Monday 12 December 2011

Kenangan Di Kampus Depok – Siri 2 – Ateh Halimah

Jakarta, Oh, Jakarta!
Berat rasa kakiku melangkah masuk ke dalam pesawat terbang. Aku tidak teruja sama sekali walaupun itu merupakan kali pertama aku menaikinya. Aku duduk ditempat duduk yang sudah ditetapkan. Pramugari yang manis-manis sibuk membantu para penumpang menunjukkan tempat duduk mereka dan meletakkan beg di ruangan bagasi di atas tempat duduk.

Aku tidak menghiraukan siapa yang duduk di sebelahku. Yang aku tahu mereka juga pelajar program G to G yang akan ke destinasi yang sama denganku. Sikap ramah tamahku tenggelam bersama perasaan sayu yang sejak dari tadi melanda hatiku.

Demonstrasi oleh pramugari tentang cara untuk menyelamatkan diri jika berlaku kecemasan juga tidak aku perhatikan. Yang aku mahu adalah memejamkan mataku yang tidak mengantuk itu. Namun aku tidak bisa berbuat demikian. Setiap kali aku pejamkan mataku, setiap kali itulah kenangan bersama kakakku datang mengusik jiwa. Aku tidak mahu memori indah bersama kakak dan keluarga menambah sebak dadaku. Aku takut sebak di dalam dada akan berganti dengan linangan air mata. Aku tidak mahu orang lain tahu perasaan sebenar hatiku.

“Masih lama lagikah?” tanyaku di dalam hati. Aku mahu cepat-cepat sampai. Apatah lagi aku berasa sungguh tidak selesa apabila telingaku terasa sakit dan berdesing. Aku merasakan telingaku sudah menjadi pekak.

Dua orang pelajar yang duduk disebelahku juga tidak berkata apa-apa. Aku kira mereka juga sibuk melayan perasaan masing-masing. Mungkin hati mereka juga sayu seperti hatiku atau cuba menahan rasa sakit di telinga.

Suasana sepi dipecahkan oleh suara lunak si jelita yang bertugas. “Chicken or beef?” sapa pramugari kepadaku. Sebenarnya aku malas mahu menanggapi sapaan pramugari yang menanyakan menú pilihanku. Namun dengan suara yang seperti dengar dengan tidak, aku menanggapinya juga dengan menjawab “chicken”.

Tidak lama kemudian kami dihidangkan dengan juadah makan tengah hari. Aku tidak berselera untuk makan. Walaupun begitu aku sambut juga huluran dulang yang berisi makanan daripada pramugari yang manis itu. Nasi yang berlaukkan ayam itu aku kunyah perlan-lahan. Apa yang aku makan seolah-olah sukar melalui kerongkongku. Dalam sejarah hidupku, inilah kali pertama aku tidak lalu makan. Biasanya aku tidak pernah menolak makanan biarpun ketika kurang sihat.

Tiba-tiba, aku teringat kepada abangku, Angah yang sesekali pulang ke kampung kerana sudah berkeluarga selalu berkata, “Teh kau ni makan banyak tapi badan tak besar-besarpun… Kau makan jadi tahi… orang makan jadi daging…” gurau Angah sambil ketawa-ketawa kecil. Angah memang suka bergurau dengan kami, adik-adiknya yang jarang-jarang dia jumpa.

Mungkin betul kata Angah atau mungkin tidak. Bagiku, aku makan jadi tenaga. Tenaga yang aku gunakan membantu emak menyediakan bermacam juadah untuk jualan setiap hari. Tenaga itu jugalah yang aku gunakan untuk menanam ubi di belakang rumah, atas tanah Pak Ngah yang terbiar itu. Tidak mungkin terpadam daripada ingatanku bagaimana tapak tanganku melelas dan jari jemariku melepuh dek menghayun cangkul untuk membuat batas. Aku hanya mampu menanam ubi kayu kerana aku tidak perlu mengeluarkan modal sesen pun. Bah Kodin, abangku yang keempatlah yang mendapatkan batang-batang ubi untukku. Aku tak pernah tanya dari mana Bah Kodin mendapatkannya. Yang aku tahu, projek tanaman ubi kayuku harus berjalan. Sebabnya, aku sudah ada pelanggan. Pelangganku adalah Wan Kam, nenek saudaraku yang berjualan keripik ubi pedas. Apabila tiba masa panen, Bah Kodin jugalah orang yang membantuku menggali ubi.

Imbasan tentang abang-abangku terhenti dengan sapaan si pramugari yang meminta dulang makanan agar dikembalikan. Aku menghulurkan dulang sambil melontarkan senyuman. “Thank you”. Balas paramugari yang dengan tangkas melakukan tugasnya dan sangat tertib.

“Welcome.” Jawabku antara dengar dengar tidak. Suaraku bagaikan tersekat ditenggorokan.

Perjalanan yang mengambil masa sekitar dua jam 45 minit itu terasa sangat lama. Pelbagai kenangan menerpa dan membuai perasaanku. Wajah teduh emak yang berperawakan ceria, wajah bapa yang tidak lokek dengan senyuman, wajah manis wan dan wajah Tok Endon yang jarang-jarang tersenyum kepadaku serta insan-insan lain yang sangat signifikan denganku muncul silih berganti bersulamkan kenangan yang melatarinya.

Pengumuman daripada jururterbang bahawa kami akan mendarat di Bandara Soekarno-Hatta, Cengkaring, Jakarta dalam waktu yang singkat telah memberikan noktah kepada segala yang bermain dalam fikiran dan yang membuai perasaanku. Semuanya terpadam dengan tiba-tiba. Aku kembali bersemangat. Aku mentransformasikan diriku menjadi Ateh yang berjiwa besar semula.

“Wah, aku dah sampai di Jakarta!” Teriakku dalam hati. Ketika turun dari pesawat menuju pintu keluar untuk urusan imigrasi, aku menyapa orang-orang di sekelilingku dengan senyuman sahaja. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Aku sangat teruja.

Bola mataku tidak lepas dari memandang ke luar tingkap bas. Macam-macam yang aku nampak sepanjang perjalanan ke kedutaan Malaysia di Jakarta Pusat. Aku melihat anak-anak kecil berlari-lari ke arah kenderaan yang berhenti di peremapatan lampu isyarat sambil menyuguhkan hasil jualan dan ikatan-ikatan air untuk dijual. Ada wanita-wanita yang mendukung anak kecil dan kanak-kanak yang berkaki ayam sahaja menyuakan mangkuk untuk memohon simpati daripada pemandu atau penumpang kenderaan yang mereka tuju. Hatiku sangat sayu melihat keadaan mereka.

Tanpa aku undang, kenangan semasa aku membantu emak berjualan kuih datang dengan tiba-tiba. Seawal pukul lima setengah atau enam pagi aku, kakak dan Bah Kodin sudah membawa bakul yang berisi nasi lemak, mi goreng dan beberapa jenis kuih seperti epok-epok, pulut panggang, kuih lapis dan kuih apam pergi berjaja.

“Nasi lemak, mi goreng, epok-epok…” Lantang suara kami sahut-menyahut untuk mengambil perhatian penghuni rumah pangsa tempat kami berjaja. Sama ada jualan kami habis atau tidak, kami harus pulang ke rumah sekitar pukul tujuh pagi untuk bersiap-siap ke sekolah pula. Aku masih bersekolah rendah ketika itu. Jika ada sisa jualan, itu akan kami bawa ke sekolah dan menjualnya kepada kawan-kawan pula. Alhamdulillah, kawan-kawanku suka dengan kuih yang emak buat. Kadang-kadang sampai jadi berebut pula. Kalau sudah begitu, aku akan menjual kuih yang emak bekalkan untukku kepada mereka. Sebenarnya aku suka kalau ada kawan-kawan yang mahu membeli kuih yang emak bekalkan itu. Sebabnya, dengan duit itu, aku boleh beli makanan yang di jual di kantin sekolah. Kadang-kadang teringin juga merasa masakan yang dijual di kantin itu. Biasalah, bak kata pepatah dalam bahasa Inggeris, “the grass is always greener on the other side of the fence”.

“Budak-budak ni pergi sekolah ke tidak ya?” Dalam hati, aku bertanya kepada diriku sendiri. Langsung lahir rasa insaf dalam diriku ketika itu. Aku mensyukuri nikmat hidup yang Tuhan berikan kepada aku. Walaupun aku harus membantu emak berjualan untuk menambah pendapatan keluaraga namun aku masih mendapat peluang menuntut ilmu. Kini aku berpeluang pula melangkahkan kakiku ke menara gading.

“Ya Allah, orang-orang itu tinggal di situ?” Tanyaku lagi di dalam hati. Terlihat beberapa keluarga yang tinggal di pinggir-pinggir longkang besar dengan rumah berdindingkan kotak-kotak. Tak sanggup aku melihat keadaan anak-anak kecil yang tidak berpakaian bermain dan berlari-lari di sekitar “rumah” meraka itu. Ada beberapa orang wanita yang sedang menadah air limbah yang keluar dari corong longkang besar itu ke dalam tin-tin minyak masak. Semasa di Kuala Lumpur aku tidak melihat situasi sebegitu. Ini berarti rakyat di negaraku masih beruntung. Biarpun masih ada orang-orang miskin, namun tidaklah sampai ada yang tinggal di pinggir-pinggir longkang besar seperti yang aku lihat.

Paparan pertama kota Jakarta yang aku lihat sepanjang perjalan menuju ke Jalan Kuningan tempat terletaknya kedutaan Malaysia telah membuatkan rasa insaf makin menebal dalam hatiku.

Tanpa kusedari, kami sudah tiba di destinasi yang dituju. Kami telah diberikan taklimat oleh beberapa orang pegawai kedutaan. Pelbagai tips dan nasihat yang diberikan. Aku semakin bersemangat dan keyakinan diriku makin bertambah untuk mendapatkan segulung ijazah.

Sehabis mendengar taklimat kami telah dikumpulkan mengikut kelompok ke destinasi seterusnya. Ada teman-temanku yang akan meneruskan perjalanan mereka ke Ujung Pandang, Bandung, Surabaya, Bali dan Jogjakarta.

Kelompokku yang teridiri daripada 13 orang pelajar telah dibawa ke alamat No. 8, Jalan Budi Kemuliaan. Di situlah terletaknya pejabat Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia. Kami telah disambut dengan ramah oleh beberapa orang kakak dan abang senior serta beberapa orang staf Jabatan Penuntut Malaysia. Kami diperkenalkan kepada beberapa orang staf MSD yang akan membantu kami dalam pengurusan visa pelajar dan apa sahaja hal-ehwal berkaitan kebajikan pelajar.

Kami diperkenalkan kepada mereka satu persatu. Wajah-wajah itu penuh dengan senyuman dan keceriaan. Pak Mawardi, lelaki berkulit agak gelap cuba bercakap dalam telor bahasa Melayu yang agak janggal di telingaku. Mbak Ika, seorang wanita cantik berkulit putih mulus hanya tersenyum sambil membongkokkan sedikit badannya semasa dirinya diperkenalkan.

“Mbak Ika akan membantu dalam urusan biasiswa.” Kata Pak Said, pengarah MSD.

“Ini dia orang yang tidak kurang pentingnya. Pak Osman.” Sambil mengacungkan ibu jarinya kepada Pak Osman. Pak Osman, yang rambutnya botak di tengah-tengah kepala hanya tersenyum.

Mbak Dewi, bertugas sebagai seorang kerani, Pak Rojali pula bertugas sebagai seorang pembantu Am dan tidak ketinggalan Pak Ibrahim, seorang pengawal keselamatan atau lebih dikenali sebagai satpam.

Seorang demi seorang staf diperkenalkan kepada kami sehinggalah kepada Kak Nor, wanita muda bertubuh tinggi lampai, berkulit hitam manis dan berlesung pipit yang kelihatan sangat jelas kalau beliau sedang tersenyum. Kak Nor bertugas sebagai Personal Asistant kepada pengarah MSD.

Pak Din pula yang berjawatan sebagai seorang warden telah memberikan penerangan kepada kami tentang asrama yang bakal kami tempati dan pelbagai hal berkaitan kebajikan sosial pelajar. Lelaki separuh umur yang bertahi lalat di pipi itu kelihatan sangat ramah walaupun baru pertama kali diperkenalkan.

“Kalau rindu masakan Malaysia, datanglah ke rumah.” Pelawa Pak Din kepada kami dengan ikhlas sebelum kami diserahkan kepada kakak-kakak dan abang-abang senior untuk urusan seterusnya.

Kak Nora, senior kami yang manis dan berlesung pipit menunjukkan bilik yang bakal kami tempati. Bilik yang memuatkan tiga buah katil tingkat kelihatan seperti bangunan bekas peninggalan penjajah. Suasana bilik itu amat suram. Pengaliran udara juga kurang kerana hanya terdapat sebuah tingkap. Kami disuruh memilih tempat masing-masing.

“Ateh katil atas ya. Alin katil bawah.” Alin, gadis bertubuh kurus lampai itu tiba-tiba bersuara seolah-olah memberi arahan kepadaku.

“Ok, tak kisah.” jawabku ringkas. Sebenarnya aku lebih suka katil yang di atas kerana tidak akan ada orang yang akan melandi katilku. Di rumahpun aku memilih untuk tidur di katil atas. Aku tersenyum sendiri apabila teringat bahawa aku pernah terjatuh dari katil. Hairannya aku langsung tidak berasa sakit apatah lagi tercedera. Akupun tidak ingat mimpi apa yang menyebabkan aku boleh terjatuh. Geli hati mengingatkan peristiwa itu.

“Janganlah sampai jatuh lagi.” Aku berkata di dalam hati sambil menuju ke arah katil, bakal tempat aku beradu.

Azah, Ju, Ana dan Bib memilih tempat masing-masing. Kami sibuk mengeluarkan pakaian dan barang-barang dan menyusunnya dalam almari yang disediakan. Almari itu cukup buatku malah masih ada banyak ruang. Maklum, aku tidak membawa banyak barang.

Aku membelek-belek baju dan kain batik emak yang sengaja aku bawa. Kata emak biar tidak berasa rindu. Aku meletakkan gambar kami sekeluarga yang diambil semasa hari raya aidilfitri di bawah lipatan baju emak. Gambar itu memang tidak diberikan bingkai.

Selain pakaian dan beberapa barang peribadi, emak juga membekalkan aku dan kakak sebotol air penerang hati. Emak begitu yakin tentang air itu. Sudah menjadi kebiasaan emak meminta imam masjid di kampungku untuk membuatkan air penerang hati setiap kali kami adik-beradik akan menduduki peperiksaan. Kali ini emak sudah menyediakannya awal-awal lagi. Apa tidaknya, kali ini aku dan kakak akan mengambil peperiksaan jauh di negeri orang.

“Jangan lupa tambah air tu. Jangan sampai kering.” Pesan emak kepadaku dan kakak.
“Sebelum minum baca salawat ke atas nabi dan doa penerang hati.” Sambung emak lagi.

Aku meletakkan botol air itu di bahagian belakang almari biar kawan-kawan baruku tidak bertanya tentang air itu. Aku sengaja tidak mahu mereka tahu tentang amalan emak terhadap air penerang hati itu. Memang, tidak semua orang percaya tentang hal-hal sebegitu.

“Tok..tok…tok…” Bunyi ketukan pintu mengganggu lamunanku. Entah mengapa sejak di dalam pesawat terbang lagi aku asyik melamun mengenangkan kisah-kisah silamku.

“Assalamu’alaikum.” Suara lembut Kak Nora kedengaran dari luar. Bib, si gadis kecil molek, kawan baruku meluru membuka pintu.

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Bib sambil menguak perlahan daun pintu. Aku dapat melihat wajah manis Kak Nora di muka pintu membawa pesanan untuk kami.

“Malam nanti, selepas Maghrib kumpul di aula dan pakai baju putih berkain hitam atau berwarna gelap.” Kak Nora memberikan arahan dengan suara yang lembut dan ringkas.

Nasib baik aku bawa sehelai kain berwarna hitam dan sehelai kemeja putih. Namun aku agak ragu sebab kainku itu agak ketat dan berbelah. Maklumlah kain yang dipakai dengan baju kebaya tentu saja ketat dan berbelah.

Kawan-kawan yang lain juga berasa lega kerana syarat berpakaian yang diberikan untuk pertemuan nanti malam dapat dipenuhi.

Episod aku dan kawan-kawan sebagai anak Jakarta membuka tirainya. Tirai pembukaan dimulai dengan sesi suai kenal yang dijalankan oleh kakak-kakak dan abang-abang senior.

Melangkah saja kaki di aula, hatiku mula kecut melihat wajah-wajah abang dan kakak senior yang tidak ada semasa sesi taklimat di pejabat MSD siang tadi. Wajah abang Rosli, amat garang kelihatannya. Pemuda yang bertubuh kurus tinggi dan berwajah cekung itu bercakap dengan loghat Jakarta. Aku teka, dialah ketua bagi sesi suai kenal itu. Suaranya yang garau bercakap dengan tegas.

“Eh, cewek! Kau ingat kau nak pergi ke mana pakai kain ketat-ketat ha?” Tiba-tiba abang Rosli bersuara kepadaku. Aku yang duduk bersimpuh kerana memakai kain ketat sebenarnya tidak mengikut arahan agar duduk bersila. Kecut sungguh hatiku. Terasa jantungku berdetak dengan cepat. Aku hanya mendiamkan diri kerana tidak berani untuk menjawab bagi memberi alasan bahawa aku hanya ada kain itu sahaja yang berwarna hitam.

“Kau pergi ganti kain lain. Kalau tak ada, pakai seluar panjang pun boleh.” Abang Rosli memberi arahan kepada aku.

Aku bingkas dengan cepat menuju bilik penginapan kami. Nasib baiklah bilik itu hanya beberapa langkah sahaja dari aula tempat kami berkumpul. Aku tidak berani untuk mengangkat muka melihat kakak-kakak dan abang-abang senior yang duduk berkeliling di sekitar aula.

Di dalam bilik, aku cepat-cepat menggantikan kain ketat itu dengan seluar panjang. Tanganku terketar-ketar semasa menyarung seluar. Hatiku sungguh kecut dan berdegup kencang.

Setelah bergabung dengan kawan-kawan yang lain, aku diminta untuk memperkenalkan diri dan kursus yang akan aku ambil. Ada beberapa orang daripada kawan-kawanku yang sudahpun mendapatkan “atribut” mereka. Aku tidak tahu kenapa Said diberikan gelaran “Tonyok” sebab aku tidak ada ketika dia mendapatkan gelaran itu. Mazlan, satu-satunya pelajar dalam kelompok kami yang akan mengikuti kursus kedokteran telah diberi gelaran “Dok”. Geli hatiku apabila teringatkan bunyinya sama dengan perkataan “dog” dalam bahasa Inggeris. Namun gelaran itu telah ditambah dengan perkataan “porno” menjadikannya “Doc Porno”. Itu semua gara-gara dia disuruh melakonkan watak seorang doktor yang akan merawat pesakit.

“Petient-nya tak ada, macam mana nak berlakon jadi doktor?” Mazlan melontarkan pertanyaan dengan selamba kepada abang Rosli.

“Oh, nak patien ya. Ha, Zuraidah, awak jadi pesakit.” Arah abang Rosli kepada Ju. Ju bergabung dengan Mazlan di tengah-tengah untuk berlakon. Tiba-tiba Mazlan bersuara, “Awak sakit apa?” Dia bertanya Ju dengan berlagak sebagai seorang doktor.

“Saya rasa pening kepala.” Jawab Ju dengan selamba. Aku perhatikan Ju memang ada bakat berlakon sebab dia kelihatan tidak janggal sama sekali.

“Cuba buka butang baju.” Si “doktor” memberi arahan.

“Oi, dokter apa ni? Orang sakit kepala disuruh buka butang baju.” Celah abang Rosli yang membantutkan lakonan Mazlan.

Kakak-kakak dan abang-abang senior yang lain semua tertawa. Kami juga turut tertawa.

“Saya nak check guna stetoskop.” Mazlan cuba membela diri.

“Sini.” Abang Rosli memanggil Mazlan. Dia bergerak menuju ke arah abang Rosli.

“Tanggalkan atribut kamu.” Abang Rosli memberi arahan. Kelihatan abang Rosli menulis sesuatu pada atribut tersebut.

“Ini nama baru kamu. ‘Doc Porno’ sebab kamu porno sih tadi.” Abang Rosli menyerahkan atribut kepada Mazlan semula sambil tersengeh.

Setiap orang mendapat gelaran masing-masing yang dituliskan di atas atributnya, termasuklah aku. Aku mendapat gelaran “Miss Tempe”. Gelaran itu aku dapat gara-gara aku dengan selamba memakan tempe mentah yang disuguhkan kepada kami. Bagi aku, memakan tempe mentah sudah tidak menjadi masalah sebab setiap kali aku membantu emak memotong tempe untuk dimasukkan ke dalam kuah lontong jualan emak; aku akan “ngap” beberapa potong tempe mentah masuk ke dalam mulutku.

Sesi suai kenal amat melelahkan kami namun telah memberikan pengajaran dan pengalaman yang sungguh tidak ternilai. Hampir setiap hari sepanjang sesi tersebut kami di ketengahkan dengan pelbagai situasi yang bakal kami tempuh apabila tinggal di kota Jakarta. Juadah kami terdiri daripada pelbagai menu. Kami disajikan nasi bungkus daripada restoran nasi padang dan warung tegal atau warteg.

Ada daripada kawan-kawanku yang tidak lalu makan menu daripada warteg. Antaranya adalah Bib. Kasihan aku melihatkannya sebab dia dipaksa menghabiskan sebungkus nasi yang lumayan banyak sedangkan dia makan hanya sedikit. Begitulah dengan minuman yang ada. Ada kalanya kami diberikana teh tawar dan ada kala pula “Teh Botol”. Air teh itu rasanya sangat aneh pada lidahku namun aku telan juga sebab takut dimarah oleh abang Rosli. Aku takut dibentak kalau melanggar arahan. Setiap kali ada abang senior yang meninggikan suaranya ekoran kesilapan yang kami lakukan; setiap kali itulah jantungku bagai mahu luruh dibuatnya.

Pada akhir sesi suai kenal, kami diminta untuk berlakon. Setiap orang diberikan peranan masing-masing. Perananku hanya kecil dalam drama tersebut. Aku hanya disuruh menangis apabila melihat mayat saudaraku terkujur kaku. Azah berlakon sebagai ibu dan Hamzan pula sebagai ayah. Ekoran daripada itu, panggilan mama dan papa melekat pada Azah dan Hamzan dalam kalangan kelompok kami.

Sesi suai kenal itulah yang telah merapatkan hubungan kami sesama pelajar baru dan pelajar-pelajar senior. Pada ketika itu, asrama Budi Kemuliaanlah tempat anak-anak Malaysia menetap sepenuh masa. Hubungan kami ibaratkan sebuah keluarga besar yang penghuninya daripada pelbagai latar belakang. Baik bidang yang dipelajari mahupun negeri tempat asalnya di Malaysia.

Terdapat tiga orang senior perempuan yang tinggal disebelah bilik kami, iaitu Kak Nora, kak Nab dan seorang lagi kak Nora. Kak Nora ini mendapat gelaran “Nora Kecik” disebabkan susuk tubuhnya yang kecil molek. Kesemua mereka mengambil jurusan agama. Namun lebih istimewa lagi, kak Nab dan kak Nora Kecik yang mendapat biasiswa Yayasan Kelantan mengambil jurusan hafazan al-quran di Institut Ilmu Al-Quran. Sebenarnya aku baru tahu ada orang belajar al-quran sampai ke peringkat ijazah setelah berkenalan dengan mereka.

Senior lelaki dan kawan-kawan lelaki sekumpulanku menempati sebahagian lain ruangan asrama. Jumlah pelajar lelaki lebih ramai daripada pelajar perempuan ketika itu. Bilik antara pelajar perempuan dengan pelajar lelaki dipisahkan dengan aula yang luas. Aula itulah tempat kami berkumpul, menonton televisyen, makan, berehat, bersembang dan mengadakan mesyuarat jika perlu.

Abang Shamsudin, yang mengambil bidang arkitek dari Universitas Trisakti merupakan “Pak Lurah” dan kak Nora yang merupakan pelajar Institut Agama Islam Negeri adalah “Ibu Lurah”. Mereka bertanggungjawab menjaga hal-ehwal asrama dan sahsiah pelajar yang menginap di situ. Kedua-dua orang Pak Lurah dan Ibu Lurah berperawakan lembut namun tegas dalam menjalankan tugas masing-masing.

Kini Asrama Budi Kemuliaan adalah rumahku dan syurgaku. Di sinilah tempat aku menyusun strategi untuk berjuang ke medan ilmu. Jika aku menang maka aku akan meraih segulung ijazah yang menjadi sasaran utamaku datang ke Jakarta.

Budi Kemuliaan jugalah tempat di mana aku menjalin kenangan-kenangan manis yang aku simpan dan hamparkan dalam jiwa dan sanubariku.

Ateh Halimah, Port Dickson, 12 Disember 2011

No comments:

Post a Comment