda depan.

“Sama kau, pukul berapa kau nak pergi?” Aku juga menjerit dari dalam. Sungguh tidak sopan, “tapi aku belum sarapan lagi,” maklumku. Memang aku mesti sarapan dulu, takutnya tidak ada kawan nak menemani sarapan di kampus, Irfan tidak datang kampus hari ini. Rasa kosong dan malas mahu ke kampus tanpa Irfan. Aduh, macamana nanti kalau Irfan sudah ke US, apa jadi dengan aku, tanya hatiku.

“Aku dah buat air dan goreng cekodok, datang sarapan sinilah,” ajak Lukman. Alhamdulillah, baik sungguh Lukman. Dia memang macam tu, rajin memasak dan buat kerja rumah. Sudah dilatih maknya supaya membantu di rumah kerana adik beradiknya ramai tetapi yang besar-besar, semuanya lelaki. Sedap lagi kalau dia memasak.
Cepat-cepat aku bersiap-siap. Sentuhan terakhir di muka dengan lipstik, bedak, dan celak mata. Akhirnya semburan minyak wangi. Hari ini pakai Polo lah. Aku memang suka Polo, walaupun keras sebab yang aku beli ini untuk lelaki, tetapi aku suka. Bau macam Irfan, supaya aku rasa Irfan ada bersamaku walaupun dia tiada di sisiku hari ini.

Aku mengambil beg sandang untuk kuliah. Aku memastikan isi dalam bekas pensil cukup alat-alat tulisku. Aku keluar untuk sarapan dengan Lukman dan Rodzi di rumah sebelah. Sambil makan masih sempat kami berbual-bual.

“Macamana seronok kat Puncak?” Lukman memulakan perbualan kami di pagi hari. Aku menuang teh o dan menjamah cekodok bikinan Lukman. Memang sedap. Aku bingkas bangun masuk ke bilikku semula, mengambil ole-ole untuk mereka, buah-buahan dan sayur-sayuran. Lukman rajin memasak. Seronok dia menerima buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Lukman menyimpan pemberianku. Dibawanya dua biji apel untuk makan dalam perjalanan ke kampus.

Ketika kami sampai di kampus, sudah ramai pelajar menunggu untuk pendaftaran mata kuliah. Aduh...tidak larat nak berebut mata kuliah pilihan. Kuliah wajib fakulti dan jurusan tidak jadi masalah. Aku mahu berebut kuliah Statistik I dan Metode Penelitian Masyarakat 1 (MPM I), supaya semester depan aku sudah boleh mengambil Statistik II dan Metode Penelitian Masyarakat II. Jadi tiada halangan untuk aku mengambil kuliah yang seterusnya semester depan. Tidak sanggup berebut-berebut sebenarnya tetapi terpaksa. Ketika kami sampai, pengisian nama pada senarai nama sudah bermula.

Ketika aku mahu menulis nama pada senarai nama untuk MPM I, aku melihat namaku dan nama Ineng sudah tercatat di situ. Siapa yang menulisnya. Ineng? Tetapi kelibat Ineng belum kulihat. Tulisan pun bukan tulisan Ineng. Lalu siapa? Lupakan dahulu.

Aku tandatangan saja dengan cantik di hujungnya. Kemudian terus ke senarai nama untuk Statistik 1. Juga sudah tertulis namaku dan Ineng. Siapa gerangannya yang menulis nama kami? Aku terus saja menulis nama untuk kuliah teknik menulis berita. Kemudiannya, kedengaran suara Ineng memanggil namaku. Inengpun terkejut ketika aku memaklumkan tentang nama kami yang sudah siap tertulis di sana. Ineng hanya menandatangan. Kemudiannya kami bersama-sama mendaftar untuk mata kuliah yang lain. Sudah selesai semua, lega rasanya.

Tiba-tiba aku melihat priaku sedang bersandar di tiang berhampiran pejabat, sambil tersenyum manis memandang ke arahku. Laa...rupa-rupanya si Mamat ni la yang menulis nama kami tadi. Aku sudah mengagaknya bila melihat tulisannya, tetapi tidak yakin kerana dia kata tidak datang ke kampus hari ini. Datang juga dia. Rindulah tu....hehe.

Kami menuju ke arahnya, tidak sabar untuk bertanya tentang pendaftaran tadi. Dia mengangguk ketika aku kemukakan mengenai hal ini. Katanya, dia bimbang aku dan Ineng tidak sempat mendaftar kerana bilangannya terbatas. Kami menuju balsem untuk sarapan. Makan lagi aku. Aku memang suka makan, dapat pula kawan yang suka makan. Ineng pun sama, suka makan macam aku, tetapi kami sama-sama kurus, susah nak gemuk.
Aku pernah mengambil pil untuk meningkatkan berat badan, sampai kena jumpa dokter sebab mengalami sakit perut yang memulas-mulas. Rupa-rupanya, ubat-ubatan begitu tidak boleh dimakan ketika kita datang bulan. Itulah, belajar tidak khatam, tidak bertanya dulu, akhirnya dapatlah padahnya. Sakit bagai nak mati, macam orang nak bersalin, walaupun belum pernah melaluinya, cuma selalu dengar orang kata macam tu.
Selesai pendaftaran dan makan, kami keluar dari kampus. Ineng mahu pulang, ada janji dengan ibu katanya. Ineng pulang dijemput supirnya. Aku dan Irfan meneruskan perjalanan kami ke Ancol. Tidak puas hati tidak dapat ke Anyer atau Pelabuhan Ratu, lalu kami ke Ancol sajalah. Nak berehat sambil menyanyi dengan petikan gitar Irfan. Hmm...seronoknya.....memang kami sama-sama suka menyanyi. Irfan pula pandai main gitar. Hari-hari lapang kami dihabiskan dengan ke Ancol dan menyanyi bersama-sama, sambil membantu Irfan mendapatkan idea menulis tesisnya. Kalau dapat siap cepat, berarti Julai nanti dia sudah boleh meneruskan sarjananya di US, tinggallah aku sendiri.

“Nanti kalo kamu ngak ada di sini, gimana aku ya? Bisa ngak aku hidup sendiri...?” Aku meluahkan apa yang selama ini ada di mindaku. Memang sangat bimbang menghadapi hidup sendiri tanpa Irfan di sisi.

Irfan berhenti memetik gitarnya, melepaskan hembusan nafasnya perlahan-lahan, lalu bersuara, “gimana ya Nur, aku harus pergi, memang ini maunya papa dan aku sendiri, cari ilmu dalam bisnes studi sebenarnya, supaya nantinya aku lebih pintar ngurus bisnes papa. Nanti aku selalu telefon kamu dan setiap liburan aku pulang ok.” Irfan cuba meleraikan kebimbanganku.

Aku hanya menganggukkan kepalaku berat. Memang tidak pasti apa akan berlaku nanti, sebagaimana aku tidak sangka apa yang sedang aku lalui sekarang. Tuhan temukan aku dengan Irfan dan begitu mudahnya aku jatuh cinta dengan Irfan, dalam tempoh yang singkat. Padahal, aku dulu yakin tidak akan jatuh cinta lagi, atau akan sangat susah jatuh cinta, setelah apa yang aku lalui bersama Ari dulu.

“Wah...kamu juga udah pakai Polo aku ya...” Tiba-tiba Irfan menegur bauan Polo yang kupakai hari ini. Aku maklumkan kerana aku pakai untuk mengingatinya kalau dia tidak bersamaku.

“Sangkaku hari ini kamu nggak datang kampus, kalo kutahu kamu datang, ngak perlu pakai, udah ada baunya kamu,” jawabku jujur. Aku mahu dia tahu betapa pentingnya kehadiran dia di sisiku.

Aku mengeluarkan cincin perak yang kubeli di Bandung. Aku sarungkan untuk kekasih hatiku. Kami sama-sama ketawa, pelik, aku yang sarungkan cincin ke jari lelaki.

“Nur, kamu yang kasi cincin tanda untukku, bukannya aku,” kata Irfan. Tak kesahlah, yang penting cincin itu muat di jari manis Irfan, walaupun aku tidak mengukurnya, hanya mengagak sahaja.

“Tq sayang.” Irfan mencium cincin pemberianku, Senang aku melihat dia sukakan cincin itu, walaupun harganya sangat murah atau dia pura-pura sahaja suka aku tak peduli, terserah dialah.

Kemudiannya Irfan mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Waaa...kotak cincin lagi. Warna biru. Dulu kotak cincin berwarna merah jambu dari Roslan, sekarang dari Irfan. Irfan mengeluarkan cincin dan menyarungkan di jari manisku. Muat dan cantik sekali di jariku. Giliran aku pula mengucapkan terima kasihku kepadanya. Tidak sangka pulak diapun ada membelinya untukku. Irfan, Irfan, selalu buat kejutan untukku.

“Kapan belinya?” Memang sangat mendalam rasa ingin tahuku.

“Udah lama...sebelum liburan aku simpan, takut mahu memberikan kepadamu, manalah tahu tidak diterima,” jelas Irfan.

“Sayang kamu,” ucapku sambil mencium cincin bermata satu itu, sebagai ganti ciuman untuk tuannya. Irfan menunjukkan ke arah pipinya, minta aku cium pipinya. Aku membentuk jariku seperti bibir, lalu meletakkan ke pipinya, sambil memuncungkan bibirku dan membunyikan chupp....seperti ciuman. Irfan ketawa melihat gelagatku. Kami sama-sama ketawa. Bahagianya kami bersama, apalagi kalau dapat beraksi seperti kanak-kanak. Ceria selalu. Tetapi nanti tiada lagi gurauan seperti ini, bila Irfan sudah ke US.

Terasa begitu cepatnya masa berlalu, kuliah sudah bermula. Aku mengikuti kuliah dengan semangat untuk selesai dengan cepat dan keputusan yang baik. Walaupun Irfan jarang ke kampus tetapi kami sering bertemu di luar dan sama-sama menyiapkan tesis Irfan. Pertemuan kami akhir-akhir ini lebih banyak fokus kepada kebersamaan untuk menyelesaikan tesisnya dan juga menemani aku praktikal, jika aku dapat tugasan di tempat-tempat yang aku tidak berani untuk pergi sendiri, disebabkan terlalu jauh atau bahaya.

Aku juga sudah mulai praktikal di Kompas, Suara Karya dan Suara Pembaharuan. Aku juga mahu di Pos Kota tetapi Irfan tidak membenarkan aku ke sana kerana lokasi ofisnya terlalu jauh dari Depok. Skop beritanya juga lain, lokasi sumber beritanya juga tidak sesuai denganku, kata Irfan. Mungkin kerana banyak berita jenayah, jadi Irfan risau aku terpaksa berdepan dengan bahaya.

“Lho...kok nanti juga aku harus ketemu isu-isu jenayah gituan, mana bisa wartawan menghindar atau memilih-milih berita,” balasku ketika Irfan melahirkan pendapatnya.

“Ngak apa-apa nanti aku bikin koran atau majalah sendiri untuk kamu,” katanya. Aku melihat nampak serius mukanya ketika mengungkapkan kata-kata. Apa dia memang niat terlibat dalam industri ini atau, sekadar untuk menyenangkan hati aku supaya memilih tempat untuk bekerja.

Aku menjengilkan mataku kepadanya. Dia ketawa, “benar, kalo kamu mahu kita bisa urusin nanti, kalo kuliahmu udah selesai, aku janji,” sambung Irfan menjawab jengilan mataku. Aku ikut ketawa.

Alhamdulillah, di Kompas, Pak Paulus, ketua pengarang sekaligus penyelia kami, menerima kami dengan baik, aku, Ineng dan Nenty. Senang sekali aku berurusan dengan Pak Paulus, walaupun pada awalnya dia kelihatan sangat serius. Mungkin disebabkan sikapnya yang tegas dan serius inilah membolehkan dia menduduki posisi pengurusan di Kompas. Kata kawanku dia juga adalah orang kuat gereja. Tidak tahu pasti dan tidak mungkin aku bertanya kerana melihatnya saja aku rasa sangat seram hati, bukan takut tetapi sangat menghormati dia.

Walaupun aku ini orang asing dan masih banyak kelemahan, tetapi sangat sabar Pak Paulus membimbing aku, dan memberi peluang aku melakukan tugasan yang berat atau penting, sebagai tanda kepercayaannya kepadaku. Sangat bertuah aku di bawah bimbingan dia. Aku rasa hasil bimbingannyalah aku dapat menulis dengan baik selain tunjuk ajar pensyarah-pensyarahku yang dedikasi dan bijaksana.

Hmm...tidak mudah menjadi wartawan. Tempoh empat bulan praktikal, aku rasa sangat banyak ilmu yang kupelajari. Aku mengambil kesempatan belajar secara formal dan informal untuk menulis ‘hard news’ dan ‘soft news’ dalam tempoh yang sebegini singkat. Pada ketika anak-anak lain ‘dicuekin’ dan selalu tidak mendapat tugasan luar mencari berita, aku, Ineng dan Nenty sangat bertuah, setiap minggu ada saja berita kami yang akan masuk dan disiarkan, terutama untuk berita besar. Untuk berita yang sangat besar, atau ‘top story’ kalau masuk sebaris ayat yang kami tulispun, nilai kami untuk mata kuliah ini sangat tinggi, apa lagi kalau di Kompas.
Ketika anak-anak lain di surat khabar lain masih menjadi pembuat ‘transkrip’ untuk para senior, kami tidak pernah diarah untuk berbuat demikian, malah berita-berita yang kami terlibat hampir semuanya berita besar. Itu menunjukkan kepercayaan boss kami kepada aku, Nenty dan Ineng sangat tinggi. Apa lagi kami sudah berjanji akan menjaga etika kami, tidak boleh lewat dan jangan pernah menolak apa saja tugasan yang diberikan, serta mesti melakukan kerja dengan tuntas.

Memang betul itu aku lalui. Aku pernah ditugaskan untuk mendapatkan komentar dari pihak yang terlibat dengan pengusiran pelarian Kemboja dan Vietnam (UNCHR) dari perairan Indonesia. Ketika itu semua orang berdiam diri, tidak mahu komentar. Kecut juga hati sebab ini isu sensitif, berkaitan dengan kebijaksanaan politik, bagai menarik rambut dalam tepung. Seorang pegawai yang mengurus masalah ini yang aku temui, menolak untuk memberi komen.

Aku terus menunggu dia memberi komen, hanya sepatah kata cukuplah supaya aku boleh membuat laporan. Aku sabar menunggu dari pagi sampai petang. Ketika dia mahu balik waktu kerjanya habis, barulah dia mahu memberikan komen yang sangat ringkas.
Dia datang ke arahku dengan senyum tawar. Aku tahu dia terpaksa, tetapi aku abaikan dulu perasaannya kepadaku. Yang penting dia sudah mahu menemuiku. Itu sudah sangat bagus, bukan senang.

“Saya amat kagum melihat kesungguhan anda untuk mendapatkan komentar saya mengenai isu ini. Ikhlas sekali anda melakukan tugas anda. Anda pasti akan berjaya dalam kerjaya anda nanti,” katanya setelah aku seharian menunggu.

Kata-kata yang kuanggap pujian ini mungkin bertujuan untuk meredakan resah hatiku menunggunya, dan menghilangkan tanggapan negatif aku kepadanya.

“Terima kasih Pak, mahu ketemu saya dan maaf kalau bapak merasa terganggu dengan kehadiran saya,” kataku berbasa-basi.

“Ok, tidak mengapa. Apa yang bisa saya bantu?” Tanyanya terus kepada permasalahan.
Aku mengemukakan soalan-soalan yang dikirim bos aku. Dia lebih banyak senyum dari bercakap.

Akhirnya ayat sakti yang keluar dari bibirnya hanyalah, “saya mohon maaf kerana kami tidak bisa memberi komentar mengenai isu ini kerana masih panas dan bisa menimbulkan berbagai-bagai kontroversi. Untuk menjaga kebaikan semua pihak, kita biarkan pemerintah Indonesia yang memberi keputusannya bagaimana. Terima kasih atas prihatin saudara. Maaf, saya harus pergi dahulu.” Dia mengakhiri pertemuan kami yang tidak sampai lima minit. Aku harus terima dan menghormati keputusan dia.
Aku sudah kecewa dan meluahkan kekecewaanku kepada Irfan yang setia menunggu aku di mobilnya sambil membaca buku. Irfan menenang dan menyabarkan aku. Huh...sabar sekali dia menungguku. Aku hanya meminta dia menghantar aku ke sini dan pulang saja, tidak perlu menungguku, aku bisa pulang dengan teksi, tetapi dia menolak dan mahu menunggu aku sampai selesai. Bimbang akan keselamatanku agaknya.
Aku terus ke kantor Kompas. Irfan menunggu di mobil lagi. Aku menyiapkan laporan temubual aku tadi dan menyerahkan tape rakaman sebagai bukti. Aku dan Irfan betul-betul kepenatan. Memang aku tidak makan selepas sarapan pagi tadi. Irfan ke warung berhampiran pejabat UNCHR Jakarta tadi, tapi cuma minum dan makan kuih saja. Betul-betul lapar kami. Kami singgah makan di KFC Sarinah. Lepas makan, terus balik ke rumah. Penat tidak terkira. Kasihan Irfan, bersusah payah dan kepenatan untuk aku.

Aku terbaring lesu selepas mandi dan solat. Fikiran melayang mengingatkan tugasanku, susahnya menjadi wartawan. Mampukah aku meneruskan kerjaya sebagai wartawan setelah selesai kuliah nanti? Teringat pula Irfan dan kata-katanya sebelum dia balik tadi, aku melahirkan rasa bersalahku kerana selalu menyusahkan dia sejak aku bersamanya.

“Jangan ngomong begitu sayang, kan aku udah janji, selama masih di sini aku bisa bantu dan tunjukin kamu, agar kamu tau daerah-daerah sini. Semester depan kamu harus mandiri, aku udah tiada di sini.” Irfan mengingatkan aku tentang janji kami. Bahagia sekali bersamanya. Kami berpisah untuk malam ini.

“Nanti kalo ada apa-apa yang perlu, telefon aku ya Nur.” Itulah pesanan yang selalu diucapkan setiap kali kami akan berpisah. Semester depan, tiada lagi ucapan seperti ini akan kudengar. Akhirnya aku dapat melelapkan mataku juga dalam keletihan.

Seperti biasa, sarapan pagi dengan surat khabar Kompas. Aku melihat berita utama di muka depan. Wah... ini berita mengenai UNCHR yang aku ikut sama mencari sumbernya semalam. Tajuk utamanya adalah kutipan dari laporanku. Tidak diedit sedikitpun kerana itu adalah kutipan sumber pertama. Berbunga-bunga hatiku kerana aku rasa hanya akulah satu-satunya wartawan dalam kumpulanku yang berjaya mendapatkan komentar dari sumberku. Orang lain langsung tidak ada yang mahu komen, malah bertemu wartawanpun mereka menolak. Seronoknya aku rasakan. Itulah keseronokan seorang wartawan, bila melihat sesuatu yang ditulis menjadi sumber bacaan orang lain. Hmm....bahagia sekali.

Tidak sabar untuk memberitahu berita gembira ini kepada buah hatiku yang sama-sama bersusah payah. Aku yakin sekali kuliah Teknik Menulis Berita aku ini memberikan aku nilai ‘A’ nanti.

Banyak sekali berita-berita berkualiti yang aku ikut serta dalam penulisan di Kompas. Belum lagi berita ‘soft-news’ yang aku tulis, misalnya mengenai lingkaran sampah yang aku dapatkan sumber pertama dan bahan-bahan segar selama sebulan untuk membolehkan aku menulis laporan lengkap dalam dua versi, untuk tugasanku ke majalah di Malaysia dan juga di sini.

Cukup memenatkan tetapi menyeronokkan mengikuti pemulong (pengutip sampah), ke penadah, sorting dan ke kilang. Terasa macam aku pula yang jadi pemulung dan sangat memahami kesukaran yang mereka lalui.

Tiga berita ‘soft-news’ dan berpuluhan berita ‘hard-news’ serta laporan sidang akhbar (press-release) sudah cukup untuk aku dapat nilai terbaik, kata pensyarahku setelah aku menyerahkan bukti penulisanku.

Hanya terima kasih dapat kuhulurkan kepada Irfan kerana sangat membantu aku, menemani aku ke tempat-tempat yang aku tidak tahu pergi sendiri, ketika dia kelapangan.

Irfan juga sudah selesai skripsinya dan mendapat nilai A. Gembira tergambar di wajahnya ketika keluar dari bilik sidang. Aku menunggunya di luar, tidak mahu pensyarah kami tahu hubungan kami. Setelah bertunangan nanti barulah akan aku warwarkan hubungan kami kepada rakan-rakan dan pensyarah kami. Itu janji aku dan Irfan. Tidak mahu timbul berbagai spekulasi tentang hubungan kami.

Nor Aizan Ab.Halim, Bandar Baru Bangi, 21 Disember 2011.

No comments:

Post a Comment