Tuesday 20 September 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri 14 – Zalilah Manan

“Forensik bukan tempat yang aku ingin berada lama”

Perjalananku semakin hampir ke penghujung. Unit-unit besar atau utama seperti bedah, obgin, penyakit dalam dan pediatrik telah aku lalui. Tinggal beberapa unit kecil sahaja sebelum aku layak bergelar doktor secara sesungguhnya. Walaupun sejak masuk tahun klinikal memang kami telah dipanggil doktor oleh paramedik dan pesakit namun kerana terasa masih sangat sedikitnya ilmu didada penghayatan gelar itu tidak dirasakan sepenuhnya.

Unit kecil yang perlu kami jalani antaranya adalah mata, telinga hidung tekak (THT – baca tehate), kulit dan kelamin (kulkel), gigi dan mulut (gimul), psikiatri, anestesi, radiologi dan forensik. Walaupun dinamakan unit kecil, semuanya tidak kalah penting sebagai cabang ilmu kedokteran.

Merawat pasien di klinik rawat jalan maupun di wad bagi kebanyakan unit tersebut adalah lebih kurang sama keadaannya kecuali unit forensik. Pasien di unit forensik tidak lagi bisa bicara, tidak lagi bisa protes dan tidak lagi bisa bergerak. Hanya digerakkan. Cara rawatannya juga sangat berbeza.

Kami diajar menjadi penyiasat, penyelidik atau peneliti. Diajar langkah-langkah yang betul untuk memeriksa bahagian-bahagian badan manusia yang tidak lagi bernyawa. Kami diajar cara memotong tengkorak kepala untuk memeriksa perdarahan dalam otak. Kami diajar mengenal pasti tanda-tanda cekikan atau strangulasi pada leher. Kami ditunjukkan cara membuka ruang dada bagi memeriksa paru-paru, jantung dan lain-lain organ dalam dada. Kami diajar cara memeriksa rongga perut, isi perut, usus, limpa dan buah pinggang. Kami juga diberi panduan pemeriksaan luka-luka dan trauma luaran.

Ada berbagai kes kematian yang memerlukan intervensi forensik atau ‘post mortem’. Biasanya dilakukan bagi kematian yang diperkirakan tidak wajar atau dicurigai melibatkan unsur khianat. Ada kes kematian akibat luka senjata tajam, dikelar di leher sehingga putus, ditikam di dada dan perut, ditembak dengan senjata api, bunuh diri, jatuh dari bangunan tinggi dan banyak lagi.

Aku pernah menyaksikan kes seseorang yang baru pulang dari menunaikan haji meracun isterinya kemudian membunuh diri dengan meminum racun yang sama kerana isteri yang tidak ikut sama menunaikan haji diberitakan mempunyai hubungan cinta dengan orang ketiga. Tragis dan tidak masuk akal tapi itulah yang terjadi. Semoga menjadi sempadan bagi yang masih hidup.

Ada juga kes yang tidak terselesaikan kerana anggota badan tidak dijumpai. Aku masih ingat seorang dosen forensik menunjukkan satu kepala wanita yang tidak dapat disahkan identiti kerana tiada bahagian lain badannya ditemui terutama cap jari dan tiada laporan orang hilang yang dibuat yang dapat dikaitkan.

Di unit ini, kami bekerja umpama polisi. Menarik juga. Menyelidik segala yang berkaitan dengan kematian, punca-punca kematian, waktu kematian, siapa yang mungkin terlibat, alat-alat yang diguna, menganalisa luka-luka atau trauma yang berkait dengan sebab dan akibat hingga menyebab kehilangan nyawa.

Ada juga kalanya unit forensik perlu mengesah atau memadankan identiti si mati seperti contohnya pada kematian massal lewat tahun 80an, waktu tabrakan keretapi yang dikenali sebagai ‘tragedi Bintaro’ yang telah meragut hampir lima ratus nyawa sekaligus. Perlanggaran bertembung dua buah keretapi waktu pagi yang sarat penumpang bekerja dan bersekolah yang entah bagaimana berada di rel yang sama dan bergerak menghala ke arah satu sama lain.

Sungguh tragis waktu itu. Mayat-mayat mangsa terpaksa diletakkan berbaris-baris di atas jalan di luar kamar mayat RSCM kerana tiada lagi tempat untuk dimuat dalam petisejuk kamar mayat. Ada yang berlumuran darah, ada yang tidak lengkap anggota, ada yang dewasa, kanak-kanak sekolah juga kanak-kanak kecil. Kaum keluarga memenuhi jalan dan perkarangan kamar mayat mencari cari keluarga yang hilang, bertangisan dan berteriakan tanpa memperdulikan bau busuk yang mula terhidu di kawasan tersebut. Mengerikan, menyedihkan juga menyeramkan.

Untuk lulus unit forensik, selain ujian teori kami dikehendaki melakukan post mortem secara bersendirian. Kami diberi satu catatan pendek tentang kes tersebut dan kami perlu melakukan pembedahan pembuktian sebab mati kes tersebut.
Aku telah mendapat satu kes mati lemas. Kes yang agak ‘direct’ kerana boleh dilihat secara langsung dari luaran mayat. Mayat yang kembung dan membengkak di seluruh tubuh serta kulit yang pecah mengelupas. Aku membuka paru-paru yang dipenuhi air dan hidupan air yang sesuai dengan sungai tempat mayat dijumpai. Aku juga dikehendaki membuka perut dan usus dan memeriksa isi kandungannya. Agak mudah kerana semua teknik pembedahan telah diajar. Hanya satu perkara yang tidak mudah iaitu menghadapi bau dan menghilangkan bau….

Semua mayat umumnya mengalami proses pembusukan paling awal di bahagian perut, mayat yang terendam air membusuk dengan kadar lebih cepat lagi berbanding di tempat kering. Walau aku memakai berlapis-lapis sarung tangan tebal sewaktu ujian itu, kedua tanganku masih berbau yang sukar diungkapkan walau telah selesai pekerjaan itu berhari-hari dan tangan telah dicuci berkali-kali dengan berbagai sabun dan antiseptik yang wangi. Beberapa hari aku juga tidak selera makan kerana terbayang cebisan daging yang mereput dari jenazah yang aku bedah.

Aku bersyukur kerana kepaniteraan unit forensik segera berakhir. Walaupun dapat menimba ilmu yang berbeza, forensik bukan tempat yang aku ingin berada lama.

Dr Zalilah Manan, 20 September 2011.

No comments:

Post a Comment