Friday 9 September 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri 11 – Zalilah Manan

Ujian Akhir Praktikal
[Foto Hiasan Saja]

Ujian akhir praktikal unit bedah, aku lepasi dengan cemerlang. Kami perlu menyediakan pasien sendiri dan diberi peluang memilih untuk membedah samada ketumbuhan kecil atau sunatan kanak-kanak lelaki. Aku memilih melakukan sunatan kerana aku fikir lebih tinggi kebarangkalian mendapat calon pasien.

Dua hari berturut-turut aku ditemani rakan kuliahku, Tien Astari, menelusuri perumahan berdekatan tempat tinggal Tien untuk mencari kanak-kanak yang bersetuju untuk dikhatankan. Perbelanjaan pulang pergi ke rumah sakit, ubat-ubatan serta sedikit saguhati aku janjikan untuk menanggung sepenuhnya.

Berkat pengalaman mengikuti program sunatan massal sebelumnya, ujian praktikal itu tidaklah memberi tekanan terlalu besar. Tambahan pula aku bernasib baik kerana mendapat dosen penguji yang terkenal baik dan pemurah markah.

Selesai unit bedah, aku berpindah ke unit Kedokteran komunitas atau kesehatan masyarakat. Unit yang memerlukan kami berada banyak di lapangan mengenalpasti masalah masyarakat, menjalankan program pencegahan kesihatan seperti pelalian massal, sanitasi air dan persekitaran, memberi pendidikan dan membuat pendataan tentang penyakit-penyakit.

Aku dan beberapa rakan lain ditempatkan di sebuah puskesmas (pusat kesihatan masyarakat) di daerah Cengkareng, Jawa Barat. Di situ disediakan tempat penginapan yang lumayan selesa bagi taraf mahasiswa. Cuma yang agak kurang menyenangkan adalah tentang bekalan air. Telaga yang ada kebanyakannya mengeluarkan air masin kerana daerah itu berdekatan laut.

Setiap pagi dan petang kami perlu membeli bekalan air dari penjual air yang membawa bekalan air menggunakan gerobak atau kadangkala dipikul dengan kayu pengandar. Air yang kami beli ditadah dalam kolah di bilik air, tandas dan dapur. Dan kami yang ada seramai enam orang akan mandi mengikut giliran.

Kumpulan kami juga menggunakan perkhidmatan seorang pembantu untuk mengemas rumah, mengepel dan menyediakan makanan. Ibu itu sangat pintar memasak, semua juadah yang disediakan lazat-lazat belaka. Aku yang tidak biasa dengan masakan ala sunda dan jawa jadi ketagihan. Ayam kalasan, ikan pepes, krecek, malah gudeg Yogya dan macam-macam lagi…. Enak sekali.

Tugas berhadapan dengan masyarakat memerlukan kesabaran, kemampuan komunikasi serta kemampuan mendengar yang baik. Kebanyakan masyarakat kawasan ini adalah dari golongan sederhana dan bawahan. Tahap pendidikan agak rendah dan setengahnya buta huruf. Rata-rata sangat naïf tetapi sangat ikhlas. Kebergantungan pada dukun dan kepercayaan pada rawatan tradisional masih menebal.

Untuk menerima fakta perlu memasak air hingga mendidih sebelum diminum sahaja memerlukan berbagai hujahan. Jika manusia yang bersaiz besar bisa lemas dalam air, bagaimana mungkin yang dipanggil kuman halus yang tidak kelihatan itu bisa selamat, tidak lemas dan tidak mati dalam air? Jadi, apa perlunya mendidihkan air? Nah! Logikkan pemikiran mereka.

Selain menjalankan klinik rawat jalan setiap hari, kami juga mengadakan perkhidmatan ‘pusling’ (puskesmas keliling) sekali seminggu ke kampung yang berlainan. Kami menaiki mobil puskesmas sambil membawa peralatan dan ubat-ubatan. Kebanyakan masa penduduk kampung sudah bersedia berkumpul menunggu kami di lokasi yang telah dijanjikan. Tidak jarang juga mereka menyediakan buah tangan sebagai tanda penghargaan berupa hasil pertanian seperti pisang, jambu air, singkong untuk kami bawa pulang.

Pendataan kami tentang penyakit tb atau batuk kering menunjukkan penyakit tersebut masih sangat banyak kerana rawatan tidak memadai akibat kepercayaan pada jampi-jampi, kesukaran mendapat rawatan kerana faktor jauh dan kewangan, kebersihan dan lingkungan rumah yang kurang baik di mana keluarga besar menginap dalam rumah kecil yang tiada ventilasi mencukupi.

Diakhir program, kami mengadakan satu program pengobatan massal di sebuah kampung yang paling jauh di pedalaman. Dibantu beberapa doktor program spesialis, kami mempelawa seluruh warga setempat untuk datang mendapatkan rawatan bagi apa sahaja jenis penyakit secara percuma. Sambutan cukup luar biasa. Kami tidak menang tangan memeriksa, merawat dan memberi ubat.

Ada juga yang pintar mengambil kesempatan seperti salah seorang pesakit lelaki tua yang telah aku periksa. Dia telahpun diberi rawatan untuk demam, batuk dan selsema. Tetapi selang beberapa waktu dia kembali lagi ke mejaku sambil tersenyum-senyum menampakkan gusi yang tidak bergigi.

“Bapak kan tadi sudah saya kasi obat.”

“Iya, neng! Tapi bapak juga selalu rasa pegal-pegal, sakit lutut, sakit pinggang, kasi obat lagi ya!” bapak itu seolah merayu.

Aku tidak sampai hati, lalu aku mengeluarkan sebungkus ubat lantas memberikan padanya.

Tidak berapa lama kemudian, lelaki itu muncul sekali lagi tetapi di meja sebelah tempat rakanku Irda. Dia masih tersenyum-senyum sama seperti tadi. Kebetulan Irda sempat mendengar perbualan aku bersama lelaki itu tadi dan mengecam wajahnya.

“Lha, bapakkan sudah dua kali diperiksa.” Kata Irda.

“Iya, tapi obatnya cuman sedikit, kasi bapak lagi obatnya, buat persediaan.” Sekali lagi dia mencuba nasib, merenung Irda dengan wajah polos. Irda juga tidak sampai hati mengecewakan bapak itu lantas menghulurkan sebungkus lagi ubat yang hanya berisi sekitar sepuluh biji paracetamol.

Walau kami kepenatan bertugas dari pagi hingga ke petang, hampir tiada henti, kami semua gembira dapat menabur sedikit bakti kepada penduduk di situ. Dan bagi aku, peribadi, pengalaman itu mengajarku lebih menghargai tanah tumpah darahku, Malaysia.

Esoknya, Jumaat, merupakan hari terakhir kami disitu, hari terakhir mandi menggunakan air yang dibeli dari gerobak, hari terakhir merasa makanan enak masakan ibu. Tetapi aku memilih hari khamis sebagai hari terakhirku di situ. Terpaksa bolos satu hari walaupun tiada program khusus kecuali pamit-pamitan.

“Esok aja pulang bareng, Ila. Nanti di hantar sampai ke rumah.” Kata Lukas, ketua kumpulan kami yang juga tuan punya mobil yang selalu kami tumpangi.

“Ngak apa-apa lah, Ila naik bis aje, biar bisa kalau ada apa-apa lain kali.” Aku tetap dengan keputusanku.

Aku mahu segera pulang ke Jakarta kerana aku dikabarkan bahawa Mamat, sahabat lamaku akan tiba dari Kuala Lumpur dan berada sehari di Jakarta sebelum berangkat ke Amsterdam kerana mendapat pembiayaan pengembangan kuliahnya disana.

Dr Zalilah Manan, 9 September 2011

No comments:

Post a Comment