Tuesday 20 September 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 13 – Nor Aizan Ab Halim

Kenalan Baru

[Foto Hiasan Semata-mata]

Sebenarnya ada perasaan cemas juga dalam hati bila Irfan kata tidak dapat menghantarku ke airport. Dengan beg yang besar berisi batik dan berbagai ole-ole untuk ahli keluargaku, lumayan susahnya aku nanti. Kalau Irfan ada, dia boleh menolongku mengangkat beg-beg tersebut. Kalau dengan teksi susahnya bukan main. Aku mula membuat perhitungan. Macam mementingkan diri sendirilah pulak. Tidak, mencari keselesaan diri sebenarnya.

Akhirnya, aku rasa aku dapat jalan penyelesaiannya. Melihat kelibat Faiz yang menunggang motosikalnya ke arah rumah kostku, aku jadi lega. Nah, ini orang aku boleh meminta tolong, bisik hatiku. Faiz, senior kami, sejak akhir-akhir ini selalu datang ke kost kami dan berbual-bual dengan aku dan teman-teman. Kami jadi rapat dan tidak segan untuk meminta tolong.

Aku menggamitkan tanganku kepada Faiz setelah dia menongkatkan motornya di depan rumah kost anak ‘cowok’. Sebenarnya hanya bersebelahan dengan kost aku. Dia berjalan sedikit melenggang ke arahku, buat lawaklah tu, sambil mengangkat keningnya, bertanya. Luculah juga melihat gelagatnya.

“Boleh tolong hantar saya ke air port besok pagi?” Aku terus bertanya, tidak sabar mendapatkan jawapannya.

“Hmm....besok...besok ye...” Faiz buat-buat berfikir, jual mahal lah tu, aku mengagak.

Aku yakin jawapannya ‘ya’ kerana dia tidak pernah menolak permintaanku sebelum ini. Sudah beberapa kali dia menemani aku menelefon ke kampung pada waktu malam, untuk mendapatkan harga yang lebih murah, sekiranya Irfan tidak dapat menemani aku.

“Pukul berapa?” Akhirnya Faiz bertanya meminta kepastian. “Pukul 7 pagilah dari sini, flight pukul 12 tengahari, ok tak?” Aku sebenarnya kurang yakin waktu yang diperlukan untuk sampai ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. Maklum, baru pertama kali balik, tidak dapat ‘timing’ masa dengan betul. Akhirnya Faiz mengangguk tanda setuju dengan pilihan waktu dan mahu menemani aku ke lapangan terbang.

Aku menarik nafas lega. Alhamdulillah. Selesai sudah beban dalam kepalaku sejak kelmarin, apabila Irfan menyatakan kegagalannya menghantarku kerana terpaksa berlepas ke Australia lebih cepat.

“Terima kasih Faiz....Tuhan sajalah yang membalas kebaikan awak,” ucapku ikhlas. Faiz hanya tersengih menampakkan barisan giginya yang putih tersusun rapi, cantik sekali. Suka aku melihatnya. Faiz, walaupun tidak kacak dan agak pendiam orangnya, tetapi ada daya tarikannya yang tersendiri dianugerahkan Allah dengan gigi yang cantik dan ‘otak yang cair’, selalu menjadi pakar rujuk aku dan anak-anak ‘junior’. Dia juga pendengar yang baik kerana dia tidak banyak cakap, jadi dia lebih banyak mendengar....hehe itulah Faiz.

Tapi sebenarnya ada rasa risau juga ketika selalu mengajak Faiz menemani aku ke mana-mana, kata anak-anak, dia sudah ada ‘pacar’ anak Malaysia juga. Jangan si-dia cemburu sudahlah. Tidak ada niatpun untuk mengganggu hubungan mereka. Insyallah.

Apa-apa pun hati lega, masalah di sini sudah selesai. Masalah kat Lapangan terbang Subang juga sudah lama selesai. Adik angkatku Izani sudah bersedia untuk menungguku di sana. Izani yang sangat baik kepadaku, sentiasa muncul ketika aku memerlukan. Malah, ketika saat dukaku dialah yang menjadi penawarnya. Ketika aku di Jakarta, tidak putus-putus surat dikirim kepadaku, dengan kata-kata semangat dan nasihat. Surat terakhir, Izani yang kupanggil Adik, menyatakan dia akan menungguku di Lapangan Terbang Subang, pada masa yang telah kunyatakan di dalam surat balasanku kepadanya. Terima kasih Adik. Terima kasih Faiz. Baiknya kamu semua.

Pagi-pagi aku sudah bersedia untuk ke Lapangan Terbang. Tidak sabar. Faiz yang menguruskan teksi. Pukul berapa aku tidak pasti. Yang pasti, pukul 7 pagi aku sudah bersedia dengan beg di ruang tamu rumah kostku.

Ada dua beg, satu beg besar berisi batik dan beberapa helai pakaian di bahagian atasnya. Satu beg lagi berisi makanan, buah salak segar dan jeruk salak, pisang kaki dan kek lapis yang akan kubawa ke dalam pesawat. Beg besar satu sahaja masuk bagasi. Itupun risau juga takut terlebih berat. Berat yang dibenarkan hanyalah 20 kilogram. Aku pulang sendirian. Anak-anak Malaysia yang lain tidak balik. Mereka akan pulang bercuti semester kedua, lebih panjang masanya, lebih kurang tiga bulan. Kalau terlebih berat, aku tidak dapat menumpang berat rakan-rakan yang lain. Aduh, perlu sediakan wang rupiah lebih untuk membayar lebihan berat nanti, aku mengingatkan diri sendiri.

Jarum pendek jam dindingku menunjukkan ke angka 7, jarum panjangnya menghampiri angka 6. Dug, dag...jantung mula berdegup, hampir jam 7.30 pagi, Faiz belum muncul lagi dengan teksinya. Dua puluh minit kemudian barulah kedengaran motor memasuki lorong rumah kostku. Itu pasti motor Faiz.

Aku menarik daun pintu. Menjenguk keluar. Betul. Faiz tersengih memandangku. “Tak lewat ke ni?” Aku mula meluahkan kebimbanganku. Maklum, orang tidak pernah balik kampung. Risau semacamlah. “Sempat, jangan risau.” Faiz meyakinkan aku.

“Mana teksinya?” Tanyaku lagi, bimbang.

“Kat luar, kita kena bawa beg ni keluar ke Jalan Margonda Raya.” Faiz menjelaskan. Mendengar suara kami bising di luar, rakan-rakan Malaysia yang lain keluar untuk membantu. Lukman (arwah) dan Rodzi membantu mengangkat, menarik beg berodaku ke Jalan Margonda Raya, kira-kira 20 meter dari kostku.

Pemandu teksi memasukkan begku ke dalam ‘bonet’. Selepas bersalaman dengan rakan-rakanku, lebih kurang pukul 8 pagi, aku dan Faiz menaiki teksi menuju ke bandara. Pukul 10.30 kami sudah sampai. Alhamdulillah, hilang risauku. Dah selamat sampai. Faiz membantuku mengambil troli dan menolak ke ruangan ‘check in’. Sudah ramai yang beratur.

Faiz masih menemaniku. Begku ditimbang. Opss...terlebih 10 kilogram. Sedang aku hendak mengeluarkan dompet duitku, aku terasa bahuku dicuit dari belakang. Aku berpaling ke belakang. Aku tak kenal, tetapi kenapa dia mencuit, bahuku.

“Maaf, pelajar Malaysia ke? Nak tumpang berat saya?” Tiba-tiba pemuda berkulit putih kuning itu menawarkan bantuannya kepadaku. Aduh....pucuk dicita ulam mendatanglah jawabnya....alhamdulillah rezeki lagi.

“Boleh ke...?” Tanyaku berbasa basi, sedangkan di dalam hatiku memang sangat suka.

“Boleh...apa salahnya.” Pemuda tersebut menjawab sambil melangkah ke depan, membawa begnya dan mengangkat ke atas tempat timbangan berat. Hanya satu beg sahaja.

“Saya bersama dengan dia ya....” Pemuda yang belum kutahu namanya memaklumkan kepada petugas di kaunter tersebut, sambil tangannya menunjukkan ke arahku. Begnya hanya berat 5 kilogram sahaja. Alhamdulillah, selamat lagi aku. Terima kasih Tuhan, mengutuskan aku seorang lagi penyelamat. Aku senyum kepada pemuda tersebut. Mahu tidak mahu, suka atau tidak akhirnya pasti ‘seat’ aku bersebelahan dengannya. Tak apalah. Orang dahpun berbudi dengan kita, apa salahnya berkawan dengan dia pula.....hehe. Paling-paling, mungkin kena melayannya bercakap selama dua jam penerbangan. Ok lah tu. Harap-harap orangnya menyenangkan.

“Terima kasih ye.” Hanya itu ucapan yang mampu kuberikan kepada orang yang baik seperti dia. Dia hanya mengangguk dan memberikan senyumannya kepadaku. Aku membalas senyumannya dan meminta diri untuk bertemu Faiz.

Aku mengikut Faiz keluar sekejap sebelum Faiz balik, aku perlu memberi wang tambang dan mengucapkan terima kasihku kepada Faiz, yang sanggup bersusah payah untukku.

“Thanks Faiz. Sori la asyik susahkan awak je kan...?” Ucapku sambil menghulurkan wang Rp50,000 kepadanya. Faiz menolak, “Tak apalah, awak yang nak guna banyak duit tu, saya tak balik, duit tak habis banyak, jangan risau, banyak duit ni,” katanya sambil menunjukkan beg duitnya yang tebal. “Duit atau kertas...hehe?” Perliku. Faiz hanya ketawa. Walaupun aku berulangkali menghulurkan duit tetapi tetap Faiz tidak mahu mengambil duitku. Hanya terima kasih dapat kuberikan kepada Faiz yang baik.

“Balik nanti macamana, boleh balik sendiri?” Faiz ingin memastikan aku tidak menghadapi masalah ketika balik ke sini bulan depan. “Insyallah, saya ambil teksi je nanti,” jawabku untuk tidak menyusahkan Faiz lagi. Faiz hanya mengangguk.

Sebenarnya aku hendak melihat Faiz yang balik dulu baru aku masuk, tetapi Faiz pula mahu aku yang masuk dulu baru dia akan balik. Baiklah, aku yang mengalah masuk ke balai berlepas. Pemuda tadi juga belum masuk. Menunggu aku ke, tanyaku kepada diri sendiri. Perasanlah pulak.

Dia berjalan bersama-sama aku menuju ke pesawat MAS kami, MH Boeing 737, kalau tak salahku. Masing-masing diam melayan perasaan sendiri. Aku tidak suka naik pesawat terbang sebenarnya. Tidak tahan gayat, waktu nak naik dan mendarat, sangat tidak suka.

Kami mengambil tempat duduk masing-masing. Aku duduk di tepi tingkap. Dia di tempat duduk sebelahku. Duduk bertenang. Biasa, aku akan membaca bermacam-macam doa untuk mengurangkan rasa cemas dan gayatku.

Kapal terbang mula bergerak. Kemudian semakin tinggi dan hatiku juga jadi semakin melayang. Gayat. Aduh....tidak suka. Ketika mula merempuh awan, ada gegaran menyebabkan aku semakin terasa tidak selesa.

“Saudari, saya Roslan, boleh tahu nama saudari.” Lelaki sebelahku memulakan bicara, memecahkan rasa segan silu kami berdua. Sapaannya menyebabkan fokusku kepada gayat hilang. Di sebelahnya, duduk tenang seorang lelaki mat salleh warga emas, pelanconglah tu.

“Nor Aizan,” jawabku ringkas. Rasa tak patut pula tidak memperkenalkan diri setelah dia memintanya. Tak Sopan. Dahlah orang menolong, takkan nak sombong pula. Bila sudah memulakan bicara, tidak berhenti-hentilah pula Roslan bercerita. Bagus juga, tumpuan aku kepada perbualan kami menyebabkan keresahanku menghadapi gayatku hilang.
Rupa-rupanya dia bekerja di kedutaan Malaysia di London, bahagian perdagangan. Ke Jakarta hanya untuk makan angin, menghabiskan cutinya. Umurnya sudah mencecah tiga puluh tahun. Aku pun terpaksalah memperkenalkan diri pula, bercerita serba sedikit. Nanti tak adil pula kalau dia saja yang bercerita.

“Nak balik ke mana?” Tanyanya lagi.

“Kuantan.” Perbualan kami terhenti sebentar ketika pramugari MAS yang comel, berseragam kebaya corak bunga berwarna biru cair, dengan senyuman manis terukir di bibir, membawa jus nenas kepada kami.

“Oh, orang Pahang. Saya pun, orang Temerloh.” Sesi perkenalan berterusan. Tanpa disengajakan, destinasi kami sama rupanya, ke negeri Pahang Darul Makmur.

“Nanti siapa yang jemput kat air port?” Roslan meneruskan investigasinya.

“Ada adik,” jawabku.

“Oh, tak pe lah dah ada orang jemput. Kalau tak ada, nak ikut sayapun boleh. Saya boleh hantar ke stesen bas Puduraya.” Roslan menjelaskan dia bawa kereta sendiri, tetapi adiknya bawa kereta balik ke rumahnya di Ampang. Nanti adiknya akan datang membawa keretanya sekali. Aku hanya mendengar penjelasan panjang lebar Roslan.

Sesi menikmati makan tengahari. Daging masak kurma aku rasa. Ada sayur dan nasi, macam nasi minyak rupanya. Boleh tahan rasanya. Hilang rasa laparku. Belum sarapan tadi, tidak sempat. Makanan ini aku rasakan sangat sedap, mungkin kerana perut lapar. Hidangan dan layanan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), pada ketika ini memang diakui dunia memuaskan.

Perbualan diteruskan lagi. Aku mengintai lelaki Mat Salleh di sebelah, tidur nyenyak dia. Iri hatiku melihat Mat Salleh tidur. Aku tak boleh tidur, walaupun mengantuk kerana malam tadi tidur lewat, berkemas. Aku terpaksa melayan si Roslan berbual. Banyak ceritanya. Makin lama makin rancak. Macam-macam cerita. Kisah-kisah dan pengalaman dia semasa bertugas di luar negara, masa dia belajar di New Zealand dan macam-macam lagi. Aku lebih banyak mendengar. Tiada cerita menarik hendak dikongsi dengannya.

Tinggal beberapa minit lagi kapal terbang akan mendarat. Aku tidak sedar ketika pesawat mula mengurangkan ketinggian tadi, tidak terasa gayatnya, dek melayan Roslan berbual. Syukurlah, terlepas rasa gayatku. Gegaran roda mencecah bumi sudah terasa. Aku memegang kuat pada kerusi. Tidak suka. Macam-macam terbayang, seperti dalam televisyen tu, terbabas, terbakar dan sebagainya.

Nah....sudah sampai. Akhirnya, alhamdulillah, perjalanan kami selamat. Aku dan Roslan masih bersama menuju ke imigresen. Kemudian mengambil beg kami. Roslan mengambil troli untukku juga. Kami mengangkat beg ke atas troli dan menolaknya menuju ke pemeriksaan kastam. Hati berdebar-debar sebenarnya bila teringatkan begitu banyak batik yang kubawa, melebihi 50 helai. Bisa-bisa dirampas semuanya. Aku mula membaca ayat kursi, seribu dinar dan macam-macam doa yang kuingat agar aku dapat melepasi kastam dengan selamat.

Lebih menakutkan, bila aku melihat seorang pelajar dari Ujung Pandang, kalau tidak silap, yang di kaunter pemeriksaan sebelahku, pegawai kastam perempuan, kain batiknya hampir semua dirampas, hanya tinggal beberapa helai sahaja. Semua ini berlaku menurut firasat dan pandanganku kerana pelajar tersebut seolah-olah melawan, berkeras tidak mahu membuka begnya. Jangan melawan kerana mereka terpaksa melakukan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan kepada mereka. Biarkan saja, kalau ada rezeki kita selamatlah, bukan kita nak buat kerja jahatpun, hanya nak bagi hadiah untuk mengembirakan hati ahli keluarga dan kawan-kawan, rumusku di dalam hati.

Sampai giliranku. Degupan jantungku sangat kencang, tetapi aku cuba untuk setenang-tenang yang boleh. Kunci beg sudah aku genggam di tangan.

“Student ye...?” tanya petugas kastam lelaki tersebut.

“Ya....,”jawabku dengan suara tegas dan berani yang dibuat-buat. Ada getaran dalam suaraku. Gemuruh.

“Ada bawa banyak barang?” Tanyanya lagi. Aku mengangguk.

“Barang apa? Batik ada?” Pegawai kastam tersebut bertanya lagi.

“Macam-macam Encik, buah tangan untuk keluarga. Batik pun ada beberapa helai. Encik nak periksa ke?” Jawabku dengan gaya berani sambil membuka kunci begku tanpa diminta. Dia hanya membelek-belek sekejap. Lalu menyuruh aku menutup begku dan melepaskan supaya meneruskan perjalananku. Hatiku berdegup kencang semula. Cepat-cepat mahu berlalu, bimbang akan dipanggil semula untuk pemeriksaan ulang. Biasalah orang buat salah, takutlah.

Ya Allah.....alhamdulillah, dia tidak membukanya dan tidak memeriksanya sampai ke bawah. Roslan di belakangku, langsung tidak diperiksa begnya. Hanya berbual-bual seketika. Kebal hukum ke dia? Aku bertanya pada diriku sendiri.

Aku menolak troliku sepantas yang boleh. Ingin cepat-cepat ‘check out’. Adik pasti sedang menungguku. Tidak sabar nak berjumpa dengannya.

“Nor.....!” Tiba-tiba namaku dipanggil. Suara Roslan. Aku boleh cam setelah dua jam berbual-bual tidak berhenti-henti di pesawat tadi. Aku berhentikan troliku, menoleh ke arahnya.

Roslan menuju ke arahku dengan langkah yang dipercepatkan, bimbang aku tinggalkannya. Roslan menghulurkan kad namanya yang tercatat nama, nombor telefon dan jawatannya. Nama tercatat, Roslan Datuk Muzaffar. Nombor telefon rumah dan pejabat di London dan Kuala Lumpur.

“Boleh dapat nombor telefon awak dan alamat restoran, nanti kalau ke Kuantan boleh saya singgah,” pinta Roslan.

Macamana ni, apa perlu aku memberikan nombor telefon dan alamat restoran Mak ke? Aku serba salah. Rasa tidak wajar pula kalau aku tidak memberikannya setelah Roslan beria-ia memintanya. Tapi kalau aku bagi, tak apa ke? Akhirnya aku mencatatkan juga nombor telefon dan alamat restoran Mak di Kuantan pada kad nama yang dihulur oleh Roslan, walaupun hati terasa berat, baru kenal tidak sampai tiga jam, dah nak bagi nombor telefon dan alamat. Alah, positif sajalah.

Izani datang menghampiri. Dia bersalaman dengan Roslan. Masing-masing memperkenalkan diri. Adik Roslan pun sudah sampai. Roslan meminta diri bergerak dahulu. Kami mengangguk.

“Nanti jumpa lagi Nor.” Roslan berlalu bersama adiknya. Aku hanya mengangguk mengiakan.

Adik mengajak aku ke Petaling Jaya, Seksyen 17, makan di tempat yang selalu kami makan bersama. Mengembalikan nostalgia kami dulu, waktu sama-sama belajar dulu.
Mak Cik Nah, tuan punya kedai makan yang kami selalu makan dulu, masih ingatkan kami. Riuh rendah Mak Cik Nah bercerita, macam selalu. Seronok berbual-bual dengan Mak Cik Nah. Macam-macam soalan ditanya, tentang AHH, tentang AMI, SJ, Sal, Ani dan beberapa orang lagi kawan kami yang selalu makan bersama-sama di kedainya.
Hilang kerinduan masa laluku.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 19 September 2011.

No comments:

Post a Comment