Tuesday 6 September 2011

Kisah Anak Seni Di Jogja – Siri 13 – Siti Zainon Ismail

Malam Bunga Rampai

[Foto 1 : Usman Awang menonton latihan teater W.S Rendra di Jogja]

TELAH beberapa kali aku menonton latihan teater W.S Rendra di halaman sanggarnya di Ketanggunggan. Sesekali mencelah dalam kuliah umum yang disampaikan oleh penyair ini. Ruang kuliah menjadi penuh padat dan kepanasan meruap. Tetapi di halaman terbukanya kita akan bebas santai menonton malah kadang kala diajak serta melakonkan gerak improvisasi bebas bersama. Beberapa orang anak ASRI yang terlibat ialah Untung Basuki dan Ken (Ken akhirya menjadi isteri Rendra ) .

Pengalaman menonton Malam Cempaka Berbunga anjuran Taman Budaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka (1972) , telah menambah kegairahanku untuk mengadakan acara pembacaan puisi di Rumah Pelajar Jogja. Sebagai AJK Kesenian aku memang harus merancang program sesuai dengan waktu dan ketikanya.


[Foto 2 - Depan dari kiri : Kamariah, Rokiah, Citok, Ibrahim. Belakang kelihatan Azran dan Rahman Kuraish yang menggamatkan acara baca puisi, 1972]

Malam Minggu di Rumah Pelajar Malayisa Jogja

Ruang tamu kugelapkan. Kamariah dan Rokiah membantuku memasang lilin, berjejer mengilingi ruang hingga ke pintu halaman. Ada yang terkejut bersuara, "Hei lestrik mati ke?? eh....macam nak sambut hari jadi, pasang lilin, banyak pulak tu".Ya, suasana acara baca puisi belum lumrah ketika itu di rumah pelajar. Azran maju ke depan, menyampai kata aluan, "Ini idea Izan, Siti baru pulang dari KL, dah ikut baca puisi dengan seniman, pelukis penyair....sekarang dia bawa acara itu ke sini...cuma malam ini bergelar Malam Bunga Rampai...kenapa malam bunga rampai, tanya Izan sendiri.

Memang sebelah petang sebelum malam, aku telah meminta Rokiah dan Kamariah menghiris daun pandan. Memetik bunga kemboja di jalan muka rumah, serta bunga renik yang tumbuh meliar di depan jendela...merenjis sedikit air wangi, hingga malamnya, masing-masing dipersilakan mengambil sejemput bunga rampai...ya itulah agaknya di sebut majlis Malam Bunga Rampai. Aku masih belum membuka rahsia judul malam persembahan itu.

Selepas aku menolak Nyoman, ya memang bermacam masalah timbul. Ada ejeken, ada fitnah datang melayang dari Kuala Lumpur. Semua itu dikhabarkan oleh ibuku dengan surat panjang. Angkara Lili membawa Nyoman mengenalkan kepada sahabat pelukis, timbul bualan, "Nyoman bekas pacar Izan". Nyoman menjadi mangsa oleh iri Lili dan cerita ini berpanjangan hingga BaMu membuat surat panjang lain...." Lupakan aku..." Lah kenapa harus melupakan? Apa yang membuat dia menulis begitu. Tambahnya lagi, "Aku akan bertunang, dengan J, makcik yang akan meminang" . Aku terpinga, seingatku, Mak yang suka dengan BaMu, meminta aku melupakan Nyoman. Aku terpana, kecuali catatan puisi menjadi pendamai, sehingga terciptalah lakaran puisi" Malam Bunga Rampai". Judul puisi ini jugalah menjadi tajuk acara baca puisi di Rumah Pelajar Malaysia.

Kubaca larik puisi itu dalam remang cahaya lilin, sambil bergerak bebas langkah demi langkah di arena ruang tamu..aku tidak melihat sesiapa lagi kecuali bait puisi remaja itu saja, Inilah bait spontan yang mengalir begitu saja sepanjang pembacaan tersebut, yang kemudian ku edit menjadi puisi lengkap,

Malam ini
dalam sinar lilin-lilin
betapa kemesraan menjauh
menghilang dalam bayang.

Beginilah dalam genggaman
wanginya si bunga rampai
ada kuterima seulas rasa dari mana,
angin mendayu
di balik batu kaca
terbujur rumput menghijau
ah! sendiri juga memamahnya.

Malam ini
kuterima surat mama
tiada tangis bagiku
kecewa ini bukanlah yang pertama.

Dan antara kita
Kuala Lumpur dan Jogja
telah terbelah udaranya
janji tinggal di Oasis Snack Bar
kata-kata sedingin ais rumba
dan cincin ini
kenangan Cuma
segenggam bunga rampai di malam wangi
mengiringimu di malam pertunangan
kukucup impian dalam Jogja malam.

(Jogja 1972)

Beberapa bulan kemudian telah datang rombongan Pengakap Malaysia. Antaranya muncul Atondra yang juga aktif berpuisi dan mengendalikan penerbitan majalah Pemimpin. Kutitip puisi ini kepada beliau dan Atondra menerbitkannya dalam majalah tersebut isu bulan Oktober 1972.

Apakah wangi malam bunga rampai masih semerbak atau masih terhidu ...Tapi bagiku, di situlah bermula kerja penulisan puisi sebagai kerja melukis, menjahit dan laporan kajian akademik. Malam itu jugalah tampil Mohd Noh Dalimin (sekarag Prof Datuk, NC Universiti Hussein Onn), Maryati, Tibroni, Hussein, menyampaikan rasa hati di malam puisi di Rumah Pelajar Jogja.

6 September 2011

No comments:

Post a Comment