Thursday 8 September 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri 10 – Zalilah Manan

Pengalaman pertama melakukan pembedahan
Unit surgikal atau bedah merupakan antara unit yang sentiasa sibuk dan mencabar. Namun bertugas dalam kesibukan dan tekanan selalu membuatkan aku teruja. Aku senang dengan tugas-tugas unit itu kerana kes-kes dapat diselesaikan dengan cepat. Kalau luka sudah dijahit, kalau ketumbuhan sudah dibuang, kalau kecederaan sudah dioperasi, pesakit boleh pulang, tidak perlu rawatan dan rawatan lagi seperti kes-kes penyakit kronik umpama darah tinggi dan kencing manis.

Bertugas di unit bedah memerlukan fikiran dan tindakan pantas kerana kebanyakan masa dihadapkan dengan kes-kes kecemasan. Kemalangan motosikal atau kereta, luka akibat senjata tajam, luka senjata api, patah tulang. Jatuh bangunan, digilis keretapi, ditanduk banteng dan berbagai lagi.

Jahit menjahit, cuci mencuci, balut membalut malah potong memotong adalah lumrah unit bedah terutama ketika bertugas di IGD atau Instalasi Gawat Darurat. Memenatkan tapi menyeronokkan. Tiada masa untuk berlengah-lengah kerana macam-macam jenis pesakit dan kesakitan datang dan pergi silih berganti.

Sewaktu-waktu kalau bernasib baik dapat ikut masuk ke kamar operasi. Kadang-kadang hanya sebagai tukang tonton sahaja, kadang-kadang sebagai tukang pegang alat yang dipanggil ‘retractor’ yang berfungsi mengekalkan bahagian di bedah tetap terbuka. Kalau lebih bernasib baik dan berani mencuba, mungkin dapat melakukan pembedahan dengan pengawasan doktor residen yang biasanya adalah doktor yang sedang menjalani program spesialis.

Aku pernah diberi peluang menjadi ‘operator’ dalam satu pembedahan agak besar yang dipanggil ‘laparotomy’ atau pembedahan perut. Waktu itu aku bertugas di IGD bedah RS Tangerang bersama lima lagi rakan sekuliah.

Seorang wanita separuh baya didorong masuk diatas kerusi roda. Kelihatan tidak bermaya tetapi gelisah. Wajahnya pucat dan berkerut menahan kesakitan. Peluh dingin memercik didahinya. Rambut yang mengerbang tidak keruan dan pakaian yang agak tidak terurus memang menjadi bukti bahawa dia dalam kesakitan yang sangat.

Pasien itu sudah mengalami sakit perut bermula di sudut kanan bawah selama beberapa hari yang semakin meluas dan semakin parah. Diselingi muntah-muntah dan sekali sekala cirit birit. Suhu badannya panas tidak menentu. Makanan maupun air sudah beberapa hari juga tidak disentuh.

Aku menulis laporan tentang pesakit itu lantas mencari Dr Yoga yang bertindak sebagai penyelia kumpulan kami. Baru separuh jalan aku membuat pembentangan, Dr Yoga langsung bertanya. “Apa diagnosis kamu?”

“Peritonitis akibat ruptured appendiks, dok!” (Radang rongga perut akibat appendiks yang pecah)

“Kamu yakin?” Tanya beliau lagi.

“Yakin, dok!”

“Potong aja!” balasnya ringkas.

Aku tersentak. “Ngak lihat dulu pasiennya, dok?” aku bertanya kembali, bimbang kalau-kalau diagnosis aku salah walaupun tadi aku merasa sangat yakin.

“Kan kamu yakin. Siapin untuk operasi, nanti kamu jadi operator. Kalau sudah sedia panggil saya.” Ringkas dan tegas arahan Dr Yoga membuatkan aku semakin hilang keyakinan.
Menjahit berbagai saiz luka, melakukan sunatan, menjadi asisten kepada operator memang biasa aku lakukan tetapi menjadi operatornya….

Berbagai persoalan timbul difikiranku, kalau salah diagnosis? Kalau salah potong? Kalau itu, kalau ini…. Tapi kapan lagi aku boleh mencuba jika tidak sekarang.
Aku mencepatkan langkah untuk menghubungi pihak kamar operasi, doktor bius dan seterusnya mempersiapkan pasien. Aku nekad. Aku akan melakukan pembedahan itu.

Debaran jantungku semakin terasa sewaktu aku menyarungkan gaun operasi warna hijau dan memakai sarung tangan steril. Tidak putus-putus aku berdoa memohon ketenangan.

“Tenang aja! Nanti gue bantuin.” Tiba-tiba Dr Yoga bersuara, mungkin dapat mengesan betapa cemasnya aku waktu itu.

Aku cuba tersenyum dalam cemburu melihat sikap tenang yang dipamer Dr Yoga. Mengapalah aku tidak biasa seperti beliau.

“Potong lurus dulu, nanti sampai di pusar belok sedikit kemudian lurus lagi.”
Menggigil tanganku sewaktu mula meletakkan skapel tajam untuk membuat torehan pertama ku dikulit pasien. Lapisan demi lapisan ku buka sementara rakan-rakan yang menjadi asisten membantu mengelap darah yang merembes dari kulit pasien. Akhirnya rongga perut terbuka. Kelihatan gelembung-gelembung usus tersusun berlapis-lapis bak kuntum bunga yang diseliputi cairan berwarna putih susu.

Aku diarah untuk mengenal pasti usus besar seterusnya mencari appendiks. Setelah beberapa ketika membelek-belek lipatan usus itu aku menemukan usus buntu yang seterusnya membuktikan kebenaran diagnosis aku tadi.

Pada tahap ini Dr Yoga mengambil alih seketika bagi menentukan tahap usus yang perlu direseksi. Usus buntu pecah kami buang dan luka potong dijahit semula.

Akhir sekali aku diarahkan untuk mencuci seluruh rongga perut dari cairan dan kotoran putih susu tadi. Kami menggunakan larutan garam yang telah dihangatkan terlebih dahulu sebelum dicurahkan ke dalam rongga perut.

“Ayuh! Gosok gosok!” kata Dr Yoga setelah melihatku teragak-agak.

Aku memasukkan tangan ke dalam rongga perut itu, mengocak-ngocakkan air garam tadi sambil menggosok-gosok organ-organ dalam perut pasien itu. Air garam yang sudah kotor disedut dengan ‘suction pump’ sebelum yang baru dicurahkan lagi. Proses diulang beberapa kali sehingga cairan putih susu tadi habis semuanya dan diganti larutan garam fisiologis yang bersih dan jernih.

Tidak dapat aku gambarkan perasaanku sewaktu menyentuh permukaan hati, perut, usus dan lainnya yang selama ini hanya ku lihat di dalam botol kaca museum anatomi. Indahnya ciptaan Tuhan.

Setelah semuanya bersih, aku menjahitkan semula lapis demi lapis perut pasienku itu. Pengalamanku belajar jahitan sebagai sebahagian subjek Sains Rumah Tangga pada peringkat menengah rendah sedikit sebanyak dapat membantu walau sebenarnya menjahit kulit manusia tidaklah sesusah menjahit baju kurung.

Alhamdulillah, pembedahan itu berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi. Ilmu dan pengalaman yang aku peroleh dari peluang itu memang tidak ternilai harganya.

Dr Zalilah Manan, 8 September 2011

No comments:

Post a Comment