Thursday 8 September 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 10 – Nor Aizan Ab Halim

Kamulah Sahabatku
Isnin, kuliah seperti biasa. Bila ke kampus, aku akan mencari-cari dua wajah yang dekat denganku, Ineng dan Irfan. Belum kelihatan dua anak ini, walaupun mataku liar mencari sosok tubuh mereka. Dari jauhpun aku bisa mengenali mereka berdua. Sangat dekat di hati dan di mata.

Tiba-tiba bahuku ditepuk dari belakang. Irfan? Bukan. Ineng? Pun bukan. Sangat kenal dengan tangan mereka berdua. Tangan Ineng lembut dan kecil. Tangan Irfan? Entah, tidak lembut sangat dan tidaklah kasar kalau menepuk bahuku. Tangan ini terasa keras sekali.

“Hai Nur...,” tegur empunya tangan. Jarang sekali suara ini menegurku. Bila aku berpaling, Ida rupanya, Si Tomboy jurusan kami. “Hai Ida....,” balasku. “Mana kembar kamu?” Tanya Ida. Aku tahu, yang dimaksudkan kembarku adalah Ineng. Kata mereka di mana ada Ineng, disitu jugalah ada aku. Betul lah tu. Rupa aku pun dah mirip Ineng, kata mereka. Ngawur ini anak. Ineng yang putih melepak pula disamakan dengan aku. Atau mungkin basa-basi mereka saja agaknya. Tidak tahu nak bercakap apa bila bersama aku, reka-reka ceritalah tu, mungkin.

Ida mengajakku ke `cafe’ sementara menunggu kuliah. Jam baru menunjukkan pukul 9.30 pagi. Masih ada setengah jam lagi kuliah akan bermula. Segan pula nak menolak, walaupun hati berat. Sebenarnya kurang selesa. Tidak pernah makan atau berbual-bual dengan Ida sebelum ini. Sebenarnya nak tunggu Ineng dan Irfan. Sarapan dengan mereka. Mungkin mereka berdua terlambat. Tidak mengapalah. Ikut saja Ida. Nanti makan tengaharilah dengan Ineng dan Irfan. Lagipun dua anak ini belum datang, tak sempat juga nak sarapan bersama mereka nanti.

Aku mengekori Ida ke cafe. Kami terus ke ruangan makanan di sudut kanan. Aku mengambil dua keping roti disapu planta dan jem strawberi kesukaanku. Ida pun sama. Aku memesan teh O. Ida pula memesan kopi pekat tanpa gula. Huh, tergambar betapa pahitnya rasa kopi Ida. Tak pernah aku minum kopi tanpa gula, mesti mahu gula atau susu.

Kami mengambil tempat duduk di sudut tepi sebelah kanan berhampiran kipas dan TV. Tempat yang rasanya selesa untuk kami menikmati sarapan. Aku mencicip teh O. Sedap, cukup manis dan panasnya.

“Nur, kemarin loe ikutan koir kami ya?” Tiba-tiba Ida bertanya memulakan perbualan kami. Aku sebenarnya kekok dengan Ida. Baru pertama kali kami berbual dan sarapan bersama-sama. Aku hanya mengangguk, mengiakan.
[Sebagai foto hiasan saja]

“Bagaimana, ok ngak, senang ngak...?” Tanya Ida lagi sambil mengunyah roti plantanya. Kelihatan berselera sekali Ida menikmati makanannya.

Aku mencari-cari jawapan yang sesuai untuk tidak menyinggung perasaan Ida, teman kuliahku, yang juga Ahli Jawatan Kuasa (AJK) majlis koir Jumaat lepas. Aku nampak jelas Ida berdiri sebaris dengan AJK yang lain di depan dewan minggu lepas. Dalam erti kata lain, Ida orang penting majlis tersebut. Jangan pula jawapanku nanti menyinggung perasaannya. Angguk sajalah supaya selamat. Lalu aku menganggukkan kepala menyatakan suka. Kami terus menikmati sarapan kami.

“Ngak pahit...?” Tanyaku ketika melihat Ida menghirup kopi pekat tanpa gulanya dengan berselera sekali. “Ngak ah, enak kali kok....mau coba?” Ida menawarkan. Aku menggelengkan kepala sambil tersengih. Ida ikut tersengih, mungkin terbayang di mukaku rasa ngeri dengan pahit kopi tersebut.

“Nur, kalau senang ikut aja koir tu, ngak apa-apa kot, ngisi waktu ruang, lagi ngak ngapa-ngapain, lebih baik ikut nyanyi-nyanyi...kan,” ajak Ida. Aku hanya menganggukkan kepalaku, takut untuk berkata-kata atau berjanji kerana aku pasti aku tidak akan menunaikan janjiku tersebut.

Selesai sarapan, kami menuju ke dewan kuliah. Beberapa orang rakan kuliah kami menegur. Pelik agaknya kerana sebelum ini tidak pernah nampak kami berdua jalan bersama. Aku pun rasa pelik juga tetapi cuba menyelesakan diri sambil mencari-cari dua teman baikku Ineng dan Irfan. Nah, itu mereka, di bawah tangga, rancak bercerita. Pasti cerita tentang Australianya, maklum, baru pulang dari sana.

“Hai Nur...sini!” Panggil Ineng separuh menjerit bila melihat aku. Irfan melambaikan tangan memanggilku. Hatiku jadi kembang nampak mereka berdua. Rasa lama benar tidak berjumpa dengan mereka, walhal baru tiga hari sebenarnya.

“Nur, tuh kembaran loe lagi nunggu....,” beritahu Ida sambil memuncungkan bibirnya ke arah Ineng.

“Ida...gue duluan ya. Anyway thanks traktir gue tadi...enak deh,” aku meminta memisahkan diri dari Ida untuk bersama-sama Ineng dan Irfan. “Okay, you are welcome. Kapan-kapan bareng sama gua lagi ya...,” balas Ida sambil menuju ke arah rakan-rakannya Tina dan Emelda yang berkumpul tidak jauh dari Ineng dan Irfan.

“Gue udah nyariin loe di mana-mana tadi Nur, mau sarapan. Lagi ke mana sama Ida?” Tanya Ineng dengan nada tidak senang. ”Cafe....,” jawabku ringkas. “Tau tuh...itu anak tiba-tiba ngajak gue nemanin dia sarapan, gue ngak bisa nolak, loe dan Irfan ngak ada...so aku terpaksa ikut dia.” Aku menjelaskan.

Aku melihat Irfan terkebil-kebil mendengar perbualanku dengan Ineng. Dia masih diam seribu bahasa. “Eh...kot bengong, kangen deh...kamu ngak kangen sama aku?” Tanyaku kepada Irfan sambil aku melebarkan senyuman rinduku, dengan harapan dia akan senyum manis juga denganku. Ineng ikut tersengih. “Irfan masih mabuk flight Nur,” kata Ineng bergurau. Irfan senyum sumbing.

Akhirnya Irfan bersuara, “ngak....gua lagi kaget, ngelihatin Ida bareng Nur tadi...kot tiba-tiba jadi baik sama loe, ada apa Nur?” Oh itu rupanya yang membuatkan Irfan diam dari tadi.

“Ngak ada apa-apa lah...dia cuma ajak sarapan, tak punya teman tadi agaknya,” jelasku menyakinkan. Aku cuba untuk tidak menceritakan apa yang berlaku minggu lepas. Biarlah dulu, kalau perlu baru aku ceritakan, putusku.

Irfan hanya diam, menerima alasanku. Ineng pun diam. Bersetuju juga dengan alasanku agaknya.

Irfan menghulurkan sebuah beg kertas berwarna biru kepadaku. Cantik warnanya. Ole-ole dari Australia. Di tangan Ineng juga ada sebuah beg kertas berwarna hijau. Aku meninjau isi di dalamnya. Ada beberapa bungkusan coklat, yang dibeli di Australia. Kelihatannya sangat menyelerakan. Sudah faham benar Irfan minatku terhadap coklat. Aku menoleh ke arah Irfan, mengucapkan terima kasih. Irfan masih diam, tetapi mengangguk tanda menerima ucapan terima kasihku. Melihat Ibu Dosen menuju ke kelas, kami bertiga pun melangkah ke kelas mendahului dosen kami Mbak Nina.

Kebetulan ada tiga kerusi kosong di barisan ketiga dari depan. Kami bertiga mengisi kekosongan tersebut. “Rejeki,” ujar Ineng. Aku hanya menyengih mengiakan ucapan anak Jawa Keraton ini. Kulitnya putih mulus, tutur katanya yang halus, sopan dan selalu bercakap dengan menggunakan bahasa jawa halus di rumahnya merupakan ciri-ciri khusus untuk keturunan kerabat raja Jawanya.

Aku terasa ada yang mencuit bahuku dari belakang. Aku berpaling. “Hai Nur, kemarin loe ikutan koir ya...?” Tanya Wayan, anak Bali yang berkaca mata bingkai putih, tampan sekali kelihatannya. Terkejut juga aku dengan pertanyaannya. Nampaknya ramai yang perasan dengan kehadiran aku waktu tu. Tak sangka aku. Wayan, bukan ke dia Hindu? Ahh...mungkin saja-saja ikut macam aku agaknya. Aku hanya melemparkan senyumanku.

Aku berpaling ke arah Irfan. Irfan memandangku dengan pandangan ingin tahu. Dia menganggukkan kepalanya sambil keningnya terangkat ke atas, meminta penjelasan. Aku hanya menyengih, tanpa menjawab. Dia mencuit bahuku meminta penjelasan. Aku meletakkan jari telunjuk kananku ke bibirku tanda meminta dia diam, kerana Mbak Nina sudah memulakan kuliahnya. Irfan masih mencuit bahuku. “Nanti abis kuliah, gue cerita,” janjiku. Irfan diam, akur dengan janjiku.

Akhirnya kami khusyuk mengikuti kuliah Mbak Nina yang lembut dan kelihatannya menyusun kata-katanya dengan tertib sekali ketika menyampaikan kuliahnya. Mudah sekali mengikuti dan memahami isi kuliahnya yang sistematik tersusun. Dua jam berlalu begitu pantas, tidak terasa sudah ke penghujungnya.

Seperti biasa Mbak Nina suka menegurku bila kuliah sudah berakhir, “Nur, pulang ngak liburan nanti...?” Tanya Mbak Nina sambil menghampiriku. “Insyallah Mbak,” jawabku sedikit yakin kerana tiket telahku tempah awal-awal lagi, sebulan yang lalu. Aku mesti balik untuk berjumpa Mak dan menziarahi pusara kakak yang tak pernah aku kunjungi sejak pemergiannya dulu. Inilah peluangku ketika cuti panjang, cuti semester satu untuk bertemunya, walaupun hanyalah nisan yang kaku, tapi kakak tetap hidup di hatiku.

Seperti biasa, selesai kuliah, kami melayan selera di balsem. Kali ini rasa nak minum es teler dengan nasgor telor mata sapi. Irfan makan gado-gado dengan teh botol. Ineng makan nasi sama pecel lele sambal belado.

“Mau cerita nggak..?” Tiba-tiba Irfan bersuara memulakan perbualan kami sambil menunggu pesanan kami tiba.

“Cerita apa?” Tanyaku kembali, lupa sebenarnya.

“Tadi...janjimu waktu di kuliah...,” jelas Irfan sambil merenungku.
Termenung aku sebentar, “oh...tentang minggu lalu...aku ikut koir tanpa kamu,” jelasku.

“Oh yaa...kamu sendirian?” Aku mengangguk kepalaku. “Sampai tuntas?” Tanya Irfan lagi. Aku mengangguk lagi. Ineng memandang Irfan dan Irfan memandang Ineng.

“Terus...kamu ngapain?” Tanya Ineng pula.

“Ngapaian apa?” Aku balik bertanya Ineng. Ineng terkejut mendengar aku ikut koir.
Rupa-rupanya aku tidak pernah cerita padanya aku ikut koir tersebut selama tiga minggu berturut-turut.

“Hasilnya apa setelah Nur ikut koir tuh?” Tanya Ineng lagi menjelaskan maksud pertanyaannya.

“Ngak ada hasil apa-apa. Biasa, nyanyi-nyanyi lagu....” “Masak....? Itu kan lagu koir Kristen, ngawur kamu Nur ikutan kayak gituan...,” marah Ineng.
Ineng menoleh ke arah Irfan, “Loe ngajak Nur ikutan ya Fan,?” Ineng mula menuduh Irfan.

“Nggak ah Ineng, gue yang mau ikut...mau tau aja, kayak apa nyanyian tuh....,” kataku membela Irfan yang terkedu dimarahi Ineng. Irfan hanya memandangku. Aku senyum. Lucu melihat muka Irfan macam cicak berak kapur.

“Bener Nur, gue juga mau tau....apa yang kamu lihat kemaren...coba ceritaiin dong.....?” Giliran Irfan pula yang bertanya ingin tahu. Apa perlu aku cerita atau tidak, tanya hatiku. Irfan dan Ineng terus mendesakku supaya bercerita. Akhirnya aku berceritalah apa yang patut apa yang aku lalui hari Jumaat lepas.

“Yang bener Nur?” Tanya Ineng minta kepastian. “Bener...” Jawabku dengan mengangkatkan keningku tanda kesungguhanku dengan jawapanku.

“Mau ikutan lagi ngak?” Tanya Irfan lagi dengan nada bercanda. Matanya merenung tajam ke mataku yang akhirnya terpaksa aku tunduk mengalah dengan keindahan dalam matanya. Ada perasaan lain yang muncul dalam hatiku merenung mata Irfan. Apa maksud perasaan yang muncul tiba-tiba ini Tuhan. Satu macam perasaan yang pelik. Aku menggelengkan kepala. Sumpah, aku tak akan ikut lagi, itu janjiku pada diriku sendiri. Irfan tertawa.

“Kenapa loe ngak kasitau aku itu koir kerohanian kristen.....?” Aku mengajukan pertanyaan sulungku kepada Irfan. Irfan diam, mungkin mencari jawapan yang sesuai.

“Hmm....sangka gue, Nur udah tau,” jawab Irfan perlahan. Seperti biasa suaranya perlahan dan teratur bila berbicara, menampakkan kematangannya. “Ngak tau...bener, gue ngak tau,” akuiku jujur. Ineng hanya mendengar dan menggelengkan kepala,

“kenapa ngak nanya gue Nur?” Ineng pula melahirkan perasaan kesalnya.

“Ngak apa-apalah....udah berlalu, ngak ada apa-apa yang ngak baik berlaku, ok my dear.” Aku mengakhiri perbahasan kami mengenai isu koir, tidak mahu lagi dibincangkan. Aku mahu Irfan dan Ineng tenang dengan jawapanku.

“Nur, dengar ya...gua mau pesan sama kamu...nanti-nanti, jangan lagi kamu ikut koir itu okay...” Kemudiannya Irfan bersuara juga dengan nada yang penuh harapan. “Gue harap kamu ngerti kenapa aku bilang begitu.....ngerti ngak? Kalo teman-teman kita ngajak loe jugak, ngak usah ikut....ngerti ngak.” Aku mengangguk penuh pengertian apa yang dimaksudkan oleh Irfan dalam kata-katanya tadi. Sangat bermakna, bimbang aku tenggelam sama agaknya.

Ineng memeluk belakangku sambil berkata, “benar apa yang Irfan bilang itu Nur....ngak usah ahh....” Aku senyum kepada Ineng, “ok my dear, don’t worry, trust me.” Hanya itu yang dapatku luahkan, padahal sebenarnya, jauh dihatiku sebenarnya ada penyesalan dan kebimbangan yang amat mendalam. Tapi biarlah kusimpan sebagai kenanganku sendiri.

Syukur kepadaMu Tuhan atas perlindunganMu dan mengurniakan aku kawan-kawan yang baik seperti Ineng dan Irfan.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 8 September 2011.

No comments:

Post a Comment