Sunday 4 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 26 – Nor Aizan Ab Halim

Surat SJ
Terbangun dari tidur, teringat aku belum solat Isyak. Tengok jam pukul 4 pagi, masih sempat solat Isyak. Cepat-cepat bangun, takut nak ke belakang, aku menjenguk teman kostku di bilik belakang, biliknya sudah cerah, sudah bangun agaknya, aku memanggilnya. Dia menyahut, alhamdulllah, aku ke bilik air belakang, mengambil wuduk. Solat, mahu tidur lagi. Teringat pula surat SJ yang belum kubaca.

Aku bangkit, mencari surat SJ di dalam beg sandangku tadi. Aku mengeluarkan surat-surat tersebut. Ku letakkan di atas meja. Aku terus membuka sampul surat SJ. Surat pertama bertarikh seminggu lebih awal berbanding surat kedua. Aku membuka surat pertama terlebih dahulu. Isinya menceritakan dia masih bekerja dengan syarikat abangnya, tetapi dia terpaksa berulang-alik ke Kuala Terengganu kerana ditugaskan menjaga cawangannya di sana. Seronok mendengar orang sudah bekerja, sedangkan aku bertungkus lumus belajar dan baru bermula. Nasiblah ini rezekiku dan takdirku, kena terimalah. Nasib baik keputusan peperiksaan pertama memuaskan hati.
Surat kedua, menceritakan dia sudah mendapat tawaran bekerja di sebuah badan berkanun di Kuala Lumpur. Syukurlah, dia dapat melakukan kerja yang sesuai dengan bidang kelulusannya, bidang ekonomi. Dalam keadaan ekonomi gawat seperti ini, susah nak dapatkan kerja, akhirnya dia diterima juga di perbadanan tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya dia dapat juga, rezeki dialah. Lagipun memang dia layak untuk mendapatkan posisi tersebut. Dia antara pelajar terbaik dari Fakulti Ekonomi untuk tahun 1988 tersebut. Aku tumpang gembira untuknya. Dia juga menyertakan bersama tiga keping gambar konvokesyennya dan gambarnya bersama keluarga di hari konvokesyen tersebut. Cemburu melihat kebahagiaan keluarga mereka dan apa yang dimiliki, namun aku tumpang bahagianya seorang sahabat baik.

SJ terus menulis mengenai betapa bosannya kehidupan sehari-hari tanpa kawan-kawan rapat. Sangat berbeza dunia pelajar dengan dunia kerja katanya. Kalau waktu belajar dulu, ramai kawan-kawan boleh berbual-bual dan bercerita macam-macam cerita, tidak terbatas kepada kerja sahaja. Kawan-kawan rapat semua jauh. Kan bagus kalau Zan masih di sini, boleh keluar makan dan bercerita macam dulu, katanya. Aduh, SJ kau mula lagi. Rasanya waktu belajar dulu kita bukannya rapat sangat. Hanya selalu berjalan bersama-sama keluar ikut jalan belakang ke stesyen bas luar. Itupun aku rasa secara kebetulan kerana aku terpaksa melalui kawasan fakultinya, menuju ke pintu belakang, jalan pintas untuk ke jalan besar. Tidak tahulah pula kalau dia memang sengaja menunggu aku untuk berjalan keluar bersama-samaku. Hmm.....SJ, kalaulah itu benar, nakal dan kelakar juga engkau ni ya..

Di hujung suratnya SJ sekali lagi mahukan kepastian dariku, menawarkan dirinya untuk hidup denganku, menjadi peneman dan pelindung hidupku. Terkedu juga aku menelusuri setiap bait ayat yang tercatat. Tiba-tiba hati jadi terharu dan sebak, menitis air mataku membaca apa yang ditulis SJ. Mengenai harapannya. Kenapa aku? Aduhai SJ, bukankah suratmu pada bulan Ogos atau September dulu telah kubalas dengan jawapan yang jelas, aku tidak boleh menerimamu kerana tempoh kuliahku masih panjang, lima tahun. Takkanlah kau mahu menungguku untuk tempoh yang sebegitu lama. Alangkah ruginya masa kau untuk sesuatu yang belum tentu baik.

Usiamu yang lebih muda lima bulan dariku juga menjadi penghalang kepada kemungkinan kita bercinta. Aku memang pengikut aliran yang berpendapat, perbezaan umur antara suami dan isteri mestilah antara tiga hingga lima tahun. Isteri mesti lebih muda dari suami. Proses kematangan dan penuaan perempuan lebih cepat berbanding lelaki. Dr.MAB juga kata perempuan je yang ada monopause, lelaki tiada pause. Hmm...seram juga mendengarnya kan... Aku tidak mahu aku kelihatan lebih tua berbanding dirimu. Tengoklah kenalanku Dr Ismail dan isterinya kak Umi, sangat seronok melihat mereka yang sangat serasi dalam perbezaan umur yang sewajarnya bagi seorang suami dan isteri.

Adakah kau masih mahu berjalan berpegangan tangan dan memeluk pinggangku yang sudah sebesar tong drum dan mukaku yang sudah sangat tua berbanding dirimu, beberapa tahun lagi? Adakah tidak ada rasa malu untuk berjalan beriringan dan mesra denganku seperti ibu dan bapak Ineng yang sangat mesra seperti orang-orang muda sedang bercinta? Memang ketika ini kau tidak segan melakukan hal ini kerana beratku hanya 40 kilogram dengan ketinggian lima kaki dua inci, pasti nampak manis dengan kulit yang tegang dan ceria serta tinggi lampai.

Betulkah aku tidak akan kau tinggalkan setelah kau sangat berjaya dalam hidupmu? Adakah aku yang bersusah payah membina kehidupan bersamamu tidak akan kau tinggalkan? Memang tidak mudah untuk mencapai kestabilan dalam hidup. Dengan gaji yang sedikit pastinya aku juga terpaksa berkorban banyak denganmu, mungkin akan bersarapan dengan ubi rebus atau pisang putik goreng, atau tempe dan tauhu sebagai lauk untuk makan tengahari. Bolehkah kau ingat segala pengorbanan dan kesusahanku ketika membina kehidupan bersamamu, sekiranya kau telah memiliki segala-galanya nanti?

Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskan perlahan-lahan, sesak nafasku, teringat janji Ari padaku ketika di Pulau Bidan berhampiran Langkawi, ketika kami membuat penyelidikan flora dan fauna di pinggir laut, dua tahun lepas, “I memang orang susah, kita terpaksa membina kehidupan kita bermula dari kosong, harap Zan boleh menemani saya untuk menempuh segala kesusahan itu sehinggalah kita berjaya.” Sangat manis rasanya perkataan seperti itu di kala cinta mengelabui mata.

“No problem, Zan dah biasa hidup susah.” Itulah pula jawapan si gadis yang sedang mabuk cinta ketika itu, aku lah tu.... Itu semua pun sudah menjadi sejarah yang perlu aku simpan sebagai kenangan dan sempadan. Kemudiannya, bila berdepan dengan SJ, aku pun jadi takut, takut dikecewakan pula sekali lagi.

Sangkaku, kau telah menerima dengan redha alasanku menolak lamaran cintamu tempohari. Rupa-rupanya tidak, kau masih lagi mencuba memujukku menerimamu, memberi harapanmu untukku. Terasa jahatnya aku menidakkan cintamu kepadaku. Tetapi, sesungguhnya cinta itu tidak boleh dipaksa, ia akan datang dengan sendirinya bila sudah sampai, dan mungkin juga pergi bila dirasakan tidak diperlukan lagi? Betul ke? Itu kata oranglah.

Lagipun aku bukannya gadis yang baik dan sempurna memiliki ciri-ciri calon isteri terbaik, seperti yang digariskan dalam al-Quran dan hadis. Aku tidak memiliki paras rupa yang cantik, hanya sekadar sedap mata memandang. Aku tidak memiliki harta berjuta yang boleh menolongmu di kala kau memerlukan, atau boleh membuatkan kau berpaut kukuh di bahuku, pasti kau tidak akan meninggalkan aku, lubuk emasmu. Aku tidak memiliki keimanan yang tinggi seperti wanita solehah, malah aku yang memerlukan seorang suami yang dapat membimbing dan membetulkan jalanku jika tidak lurus. Aku juga tidak memiliki keluarga dan keturunan yang sangat baik. Jadi lupakanlah aku, carilah gadis lain yang dapat memberikan keempat-empat ciri tersebut, pasti kau akan bahagia dunia akhirat.

Masih kuingat, itulah ayat-ayatku yang terakhir ketika kau meminta kata putusku atas permintaanmu pada bulan Ogos atau September 1988 yang lalu. Melalui surat yang kutulis rapi mengikut kemampuanku, sudah jelas aku meminta kau mencari orang lain yang lebih baik, memiliki keempat-empat ciri tersebut. Kenapa perlu lagi kau susuli suratmu yang ini, yang isinya sama, dan pastinya jawapanku pun tetap sama.

Aku juga telah meminta kita jadi sahabat dunia akhirat dan kau telah menerimanya. Janganlah kau ungkit lagi perkara yang telah kita persetujui bersama ketika itu. Sedih hatiku jadinya kerana terpaksa melukakan hatimu. Hatiku dilukai orang tak apa aku boleh terima kerana aku tahu aku kuat menghadapi cabaran seperti kata kenalanku Dr.MAB. Insyallah aku akan kuat. Apa lagi kini aku sudah ada Irfan yang sangat menyayangi dan melindungiku.

Kau kata kau tidak dapat melupakan aku dan tidak menemui pengganti diriku setelah enam bulan mencuba. Janganlah bohong, begitu ramai gadis yang seratus kali lebih baik dari aku di luar sana. Bukalah diri dan hatimu untuk mereka. Mereka akan menerimamu dengan hati terbuka berlapang dada. Kau belum mengenali aku sepenuhnya. Sekadar berjalan dan berbual-bual ketika pergi dan pulang kuliah. Mungkin mengintai aku menyidai pakaian dari blok tempat tinggalmu, kau boleh kata akulah satu-satunya yang ada di hatimu. Gadis yang memenuhi cita rasamu. Sangat tidak masuk akal.

Masih kuingat ketika aku belajar di Kuala Lumpur, blok lelaki dan perempuan bertemu belakang. Kebetulan rakan sebilikku yang enam orang itu semuanya jelitawan, kecuali aku yang biasa-biasa saja. Jadi, unit rumah kami di tingkat lima menjadi perhatian. Sangat susah untuk kami keluar menyidai pakaian di beranda belakang. Hendak sidai di bahagian depan warden marah. Adoi, masa itu keadaan sangat tertekan, nak hantar dobi tak cukup duit, mahal. Mahu tidak mahu terpaksa hadapi. Keluar sahaja ke beranda, riuh-rendah siulan siswa-siswa di blok sebelah kami. Kenapa biul sangat budak-budak ni, itulah ayat-ayat yang tidak manis keluar dari bibir kami. Sakit hati sebab kami bukan jenis yang `gedik’, mungkin kalau `gedik’, suka jika diusik begitu.

Akhirnya nak keluar sidai baju terpaksa menutup seluruh muka, hanya mata yang nampak. Itupun mereka boleh kenal, susuk tubuh kami atau gaya kami agaknya, sehinggakan nama-nama yang disebut itu betul semuanya, pelikkan orang lelaki ni. Ada satu cara lagi kononnya cubaan kami untuk mengelak dari gangguan, keluar menyidai baju selepas jam dua belas malam, tetapi masa begini biasanya sidaian sudah penuh, tak dapat nak sidai baju. Lagi peliknya, sangkaanku waktu sepi begini mereka semua sudah tidur, rupa-rupanya bila kita keluar akan ada bunyi macam burung hantu atau salakan anjing atau serigala di waktu malam. Sahut menyahut dari beranda-beranda bersebelahan. Hingga akhirnya menimbulkan bunyi bising juga, boleh mengganggu jiran-jiran mahu tidur.. Adoi.....

Heh, pelik betul mereka ni, termasuk SJ lah tu, tetapi dia biasanya hanya berdiri memerhati sahaja tetapi tidak bersuara. Bila diingat semula aku akan tertawa sendiri. Sebenarnya ini adalah salah satu kenangan manis dan lucu yang tidak akan berulang kembali dalam hidup. Hanya kenangan. Aku meneruskan lagi coretanku untuk SJ.

Kau memang tidak kenal aku. Kau tau, aku ni seorang yang malas memasak, tidak pandai mengemas rumah dan berbagai-bagai lagi kelemahan yang aku miliki. Pastinya kau akan sengsara hidup denganku kerana aku tahu, lelaki Malaysia, terutama Melayu sangat mendambakan seorang isteri yang sangat pandai memasak, mengemas rumah, mengurus anak, makan pakai dan segala-galanya untuk suami, anak dan rumah tangga. Malah ada lelaki yang lagaknya seperti seorang raja, hanya tahu mengarahkan sang isteri sahaja. Bagaimana kalau aku tidak mampu untuk melakukan semua itu? Apakah kasihmu akan hilang jika aku sangat lemah seperti itu? Aku akan dianggap sebagai isteri derhaka jika aku tidak melakukan semua itu, walaupun menurut Islam, peranan isteri di sisi suami bukan begitu, tetapi aku tidak berani untuk mengungkapkan di sini apa fungsi isteri dalam Islam, pasti aku akan dikutuk banyak orang terutamanya lelaki-lelaki yang selama ini memperlakukan isteri sebagai hamba seperti itu, atau lelaki yang berniat melakukan hal yang sama terhadap isterinya.

Aku juga tidak mampu untuk menyerahkan seluruh gajiku kepadamu kerana aku punya tanggungan yang banyak untuk mak dan adik-adikku. Apakah kau sebagai suami akan merelakan gajiku digunakan untuk keluargaku? Tidakkah kau akan mengungkit dan menjadikan alasan untuk meninggalkanku. Pasti kau akan menganggap aku melebih-lebihkan keluargaku daripada rumah tangga sendiri. Walaupun pada mulanya kau kata tak apa Zan, tanggung jawabku untuk menyara keluarga kita, gunalah wang gaji Zan untuk keperluan sendiri atau ke mana saja asalkan Zan gembira. Mungkin kata-kata itu hanya ketika awal perkahwinan, bila dah lama, atau kau sudah nampak orang lain lebih baik dari aku, kau akan tinggalkan aku. Adoooi..... amat menakutkan. Meremang bulu romaku.

Huuuh.... SJ, kau kena tahu aku banyak keburukan dan tidak sesuai untukmu yang sangat baik. Kau mesti percaya kepadaku, dengan wajahmu yang tampan, tinggi lampai, berkulit putih kuning, berwajah ala Arab dengan hidung yang mancung terletak, ada kerja bagus, keluarga bahagia, kau akan jumpa orang yang sangat sesuai untukmu. Sangat baik. Sangat cantik. Sangat kaya. Sangat menyayangimu dengan seluruh jiwa raganya. Percayalah. Bahagia sedang menunggumu. Kau akan bahagia hingga ke hujung nyawa saling menyayangi seperti kenalanku Prof Wawa atau Dato’ Man. Kesetiaan dan kasih sayang sejati akan dibalas kasih sayang dan rasa hormat seperti Pak ARI, walaupun isteri menawarkan supaya kahwin lagi tetapi tidak mahu dia kerana kasih sayang yang mendalam kepada isterinya. Adakah itu akan aku miliki nanti? Aku tidak pasti.

Lupakanlah aku sebagai kekasih, tetapi ingatlah aku sebagai seorang kawan sejati. Biarlah sayang kita terikat kuat atas dasar persahabatan, bukannya ikatan perkahwinan yang bila-bila masa saja boleh putus dengan hanya satu lafaz sahaja. Aduh, ngeri aku hendak melalui semua itu, takut sangat.

Adakah Irfan nanti tidak akan memperlakukan aku seperti itu? Aku sendiri tidak boleh mempastikan hal ini. Aku baru kenal dan aku mempunyai banyak masa untuk mengenalinya. Kami bercadang untuk bertunang hujung tahun nanti, sebelum dia ke US, melanjutkan pelajarannya. Dalam tempoh ini, aku akan mengenalinya sepenuh hati, supaya kalau kami diikat nanti, kami sudah menemui keserasian. Kalau dalam tempoh tersebut kudapati tiada keserasian, aku rela kami berpisah. Aku memang akan kuatkan diri mengharungi cabaran walaupun pahit. Aku lebih berpeluang mengenali Irfan dan Irfan mengenaliku, berbanding aku akan mengenali kau atau kau mengenaliku, kerana jarak kita yang jauh tidak mengizinkan kita saling mengenali.....`jauh di mata jauh di hati’.

Akhirnya terlena aku sambil mencoretkan bingkisan untuk SJ yang tetap akan aku kenang sampai bila-bila. Aku dikejutkan oleh azan subuh yang berkumandang merdu dari surau sebelah.

Solat subuh dan nanti akan kusambung menulis surat balasan untuk SJ. Banyak yang perlu aku buang dari coretanku. Aku tidak akan sama sekali menceritakan tentang Irfan kerana aku tahu itu akan sangat melukakan hatinya. Aku dengan Irfan pun belum tahu ke mana hala tujunya.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 4 November 2011

Nota:
  • Terima kasih SJ, kerana tetap menjadi sahabatku yang baik hingga kini dan menyayangi aku sebagai sahabatmu, tak pernah berkurang.
  • Sentiasa menolongku di saat aku memerlukan, tanpa pernah mengungkit walau sepatah kata atau meminta balasan.
  • Menghadiahkan pakej umrah sebagai hadiah hari jadiku.
  • Ungkapanmu yang melekat di hatiku, “kasih sayang itu tidak semestinya memiliki, saya akan tetap sayang Zan sebagai sahabat sampai bila-bila, tanpa mengharapkan balasan apa-apa jangan risau. Yang penting Zan bahagia.”
  • Tiada manusia sebaikmu, hanya Allah membalas segala kebaikanmu.
  • Betul katamu, soal jodoh itu kuasa Tuhan, Dia juga yang menemukan kita dan saling mengenali. Kita redha menerimanya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

No comments:

Post a Comment