Thursday 15 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 28 – Nor Aizan Ab Halim

Ujian Di Bandung
Pagi-pagi subuh aku sudah terjaga. Jamku tadi berbunyi nyaring menusuk masuk ke telingaku, dari atas meja sisi katil. Malas rasanya nak bangun, kesedapan tidur berselimutkan gebar biru yang tebal, dari bulu kambing biri-biri rasanya. Mata terkebil-kebil, fikiran bercelaru, macam-macam perkara yang bertandang di fikiran. Sesak juga nafas dibuatnya. Ah....Lupakan dulu fikiran yang macam-macam, lebih baik melayan diri bermalas-malasan dalam selimut tebal ini. Ehmm...sedap juga kalau jadi orang kaya ni ya.....? Aku baru nak melayan perasaan.

“Mbak Nur.....udah bangun apa belum? Udah subuhan?” Kedengaran suara Sirna bersama ketukan pintu bilikku beberapa kali. Adoooi...mengganggu sajalah si Sirna ni. Aku baru nak memulakan angan-angan kalau jadi orang kaya. Tidak menjadi, putus sudah angananku.

“Iya, udah Sirna, ma kasih, Den Mas udah bangun? ” jawabku dengan nada yang malas.

“Udah, dia yang nyuruh saya bangunin Mbak Nur.” Sirna menjelaskan dengan suara yang lembut. Aduhai...sudah bangun jejakaku, sedangkan aku masih bermalas-malasan begini, eh, memang tidak patut, lebih sudu dari kuah ni..... Aku terus menolak selimutku dengan terpaksa.

“Ok Sirna, terima kasih. Bilang sama Den Mas, saya mandi dulu.” Aku mengakhiri interaksi dengan Sirna. Aku tersenyum sendiri, rasa geli hati memanggil Irfan Den Mas, macam pelik saja bunyinya. Tetapi tak apa, biasanya kelainan akan lebih membawa keakraban, insyallah.

Aku bingkas bangun. Tidak boleh berlengah-lengah lagi, Irfan sudah bangun dan pastinya sudah siap, sekejap lagi mahu bertolak dia agaknya. Terlupa aku akan tabiat buah hatiku yang sangat disiplin tentang masanya. Kalau aku yang menjadi penyebab kepada kelambatan akan sangat memalukan aku....hee.....tidak boleh.
Dua puluh minit aku selesai solat dan bersiap-siap. Keluar dari bilik, Irfan sudah berada di depan televisyen, sambil membelek-belek majalah Tempo, sudah siap berpakaian dia. Melihat aku keluar dari bilikku, dia terus memberi salam pagi,
“morning sayang.” Irfan melemparkan senyuman paginya yang seperti biasa segar dan bersemangat.

“Morning....sorry, aku lambat,” balasku dengan sedikit rasa segan silu.

“Ok...ngak apa-apa.....penat ya? Ayok sarapan, nanti kita boleh keluar awal-awal pagi.” Irfan terus bangun meraih dan memimpin tanganku ke meja makan, yang di atasnya sudah tersedia pisang goreng, lontong serta teh panas.

Kami makan kurang selera, mungkin terlalu awal pagi, jam belum pukul tujuh. Lontong pula bagiku kurang sesuai di pagi hari, rasanya Irfanpun sama, nampak tidak bersemangat makannya. Aku hanya makan sedikit sahaja lontong untuk tidak mengecewakan Sirna yang penat menyediakannya awal-awal pagi begini. Kemudiannya aku makan tiga keping pisang goreng dan secawan teh. Rasa sudah tidak mampu lagi menelannya. Irfan tersenyum memandangku.

“Ngak selera makan ya sayang, ngak enak?” Irfan memahami aku yang biasanya kuat makan.

“Ngak, masih terlalu awal, ngak bisa telan.” Aku menjelaskan, bimbang disalahfaham Irfan dan Sirna.

“Aku juga, nanti kita sarapan lagi kalau lapar ya.” Irfan amat memahami aku dan cuba menjelaskan kepada Sirna situasi kami.

“Sirna, nanti tolong habisin ya makanannya, masih awal, kami ngak bisa makan pagi-pagi begini, maaf ya.” Irfan menjelaskan kepada Sirna, bimbang Sirna berkecil hati kerana kami makan sedikit sahaja hasil penat lelahnya.

Irfan, begitu budimannya kamu, hal yang kecil begini pun kau sempat perhatikan dan ambil berat, kata hatiku. Tidak hairanlah kenapa dia sangat disenangi pekerja-pekerjanya. Tiada riak atau gaya ketuanan langsung pada dirinya. Makin sayangnya aku sama kamu, bisik hatiku lagi.

“Maaf ya Sirna...terima kasih karena menyiapin semua ini dan masak sayur asem untuk kami kemaren.” Aku juga memohon maaf dari Sirna sambil melemparkan senyuman maaf dan terima kasihku atas susah payahnya.

“Ngak apa-apa Den, Mbak Nur, maklum pagian begini, buru-buru lagi, memang ngak enak makan. Nanti pulang mampir lagi ya, saya bikinin sayur asem lagi kalo mau,” balas
Sirna berbasa-basi juga. Aku mengangguk senang.

Kami meminta diri pergi dulu. Sirna dan Tukiman membawa beg aku dan Irfan ke mobil. Hanya terima kasih kami berikan atas layanan yang begitu baik sekali dari mereka berdua. Langsung tiada cacat celanya mereka berdua sebagai penjaga dan pengurus rumah ini.

“Pulang nanti mampir lagi ya Mbak Nur, Den Mas, jangan kapok ya, “ kata Sirna. Perkataan yang membawa maksud ‘jangan serik’ ini selalu bermain di bibir mereka yang berbudi bahasa seperti Sirna, Mbak Fitri, Irfan dan seluruh keluarga Ineng.
Kami berlepas pergi dengan membalas lambaian mesra dari Sirna dan Tukiman. Masih jauh perjalanan kami, banyak tempat-tempat yang indah akan kami lalui.

Sebenarnya, sepanjang jalan dari Jakarta ke Bogor dan Bandung, banyak tempat yang kami lewati yang dinamakan dengan nama ‘Ci’ di awalnya. Ketika aku bertanya Irfan apa maksud Ci itu sebenarnya. Kata Irfan maksudnya sungai dalam bahasa Sunda, kalau tidak silap. Oh...jadi ketika perjalanan kami semalam sudah ditemui banyak nama berasaskan sungai, ada Cipanas, Cibogo, nanti ada Cibodas serta macam-macam Ci yang sudah tidak dapat aku ingat lagi dengan jelas. Kenapa banyak benar nama-nama yang bermula dengan Ci di sepanjang perjalanan ini? Mungkin menunjukkan betapa pentingnya sungai dalam kehidupan masyarakat di sini, dan sebenarnya masyarakat lain juga di dunia ini. Kalau kita lihat hampir semua pusat bandar, bandaraya utama atau penempatan bermula di kuala sungai atau pertemuan antara beberapa sungai, contohnya saja Kuala Lumpur dengan Sungai Kelangnya, Jakarta dengan Sungai Ciliwungnya, dan Bangkok dengan Menam Chao Phrayanya.

Tempat-tempat yang disebutkan tadi merupakan tempat yang sangat disukai dan sering dikunjungi para pelancong termasuklah pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia, sekitar tahun 70an dan 80an, yang belajar di Bandung, Bogor dan Jakarta, untuk merehatkan diri dan berlibur pada hujung minggu atau cuti semester.
Pelajar ITB dan IPB juga selalu melakukan praktikal mereka di kawasan hutan di Cibodas, kaki Gunung Gede dan Gunung Pangrango. Biasanya mereka akan menginap di rumah rehat Pegawai Kebun Raya dan BOTROP, Bogor, yang terletak di puncak bukit ini. Katanya, dari atas puncak ini, boleh dilihat jelas, sangat indahnya pemandangan ke kaki gunung dengan suhunya yang sangat sejuk. Sayangnya, aku tidak dapat menikmati dan menghayati kebesaran Allah menciptakan semua ini, dek kekangan masa kami yang suntuk, cuma empat hari untuk lawatan kerja Irfan. Namun Irfan berjanji, jika ada kelapangan nanti, dia akan membawaku ke sana.

Perjalanan yang nyaman di awal pagi kami lalui dengan tenang dan penuh gurau senda dan gelak ketawa. Tanpa kami sedari kami telahpun memasuki kota Bandung yang cuacanya juga tidaklah panas menjelang tengahari ini. Belum sempat bosan rupa-rupanya kami telah sampai. Perjalanan yang beberapa jam terasa macam sejam sahaja, dek seronok berbual-bual dengan Irfan, yang rupa-rupanya sangat pandai bercerita dengan gaya Tok Selampit atau tukang cerita di zaman dahulu, walaupun dia kelihatan seperti pendiam, tetapi apabila bercerita boleh tahan juga, cukup menghiburkan.

Aku hanya mengekori Irfan menguruskan tugasan yang diamanahkan oleh papanya. Kami memasuki beberapa toko pakaian, dan kulihat Irfan bercakap-cakap atau berbincang dengan tuan punya kedai atau pengurus kedai tersebut. Ku tidak ikut campur kerana pasti dia sedang dalam urusan kerjanya. Aku membawa diri sendiri membelek-belek pakaian dan kain-kain yang terdapat di dalam kedai tersebut. Aku dapati ada desain corak yang sangat menarik. Aku membelinya empat meter dengan harga Rp25,000 sahaja. Mungkin untuk aku atau untuk mak, kalau mak mahu, kerana coraknya lebih sesuai untuk orang muda. Nantilah cari lagi satu yang sesuai untuk orang tua pulak kalau ada yang berkenan.

Aku mengikut Irfan ke toko pakaian di seberang jalan sana pula. Toko pakaian juga. Sebenarnya hati aku ingin bertanya, apakah toko pakaian ini milik bapanya juga, atau mereka berlangganan kain-kain yang dikeluarkan oleh kilang bapanya Irfan. Tetapi rasanya masa tidak sesuai kerana kelihatannya Irfan sangat sibuk dan serius sekali melaksanakan tugasnya. Tak apalah, aku ikut saja dulu, nanti baru tanya. Nanti dibilang menyibuk pulak aku ni. Masuk ke toko ini, lebih banyak kain-kain bahan baju yang lebih cantik. Kedainya juga lebih besar. Aku ingin melaksanakan misiku juga, mencari sepasang lagi kain untuk mak. Akhirnya aku jumpa juga kain yang sangat cantik, warna asasnya adalah coklat dan corak-coraknya bercampur coklat tua dan warna krim, sesuai untuk mak yang sangat cerewet dalam memilih pakaiannya.
Irfanku juga telah selesai melakukan tugasnya. Dia berjalan menuju ke arahku dengan senyumnya yang tidak pernah lekang dari bibirnya ketika bersamaku. Kelihatannya penyabar benar insan bernama Irfan ini. Walaupun penat masih mampu senyum dan mesra sekali denganku. Suka dan tenang sekali hati ketika melihat raut wajahnya. Ya Allah, kekalkanlah hubunganku dengan dia, restuilah kami di atas landasanMu.

“Sudah siap sayang?” Aku tidak lagi segan silu memanggilnya sayang, malah rasa seperti meresap ke jantung hatiku setiap kali aku menyebut sayang atau aku mendengar dia memanggilku sayang, perkataan yang tidak pernah aku dengar dari bibir ayah untuk mak atau dari mak untuk ayah, semenjak aku hidup bersama mereka. Kenapa berat benar masing-masing mengungkapkan kata-kata keramat seperti itu. Aku rasa ianya kata-kata keramat kerana akan menjalin kasih sayang antara dua hati, benci jadi kasih, jauh jadi dekat dan sayang akan makin rindu, renggang jadi mesra. Kenapa ramai orang tidak mahu memaksa diri untuk menyebutnya setiap masa? Pelik rasanya, sesuatu yang elok sukar hendak diamalkan.

“Belum sayang, masih ada satu lagi, lepas itu kita check-in dulu. Kamu mau solat kan?” Irfan memaklumkan. Aku menganggukkan kepala dan sebenarnya kaki sudah penat, berdiri dan berjalan tidak henti-henti dari tadi. Nanti boleh rehat, solat jamak dan qasar sekali bila sudah di hotel.

“Sebelum itu kita pergi minum dan makan dulu, boleh?” Irfan meneruskan jadualnya. Aku mengangguk lagi. “Abis solat kita keluar lagi jalan-jalan. Malam kita keluar makan. Besok ke Cibaduyut dan Tangkuban Perahu, boleh, kuat ngak?” Irfan terus mengatur agendanya sepanjang kami di Bandung. Aku hanya tersengih dan mengangguk setuju. Apa-apa sajalah asalkan aku dapat mencapai matlamat aku dalam siri lawatan
*Punbanjogku ini.

Kami menuju ke toko pakaian yang disebut Irfan. Kebetulan toko sebelahnya ada menjual batu-batu permata dan barangan perak. Mak sangat suka batu-batu permata untuk diikat dengan emas menjadi gelang, rantai, cincin atau loket. Irfan menghantar aku ke kedai batu permata tersebut. Nampaknya mereka sudah saling mengenali dan bertegur sapa. Agaknya Irfan sudah biasa sangat ke mari dalam urusan perniagaan bapanya.

Kemudiannya Irfan bergerak ke kedai sebelah, sebelumnya dia berpesan, “jangan ke mana-mana ya Nur, kamu di toko ini aja, kalau udah siap, nanti ke toko sebelah tau.” Bimbang dia aku akan hilang atau sesat agaknya. Aku menganggukkan kepalaku lagi. Aku memilih beberapa biji batu permata berharga Rp5000 dan sebentuk cincin perak dengan harga Rp15,000. Kemudiannya, cepat-cepat ke toko sebelah setelah aku rasa tidak selesa dikerumuni budak-budak peminta sedekah.

Irfan sudah nampak kelibatku masuk. Dia mengangkat tangannya meminta aku menunggu sebentar kerana urusannya belum selesai. Aku melihat-lihat dan membelek-belek kain-kain dan pakaian yang ada di toko ini, tapi tidak mahu lagi membelinya, hanya cuci mata sajalah. Cukuplah sehari ini sudah berbelanja Rp70,000, sudah seratus ringgit lebih, dalam masa tidak sampai dua jam.

Setengah jam kemudian, Irfan sudah selesai urusannya, lalu mengajak aku minum dan makan kerana dari tadi kami belum makan tengahari, sedangkan sekarang sudah masuk waktu minum petang. Tidak terasa lapar kerana sepanjang perjalanan tadi kami makan buah-buahan yang kami beli di Puncak Pass semalam. Bila Irfan ajak makan, barulah perut mula terasa lapar. Kami makan gudeg, opor ayam dan gulai kambing. Aku dan Irfan minum es jeruk.

Selesai makan, kami menuju ke hotel berdekatan, semuanya penuh. Wah gawat, takkan nak tidur dalam kereta pula. Akhirnya di hotel yang paling jauh dari pusat bandar, hanya ada satu bilik kosong, dua katil. Irfan memandangku.

“Gimana Nur? Udah ngak ada kamar ni.....bisa ngak share kamar berdua?” Tanya Irfan ingin mendapatkan kepastian dan persetujuanku. Wah kerja gila tu, mana pernah aku buat kerja macam ni, kalau mak tahu mati aku, kata hatiku.

“Aduh...gimana ya, masak kita tidur satu kamar, ngak selesa dong.” Aku melahirkan rasa kurang senangku untuk idea yang tidak masuk akal sebenarnya.

“Udah semua hotel kita pergi, ngak ada kosong, Apa mau tidur di mobil, ngak apa-apa
kamu?” Irfan merenung dalam ke mataku. Aku diam, serba salah sebenarnya.

Irfan mengenggam tanganku sambil bersuara, “percaya sama aku Nur, aku sayang kamu, aku janji akan jaga kamu dan tidak akan melakukan sesuatu yang kamu tidak suka. Aku kan udah janji sama Tuhan, sama mamamu akan jaga kamu, ingat tuh, percaya aku ok.” Irfan betul-betul menyakinkan aku. Aku berserah saja kepada Tuhan. Memang aku tidak tahu mahu berbuat apa dalam keadaan ini. Semoga Tuhan melindungi aku dari dosa dan sesuatu yang akan mencemarkan nama baik aku dan keluargaku. Akhirnya aku mengangguk setuju dalam terpaksa. Irfan tersenyum lega, masalahnya sudah selesai.

Ketika aku dan Irfan sedang berbincang tentang berkongsi bilik, tiba-tiba ada pasangan yang baru keluar, mahu ‘check-out’ ketika itu. Irfan memandang aku. Alhamdulillah, Allah melindungi kami, siapa sangka akan dipermudahkan begini. Irfan terus meminta bilik itu untuk aku, tetapi rugi juga Irfan kerana dia terpaksa membayar sekali ganda kerana bilik yang ada dua-duanya adalah bilik ‘double-bed’. Nasiblah, salah dia juga, aku sangkakan dia sudah membuat tempahan bilik lebih awal lagi. Dia menjangkakan banyak bilik kosong kerana bukan musim cuti sekolah, katanya.

“Rugilah...harus bayar mahal,” kataku. Irfan senyum, “Ngak apa-apa, yang penting kamu happy. Rugi duit nggak apa-apa, tapi gue yang rugi ngak bisa tidur sama kamu....” Irfan memandangku dengan tawanya.

“Oh...memang kamu niat ya...?” Aku menyakatnya pula sambil aku mencubit pinggangnya. Irfan mengelak kegelian atau kesakitan, tidak pasti, kuat aku mencubitnya tadi, tidak sengaja.

“Ngaklaa... cuma gue cemas juga takut malam-malam gue nyasar, eh..taunya udah ke tempat tidurmu,” balasnya bercanda. Kami sama-sama ketawa.

Sebenarnya dalam tawa besarku, aku sangat bersyukur kepada Tuhan kerana masih memberi perlindungan kepadaku, makhluknya yang sangat lemah ini. Sesungguhnya aku sendiri tidak dapat menjangkakan apakah yang akan berlaku sekiranya kami terpaksa tidur satu kamar. Kami sama-sama muda dan takutnya pihak ketiga sangat berfungsi di sini, akan memusnahkan ketahanan iman kami, siapa tahu, ujian akan datang pada kami, nauzubillah.

Selepas mandi dan solat Maghrib aku dan Irfan keluar untuk meninjau kota Bandung di waktu malam. Keluar makan sate kambing di warung sate yang berhampiran dengan hotel penginapan kami. Kemudian meninjau barang-barang yang dijual di sepanjang jalan sekitar hotel, macam pasar malam di Malaysia, macam-macam barang boleh didapati di sini.

Aku cuma membeli beberapa set ‘cross-stich’ bermotifkan bunga dan pemandangan. Setiap set sudah dilengkapi dengan jarum, benang, jaring atau kain dan gambar atau coraknya. Jadi lebih mudah, tidak perlu mencari-cari benang di kedai. Ikut saja apa yang diberikan dalam set tersebut, akan siaplah sebuah gambar hiasan yang cantik, dibingkaikan dan digantung ke dinding.

Tidak lama kami berjalan-jalan di sini, tiada yang menarik sangat. Lebih penting perjalanan kami besok ke Cibaduyut dan ke Tangkuban Perahu. Supaya perjalanan kami esok lancar dan segar, kami mengambil keputusan untuk pulang ke bilik dan tidur awal, besok bangun pagi-pagi. Pukul 10.30 malam kami sudah menuju ke bilik masing-masing dan tidur dengan nyenyaknya.
Pagi-pagi sekali selepas solat subuh, kami sudah menuju ke Tangkuban Perahu. Dalam perjalanan, singgah sarapan, Indomie goreng. Sedap juga rasanya, sudah bosan dengan makanan yang lain-lain. Irfan minta telur ayam kampung separuh masak dua biji, aku pun teringin sama, sebiji untukku. Ikut cara Irfan makan. Telur pecahkan dalam mangkuk, campur sesudu makan madu, kicap dan serbuk lada hitam. Sedap dan rasa segar lepas makannya. Kata Irfan, kalau batuk berterusan boleh ambil telur ayam kampung dengan sesudu madu asli sebelum tidur, boleh baik. Itu cara rawatan tradional Raden Mas akulah tu, turun temurun nenek moyang, katanya. Boleh juga cuba, insyallah berkesan, katanya.

Selesai sarapan, kami teruskan perjalanan. Sampai di sana, cuaca masih redup di awal pagi. Cantiknya pemandangan di pagi hari. Para pengunjung juga sudah mula memenuhi kawasan ini. Nampaknya mereka juga awal-awal pagi sudah sampai, mungkin untuk mengelak panas terik matahari bila tengahari, walaupun cuaca di sini memang tidak panas sangat.

Seperti lazimnya kawasan pelancongan lain, deretan kedai cenderahati atau barangan kraf tangan banyak sekali di kawasan ini. Barangan yang dijual hampir sama sahaja. Aku jadi tidak tertarik sangat untuk meneliti barangan yang dijual. Aku lebih tertarik untuk menikmati keindahan kawasan pelancungan ini bersama kekasihku.

Kami mula menelusuri kawasan tersebut. Seperti biasa Irfan memaut jari jemariku, tidak terlepaskan lagi walaupun seketika. Begitulah juga tautan hati kami yang semakin erat tidak mungkin akan terpisahkan lagi. Keindahan Tangkuban Perahu tidak lama kami nikmati. Hanya mengabadikan beberapa keping gambar kenangan bersama Irfan di beberapa sudut yang menarik. Para pengunjung pun semakin ramai yang datang. Keadaan mulai tiada lagi ketenangan. Aku dan Irfan mengambil keputusan untuk menamatkan kunjungan kami di sini, dan seterusnya ke Cibaduyut.

Perjalanan ke Cibaduyut lancar sahaja. Kami singgah makan tengahari di sebuah restoran yang menyediakan makanan panas. Aku makan nasi dengan gulai telor itik. Sebenarnya aku tidak suka telur itik tetapi disebabkan kelihatannya menyelerakan gulai tersebut dalam periuk yang berasap-asap itu, lalu aku memilihnya. Irfan pula memilih nasi dengan paru-paru masak sambal. Nampak sedap juga, nantilah aku minta sikit dari Irfan, kata hatiku. Kalau aku ambil juga, nanti tidak kena dengan seleraku, pasti tidak habis, membazir pulak. Ada daging dendeng, masakan Padang, mungkin masakan orang sini, tapi menyamai masakan Padang. Sama agaknya. Ah...makan sajalah, banyak ‘songel’, macam-macam nak fikir, makan pun susah ke......tertawa di dalam hati, mengingatkan diri sendiri yang kadang-kadang cerewet, dan suka fikirkan yang bukan-bukan.

Masing-masing menikmati hidangan di depan kami dengan tenang. Aku ambil sekeping paru-paru sambal Irfan, malah diberinya dua keping. Sedap. Daging dendengnya juga sedap. Aku memang kuat makan dan mudah menyesuaikan lidah dengan apapun jenis makanan asalkan halal. Bercakap pasal selera makan, teringat aku, waktu Opie, kawan kelas kami baru pulang dari Perancis, membawa ole-ole makanan kering dalam paket yang sangat menarik. Aku melihat mereka makan dengan berseleranya. Opie menghulurkan kepadaku, aku terus mengambil dan mengunyah dengan bersemangat.

“Wah, enak sekali Opie, apa ini?” Aku bertanya sambil mengunyah makanan yang sangat rangup dan lemak rasanya.

“Bekicok.” Opie menjawab pantas sambil memandangku.

“Apa itu bekicop?” Tanyaku lagi. Opie yang cantik, anak kacukan Belanda dan Cina itu memandang tepat ke mukaku, menjawab sambil berfikir jawapan yang sesuai supaya aku faham agaknya, “itu siput yang panjat tembok.....” Opie menjelaskan dengan muka yang serius.

“Hah....siput babi,” pekikku dengan kuat, hinggakan semua rakan sekelas memandang ke arahku. Terkejut. Aku berlari sepantas kilat menuju ke bilik air sambil aku meludahkan apa yang ada di dalam mulutku, yang tadinya hanya menunggu masa untuk ditelan.

Nasib baik belum tertelan. Syukurlah aku bertanya dulu sebelum menelannya. Tapi bodohnya aku, kenapa tidak bertanya terlebih dahulu sebelum makan. Terlupa aku, Opie beragama Kristian, tiada halangan untuknya makan apa-apa pun. Itulah masalahnya, kadang-kadang kalau terlalu rapat dan mesra, kita akan mudah lupa batas-batasnya.

Aku menjolok keluar dan membersihkan semua saki baki yang ada. Nasib baik aku jenis yang selalu membawa ‘travel pack’ berus gigi dan ubat gigi di dalam beg sandangku. Aku berus gigi sepuas-puasnya untuk memastikan aku tidak mual kesan dari saki baki siput babi tadi.

Apabila masuk ke kelas, mereka semua mentertawakan aku dan bertanya kenapa aku seperti kerasukan. Setelah aku menjelaskan bahawa siput babi ini kalau di Malaysia, orang Islam tidak boleh makan kerana dia binatang yang dianggap kotor dan boleh hidup dua alam. Begitulah penjelasan aku lebih kurang, tetapi jawapan yang tepat aku tidak pasti sebenarnya. Rupa-rupanya di Perancis, mengikut Opie, isi sibut babi yang dikeringkan ini merupakan makanan yang sangat mahal. Macam-macam kepelbagaian dan perbezaan dalam dunia ini. Sesuatu yang di Malaysia dibuang, dan dibunuh, rupa-rupanya sangat berharga bagi orang lain, di tempat lain.

“Nur, bengong lagi....udah siap makannya, ayuk...kita jalan...heh, bengong terus....,” perli Irfan sambil mencubit manja pipiku. Aku hanya senyum sumbing sambil mengekori Irfan ke keretanya.

Kelakar juga bila teringatkan betapa paniknya aku ketika itu. Selepas kejadian itu aku sangat berhati-hati bila mahu makan. Aku akan terlebih dahulu bertanya dan mendapatkan maklumat yang jelas, baru berani makan.

Sampai di Cibaduyut tengahari. Sudah kelihatan ramai juga peminat barangan kulit yang leka memilih barangan yang dihajati di deretan kedai tersebut. Aku dan Irfan melihat-lihat dahulu apa yang menarik hati di sini. Berjalan dahulu sambil melihat barang dagangan yang begitu banyak sekali. Barang pertama yang menjadi pilihanku ialah dompet duit syiling yang harganya sekitar RM1.50 satu. Aku memilihnya tigapuluh buah. Cantik-cantik sekali. Sesuailah untuk ole-ole kawan-kawanku. Harga murah, untuk mahasiswa macam aku.

Irfan membawaku ke kedai beg tangan yang paling besar dan banyak sekali tersedia dengan pelbagai saiz dan bentuk yang menarik. Irfan meminta aku memilih satu yang aku suka.

“Kenapa, mau kasih aku ya...?” Aku bertanya untuk kepastian. Irfan mengangguk.

“Mahu yang paling cantik dan paling mahal boleh?” Sengaja aku bertanya menduganya.

“Boleh, untuk kamu berapa saja aku bisa bayar.....pilih aja,” katanya sambil senyum dan memeluk bahuku. Aku ikut senyum sambil mengangkat keningku, pura-pura terkejut.

Aku memilih beberapa buah beg untuk orang-orang penting dalam hidupku sebagai kenang-kenangan, untuk mak, kakak iparku, mak saudara dan sepupuku. Lima semuanya, tapi untuk aku, belum jumpa yang sesuai. Tiba-tiba Irfan menunjukkan sebuah beg tangan yang sangat cantik, pilihannya. Aku terus bersetuju kerana memang betul sangat cantik. Bahagian hadapan beg itu sebahagiannya dijalin seperti tikar. Saiznya sederhana, dengan talinya pula sebesar dua inci. Warnanya, warna kulit sedikit gelap dan berkilat.

“Wah....Cantik sekali, pandai kamu memilih..., sayang kamu,” ujarku spontan, memang tak sedar kerana terlalu sukakan beg tersebut.

“Berapa harganya...?” Sengaja mahu tahu setelah puas aku mencari tanda harganya tidak kutemui.

“Murah aja,” katanya. Rupa-rupanya Irfan sudah mengeluarkan tanda harganya. Sengaja tidak mahu aku tahu, tapi sebenarnya aku sempat mengintai harganya tadi, boleh tahan juga hampir RM300 duit Malaysia. Aku membiarkan sahaja Irfan ingat aku tidak tahu harganya.

“Udah beli semuanya?” Irfan bertanya sambil menoleh ke arahku setelah membayar semua barangan yang aku beli tadi.

“Kok, yang lain juga kamu bayar?” Aku bertanya terkejut. Tidak berniat mahu dia membayarkan untuk yang lain, cukuplah beg aku yang dibayarnya.

“Ngak apa-apalah sayang, untukmu aku sanggup bayar semuanya,” balasnya. Aku mengucapkan terima kasih dan memaut lengannya serta menggenggam erat tangannya.

Kami menuju ke kedai sepatu kulit buatan tangan pula. Aku memilih kasut untuk aku dan selipar bertumit untuk mak. Cukuplah, aku tidak mahu memilih banyak, nanti kesian Irfan, pasti dia juga akan membayarnya. Dia juga menolongku memilih dua pasang kasut lagi untukku. Aku mengambilnya setelah dipersetujuinya.

Destinasi akhir di Cibaduyut ini adalah mencari jaket kulit untuk dua adik lelakiku. Ada banyak yang cantik berharga seratus ringgit lebih sahaja setiap satu. Aku memilih dengan bantuan Irfan kerana aku kurang arif dengan keperluan dan minat orang lelaki. Jaket ini sesuailah untuk dua orang adik lelakiku yang suka menunggang motosikal. Irfan juga yang berkeras mahu membayarnya.

Selesai semuanya kami bertolak balik ke hotel kami. Berkemas dan akan meneruskan perjalanan kami ke Jogjakarta pula. Di sana nanti masih banyak urusan kerja yang perlu dilakukan Irfan dan banyak pula tempat yang akan aku kunjungi seperti, Gunung Bromo, Candi Burobudor, dan Jepara kalau sempat.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 14 Disember 2011.

*Punbanjog = Puncak Bandung Jogjakarta

No comments:

Post a Comment