Monday, 12 December 2011

Kenangan Di Kampus Depok – Siri 2 – Ateh Halimah

Jakarta, Oh, Jakarta!
Berat rasa kakiku melangkah masuk ke dalam pesawat terbang. Aku tidak teruja sama sekali walaupun itu merupakan kali pertama aku menaikinya. Aku duduk ditempat duduk yang sudah ditetapkan. Pramugari yang manis-manis sibuk membantu para penumpang menunjukkan tempat duduk mereka dan meletakkan beg di ruangan bagasi di atas tempat duduk.

Aku tidak menghiraukan siapa yang duduk di sebelahku. Yang aku tahu mereka juga pelajar program G to G yang akan ke destinasi yang sama denganku. Sikap ramah tamahku tenggelam bersama perasaan sayu yang sejak dari tadi melanda hatiku.

Demonstrasi oleh pramugari tentang cara untuk menyelamatkan diri jika berlaku kecemasan juga tidak aku perhatikan. Yang aku mahu adalah memejamkan mataku yang tidak mengantuk itu. Namun aku tidak bisa berbuat demikian. Setiap kali aku pejamkan mataku, setiap kali itulah kenangan bersama kakakku datang mengusik jiwa. Aku tidak mahu memori indah bersama kakak dan keluarga menambah sebak dadaku. Aku takut sebak di dalam dada akan berganti dengan linangan air mata. Aku tidak mahu orang lain tahu perasaan sebenar hatiku.

“Masih lama lagikah?” tanyaku di dalam hati. Aku mahu cepat-cepat sampai. Apatah lagi aku berasa sungguh tidak selesa apabila telingaku terasa sakit dan berdesing. Aku merasakan telingaku sudah menjadi pekak.

Dua orang pelajar yang duduk disebelahku juga tidak berkata apa-apa. Aku kira mereka juga sibuk melayan perasaan masing-masing. Mungkin hati mereka juga sayu seperti hatiku atau cuba menahan rasa sakit di telinga.

Suasana sepi dipecahkan oleh suara lunak si jelita yang bertugas. “Chicken or beef?” sapa pramugari kepadaku. Sebenarnya aku malas mahu menanggapi sapaan pramugari yang menanyakan menĂº pilihanku. Namun dengan suara yang seperti dengar dengan tidak, aku menanggapinya juga dengan menjawab “chicken”.

Tidak lama kemudian kami dihidangkan dengan juadah makan tengah hari. Aku tidak berselera untuk makan. Walaupun begitu aku sambut juga huluran dulang yang berisi makanan daripada pramugari yang manis itu. Nasi yang berlaukkan ayam itu aku kunyah perlan-lahan. Apa yang aku makan seolah-olah sukar melalui kerongkongku. Dalam sejarah hidupku, inilah kali pertama aku tidak lalu makan. Biasanya aku tidak pernah menolak makanan biarpun ketika kurang sihat.

Tiba-tiba, aku teringat kepada abangku, Angah yang sesekali pulang ke kampung kerana sudah berkeluarga selalu berkata, “Teh kau ni makan banyak tapi badan tak besar-besarpun… Kau makan jadi tahi… orang makan jadi daging…” gurau Angah sambil ketawa-ketawa kecil. Angah memang suka bergurau dengan kami, adik-adiknya yang jarang-jarang dia jumpa.

Mungkin betul kata Angah atau mungkin tidak. Bagiku, aku makan jadi tenaga. Tenaga yang aku gunakan membantu emak menyediakan bermacam juadah untuk jualan setiap hari. Tenaga itu jugalah yang aku gunakan untuk menanam ubi di belakang rumah, atas tanah Pak Ngah yang terbiar itu. Tidak mungkin terpadam daripada ingatanku bagaimana tapak tanganku melelas dan jari jemariku melepuh dek menghayun cangkul untuk membuat batas. Aku hanya mampu menanam ubi kayu kerana aku tidak perlu mengeluarkan modal sesen pun. Bah Kodin, abangku yang keempatlah yang mendapatkan batang-batang ubi untukku. Aku tak pernah tanya dari mana Bah Kodin mendapatkannya. Yang aku tahu, projek tanaman ubi kayuku harus berjalan. Sebabnya, aku sudah ada pelanggan. Pelangganku adalah Wan Kam, nenek saudaraku yang berjualan keripik ubi pedas. Apabila tiba masa panen, Bah Kodin jugalah orang yang membantuku menggali ubi.

Imbasan tentang abang-abangku terhenti dengan sapaan si pramugari yang meminta dulang makanan agar dikembalikan. Aku menghulurkan dulang sambil melontarkan senyuman. “Thank you”. Balas paramugari yang dengan tangkas melakukan tugasnya dan sangat tertib.

“Welcome.” Jawabku antara dengar dengar tidak. Suaraku bagaikan tersekat ditenggorokan.

Perjalanan yang mengambil masa sekitar dua jam 45 minit itu terasa sangat lama. Pelbagai kenangan menerpa dan membuai perasaanku. Wajah teduh emak yang berperawakan ceria, wajah bapa yang tidak lokek dengan senyuman, wajah manis wan dan wajah Tok Endon yang jarang-jarang tersenyum kepadaku serta insan-insan lain yang sangat signifikan denganku muncul silih berganti bersulamkan kenangan yang melatarinya.

Pengumuman daripada jururterbang bahawa kami akan mendarat di Bandara Soekarno-Hatta, Cengkaring, Jakarta dalam waktu yang singkat telah memberikan noktah kepada segala yang bermain dalam fikiran dan yang membuai perasaanku. Semuanya terpadam dengan tiba-tiba. Aku kembali bersemangat. Aku mentransformasikan diriku menjadi Ateh yang berjiwa besar semula.

“Wah, aku dah sampai di Jakarta!” Teriakku dalam hati. Ketika turun dari pesawat menuju pintu keluar untuk urusan imigrasi, aku menyapa orang-orang di sekelilingku dengan senyuman sahaja. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Aku sangat teruja.

Bola mataku tidak lepas dari memandang ke luar tingkap bas. Macam-macam yang aku nampak sepanjang perjalanan ke kedutaan Malaysia di Jakarta Pusat. Aku melihat anak-anak kecil berlari-lari ke arah kenderaan yang berhenti di peremapatan lampu isyarat sambil menyuguhkan hasil jualan dan ikatan-ikatan air untuk dijual. Ada wanita-wanita yang mendukung anak kecil dan kanak-kanak yang berkaki ayam sahaja menyuakan mangkuk untuk memohon simpati daripada pemandu atau penumpang kenderaan yang mereka tuju. Hatiku sangat sayu melihat keadaan mereka.

Tanpa aku undang, kenangan semasa aku membantu emak berjualan kuih datang dengan tiba-tiba. Seawal pukul lima setengah atau enam pagi aku, kakak dan Bah Kodin sudah membawa bakul yang berisi nasi lemak, mi goreng dan beberapa jenis kuih seperti epok-epok, pulut panggang, kuih lapis dan kuih apam pergi berjaja.

“Nasi lemak, mi goreng, epok-epok…” Lantang suara kami sahut-menyahut untuk mengambil perhatian penghuni rumah pangsa tempat kami berjaja. Sama ada jualan kami habis atau tidak, kami harus pulang ke rumah sekitar pukul tujuh pagi untuk bersiap-siap ke sekolah pula. Aku masih bersekolah rendah ketika itu. Jika ada sisa jualan, itu akan kami bawa ke sekolah dan menjualnya kepada kawan-kawan pula. Alhamdulillah, kawan-kawanku suka dengan kuih yang emak buat. Kadang-kadang sampai jadi berebut pula. Kalau sudah begitu, aku akan menjual kuih yang emak bekalkan untukku kepada mereka. Sebenarnya aku suka kalau ada kawan-kawan yang mahu membeli kuih yang emak bekalkan itu. Sebabnya, dengan duit itu, aku boleh beli makanan yang di jual di kantin sekolah. Kadang-kadang teringin juga merasa masakan yang dijual di kantin itu. Biasalah, bak kata pepatah dalam bahasa Inggeris, “the grass is always greener on the other side of the fence”.

“Budak-budak ni pergi sekolah ke tidak ya?” Dalam hati, aku bertanya kepada diriku sendiri. Langsung lahir rasa insaf dalam diriku ketika itu. Aku mensyukuri nikmat hidup yang Tuhan berikan kepada aku. Walaupun aku harus membantu emak berjualan untuk menambah pendapatan keluaraga namun aku masih mendapat peluang menuntut ilmu. Kini aku berpeluang pula melangkahkan kakiku ke menara gading.

“Ya Allah, orang-orang itu tinggal di situ?” Tanyaku lagi di dalam hati. Terlihat beberapa keluarga yang tinggal di pinggir-pinggir longkang besar dengan rumah berdindingkan kotak-kotak. Tak sanggup aku melihat keadaan anak-anak kecil yang tidak berpakaian bermain dan berlari-lari di sekitar “rumah” meraka itu. Ada beberapa orang wanita yang sedang menadah air limbah yang keluar dari corong longkang besar itu ke dalam tin-tin minyak masak. Semasa di Kuala Lumpur aku tidak melihat situasi sebegitu. Ini berarti rakyat di negaraku masih beruntung. Biarpun masih ada orang-orang miskin, namun tidaklah sampai ada yang tinggal di pinggir-pinggir longkang besar seperti yang aku lihat.

Paparan pertama kota Jakarta yang aku lihat sepanjang perjalan menuju ke Jalan Kuningan tempat terletaknya kedutaan Malaysia telah membuatkan rasa insaf makin menebal dalam hatiku.

Tanpa kusedari, kami sudah tiba di destinasi yang dituju. Kami telah diberikan taklimat oleh beberapa orang pegawai kedutaan. Pelbagai tips dan nasihat yang diberikan. Aku semakin bersemangat dan keyakinan diriku makin bertambah untuk mendapatkan segulung ijazah.

Sehabis mendengar taklimat kami telah dikumpulkan mengikut kelompok ke destinasi seterusnya. Ada teman-temanku yang akan meneruskan perjalanan mereka ke Ujung Pandang, Bandung, Surabaya, Bali dan Jogjakarta.

Kelompokku yang teridiri daripada 13 orang pelajar telah dibawa ke alamat No. 8, Jalan Budi Kemuliaan. Di situlah terletaknya pejabat Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia. Kami telah disambut dengan ramah oleh beberapa orang kakak dan abang senior serta beberapa orang staf Jabatan Penuntut Malaysia. Kami diperkenalkan kepada beberapa orang staf MSD yang akan membantu kami dalam pengurusan visa pelajar dan apa sahaja hal-ehwal berkaitan kebajikan pelajar.

Kami diperkenalkan kepada mereka satu persatu. Wajah-wajah itu penuh dengan senyuman dan keceriaan. Pak Mawardi, lelaki berkulit agak gelap cuba bercakap dalam telor bahasa Melayu yang agak janggal di telingaku. Mbak Ika, seorang wanita cantik berkulit putih mulus hanya tersenyum sambil membongkokkan sedikit badannya semasa dirinya diperkenalkan.

“Mbak Ika akan membantu dalam urusan biasiswa.” Kata Pak Said, pengarah MSD.

“Ini dia orang yang tidak kurang pentingnya. Pak Osman.” Sambil mengacungkan ibu jarinya kepada Pak Osman. Pak Osman, yang rambutnya botak di tengah-tengah kepala hanya tersenyum.

Mbak Dewi, bertugas sebagai seorang kerani, Pak Rojali pula bertugas sebagai seorang pembantu Am dan tidak ketinggalan Pak Ibrahim, seorang pengawal keselamatan atau lebih dikenali sebagai satpam.

Seorang demi seorang staf diperkenalkan kepada kami sehinggalah kepada Kak Nor, wanita muda bertubuh tinggi lampai, berkulit hitam manis dan berlesung pipit yang kelihatan sangat jelas kalau beliau sedang tersenyum. Kak Nor bertugas sebagai Personal Asistant kepada pengarah MSD.

Pak Din pula yang berjawatan sebagai seorang warden telah memberikan penerangan kepada kami tentang asrama yang bakal kami tempati dan pelbagai hal berkaitan kebajikan sosial pelajar. Lelaki separuh umur yang bertahi lalat di pipi itu kelihatan sangat ramah walaupun baru pertama kali diperkenalkan.

“Kalau rindu masakan Malaysia, datanglah ke rumah.” Pelawa Pak Din kepada kami dengan ikhlas sebelum kami diserahkan kepada kakak-kakak dan abang-abang senior untuk urusan seterusnya.

Kak Nora, senior kami yang manis dan berlesung pipit menunjukkan bilik yang bakal kami tempati. Bilik yang memuatkan tiga buah katil tingkat kelihatan seperti bangunan bekas peninggalan penjajah. Suasana bilik itu amat suram. Pengaliran udara juga kurang kerana hanya terdapat sebuah tingkap. Kami disuruh memilih tempat masing-masing.

“Ateh katil atas ya. Alin katil bawah.” Alin, gadis bertubuh kurus lampai itu tiba-tiba bersuara seolah-olah memberi arahan kepadaku.

“Ok, tak kisah.” jawabku ringkas. Sebenarnya aku lebih suka katil yang di atas kerana tidak akan ada orang yang akan melandi katilku. Di rumahpun aku memilih untuk tidur di katil atas. Aku tersenyum sendiri apabila teringat bahawa aku pernah terjatuh dari katil. Hairannya aku langsung tidak berasa sakit apatah lagi tercedera. Akupun tidak ingat mimpi apa yang menyebabkan aku boleh terjatuh. Geli hati mengingatkan peristiwa itu.

“Janganlah sampai jatuh lagi.” Aku berkata di dalam hati sambil menuju ke arah katil, bakal tempat aku beradu.

Azah, Ju, Ana dan Bib memilih tempat masing-masing. Kami sibuk mengeluarkan pakaian dan barang-barang dan menyusunnya dalam almari yang disediakan. Almari itu cukup buatku malah masih ada banyak ruang. Maklum, aku tidak membawa banyak barang.

Aku membelek-belek baju dan kain batik emak yang sengaja aku bawa. Kata emak biar tidak berasa rindu. Aku meletakkan gambar kami sekeluarga yang diambil semasa hari raya aidilfitri di bawah lipatan baju emak. Gambar itu memang tidak diberikan bingkai.

Selain pakaian dan beberapa barang peribadi, emak juga membekalkan aku dan kakak sebotol air penerang hati. Emak begitu yakin tentang air itu. Sudah menjadi kebiasaan emak meminta imam masjid di kampungku untuk membuatkan air penerang hati setiap kali kami adik-beradik akan menduduki peperiksaan. Kali ini emak sudah menyediakannya awal-awal lagi. Apa tidaknya, kali ini aku dan kakak akan mengambil peperiksaan jauh di negeri orang.

“Jangan lupa tambah air tu. Jangan sampai kering.” Pesan emak kepadaku dan kakak.
“Sebelum minum baca salawat ke atas nabi dan doa penerang hati.” Sambung emak lagi.

Aku meletakkan botol air itu di bahagian belakang almari biar kawan-kawan baruku tidak bertanya tentang air itu. Aku sengaja tidak mahu mereka tahu tentang amalan emak terhadap air penerang hati itu. Memang, tidak semua orang percaya tentang hal-hal sebegitu.

“Tok..tok…tok…” Bunyi ketukan pintu mengganggu lamunanku. Entah mengapa sejak di dalam pesawat terbang lagi aku asyik melamun mengenangkan kisah-kisah silamku.

“Assalamu’alaikum.” Suara lembut Kak Nora kedengaran dari luar. Bib, si gadis kecil molek, kawan baruku meluru membuka pintu.

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Bib sambil menguak perlahan daun pintu. Aku dapat melihat wajah manis Kak Nora di muka pintu membawa pesanan untuk kami.

“Malam nanti, selepas Maghrib kumpul di aula dan pakai baju putih berkain hitam atau berwarna gelap.” Kak Nora memberikan arahan dengan suara yang lembut dan ringkas.

Nasib baik aku bawa sehelai kain berwarna hitam dan sehelai kemeja putih. Namun aku agak ragu sebab kainku itu agak ketat dan berbelah. Maklumlah kain yang dipakai dengan baju kebaya tentu saja ketat dan berbelah.

Kawan-kawan yang lain juga berasa lega kerana syarat berpakaian yang diberikan untuk pertemuan nanti malam dapat dipenuhi.

Episod aku dan kawan-kawan sebagai anak Jakarta membuka tirainya. Tirai pembukaan dimulai dengan sesi suai kenal yang dijalankan oleh kakak-kakak dan abang-abang senior.

Melangkah saja kaki di aula, hatiku mula kecut melihat wajah-wajah abang dan kakak senior yang tidak ada semasa sesi taklimat di pejabat MSD siang tadi. Wajah abang Rosli, amat garang kelihatannya. Pemuda yang bertubuh kurus tinggi dan berwajah cekung itu bercakap dengan loghat Jakarta. Aku teka, dialah ketua bagi sesi suai kenal itu. Suaranya yang garau bercakap dengan tegas.

“Eh, cewek! Kau ingat kau nak pergi ke mana pakai kain ketat-ketat ha?” Tiba-tiba abang Rosli bersuara kepadaku. Aku yang duduk bersimpuh kerana memakai kain ketat sebenarnya tidak mengikut arahan agar duduk bersila. Kecut sungguh hatiku. Terasa jantungku berdetak dengan cepat. Aku hanya mendiamkan diri kerana tidak berani untuk menjawab bagi memberi alasan bahawa aku hanya ada kain itu sahaja yang berwarna hitam.

“Kau pergi ganti kain lain. Kalau tak ada, pakai seluar panjang pun boleh.” Abang Rosli memberi arahan kepada aku.

Aku bingkas dengan cepat menuju bilik penginapan kami. Nasib baiklah bilik itu hanya beberapa langkah sahaja dari aula tempat kami berkumpul. Aku tidak berani untuk mengangkat muka melihat kakak-kakak dan abang-abang senior yang duduk berkeliling di sekitar aula.

Di dalam bilik, aku cepat-cepat menggantikan kain ketat itu dengan seluar panjang. Tanganku terketar-ketar semasa menyarung seluar. Hatiku sungguh kecut dan berdegup kencang.

Setelah bergabung dengan kawan-kawan yang lain, aku diminta untuk memperkenalkan diri dan kursus yang akan aku ambil. Ada beberapa orang daripada kawan-kawanku yang sudahpun mendapatkan “atribut” mereka. Aku tidak tahu kenapa Said diberikan gelaran “Tonyok” sebab aku tidak ada ketika dia mendapatkan gelaran itu. Mazlan, satu-satunya pelajar dalam kelompok kami yang akan mengikuti kursus kedokteran telah diberi gelaran “Dok”. Geli hatiku apabila teringatkan bunyinya sama dengan perkataan “dog” dalam bahasa Inggeris. Namun gelaran itu telah ditambah dengan perkataan “porno” menjadikannya “Doc Porno”. Itu semua gara-gara dia disuruh melakonkan watak seorang doktor yang akan merawat pesakit.

“Petient-nya tak ada, macam mana nak berlakon jadi doktor?” Mazlan melontarkan pertanyaan dengan selamba kepada abang Rosli.

“Oh, nak patien ya. Ha, Zuraidah, awak jadi pesakit.” Arah abang Rosli kepada Ju. Ju bergabung dengan Mazlan di tengah-tengah untuk berlakon. Tiba-tiba Mazlan bersuara, “Awak sakit apa?” Dia bertanya Ju dengan berlagak sebagai seorang doktor.

“Saya rasa pening kepala.” Jawab Ju dengan selamba. Aku perhatikan Ju memang ada bakat berlakon sebab dia kelihatan tidak janggal sama sekali.

“Cuba buka butang baju.” Si “doktor” memberi arahan.

“Oi, dokter apa ni? Orang sakit kepala disuruh buka butang baju.” Celah abang Rosli yang membantutkan lakonan Mazlan.

Kakak-kakak dan abang-abang senior yang lain semua tertawa. Kami juga turut tertawa.

“Saya nak check guna stetoskop.” Mazlan cuba membela diri.

“Sini.” Abang Rosli memanggil Mazlan. Dia bergerak menuju ke arah abang Rosli.

“Tanggalkan atribut kamu.” Abang Rosli memberi arahan. Kelihatan abang Rosli menulis sesuatu pada atribut tersebut.

“Ini nama baru kamu. ‘Doc Porno’ sebab kamu porno sih tadi.” Abang Rosli menyerahkan atribut kepada Mazlan semula sambil tersengeh.

Setiap orang mendapat gelaran masing-masing yang dituliskan di atas atributnya, termasuklah aku. Aku mendapat gelaran “Miss Tempe”. Gelaran itu aku dapat gara-gara aku dengan selamba memakan tempe mentah yang disuguhkan kepada kami. Bagi aku, memakan tempe mentah sudah tidak menjadi masalah sebab setiap kali aku membantu emak memotong tempe untuk dimasukkan ke dalam kuah lontong jualan emak; aku akan “ngap” beberapa potong tempe mentah masuk ke dalam mulutku.

Sesi suai kenal amat melelahkan kami namun telah memberikan pengajaran dan pengalaman yang sungguh tidak ternilai. Hampir setiap hari sepanjang sesi tersebut kami di ketengahkan dengan pelbagai situasi yang bakal kami tempuh apabila tinggal di kota Jakarta. Juadah kami terdiri daripada pelbagai menu. Kami disajikan nasi bungkus daripada restoran nasi padang dan warung tegal atau warteg.

Ada daripada kawan-kawanku yang tidak lalu makan menu daripada warteg. Antaranya adalah Bib. Kasihan aku melihatkannya sebab dia dipaksa menghabiskan sebungkus nasi yang lumayan banyak sedangkan dia makan hanya sedikit. Begitulah dengan minuman yang ada. Ada kalanya kami diberikana teh tawar dan ada kala pula “Teh Botol”. Air teh itu rasanya sangat aneh pada lidahku namun aku telan juga sebab takut dimarah oleh abang Rosli. Aku takut dibentak kalau melanggar arahan. Setiap kali ada abang senior yang meninggikan suaranya ekoran kesilapan yang kami lakukan; setiap kali itulah jantungku bagai mahu luruh dibuatnya.

Pada akhir sesi suai kenal, kami diminta untuk berlakon. Setiap orang diberikan peranan masing-masing. Perananku hanya kecil dalam drama tersebut. Aku hanya disuruh menangis apabila melihat mayat saudaraku terkujur kaku. Azah berlakon sebagai ibu dan Hamzan pula sebagai ayah. Ekoran daripada itu, panggilan mama dan papa melekat pada Azah dan Hamzan dalam kalangan kelompok kami.

Sesi suai kenal itulah yang telah merapatkan hubungan kami sesama pelajar baru dan pelajar-pelajar senior. Pada ketika itu, asrama Budi Kemuliaanlah tempat anak-anak Malaysia menetap sepenuh masa. Hubungan kami ibaratkan sebuah keluarga besar yang penghuninya daripada pelbagai latar belakang. Baik bidang yang dipelajari mahupun negeri tempat asalnya di Malaysia.

Terdapat tiga orang senior perempuan yang tinggal disebelah bilik kami, iaitu Kak Nora, kak Nab dan seorang lagi kak Nora. Kak Nora ini mendapat gelaran “Nora Kecik” disebabkan susuk tubuhnya yang kecil molek. Kesemua mereka mengambil jurusan agama. Namun lebih istimewa lagi, kak Nab dan kak Nora Kecik yang mendapat biasiswa Yayasan Kelantan mengambil jurusan hafazan al-quran di Institut Ilmu Al-Quran. Sebenarnya aku baru tahu ada orang belajar al-quran sampai ke peringkat ijazah setelah berkenalan dengan mereka.

Senior lelaki dan kawan-kawan lelaki sekumpulanku menempati sebahagian lain ruangan asrama. Jumlah pelajar lelaki lebih ramai daripada pelajar perempuan ketika itu. Bilik antara pelajar perempuan dengan pelajar lelaki dipisahkan dengan aula yang luas. Aula itulah tempat kami berkumpul, menonton televisyen, makan, berehat, bersembang dan mengadakan mesyuarat jika perlu.

Abang Shamsudin, yang mengambil bidang arkitek dari Universitas Trisakti merupakan “Pak Lurah” dan kak Nora yang merupakan pelajar Institut Agama Islam Negeri adalah “Ibu Lurah”. Mereka bertanggungjawab menjaga hal-ehwal asrama dan sahsiah pelajar yang menginap di situ. Kedua-dua orang Pak Lurah dan Ibu Lurah berperawakan lembut namun tegas dalam menjalankan tugas masing-masing.

Kini Asrama Budi Kemuliaan adalah rumahku dan syurgaku. Di sinilah tempat aku menyusun strategi untuk berjuang ke medan ilmu. Jika aku menang maka aku akan meraih segulung ijazah yang menjadi sasaran utamaku datang ke Jakarta.

Budi Kemuliaan jugalah tempat di mana aku menjalin kenangan-kenangan manis yang aku simpan dan hamparkan dalam jiwa dan sanubariku.

Ateh Halimah, Port Dickson, 12 Disember 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 27 – Nor Aizan Ab Halim

Indahnya Puncak, Bandung, Dan Jogjakarta
Pagi-pagi lagi sudah bangun. Selepas solat tadi aku sudah sedia mengambil sarapan, secawan nescafe classic yang kubawa khusus dari Malaysia, dua keping roti disapu keju dengan serunding daging mak, kutabur di atasnya. Boleh tahan juga sedapnya walaupun makan sendirian. Cukuplah untuk mengalas perut. Nanti makan lagi, bersarapan dengan Irfan. Aku bersiap-siap untuk menemani Irfan ke Puncak, Bandung dan Jogjakarta. Tiga tempat yang selama ini hanya kudengar saja orang bercerita tentang keindahan dan keistimewaannya. Tidak sabar rasanya untuk mengunjungi tempat-tempat ini. Lebih menyeronokkan lagi dapat pergi dengan kekasih hati, pengarang jantung.

Kata mereka, Puncak, suhunya nyaman, macam Cameron Highlands atau Genting di Malaysia. Di sana kita boleh nampak kebun teh, kebun sayur dan kebun buah-buahan yang sesuai tumbuh dengan suhu yang sederhana sejuk seperti kobis, buah anggur, strawberi, apel dan sebagainya. Kebun bunga yang berwarna warni seperti ros juga akan menambah lagi kecantikan kawasan Puncak. Itu khabar angin atau cerita-cerita dari kawan-kawan yang pernah ke sanalah. Kata mereka, lukisan tangan bersaiz besar, sesuai untuk dinding, banyak dan boleh dibeli dengan harga yang sangat murah, lebih kurang tiga ribu hingga tujuh ribu rupiah atau lima hingga lima belas ringgit sahaja harganya. Aku pengemar lukisan warna air atau minyak. Tidak sabar untuk kuborong lukisan-lukisan tersebut. Betul atau tidak apa yang diceritakan mereka, dapatlah aku pastikan hari ini, bila sudah sampai ke destinasinya.

Bandung pula cuacanya tidak terlalu panas kata mereka. Banyak juga tempat-tempat menarik di Bandung. Di Bandung ada banyak dijual barang-barang kulit. Aku akan ajak Irfan ke Cibaduyut untuk mendapatkan sepatu buatan tangan dan beg tangan dari kulit. Berbagai bentuk yang menarik boleh didapati di sini. Paling menarik hati dan tidak sabar rasanya aku hendak ke Jogjakarta. Banyak peninggalan sejarah di daerah ini. Tunggulah aku akan sampai juga nanti. Aku rasa aku akan minta Irfan lebih banyak habiskan masa di Jogja.

Terbayang cerita tentang Tangkuban Perahu dan Gunung Bromo, yang sangat cantik pemandangannya. Kawasan bekas gunung berapi meletus ini sangat menarik rupanya, hasil dari aliran lahar letusan gunung berapi dulu, meninggalkan kesan yang indah dan menggamit ramai pengunjung. Candi Borobudor salah satu dari keajaiban dunia, dan beberapa tempat yang lain juga terkenal di kalangan para pelancong dan selalu bermain di bibir para pengunjung ke destinasi ini. Aku juga teringin sekali makan duduk bersila, disebut lesehan, bersama kekasih hatiku di jalan Malioboro, dengan iringan muzik dan nyanyian merdu pengamen atau penyanyi jalanan. Aduh romantiknya. Aku mahu cari warung lesehan yang cahaya lampunya samar-samar sahaja biar lebih romantik. Atau kalau mungkin hanya cahaya lampu pelita sahaja yang menemani kami berdua, mengingatkan zaman dulu-dulu waktu di kampung nenek, yang belum ada elektrik. Adoi....seronoknya jika aku dapat menikmati suasana ini bernostalgia bersama buah hatiku. Huh...sudah jauh betul angan-anganku bersama Irfan. Tersenyum sendirian aku.

“Mee ayam, enak...mee ayam enak, murah meriah....!!!” Tiba-tiba kedengaran suara nyaring, bapak yang menjaja mee ayam melewati depan rumahku. Biasanya kalau kuliah lambat atau hari minggu, kami atau lebih tepatnya aku sangat suka mee ayam Pak Maman. Sedap, tapi dengan syarat jangan ternampak kepala ayam yang direbus bersama di dalam kuahnya. Seleraku akan hilang serta merta. Pak Maman sangat memahami aku sejak kali ke tiga aku berlanggan mee dengannya, dia memasukkan sekali kepala ayam yang sangat mengerikan itu ke dalam mee yang kubeli, terus aku termuntah, langsung tidak dapat makan hari itu. Sebulan kemudian barulah aku dapat melupakan peristiwa itu dan mampu menelan semula mee ayamnya yang sangat sedap. Mungkin sebab kepala dan kaki ayam tersebut agaknya yang menambah keenakannya...hehe... kelakar juga bila dikenangkan.

Rumah kostku sepi. Kawan-kawan belum bangun ke? Atau sudah keluar ke mana-mana mereka ni? Kadang-kadang keluar macam tu saja tanpa memaklumkan kepada aku. Hemm...seolah-olah aku tidak wujud dibuatnya. Tak apalah, manusia ni bermacam-macam bentuk dan corak sikapnya. Aku memang tidak pandai mengambil hati orang agaknya. Kadang-kadang rasa susah sangat untuk menyesuaikan diri dengan mereka.

Rumah sebelahpun sunyi tidak kedengaran suara Lukman yang biasanya jadi pembuka hari di pagi hari begini, semua nama kami dijerit atau dipanggilnya hampir setiap pagi. Mungkin itulah caranya untuk menghilangkan sunyi atau kerinduan kepada ahli keluarga di kampung halaman. Menurutnya, adik beradiknya ramai, jadi suasana rumah akan selalu bising dan meriah. Mungkin itulah sebabnya dia selalu mesra dan suka bercakap, sudah terbiasa di rumahnya yang ramai.

Aku telah memaklumkan kepada Lukman yang aku akan ke Jogja bersama famili Ineng. Berbohonglah pulak aku, tapi nak buat macamana, terpaksa demi untuk kebaikan aku dan Irfan. Dengan Mak, aku sudah memaklumkan melalui telefon hari Isnin lepas ketika berbelanja di Golden Truly. Mak hanya mengiakan saja, jadi aku tidaklah rasa bersalah sangat ikut Irfan kerana mak sudah tahu dan mengizinkanku.

Jam sudah menunjukkan pukul 8.50 pagi. Aku berjalan keluar menuju jalan Margondaraya untuk menunggu Irfan, sambil membimbit sebuah beg hitam kecil muatan pakaian empat hari. Janjinya jam 9 pagi kami akan bertolak ke destinasi kami. Kurang lima minit ke pukul 10, Irfan sudah muncul dengan kereta Toyota Camrynya. Ehmm...selalu menepati masa. Tidak sempat hati `sebel’ menunggu. Kalau dulu dengan Ari aku selalu kena menunggu, aku yang akan sampai dahulu. Nasib baiklah Ari jenis yang tahu meminta maaf, sedar kesalahan membuat hatiku yang mendidih jadi sejuk semula. Huh, tak habis-habis aku membanding-banding Irfan dengan Ari, mungkin sedang menjalani proses peralihan untuk menggantikan nama Ari yang terpahat kukuh di hati dengan nama Irfan yang baru menempatkan diri, melangkahkan kakinya ke lubuk hatiku. Aduh.....susah juga.

“Hai sayang....udah lama nunggu?” Irfan berhenti betul-betul di hadapanku. Senyuman paginya segar sekali. Tidak pernah `moody’ dia ni. Tapi tak taulah kalau dia jenis yang pandai kontrol `macho’, nampak ‘cool’ je kalau di depanku, jangan-jangan bila di belakangku `moody’ habis, atau garang macam singa, pantang salah sikit akan mengamuk, penampar naik ke muka atau sepak terajang jadi permainan harian. Hei.....seram aku bila memikirkan kemungkinan keadaan macam ni. Macam dalam cerita-cerita selalu ada aksi-aksi begitu dan kawan-kawan selalu bercerita tentang isteri didera. Nauzubillah, jauhi aku dari situasi begini. Jika ternyata Irfan juga tergolong dalam golongan ini, Engkau jauhilah dia dariku, ya Allah, aku redha, walaupun aku sangat menyayanginya.

“Nur, kok bengong, masuk dulu nanti sambung ngelamunnya dalam mobil.” Irfan mengejutkan aku dari lamunan seketika. Aku hanya mampu tersenyum menutup rasa malu. Beg pakaian aku telahpun dimasukkan ke dalama bonet keretanya, tidak sedar aku kerana sibuk melayan perasaan sendiri tadi. Aku menempatkan diriku dalam posisi yang selesa di samping jejakaku untuk menempuh perjalanan yang sangat jauh sekali aku jangkakan. Maklum belum pernah sampai ke sana, tidak dapat mengagak jarak masa sebenar. Suka ada, takut pun ada, sama banyak.

“Ok sayang, udah baca doa perjalanan, boleh kita bergerak sekarang?” Irfan sengaja menyedarkan aku supaya berdoa kerana dia melihat aku masih duduk seperti orang ‘mamai’, lain dari kebiasaan, duduk saja ke kereta, aku akan terus berdoa. Hari ini diam saja. Aku terus mengangkat tangan dan berdoa sekadarnya.

“Nur, kenapa kamu kok diam begini...ngak jadi pergi nih, takut ya?” Irfan menduga fikiranku sambil tangannya mencuit daguku, yang katanya sangat cantik dan sangat disenanginya. Maklum, masa masih suka, semuanya indah. Kalau sudah tak suka, dagu pun dilihat macam siku. Aku senyum sambil menganggukkan kepalaku, “takut dikit, kan jauh.”

“Jangan khawatirlah, kan aku ada bersamamu, mudah-mudahan semuanya mulus, kan udah doa tadi.” Irfan terus menyakinkan aku dalam usaha untuk menceriakan aku.
Aku mengangguk lagi sambil senyum padanya, “ya...begitu dong, kan manis senyum dipagi hari begini, moga-moga dengan senyummu perjalanan kita ceria dan lancar.” Jarinya menyelak rambutku yang mula menutup mata. Akupun sudah rimas sebenarnya dengan rambut yang sudah mula panjang, namun tidak sempat untuk memotongnya. Dulu waktu sekolah suka rambut panjang ke paras punggung, tapi bila putus cinta dengan Ari, aku terus memotongnya pendek, ‘layer,’ buang duka kata Liza sahabatku. Juga sebagai satu cara protes kepada Ari yang sukakan rambutku disimpan panjang.

“Thanks....” Tiba-tiba sahaja aku melontarkan kata terima kasih kepada Irfan.
“Untuk apa sayang?” Irfan pula rasa pelik.

“Sayang sama aku, ajak aku jalan-jalan dan sangat baik sama aku, senang banget.”

“Pasti dong, kan kamu pacarku, pasti aku sayang kamu sama seperti sayangku pada diriku sendiri. Kamu senang aku juga senang, kamu nangis, tapi aku ngak nangis lho karena aku ngak suka nangis, tapi aku akan berduka sama kamu. So, kamu harus happy selalu supaya kita ceria bersama, boleh? Kalau ada apa-apa yang gue lakukan nyakitin kamu, kamu harus bilang, jangan diam aja?” Kata-kata yang pastinya sangat menusuk ke kalbuku, jadi sebak. Rasanya mahu memeluk Irfan kerana kasihku makin mendalam padanya.

Tidak dapat menahan air mata senduku dengan kata-kata Irfan sebentar tadi. Memang air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi, terus bercucuran keluar. Irfan jadi terkejut.

“Lho, kok kamu jadi emosi begini....tenang sayang, atau ada apa sebenarnya kamu, bisa nangis begini?” Kesian Irfan, jadi panik dia melihat aku buat pertama kalinya menangis di depannya, tanpa sebab yang jelas. Sebelum ini hanya ketawa saja bila bersamanya, Dia berhentikan keretanya. Menyapu air mataku, memaut bahuku sambil membelai rambutku.

“Sori Fan, ngak niat bikin kamu panik begini, tiba-tiba saja aku jadi sedih karena gembira sekali dengan apa yang kamu lakukan padaku, aku rasa sangat disayangi, terima kasih Fan.” Irfan tersenyum memandang aku. Dia meghembus nafas leganya mendengar pengakuanku.

“Benar kamu akan sayang aku sampai aku mati?” Tanyaku sambil merenung dalam ke matanya. Teringat Ari yang janjinya sama tetapi tidak ditunaikan.

“Iya sayang...aku udah janji sama kamu, sama mamamu, sama Tuhan jugak. Aku ngak pernah sayang cewek lain sama seperti aku sayang kamu, percayalah sama aku.”
Akuinya. Aku sepatutnya pasrah saja, janji memang mudah, untuk menunaikannya yang payah. Ari dulu pun janji begitu. Yang penting aku lalui sajalah perjalanan hidupku sekarang dengan janjiku pada diriku sendiri, aku akan jaga kehormatan diriku, walau apapun terjadi. Mudah-mudahan Allah melindungiku dari gelora jiwa muda aku dan Irfan. Irfan menggenggam tanganku mencium tanganku sambil matanya pejam, persis seperti sedang berdoa.

“Nur, aku pinta kamu juga seperti aku, akan sayang aku sampai akhir usiaku seperti kamu sayang dirimu sendiri, boleh.....?” Tiba-tiba dia pula yang bersuara dengan suara yang sebak sambil merenung aku. Aku mengangguk. Sekali lagi dia memegang daguku lembut, “so sweet darling,” katanya perlahan.

“Boleh kita jalan sekarang...?” Tanyanya dengan senyum lebar. Aku mengangguk juga membalas senyumannya.

“Ya, gitu dong....kan manis dan happy mau jalan jauh.” Irfan sudah memberi tumpuan kepada perjalanan kami.

“Pasti kamu lapar kan....? Nanti kita sarapan di Pasar Minggu.” Aku hanya mengangguk setuju. Selesai sarapan kami meneruskan perjalanan ke Puncak. Beberapa jam sahaja kami sudah sampai ke kawasan tanah rata di Puncak. Wow....sejuk sekali rasanya. Kabus kelihatan berkumpulan di sana sini, menunjukkan suhunya sangat sejuk. Cuaca pula redup, hari seperti mahu hujan. Menurut Irfan, memang cuaca selalu macam ini, ‘adem’.

Wah, nyaman sungguh rasanya. Kenyamanan yang bukan saja pada suhu dan cuaca tetapi juga kerana pengapitku ada bersama. Pegangan tangannya yang tidak terlepaskan dari keluar kereta tadi membantu menghangatkan suhu badanku. Bahagia sekali rasanya. Pertama kali dalam hidup merasakan diri sangat disayangi, dilindungi dan dimanjakan. Terima kasih Tuhan menemukan aku dengan dia, buah hatiku yang memiliki segala-galanya, sangat tinggi budi pekertinya, sempurnanya dia sebagai seorang lelaki bakal suamiku. Pada awal dulu kelihatan sangat kekok dia untuk memperlakukan aku begini, aku pun sama, terasa benar dipaksakan, tetapi sekarang sudah serasi sekali, malah kami sudah menerimanya sebagai satu perluahan dari rasa sayang kami berdua. Kalau ini satu dosa mudah-mudahan Allah mengampuni kami yang tidak dapat mengawal diri diselubungi kasih sayang.

Irfan terus memimpin tanganku ke arah deretan dagangan di kawasan ini. Jauh juga jaraknya. Sebelum sampai ke tempat tujuan, aku menarik tangan Irfan, mengajaknya menghadap ke arah cerun atau lembah sebelah kiri. Cantik sungguh pemandangannya. Pokok yang sudah semakin berkurang daunnya, macam musim luruh, kelihatan cantik sekali. Diindahkan lagi dengan gumpalan kabus disekelilingnya.

“Sungguh besar kuasa Tuhan mencipta semua ini,” kataku sambil memandang Irfan. Irfan menganggukkan kepalanya setuju dengan kataku.

“Tetapi lebih besar kuasa Tuhan menemukan dan menciptakan kamu untukku Nur.” Kata-kata Irfan yang sangat indah dipendengaranku. Dia melepaskan genggaman tanganku lalu memeluk pinggangku dan mencium rambutku.

“Amboi....awas tanganmu Fan.” Aku menegur Irfan yang aku rasakan sudah semakin berani nampaknya.

“Alah....sikit saja la sayang,” balasnya dalam lenggok Malaysia. Aku ikut ketawa geli hati dengan gaya melucunya si Irfan sambil perlahan-lahan aku meleraikan pelukan tangannya di pinggangku, tidak selesa dan tidak suka, tetapi tidak mahu Irfan tersinggung.

Irfan akur. Dia mengenggam tanganku semula. Kami meneruskan matlamat untuk melihat barangan yang dijual di sini. Sangat tergoda aku melihat barangan hiasan yang dijual berbagai-bagai jenis dan bentuk. Dari sekecil-kecil barangan sampailah sebesar-besarnya. Sungguh pandai warga Indonesia merekacipta pelbagai barangan kraf tangan yang menarik dan boleh dijual dengan harga yang murah. Rasa macam nak beli semuanya. Cantik-cantik belaka.

Beberapa jenis buah-buahan aku beli seperti apel, salak pondoh yang buahnya kecil dan manis sekali. Ada apel manalagi yang buahnya kecil tetapi sangat rangup. Kalau di Golden Truly kedua-dua jenis buah ini lebih mahal. Di sini dengan Rp2000 aku sudah memiliki satu beg plastik, tidak tahu berapa kilo tetapi dikira satu longgokan. Kami juga membeli buah anggur, jeruk dan buah strawberi. Semua ini untuk bekalan dalam perjalanan kami nanti. Untuk ole-ole, kami akan singgah lagi sewaktu pulang nanti, itu janji `cowokku’ ini. Kami terus mencari penjual lukisan.

Aku memilih lukisan cat minyak. Satu demi satu aku ambil, tanpa kusedar sudah 30 keping semuanya. Hati mahu lagi, tapi rasanya sudah terlalu banyak. Cantik semuanya, tidak tahu mahu pilih yang mana untuk kurangkan bilangan dari tigapuluh. Ada gambar pemandangan dan jambangan bunga. Paling aku suka lukisan sekuntum bunga mawar merah yang hidup sekali bentuk dan warnanya. Sayangnya Irfan sudah terlebih dahulu memilihnya dan terus membayar. Sudah tidak ada lagi penduanya lukisan itu. Kesal rasa hati kerana tidak dapat memilikinya. Aku merayu meminta dari Irfan tapi dia menolak, tidak diberinya. Sampai hati.

“Nur, kamu udah punya banyak tuh, aku mau satu aja yang ini, boleh kan....,” katanya, mudah sekali menolak tanpa mempedulikan perasaanku. Sedih rasa hati. Tapi takkanlah nak bermasam muka untuk sekeping lukisan ini pula.

“Ngambek ye sayang?” Irfan sengaja mengusikku setelah melihat aku berdiam diri dan mungkin ada gambaran kesal di wajahku. Aku menggelengkan kepala menafikan, walaupun sebenarnya ada rasa kesal dihati tetapi kututupi dengan senyuman dibuat-buat. Ok-lah tu masih boleh senyum walaupun pura-pura.

Aku mengajaknya mencari di tempat yang lain, tetapi ternyata lukisan itu hanya ada satu itu sahaja. Gambar ros print adalah tetapi tidak secantik ros lukisan tangan tadi. Puas kami mencari di mana-mana. Irfan membeli sekeping lagi lukisan gambar air terjun, cantik sekali, hidup kelihatan terjunan air dari kawasan tebing tinggi itu. Aku rasa dapat bayangan air terjun itu jatuh ke bawah seperti ada air betul-betul. Eh...imaginasiku atau berhantu lukisan ini. Aku tertawa kecil.

Terkejut Irfan melihat aku yang ketawa tiba-tiba. Apabila aku menceritakan apa yang aku nampak, dia juga ikut ketawa sambil melakukan hal yang sama, memerhati lukisan itu dan ketawa lebih kuat kerana dia juga membayangkan hal yang sama. Rupa-rupanya sesuatu yang tiada kalau diimaginasikan akan jadi seperti ada. Itulah kuasa imaginasi manusia, agaknya hantu-hantu yang selalu diceritakan wujud itu juga adalah hasil dari imaginasi seperti ini. Lucu juga tu.

Tiba-tiba hujan gerimis mula turun. Kelam kabut semua pengunjung dan penjual berlari menyelamatkan diri dari ditimpa hujan, yang walaupun kecil titisannya tetapi cukup untuk membasahkan pakaian. Irfan membuka jaket kulitnya untuk menutup kepalaku dan kepalanya. Kami berlari-lari anak menuju ke kereta Irfan yang lumayan jauhnya. Titisan hujan yang seperti berkabus itu sangat cantik kelihatannya. Baru pertama kali melihat suasana seperti ini, sungguh terkesima. Dulu beberapa kali ke Genting Highland dan Cameron Highlands, tidak pernah terserempak dengan suasana indah sebegini, ditambah lagi dengan kehadiran Irfan, jadi lebih indah dan romantis......hmmm asyiknya.

Cuaca semakin dingin. Badanku sudah menggigil, tidak tahan sejuk, apalagi dengan pakaian kami sudah lembab dari pinggang hingga ke kaki. Nasib baik aku dan Irfan sudah berada di dalam kereta ketika hujan turun semakin lebat. Nampaknya rancangan Irfan untuk terus ke kebun teh bapanya bertemu pengurus ladang tidak jadi. Dia mengambil keputusan terus ke villanya dahulu, mandi dan ganti pakaian, makan tengahari dan petang barulah ke kebun, jika hujan sudah berhenti. Mungkin juga rencana untuk terus ke Bandung hari ini terpaksa ditunda ke besok hari kerana kemungkinan urusan di ladang tehnya tidak akan selesai hari ini juga, disebabkan hujan turun.

Kami sudah sampai di villanya, yang tidak jauh dari pusat berbelanja tadi. Villa yang dicat warna hitam putih itu betul-betul mengingatkan aku kepada rumah-rumah binaan Inggeris di Bukit Tinggi, Genting Highlands dan Cameron Highlands. Pengaruh penjajah sangat terserlah kelihatan di situ. Kalau di Malaysia, rumah-rumah ini dipengaruhi senibina Inggeris kerana mereka, tuan punya ladang ini dulunya orang Inggeris, yang membina rumah-rumah di ladang mereka. Begitu juga di Indonesia, khususnya di Puncak ini, dulunya dijajah Belanda, maka hasilnya banyak bangunan dipengaruhi senibina Belanda.

Wow... cantik sekali banglo milik keluarga Irfan. Bahagian atas dibina beranda yang sangat luas, siap dengan tiga ‘set meja teh’ untuk keluarga mereka berehat sambil minum petang atau kudapan di waktu malam. Di halaman rumah dan kawasan sekelilingnya terjaga rapi dengan tanaman hiasan, pokok bunga yang berwarna-warni dan bonsai, dari pelbagai spesis pokok yang aku sendiri tidak tahu namanya. Hanya satu yang kutahu namanya, kalau di Malaysia aku sebut pokok sinai, memang cantik dibuat bonsai.

Banglo ini dijaga oleh seorang tukang kebun dan pembantu rumah suami isteri yang dibawa dari kampung ibunya di Semarang. Sangat setia mereka ini, yang sudahpun mempunyai sepasang anak, kelahiran Puncak, berusia empat dan enam tahun, berarti sudah lapan tahun lamanya Tukiman dan isterinya Sirna berkhidmat untuk keluarga Irfan. Malah, Puncak sudah menjadi kampung halaman mereka, jarang sekali pulang ke Semarang, sangat ‘betah’ di banglo ini, seolah-olah rumah mereka sendiri kerana tuan empunya villa jarang berkunjung. Keluarga Irfan memberi gaji dan menyara hidup keluarga empat orang ini sambil mereka menjaga banglo yang jarang-jarang sekali dikunjungi keluarga Irfan. Kalau dulu sebelum bapanya berkhidmat keluar negara, banglo ini sering dikunjungi sekeluarga bersama teman-teman pada hujung minggu.

Kedua-dua penjaga banglo atau Irfan lebih senang memanggilnya Villa Budi, sangat ramah dan kelihatannya baik sekali. Mereka menyambutku dengan penuh rasa hormat, maklum, aku tetamunya Den Mas, aku tidak tahu maksudnya, bila kutanya Irfan, dia hanya gelak besar tetapi tidak menjawab pertanyaanku. Tak apa, nanti aku tanyakan si Sirna, apa maksudnya Den Mas itu, pelik bunyinya, tapi macam panggilan atau nama dalam hikayat-hikayat lama seperti Merong Mahawangsa dan sebagainya tu.

Aku terus dibawa ke bilikku oleh Sirna. Aku terus mandi dan syampu rambutku. Kalau kubiarkan kelamaan, aku mudah terkena selsema atau sakit kepala. Segar dan lega rasanya setelah mandi, berganti pakaian, solat dan rehatkan badan di perbaringan seketika. Sedang aku seronok melayan diri, pintu diketuk, kedengaran suara Sirna memanggilku lembut.

“Mbak Nur, Den Mas udah ngajak makan, udah telat nih, nanti masuk angin....!” Nah, itu ayat klise...masuk angin kalau lambat makan, apa lagi kehujanan. Kepercayaan atau kejadian begini yang selalu disebutkan orang Melayu Malaysia atau Indonesia. Hanya dokter yang tahu kebenaran ini agaknya.

Aku keluar dengan senyuman sambil mengucapkan terima kasih kepada Sirna. Irfan sudah siap menunggu di meja makan dengan gaya seorang Pangeran, lalu aku melawak,
“wah...Den Mas udah menunggu, ampun patik telat....,” ujarku sambil ketawa terkekek-kekek. Irfan ikut sama ketawa, tetapi kelihatan mukanya merah padam, malu agaknya disindir.

“Awas loe Nur, ngeledek gue ya....,” balas Irfan sambil bangun mengejar aku keliling meja makan. Sirna dan Tukiman yang sedang membawa minuman ikut ketawa melihat perangai keanak-anakan aku dan Irfan.

“Udah Fan, malu sama Sirna dan Tukiman,” pintaku mengaku kalah. Sebenarnya aku sudah kepenatan, setelah beraksi macam budak-budak. Seronok juga, mungkin kalau Sirna dan Tukiman tiada di situ, adegan kejar mengejar ini akan berterusan...hehe.
Setelah duduk bertenang, aku dan Irfan memulakan santapan kami. Kegemaranku. Sayur asem, di dalamnya ada jagung manis, kacang panjang, labu air, buah belinjo, kulit belinjo, dan kacang tanah, sedapnya, sangat menyelerakan. Ada juga kulit belinjo digoreng pedas bersama ikan bilis kecil dan kacang tanah goreng di dalamnya. Ayam goreng pun ada. Seperti biasa, tauhu dan tempe goreng juga tersedia. Walaupun lauknya hanya empat jenis, dan nampaknya ringkas sahaja, tetapi cukup untuk memancing seleraku dan Irfan. Kami makan dengan berselera sekali, apalagi dalam cuaca sejuk begini. Sangat pandai Sirna memasak. Sayur asam pedasnya sangat sedap, ada rasa manis, masin, masam dan pedasnya yang cukup. Tidak malu untukku tambah nasi.

“Badan kurus tapi makan banyak,” perli Irfan. Aku hanya tersengih sambil menjelirkan lidahku.

Hujan sudah berhenti. Irfan mengajakku ke kebun tehnya yang luas melaut. Cantiknya pemandangan. Memang konglemerat bapanya, beratus ekar luasnya kebun teh ini, bukan mudah menjadi pemilik kebun seluas ini. Ketika aku bertanya berapa keluasan kebun teh bapanya, Irfan hanya tersenyum, “ada lah dikit, ngak banyak kok Nur,” jawabnya tenang.

Menurutnya, kebun ini adalah warisan dari datuknya yang keturunan keraton Jokjakarta. Bapanya anak tunggal, jadi semua harta datuknya menjadi milik bapanya setelah datuknya meninggal. Ohh....keturunan raja-rajalah tu, patutlah kaya betul, kata hatiku. Itulah juga sebabnya kenapa Sirna memanggil Irfan Den Mas singkatan Raden Mas untuk golongan raja atau bangsawan Jawa zaman dahulu, agaknya. Irfan tidak banyak bercerita tentang kekayaan keluarganya. Mungkin dengan cara mengajak aku mengikutinya berjalan sambil bekerja macam ini boleh memperkenalkan aku dengan dia dan keluarganya lebih dekat. Sebenarnya, apa yang dimiliki keluarganya bukan perkara penting bagiku, yang penting adalah Irfan dan keluarganya. Kasih sayang Irfan dan penerimaan keluarganya sangat penting bagiku. Kalaupun Irfan orang susah pun aku terima kerana akupun bukannya orang senang dan bukan itu yang kucari. Aku mencari kebahagiaan yang penuh dengan kasih sayang, yang selama ini jauh dariku. Kalau mereka menerima aku, akan kutadahkan tapak tanganku menyambutnya. Bahagia sangat rasanya.

Irfan sudah selesai berurusan dengan pengurus ladang dan berjumpa dengan mandur-mandur ladangnya, ketika itulah aku sibukkan diri meninjau kawasan ladang. Aku biarkan Irfan menyelesaikan urusannya. Kemudiannya Irfan memanggilku bergambar di sekitar ladang. Kenang-kenangan perjalanan pertama kami bersama menuju bahagia. Insyallah. Ladang ini letaknya di belakang villa, melebar dan memanjang ke belakang, seluas mata memandang. Kalau waktu musim memetik daun teh, Sirna dan Tukiman ikut sama ‘panen’, dapat menambah pendapatan mereka. Ketika semua urusannya selesai, hari sudah senja. Jelaslah, kami akan ke Bandung besok pagi, pasti tidak sempat bertolak sekarang. Irfan tidak suka bergerak waktu malam menuruni kawasan perbukitan itu, bahaya katanya.

Malam hari cuaca makin sejuk. Selepas makan malam, Irfan mengajakku keluar berjalan-jalan di sekitar Puncak. Tetapi ternyata, waktu malam, tidaklah sehangat di kota, sunyi sepi terasa. Sayu rasa hati. Macam-macam terfikir di mindaku. Hanya kami berdua berjalan-jalan dan berhenti di tepi jalan memandang jauh ke kebun teh, yang kelihatan hanyalah lampu atau nyalaan api dari rumah pekerja yang dbina di tengah-tengah dan di tepi-tepi ladang. Sangat rasa tenang untuk berehat di sini, apalagi untuk memadu kasih, berpacaran sesuai sangat, tetapi bagiku, untuk tinggal di sini, aku rasa tidak sesuai dengan jiwaku.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 malam. Irfan mengajakku pulang. Aku rasa sejuk yang mencengkam ke tulang sum-sum, sangat melemahkan aku. Memang tidak tahan sejuk aku, mungkin kurus sangat dengan beratku 40 kilogram, tidak cukup lemak untuk memberi haba agaknya.

Selepas Sirna menyajikan kopi panas, kami minum sambil menonton televisyen melalui pancaran parabola, tetapi siarannya tiada yang menarik. Matapun sudah mengantuk, aku dan Irfan menuju ke bilik masing-masing untuk merehatkan diri dan bersedia bertolak ke Bandung pagi-pagi besok. Kami masing-masing tidur dengan nyenyak dalam suhu sejuk, berbalutkan selimut yang tebal.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 10 Disember 2011.

Sunday, 4 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 26 – Nor Aizan Ab Halim

Surat SJ
Terbangun dari tidur, teringat aku belum solat Isyak. Tengok jam pukul 4 pagi, masih sempat solat Isyak. Cepat-cepat bangun, takut nak ke belakang, aku menjenguk teman kostku di bilik belakang, biliknya sudah cerah, sudah bangun agaknya, aku memanggilnya. Dia menyahut, alhamdulllah, aku ke bilik air belakang, mengambil wuduk. Solat, mahu tidur lagi. Teringat pula surat SJ yang belum kubaca.

Aku bangkit, mencari surat SJ di dalam beg sandangku tadi. Aku mengeluarkan surat-surat tersebut. Ku letakkan di atas meja. Aku terus membuka sampul surat SJ. Surat pertama bertarikh seminggu lebih awal berbanding surat kedua. Aku membuka surat pertama terlebih dahulu. Isinya menceritakan dia masih bekerja dengan syarikat abangnya, tetapi dia terpaksa berulang-alik ke Kuala Terengganu kerana ditugaskan menjaga cawangannya di sana. Seronok mendengar orang sudah bekerja, sedangkan aku bertungkus lumus belajar dan baru bermula. Nasiblah ini rezekiku dan takdirku, kena terimalah. Nasib baik keputusan peperiksaan pertama memuaskan hati.
Surat kedua, menceritakan dia sudah mendapat tawaran bekerja di sebuah badan berkanun di Kuala Lumpur. Syukurlah, dia dapat melakukan kerja yang sesuai dengan bidang kelulusannya, bidang ekonomi. Dalam keadaan ekonomi gawat seperti ini, susah nak dapatkan kerja, akhirnya dia diterima juga di perbadanan tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya dia dapat juga, rezeki dialah. Lagipun memang dia layak untuk mendapatkan posisi tersebut. Dia antara pelajar terbaik dari Fakulti Ekonomi untuk tahun 1988 tersebut. Aku tumpang gembira untuknya. Dia juga menyertakan bersama tiga keping gambar konvokesyennya dan gambarnya bersama keluarga di hari konvokesyen tersebut. Cemburu melihat kebahagiaan keluarga mereka dan apa yang dimiliki, namun aku tumpang bahagianya seorang sahabat baik.

SJ terus menulis mengenai betapa bosannya kehidupan sehari-hari tanpa kawan-kawan rapat. Sangat berbeza dunia pelajar dengan dunia kerja katanya. Kalau waktu belajar dulu, ramai kawan-kawan boleh berbual-bual dan bercerita macam-macam cerita, tidak terbatas kepada kerja sahaja. Kawan-kawan rapat semua jauh. Kan bagus kalau Zan masih di sini, boleh keluar makan dan bercerita macam dulu, katanya. Aduh, SJ kau mula lagi. Rasanya waktu belajar dulu kita bukannya rapat sangat. Hanya selalu berjalan bersama-sama keluar ikut jalan belakang ke stesyen bas luar. Itupun aku rasa secara kebetulan kerana aku terpaksa melalui kawasan fakultinya, menuju ke pintu belakang, jalan pintas untuk ke jalan besar. Tidak tahulah pula kalau dia memang sengaja menunggu aku untuk berjalan keluar bersama-samaku. Hmm.....SJ, kalaulah itu benar, nakal dan kelakar juga engkau ni ya..

Di hujung suratnya SJ sekali lagi mahukan kepastian dariku, menawarkan dirinya untuk hidup denganku, menjadi peneman dan pelindung hidupku. Terkedu juga aku menelusuri setiap bait ayat yang tercatat. Tiba-tiba hati jadi terharu dan sebak, menitis air mataku membaca apa yang ditulis SJ. Mengenai harapannya. Kenapa aku? Aduhai SJ, bukankah suratmu pada bulan Ogos atau September dulu telah kubalas dengan jawapan yang jelas, aku tidak boleh menerimamu kerana tempoh kuliahku masih panjang, lima tahun. Takkanlah kau mahu menungguku untuk tempoh yang sebegitu lama. Alangkah ruginya masa kau untuk sesuatu yang belum tentu baik.

Usiamu yang lebih muda lima bulan dariku juga menjadi penghalang kepada kemungkinan kita bercinta. Aku memang pengikut aliran yang berpendapat, perbezaan umur antara suami dan isteri mestilah antara tiga hingga lima tahun. Isteri mesti lebih muda dari suami. Proses kematangan dan penuaan perempuan lebih cepat berbanding lelaki. Dr.MAB juga kata perempuan je yang ada monopause, lelaki tiada pause. Hmm...seram juga mendengarnya kan... Aku tidak mahu aku kelihatan lebih tua berbanding dirimu. Tengoklah kenalanku Dr Ismail dan isterinya kak Umi, sangat seronok melihat mereka yang sangat serasi dalam perbezaan umur yang sewajarnya bagi seorang suami dan isteri.

Adakah kau masih mahu berjalan berpegangan tangan dan memeluk pinggangku yang sudah sebesar tong drum dan mukaku yang sudah sangat tua berbanding dirimu, beberapa tahun lagi? Adakah tidak ada rasa malu untuk berjalan beriringan dan mesra denganku seperti ibu dan bapak Ineng yang sangat mesra seperti orang-orang muda sedang bercinta? Memang ketika ini kau tidak segan melakukan hal ini kerana beratku hanya 40 kilogram dengan ketinggian lima kaki dua inci, pasti nampak manis dengan kulit yang tegang dan ceria serta tinggi lampai.

Betulkah aku tidak akan kau tinggalkan setelah kau sangat berjaya dalam hidupmu? Adakah aku yang bersusah payah membina kehidupan bersamamu tidak akan kau tinggalkan? Memang tidak mudah untuk mencapai kestabilan dalam hidup. Dengan gaji yang sedikit pastinya aku juga terpaksa berkorban banyak denganmu, mungkin akan bersarapan dengan ubi rebus atau pisang putik goreng, atau tempe dan tauhu sebagai lauk untuk makan tengahari. Bolehkah kau ingat segala pengorbanan dan kesusahanku ketika membina kehidupan bersamamu, sekiranya kau telah memiliki segala-galanya nanti?

Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskan perlahan-lahan, sesak nafasku, teringat janji Ari padaku ketika di Pulau Bidan berhampiran Langkawi, ketika kami membuat penyelidikan flora dan fauna di pinggir laut, dua tahun lepas, “I memang orang susah, kita terpaksa membina kehidupan kita bermula dari kosong, harap Zan boleh menemani saya untuk menempuh segala kesusahan itu sehinggalah kita berjaya.” Sangat manis rasanya perkataan seperti itu di kala cinta mengelabui mata.

“No problem, Zan dah biasa hidup susah.” Itulah pula jawapan si gadis yang sedang mabuk cinta ketika itu, aku lah tu.... Itu semua pun sudah menjadi sejarah yang perlu aku simpan sebagai kenangan dan sempadan. Kemudiannya, bila berdepan dengan SJ, aku pun jadi takut, takut dikecewakan pula sekali lagi.

Sangkaku, kau telah menerima dengan redha alasanku menolak lamaran cintamu tempohari. Rupa-rupanya tidak, kau masih lagi mencuba memujukku menerimamu, memberi harapanmu untukku. Terasa jahatnya aku menidakkan cintamu kepadaku. Tetapi, sesungguhnya cinta itu tidak boleh dipaksa, ia akan datang dengan sendirinya bila sudah sampai, dan mungkin juga pergi bila dirasakan tidak diperlukan lagi? Betul ke? Itu kata oranglah.

Lagipun aku bukannya gadis yang baik dan sempurna memiliki ciri-ciri calon isteri terbaik, seperti yang digariskan dalam al-Quran dan hadis. Aku tidak memiliki paras rupa yang cantik, hanya sekadar sedap mata memandang. Aku tidak memiliki harta berjuta yang boleh menolongmu di kala kau memerlukan, atau boleh membuatkan kau berpaut kukuh di bahuku, pasti kau tidak akan meninggalkan aku, lubuk emasmu. Aku tidak memiliki keimanan yang tinggi seperti wanita solehah, malah aku yang memerlukan seorang suami yang dapat membimbing dan membetulkan jalanku jika tidak lurus. Aku juga tidak memiliki keluarga dan keturunan yang sangat baik. Jadi lupakanlah aku, carilah gadis lain yang dapat memberikan keempat-empat ciri tersebut, pasti kau akan bahagia dunia akhirat.

Masih kuingat, itulah ayat-ayatku yang terakhir ketika kau meminta kata putusku atas permintaanmu pada bulan Ogos atau September 1988 yang lalu. Melalui surat yang kutulis rapi mengikut kemampuanku, sudah jelas aku meminta kau mencari orang lain yang lebih baik, memiliki keempat-empat ciri tersebut. Kenapa perlu lagi kau susuli suratmu yang ini, yang isinya sama, dan pastinya jawapanku pun tetap sama.

Aku juga telah meminta kita jadi sahabat dunia akhirat dan kau telah menerimanya. Janganlah kau ungkit lagi perkara yang telah kita persetujui bersama ketika itu. Sedih hatiku jadinya kerana terpaksa melukakan hatimu. Hatiku dilukai orang tak apa aku boleh terima kerana aku tahu aku kuat menghadapi cabaran seperti kata kenalanku Dr.MAB. Insyallah aku akan kuat. Apa lagi kini aku sudah ada Irfan yang sangat menyayangi dan melindungiku.

Kau kata kau tidak dapat melupakan aku dan tidak menemui pengganti diriku setelah enam bulan mencuba. Janganlah bohong, begitu ramai gadis yang seratus kali lebih baik dari aku di luar sana. Bukalah diri dan hatimu untuk mereka. Mereka akan menerimamu dengan hati terbuka berlapang dada. Kau belum mengenali aku sepenuhnya. Sekadar berjalan dan berbual-bual ketika pergi dan pulang kuliah. Mungkin mengintai aku menyidai pakaian dari blok tempat tinggalmu, kau boleh kata akulah satu-satunya yang ada di hatimu. Gadis yang memenuhi cita rasamu. Sangat tidak masuk akal.

Masih kuingat ketika aku belajar di Kuala Lumpur, blok lelaki dan perempuan bertemu belakang. Kebetulan rakan sebilikku yang enam orang itu semuanya jelitawan, kecuali aku yang biasa-biasa saja. Jadi, unit rumah kami di tingkat lima menjadi perhatian. Sangat susah untuk kami keluar menyidai pakaian di beranda belakang. Hendak sidai di bahagian depan warden marah. Adoi, masa itu keadaan sangat tertekan, nak hantar dobi tak cukup duit, mahal. Mahu tidak mahu terpaksa hadapi. Keluar sahaja ke beranda, riuh-rendah siulan siswa-siswa di blok sebelah kami. Kenapa biul sangat budak-budak ni, itulah ayat-ayat yang tidak manis keluar dari bibir kami. Sakit hati sebab kami bukan jenis yang `gedik’, mungkin kalau `gedik’, suka jika diusik begitu.

Akhirnya nak keluar sidai baju terpaksa menutup seluruh muka, hanya mata yang nampak. Itupun mereka boleh kenal, susuk tubuh kami atau gaya kami agaknya, sehinggakan nama-nama yang disebut itu betul semuanya, pelikkan orang lelaki ni. Ada satu cara lagi kononnya cubaan kami untuk mengelak dari gangguan, keluar menyidai baju selepas jam dua belas malam, tetapi masa begini biasanya sidaian sudah penuh, tak dapat nak sidai baju. Lagi peliknya, sangkaanku waktu sepi begini mereka semua sudah tidur, rupa-rupanya bila kita keluar akan ada bunyi macam burung hantu atau salakan anjing atau serigala di waktu malam. Sahut menyahut dari beranda-beranda bersebelahan. Hingga akhirnya menimbulkan bunyi bising juga, boleh mengganggu jiran-jiran mahu tidur.. Adoi.....

Heh, pelik betul mereka ni, termasuk SJ lah tu, tetapi dia biasanya hanya berdiri memerhati sahaja tetapi tidak bersuara. Bila diingat semula aku akan tertawa sendiri. Sebenarnya ini adalah salah satu kenangan manis dan lucu yang tidak akan berulang kembali dalam hidup. Hanya kenangan. Aku meneruskan lagi coretanku untuk SJ.

Kau memang tidak kenal aku. Kau tau, aku ni seorang yang malas memasak, tidak pandai mengemas rumah dan berbagai-bagai lagi kelemahan yang aku miliki. Pastinya kau akan sengsara hidup denganku kerana aku tahu, lelaki Malaysia, terutama Melayu sangat mendambakan seorang isteri yang sangat pandai memasak, mengemas rumah, mengurus anak, makan pakai dan segala-galanya untuk suami, anak dan rumah tangga. Malah ada lelaki yang lagaknya seperti seorang raja, hanya tahu mengarahkan sang isteri sahaja. Bagaimana kalau aku tidak mampu untuk melakukan semua itu? Apakah kasihmu akan hilang jika aku sangat lemah seperti itu? Aku akan dianggap sebagai isteri derhaka jika aku tidak melakukan semua itu, walaupun menurut Islam, peranan isteri di sisi suami bukan begitu, tetapi aku tidak berani untuk mengungkapkan di sini apa fungsi isteri dalam Islam, pasti aku akan dikutuk banyak orang terutamanya lelaki-lelaki yang selama ini memperlakukan isteri sebagai hamba seperti itu, atau lelaki yang berniat melakukan hal yang sama terhadap isterinya.

Aku juga tidak mampu untuk menyerahkan seluruh gajiku kepadamu kerana aku punya tanggungan yang banyak untuk mak dan adik-adikku. Apakah kau sebagai suami akan merelakan gajiku digunakan untuk keluargaku? Tidakkah kau akan mengungkit dan menjadikan alasan untuk meninggalkanku. Pasti kau akan menganggap aku melebih-lebihkan keluargaku daripada rumah tangga sendiri. Walaupun pada mulanya kau kata tak apa Zan, tanggung jawabku untuk menyara keluarga kita, gunalah wang gaji Zan untuk keperluan sendiri atau ke mana saja asalkan Zan gembira. Mungkin kata-kata itu hanya ketika awal perkahwinan, bila dah lama, atau kau sudah nampak orang lain lebih baik dari aku, kau akan tinggalkan aku. Adoooi..... amat menakutkan. Meremang bulu romaku.

Huuuh.... SJ, kau kena tahu aku banyak keburukan dan tidak sesuai untukmu yang sangat baik. Kau mesti percaya kepadaku, dengan wajahmu yang tampan, tinggi lampai, berkulit putih kuning, berwajah ala Arab dengan hidung yang mancung terletak, ada kerja bagus, keluarga bahagia, kau akan jumpa orang yang sangat sesuai untukmu. Sangat baik. Sangat cantik. Sangat kaya. Sangat menyayangimu dengan seluruh jiwa raganya. Percayalah. Bahagia sedang menunggumu. Kau akan bahagia hingga ke hujung nyawa saling menyayangi seperti kenalanku Prof Wawa atau Dato’ Man. Kesetiaan dan kasih sayang sejati akan dibalas kasih sayang dan rasa hormat seperti Pak ARI, walaupun isteri menawarkan supaya kahwin lagi tetapi tidak mahu dia kerana kasih sayang yang mendalam kepada isterinya. Adakah itu akan aku miliki nanti? Aku tidak pasti.

Lupakanlah aku sebagai kekasih, tetapi ingatlah aku sebagai seorang kawan sejati. Biarlah sayang kita terikat kuat atas dasar persahabatan, bukannya ikatan perkahwinan yang bila-bila masa saja boleh putus dengan hanya satu lafaz sahaja. Aduh, ngeri aku hendak melalui semua itu, takut sangat.

Adakah Irfan nanti tidak akan memperlakukan aku seperti itu? Aku sendiri tidak boleh mempastikan hal ini. Aku baru kenal dan aku mempunyai banyak masa untuk mengenalinya. Kami bercadang untuk bertunang hujung tahun nanti, sebelum dia ke US, melanjutkan pelajarannya. Dalam tempoh ini, aku akan mengenalinya sepenuh hati, supaya kalau kami diikat nanti, kami sudah menemui keserasian. Kalau dalam tempoh tersebut kudapati tiada keserasian, aku rela kami berpisah. Aku memang akan kuatkan diri mengharungi cabaran walaupun pahit. Aku lebih berpeluang mengenali Irfan dan Irfan mengenaliku, berbanding aku akan mengenali kau atau kau mengenaliku, kerana jarak kita yang jauh tidak mengizinkan kita saling mengenali.....`jauh di mata jauh di hati’.

Akhirnya terlena aku sambil mencoretkan bingkisan untuk SJ yang tetap akan aku kenang sampai bila-bila. Aku dikejutkan oleh azan subuh yang berkumandang merdu dari surau sebelah.

Solat subuh dan nanti akan kusambung menulis surat balasan untuk SJ. Banyak yang perlu aku buang dari coretanku. Aku tidak akan sama sekali menceritakan tentang Irfan kerana aku tahu itu akan sangat melukakan hatinya. Aku dengan Irfan pun belum tahu ke mana hala tujunya.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 4 November 2011

Nota:
  • Terima kasih SJ, kerana tetap menjadi sahabatku yang baik hingga kini dan menyayangi aku sebagai sahabatmu, tak pernah berkurang.
  • Sentiasa menolongku di saat aku memerlukan, tanpa pernah mengungkit walau sepatah kata atau meminta balasan.
  • Menghadiahkan pakej umrah sebagai hadiah hari jadiku.
  • Ungkapanmu yang melekat di hatiku, “kasih sayang itu tidak semestinya memiliki, saya akan tetap sayang Zan sebagai sahabat sampai bila-bila, tanpa mengharapkan balasan apa-apa jangan risau. Yang penting Zan bahagia.”
  • Tiada manusia sebaikmu, hanya Allah membalas segala kebaikanmu.
  • Betul katamu, soal jodoh itu kuasa Tuhan, Dia juga yang menemukan kita dan saling mengenali. Kita redha menerimanya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Saturday, 3 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 25 – Nor Aizan Ab Halim

Debar Keputusan Peperiksaan
Pagi-pagi lagi sudah bangun. Malam tadi tidak lena tidur, memikirkan apakah bentuk keputusan yang bakal keluar besok. Maklumlah, ini peperiksaan pertama aku di sini. Memang kata orang senang sebab bahasa sama, tetapi sebenarnya tidak semudah itu kerana banyak istilah macam sama tetapi pengertian berbeza. Serupa tapi tak sama. Bila ditulis dalam bentuk ayat, maksudnya jadi lain dan berbelit-belit, susah difahami, itu kata dosenku , yang sudah kulupa orangnya, Bang Ade rasanya. Itu pengalaman penulisan tugasan pertamaku pada semester lepas. Berkat kesungguhan membetulkan, akhirnya terhasil juga sebuah tugasan yang diterima baik dan dipujinya. Rasanya lebih mudah kalau menggunakan bahasa Inggeris kerana sudah jelas perbezaannya.

Selepas siap berpakaian, aku membancuh teh o dan makan biskut kering untuk mengalas perut, orang gastrik macam aku perut tidak boleh kosong. Nanti ambil sarapan pagi di balsem dengan Irfanlah, lebih berselera makan berteman. Rindu makanan Indonesia di balsem. Air liur merembes keluar bila teringatkan somay, pempek palembang, mee ayam, es alpukat dan macam-macam lagi yang sudah sebulan tidak aku cicip.

Di sebelah, kedengaran suara Lukman yang lantang sedang berbual-bual dengan Rodzi agaknya. Merekapun sama macam aku, resah menunggu keputusan peperiksaan yang akan diumumkan hari ini. Adoi....berdebar-debar rasa hati, takut sangat keputusanku di bawah 3.0, nanti tak dapat nak ambil lebih mata pelajaran semester ini.

Perbualan mereka makin rancak, sedangkan aku minum sendirian, dua rakan kostku belum keluar dari bilik masing-masing, tidak tahu apa yang dibuatnya, tidak mahu minum ke? Susah, memang mereka kurang rapat denganku. Kurang serasi agaknya, hehe....Mungkin aku yang kurang pandai mengambil hati mereka yang sopan santun, sedangkan aku ni lebih fleksibal dalam hidup.

Tiba-tiba jadi tidak selera nak meneruskan minum sendirian. Aku mengangkat mug berisi teh o dan tin biskut ke rumah sebelah. Kebetulan mereka pun sedang minum. Aku duduk dan minum bersama-sama mereka sambil berbual-bual kosong.

“Nak serunding daging tak...?” Aku menawarkan serunding daging yang dibekalkan mak semalam.

“Beli atau buat sendiri?” Lukman ingin kepastian tetapi aku tidak tahu apa tujuannya bertanya begitu.

“Mak aku buatlah,” jawabku pantas. Mak memang suka buat sendiri serunding daging dengan menggunakan daging lembu tempatan. Kalau serunding siap tu biasanya dibuat dari daging import. Serunding daging tempatan sangat mahal, hampir sekaliganda harganya berbanding serunding daging import.

“Nak,” jawab Lukman ringkas. Aku tahu dia juga suka serunding daging, makan dengan nasi panas sangat menyelerakan walaupun tanpa lauk lain. Apalagi kalau makan dengan roti pun sedap juga.

Perantau macam kami suka bawa bekal serunding banyak-banyak untuk dimakan di kala terdesak seperti hujung bulan atau malas nak keluar ke kedai makan. Serunding mak buat tahan lama, enam bulan masih bertahan bau, rasa dan rupanya kekal seperti asli, kerana proses membuatnya sangat dijaga kualiti, rempah ratusnya betul-betul masak dan kering.

Aku bangkit masuk ke rumahku untuk mengambil sebungkus serunding untuk mereka. Mak memang menyediakan tiga kilogram serunding yang dibungkus dalam 10 paket semuanya. Aku memberikan Lukman satu paket. Dua paket aku berikan kepada Irfan semalam. Nanti dua paket lagi akan aku berikan kepada Ineng besok. Tinggal 5 paket lagi untuk kegunaanku sendiri dan rakan-rakan serumah jika mereka sudi.

Lukman menerima bungkusan serunding dagingku dengan senyuman dan ucapan terima kasih, “nanti kalau nak lagi cakap tau,” pesanku kepada Lukman. Rodzi sudah masuk ke biliknya untuk bersiap-siap hendak ke kampus. Lukman dan aku sudah siap. Kami berpakat untuk keluar bersama-sama pukul 9.30 nanti. Biarlah lambat sikit keluar.
Pasti anak-anak mahasiswa yang lain juga datang lambat kerana mereka tinggal di luar Depok. Ada juga anak-anak Jakarta yang menyewa di kost-kost Depok, tetapi jarang menginap, selalunya hanya dijadikan tempat berehat sementara menunggu jam kuliah seterusnya yang mungkin senggang waktunya lama, atau menginap jika kuliah jam 8 pagi, takut lewat sampai. Budaya belajar di perpustakaan kurang di kalangan anak mahasiswa di Jakarta, tidak seperti kita di Malaysia, mungkin kerana mereka mempunyai koleksi buku rujukan yang mencukupi kerana boleh dibeli dengan mudah dan murah di Pasar Senin. Kalau di Malaysia, harga buku mahal, apalagi kalau buku import, tidak terbeli dek anak-anak mahasiswa, terpaksalah menjadi pegunjung tetap perpustakaan.

Aku balik ke bilikku, bersiap-siap untuk ke kampus. Semburan minyak wangi pemberian Irfan kukenakan ke leher dan pergelangan tanganku. Huh...semerbak baunya memenuhi ruangan kamarku yang sempit. Tersenyum sendiri aku menatap botol minyak wangi kesayanganku, sinonim dengan tuannya. Datang semula angauku seketika bila terkenangkan Irfan. Tidak sabar nak bertemu si buah hatiku di kampus sekejap lagi. Cepat-cepat aku melakukan `final touch up’ di muka dan membetulkan kemeja dan seluar jeansku, apabila mendengar Lukman menjerit memanggil namaku dari halaman.
Tergesa-gesa aku keluar dari bilikku, bimbang ditinggalkan jejaka Malaysiaku yang dua orang ini. Tiba-tiba keluar pula rakan-rakan serumahku ingin bersama-sama ke kampus dengan kami. Kami berlima berjalan berkumpulan perlahan-lahan menuju ke kampus dengan hati berdebar-debar.

“Hai Mbak Nur, kapan pulang?” Tiba-tiba kedengaran suara Ibu Abri menegurku dari halaman rumahnya.

“Kemaren sore Bu, ole-olenya nanti ya, belum sempat ngasih ibu.” Cepat-cepat aku memaklumkan, takut dia berkecil hati aku tidak memberinya ole-ole, sudah budaya begitu, kena ikutlah, lagipun apa salahnya sebagai tanda kemesraan dan silaturahim dengan tetangga, `orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa,’ selalu sangat makan percuma masakan Ibu Abri. Ibu Abri menganggukkan kepalanya sambil senyum, ayu sekali, walaupun usianya sudah cecah 50an, awet muda.

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi kami. Kami tutupi gementar hati dengan berbual-bual sambil ketawa gembira, tidak berhenti-henti, ada-ada saja kisah lucu yang diceritakan sepanjang perjalanan menuju ke kampus.

Aku dan Lukman sampai dulu di Fakulti kami. Rodzi dan dua orang lagi kawan kami meneruskan perjalanan ke Fakultas Sastera. Aku sempat mengucapkan “good luck’ untuk tiga rakan kami tadi. Aku melihat jam di tangan, tepat menunjukkan pukul 10 pagi. Mataku melilau mencari susuk tubuh Irfan. Aku pasti dia sudah berada di kampus. Orangnya selalu menepati masa, salah satu ciri yang pastinya dimiliki seorang bakal usahawan yang berjaya.

Akhirnya aku temui orang yang kucari. Berdiri sambil menyandarkan badannya ke tiang berhampiran tangga. Dia melemparkan senyumannya kepadaku, sarapan di pagi hari. Aku meletakkan jariku ke bibir agar dia tidak menegurku, sambil menunjukkan ke arah Lukman di hadapanku. Tidak mahu Lukman tahu akan hal kami.

Aku mencari alasan yang sesuai untuk memisahkan diriku dari Lukman dan menemui Irfan yang sedang menungguku bersama Ineng. Apa lagi alasan yang paling sesuai kalau bukan ke bilik air. Lukman hanya mengangguk ketika aku memaklumkan yang aku akan ke bilik air. Lukman menuju ke arah kawanan mahasiswa Kesejahteraan Sosial yang sama kursus dengannya. Masing-masing menunggu untuk mendapatkan keputusan masing-masing.

Irfan dan Ineng mengekori aku setelah aku memberi isyarat dengan menganggukkan kepalaku kepada mereka. Kami sepakat untuk sarapan dahulu agar lebih tenang menerima apapun bentuk angka yang akan tercatat di atas slip keputusan kami nanti. Aku dan Ineng lebih cemas sebab ini adalah keputusan pertama kami. Irfan lebih relaks kerana semua subjek yang diambil semester lalu hanya untuk membaiki Indeks Prestasi Kumulatifnya agar lebih baik untuk melayakkan dia melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Hingar bingar suasana di balsem, maklum hari pertama selepas bercuti, anak-anak mahasiswa berkumpul, pastinya banyak cerita yang terkumpul sepanjang cuti, hendak diluahkan hari ini kepada kawan-kawan mereka masing-masing. Kami bertigapun sama. Banyak cerita nantinya, Cuma gaya kami bercerita tidaklah sehebat anak-anak ini. Kami bertiga kebetulan spesis yang bersopan santun....hehe....dua orang jawa bersamaku ini sangat bersopan kalau bercakap, mungkin suaraku yang melebihi suara mereka, macam suara orang Batak kata mereka, lemak merdu....hehe.

Selesai makan kami bertiga menuju pejabat. Kumpulan pelajar sudah mengerumuni hadapan kaunter pejabat. Ada yang sudah memegang helaian kertas, pastinya keputusan peperiksaan sudah dikeluarkan. Hati aku mula berdegup kencang, tidak tentu hala. Takut, bimbang, cemas.....aduh tidak selesanya rasa.

Aku memegang tangan Ineng, sejuk seperti ais, rupa-rupanya kebimbangan Ineng lebih teruk dariku. Irfan memegang tanganku, mungkin tanpa disedarinya untuk mengurangkan perasaan cemasku. Perlahan-lahan aku menarik tanganku dari tangan Irfan, bimbang ada yang nampak. Ada beberapa orang pelajar senior Malaysia yang sama fakulti denganku, dan pastinya hari ini merekapun hadir sama untuk mengambil keputusan mereka. Nanti apa kata mereka bila nampak Irfan mengganding tanganku. Pasti riuh warga Malaysia di Jakarta ini agaknya, perempuan Malaysia dengan lelaki Jakarta tidak boleh, ganjil agaknya, tetapi kalau lelaki Malaysia dengan perempuan Jakarta, banyak sekali, tidak mengapa.

Irfan kelihatan tenang sentiasa. Tidak pernah gelabah dia. Aduh, ketenangannya membuatkan aku iri hati padanya. Malah dia setiap detik menenangkan aku . Ketika ini pun sama, tetap dia memainkan peranannya sebagai ‘stabilizer’. Tidak dapat menenangkan aku dengan sentuhan, renungan mata dan kata-katanya dijadikan alat untuk tujuan itu. Memang Irfan betul-betul pelengkap hidupku.

Ineng sudah dapat keputusannya, 2.8. Terpancar keceriaan di wajahnya dapat melepasi targetnya 2.5 sahaja. Giliran aku pula. Berdegup kencang lagi jantungku. Ketika Mbak Win, kerani di bahagian pentadbiran menyerahkan slip aku, dia senyum mesra,
“tahniah Nur,” ucapnya. Wah pasti bagus ni, kalau tidak tak kan lah Mbak Win yang cukup mengenaliku kerana selalu berurusan dengannya, mengucapkan tahniah.

Dengan tangan gementar aku membukanya, “alhamdulillah, syukur kepada Allah.” Aku melahirkan kegembiraanku lalu menyerahkan kepada Irfan dan Ineng, “wah tahniah Nur, hebat dong 3.3.” Serentak Ineng dan Irfan bersuara sedikit menjerit, sambil menyalami aku dan Ineng memelukku.

Teman-teman bersebelahan menghampiri kami dan ikut sama mengucapkan tahniah dan menyalami aku. Aduh...jadi malu aku dipuji-puji dan dibanding-banding begitu. Aku sangat gembira dengan keputusanku yang boleh dikatakan memuaskan bagi anak mahasiswa asing yang pertama kali menduduki peperiksaan dalam bahasa Indonesia. Ini berarti aku boleh mengambil lapan mata pelajaran kuliah dengan 24 kredit, untuk semester ini, syukurlah, aku bisa menghabiskan kuliahku lebih cepat.

Giliran Irfan pula mengambil keputusannya. Untuk lima subjek yang diambilnya semuanya dia dapat A. Tersenyum memanjang dia dengan keputusannya yang sangat baik, berarti kumulatifnya sangat tinggi, 3.8 untuk keseluruhan, belum masuk nilai skripsinya yang sedang disiapkan. Jika skripsi atau tesisnya nanti dapat A untuk 8 SKS berarti, CGPAnya tetap 3.8, sudah Kelas Pertama tu.

“Tahniah Fan, hebat sekali kamu, semuanya A,” ucapku dengan gembira juga, tumpang gembira untuk buah hatiku. Ini berarti dia mendapat semua A kecuali satu sahaja iatu Pengantar Antropologi yang nilainya B dan memang dia tidak mahu mengulangnya kerana sangat tidak minat mata kuliah ini katanya.

“Terima kasih Nur.” Tiba-tiba sahaja ucapan ini terpancul keluar dari bibirnya Irfan.

“Kenapa terima kasih untukku?” Aku kehairanan sambil memandang tepat ke mukanya.

“Karena kamulah inspirasiku, aku jadi suka kuliah dan belajar,” balasnya sambil tersengih. Akupun senyum sama, “mengada-ngada,” ujarku. Kami sama-sama ketawa. Ineng sibuk melayan kawan-kawan kami yang lain.

“Seharusnya aku yang berterima kasih sama kamu karena berbuat banyak untukku. Terima kasih ya Fan,” balasku jujur.

Kami menyemak jadual pendaftaran mata kuliah semester ini. Semuanya akan berlangsung minggu depan. Huh...ruginya hampir seminggu aku masih belum mula kuliah, kan bagus kalau aku datang lewat, masih sempat seminggu di kampung. Alah...perkara dah lepas, apa nak kesalkan lagi, hadapi sajalah.

“Nur mau nggak ikut gue sementara masih libur ni?” Tiba-tiba sahaja Irfan mengajakku, menyedarkan aku dari ingatan ke kampung halamanku.

“Ke mana?” Pantas aku ingin tahu.

“Ada urusan kerja di Jogja, Bandung dan Puncak, mau nggak?” Irfan menjelaskan lebih bersemangat, bila melihat responsku positif.

“Berapa hari?” Tanyaku lagi, kedengarannya menarik, belum pernah sampai ke sana.

“Empat hari, mau ngak?” Tanyanya lagi seperti mengharap sangat aku mengikutinya.

“Lama tu Fan?” Aku melahirkan kekhawatiranku.

“Kenapa, kamu takut aku ngapain kamu ya...?” Irfan meneka apa yang ada di mindaku. Aku hanya tersengih.

“Jangan khawatir, aku kan sayang kamu, aku pasti jaga kamu, percaya sama aku, udah janji sama mamamu akan menjagamu seperti diriku sendiri,” janji Irfan. Sebenarnya aku teringin juga mahu ikut. Maklum, belum pernah sampai ke tempat yang sebelum ini aku hanya kenal pada nama saja.

“Pergi dengan apa?” Aku pula yang terlebih semangat ingin tahu.

“Mobil, aku setir sendiri, ngak usah pake supir lah, kasih Parjo rehat. “ Irfan menjelaskan. Betul ke aku nak ikut ni. Berbelah bagi perasaan ingin pergi dengan perasaan bimbang.

“Kapan pergi?” Aku memang tertarik untuk pergi, Cuma rasa berbelah bagi sebab akan berpergian berdua untuk tempoh yang agak lama juga tu. Bimbang akan berlaku perkara-perkara yang tak diingini.

“Rabu berangkat, pulang sabtu, boleh?” Irfan merenung ke mukaku, ingin tahu jawapanku. Dari raut muka dan nada suaranya Irfan seperti berharap sangat aku ikut.

“Kuat kamu nyetir sendiri untuk jarak yang jauh begitu?” Risau juga aku dengan kemampuan jejaka kesayanganku ini.

“Kan ada kamu yang bisa buat aku kuat,” jawab Irfan dalam nada bercandanya. Aku tersengih lagi, senang mendengar kata-kata Irfan.

Setelah didesak Irfan berkali-kali atau lebih tepat Irfan meminta aku menemaninya dalam rangka lawatan sambil kerjanya, akhirnya aku bersetuju mengikutinya. Irfan janji akan membawaku ke Borobudur dan beberapa tempat yang lain mengikut kesempatan masa kami nanti.

Irfan mengajak aku ke rumahnya. Aku memohon balik ke kost dahulu untuk mengambil ole-ole aku untuk kakak Irfan. Kemudiannya aku ke rumah Irfan. Hanya ada kakaknya yang sedang membelai pokok bunga orkid di laman rumahnya. Ramah dia menyambut kedatangan aku. Suka berinteraksi dengan keluarga Irfan, terutama kakaknya. Aku bersalam dan menghulurkan ole-oleku, sehelai skarf sutera yang cantik menurut seleraku. Mbak Fitri terus mengambil, membuka dan melilit ke lehernya. Warna skarf yang lembut pink kebiruan lebih menyerlahkan keayuan Mbak Fitri yang berkulit putih kuning. Aduh...cantik sekali dia.

“Terima kasih Nur, cantik sekali warnanya, tau ya kamu warna kesukaanku.” Adoi, manisnya bahasamu Mbak Fitri untuk mengambil hatiku. Aku senyum mengiakan.

Irfan masuk ke dalam rumahnya, mahu ganti baju katanya. Selepas ini aku minta Irfan menghantarku ke Wisma Malaysia untuk melihat suratku, kemungkinan ada yang dialamatkan ke Wisma Malaysia. Sementara menunggu Irfan selesai, aku menemani Mbak Fitri memanjakan pokok bunga orkid yang berbagai spesis dan berbunga dengan lebatnya, cantik sekali.

Mbak Fitri mengajak aku masuk, aku menolak kerana rasa lebih selesa berada di laman rumah yang dipenuhi bunga-bungaan ini, segar rasanya. Pembantu rumah menyediakan minuman jus limau dan gado-gado di meja halaman rumah.

Melihat jam di tangan, sudah masuk waktu Asar. Aku minta solat dulu. Terpaksa juga masuk ke dalam rumah untuk solat. Selesai solat, keluar lagi menyertai Mbak Fitri di halaman orkidnya.

“Ayuk Nur, minum dulu,” ajak Mbak Fitri lembut. Aku mengekori Mbak Fitri ke arah meja di mana minuman diletakkan oleh Bu Iyem, pembantu rumah mereka. Seketika kemudian Irfan juga menyertai kami, makan gado-gado yang sangat sedap dan menyelerakan.

“Mau ke mana lagi kalian?” Mbak Fitri bertanya, setelah melihat Irfan mengganti baju dan siap memakai sepatu.

“Ngantarin Nur ke Wisma Malaysia,” jawab Irfan.

“Lho, bukannya mau makan malam di sini?” Mbak Fitri melahirkan sedikit rasa kesalnya. Bosan dia sendirian di rumahnya. Kalau aku dan Irfan ada, sekurang-kurangnya dapatlah meramaikan ahli makan malamnya, lebih berselera agaknya. Kesian, rumah besar tapi penghuninya hanya berempat, Mbak Fitri, Irfan dan pembantu rumahnya Bu Iyem serta supir mereka Parjo.

Selesai makan gado-gado dan minum, aku dan Irfan meminta izin untuk meneruskan aktiviti kami ke Wisma Malaysia, kemudian jalan-jalan di kota Jakarta, mengisi masa kami bersama-sama.

“Kapan-kapan main ke sini lagi ya Nur, jangan kapok.” Mbak Fitri bersalam dan memelukku mesra. Senang sekali aku dengan bakal kakak iparku ini. Seperti adiknya juga, lembut dan penuh sopan santun budi bahasa serta tenang gaya hidup mereka.
Belum lagi jumpa ibu bapa dan adik perempuan Irfan, hanya melihat gambar, rasa-rasanya sama macam Mbak Fitri dan Irfan juga. Insyallah, jika betul situasi ini akan berterusan, lega hatiku. Aku takut berdepan dengan orang yang ‘cengir’ atau garang macam Mak Roslan. Meremang bulu romaku bila teringatkan wajah mak Roslan di malam perkahwinan adiknya. Ayah Roslan ok, baik macam Roslan juga nampaknya, tenang saja wajahnya.

Aku memang nampak keras dan tegas tetapi sebenarnya memiliki hati yang sangat sensitif dan lembut, memang sangat sesuai dengan bintangku Cancer. Sangat susah nak menyakiti hati orang dengan sengaja, tetapi jika sekali hati disakiti, sangat pedas tindakanku, itu kata-kata arwah kakakku ketika kami bertelagah. Tetapi aku sangat pemaaf. Hmm...itu hanyalah kenangan, jarang kami bertelagah kerana kakak seorang yang tenang dan lembut, berbeza denganku.

Sampai di Wisma Malaysia, aku menjenguk ke dalam, hanya beberapa orang pelajar Malaysia yang belajar di IAIN dan AIP yang ada sedang menonton television. Wajah-wajah yang tidak aku kenali. Aku hanya menyapa dengan salam, kemudian pergi. Aku segera mengambil surat di pos jaga. Ada tiga pucuk suratku semuanya. Aku pasti surat SJ ada dua. Kenal benar aku dengan tulisannya yang kecil tersusun rapi. Tulisannya memang sangat cantik, berbeza benar dengan tulisanku. Terbalik kot, tulisan aku sepatutnya jadi tulisan SJ dan tulisannya jadi tulisanku...hehe. Satu lagi surat dari sahabat baikku Nik.

Surat Lukman dan Rodzi pun ada, aku tolong ambilkan untuk mereka. Aku mengucapkan terima kasih kepada Pak Mawardi, kalau tak salah namanya, jaga yang bibirnya sumbing sikit. Cepat-cepat masuk ke mobil kerana Irfan sudah lama menunggu di dalam mobilnya. Cinta rahsialah katakan.

“Sori say, kelamaan dikit.” Aku memanggil Irfan dengan panggilan say, singkatan dari perkataan sayang. Tersenyum Irfan melihat tingkahku.

“Senang banget,” kata Irfan.

“Senang karena nunggu lama-lama ya...,” tanyaku pura-pura tidak mengerti sambil senyum mengejek.

“Alah kamu, udah tau pake nanya segala.....” Irfan marah-marah sayang. Sama-sama kami ketawa.

Jam sudah menunjukkan ke angka lima. Aku sendiri tidak tahu Irfan mahu bawa aku ke mana. Aku rasa perutku mula berkeroncong, lapar. Seharian belum makan nasi lagi.
Perut Melayuku tidak boleh tidak makan nasi sekali sehari, rasa nak pitam. Tiba-tiba liur pecah teringatkan Lembah Anai, Nasi Padang.

“Makan yuk Fan.” Aku mengajak heroku makan.

“Ok, makan di mana?” Irfan menunggu arahanku.

“Ikut seleraku ya sayang.” Ajakku berbentuk arahan sebenarnya. Irfan mengangguk setuju.

“Tapi orang Jawa bisa makan nasi padang ngak?” Tanyaku mendapatkan kepastian Irfan.

“Bisa aja Nur. Makanan Malaysiapun aku bisa, inikan pula nasi padang. Lidahku universal tau nggak,” jawab Irfan sambil ketawa.

Setelah mendapat `green-light’ Irfan, aku menunjukkan arah jalan ke restoran nasi padang Lembah Anai yang letaknya tidak jauh dari Wisma Malaysia. Akhirnya hati puas dapat melayan selera kami di Lembah Anai, restoran nasi padang pertama yang kukenali setelah datang ke Jakarta bulan Ogos yang lalu.

Selesai makan, Irfan membawaku pusing-pusing sekitar kota Jakarta yang sudah sebulan aku tinggalkan.

Mau ke mana kita Nur?” Irfan pun mati langkah agaknya, tidak tahu mahu ke mana kami. Hari pun sudah petang begini.

“Kamu ngak cape?” Aku ingin memastikan apakah perlu sebenarnya kami buang masa dan minyak kereta begini. Aku sebenarnya rasa sangat mengantuk, rasa mahu tidur.

“Kamu udah cape ya? Oklah, kita pulang dulu, kamu istirahat, nanti rabu kita ke Puncak, lihat kebun teh papa, kemudian ke Bandung ada urusan di perusahaan papa, kemudian kita jalan-jalan ke Jogja ya.” Irfan sepertinya memahami situasi aku yang tidak berapa semangat untuk meneruskan perjalanan kami hari ini.

Aku menganggukkan kepalaku yang sudah berat, “ok lah, kita pulang dulu ya.”

“Mahu beli apa-apa ngak, keperluan harianmu masih ada?” Irfan sangat prihatin orangnya. Sampaikan hal yang sebeginipun masih sempat dia pikirkan untukku. Aku sendiri sudah lupa keperluan asasku memang tiada lagi stoknya. Dia memusingkan mobilnya menghala ke Golden Truly, tempat yang biasa kami berbelanja.

Selesai semua keperluan kubeli, aku rasanya tidak sabar untuk balik ke bilikku dan merebahkan badanku, berehat. Lebih tidak sabar lagi hendak membaca surat SJ yang baru kuterima sebentar tadi. Apalah agaknya isi dua pucuk surat yang bertulis tangan rapi nama dan alamatku, Nor Aizan Ab. Halim, Wisma Malaysia, Jalan Hoscokroaminoto, Jakarta Pusat.

“Sayang, kenapa diam, ngantuk ya?” Irfan menegurku setelah mendapati mulutku yang becok tiba-tiba diam menyepi. Aku mengangguk menyembunyikan rasa terkejutku ditegur dari lamunanku kepada SJ, insan yang sangat baik dan banyak menolongku ketika aku kesempitan dan kesedihan di Kuala Lumpur.

SJ yang berkulit putih melepak, bertubuh tinggi lampai, berwajah ala Arab dan selalu bercakap merendah diri, sehinggakan aku merasa rimas bila bercakap dengannya. Kadang-kadang penat berbual-bual dengannya yang terlalu banyak bermain dengan hadis, firman-firman Allah dan pendapat-pendapat para ulamak. Jiwa mudaku kurang serasi kerana terlalu banyak pantang larang dalam hidup sehingga merasa sangat terbatas dan sempitnya hidup ini waktu itu. Itu dulu, dengan meningkat usia dan pengalaman serta kematangan, barulah tahu bahawa apa yang selalu diungkapkan SJ itu adalah benar belaka.

Dalam sibuk melayan perasaan, terlelap rupa-rupanya aku sebentar. Irfan membiarkan aku merehatkan mataku seketika. Kesian dia terpaksa membawa mobilnya sendirian tanpa aku melayannya bercakap.

Aku merasa hidungku ditarik perlahan. Bila kubuka mataku, Irfan sedang memandang ke wajahku sambil tersenyum mesra. Aduh, rupa-rupanya sudah sampai di kostku. Lama juga aku tertidur tadi.

Melihat aku sudah membuka mataku Irfan bertanya, “udah sampai, mau makan dulu sebelum pulang ke kost?” Bimbang benar dia aku kelaparan. Maklum anak rantau, jauh dari ibu bapa dan keluarga. Apalagi setelah berjanji dengan Mak untuk menjagaku semasa aku di sini, semakin menampakkan dia sangat mengambil berat tentang aku. Alhamdulillah aku merasa sangat selamat, dilindungi dan bahagia sekali.

“Ngak mau, masih kenyang. Nanti malam makan roti aja, udah beli tadi,” jelasku sambil menunjukkan ke arah beg plastik Golden Truly tadi.

“Ok sayang, istirahat dulu, nanti aku jemput kamu hari rabu jam 9 pagi, atau besok mau ke mana-mana?” Irfan masih memastikan apa juga kehendakku dipenuhi. Maklum ketika masih sayang begitulah selalunya, itu kata orang. Mudah-mudahan Irfanku akan berterusan begini sampai ke hujung nyawaku. Insyaallah.

Aku bersalaman dengan Irfan. Mahunya cium pipi tetapi tidak boleh, haram sangat, cium tanganlah haram sikit, kata hatiku sambil ketawa di dalam hati. Bibirku mengukir senyum dan ucapan terima kasihku kepada pria buah hati pengarang jantungku, sayang sangat, tiada yang lain lagi bisa menggantikan dia. Irfanpun mencium tanganku. Semerbak bau perfiumnya menyegarkan aku, rasa ingin memeluknya. Kata orang, itulah bahayanya bau perfium, boleh mengundang aksi terlarang.

Aku melangkah ke kostku selepas melambaikan tanganku kepada Irfan. Apa yang ada di fikiranku sekarang adalah mahu mandi, solat dan tidur. Sebelum itu aku mmenghantar surat Lukman dan Rodzi. Kemudiannya mandi dan solat maghrib. Aku akhirnya tertidur sebelum sempat solat Isyak.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 3 Disember 2011.

Sunday, 27 November 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 24 – Nor Aizan Ab Halim

Jakarta, Aku Datang Lagi
Aku dan Irfan berjalan beriringan menuju ke pesawat. Hati sangat tenang dan berbunga-bunga dengan kegembiraan dapat bersama dengan bakal pelindung hidupku. Aku dapat rasakan betapa selamatnya aku ketika bersama Irfan. Aku akan kuat semangat untuk mengatasi ujian pertama, keresahanku hendak melalui rasa gayat ketika pesawat naik dan turun nanti. Tidak suka gayat. Nasib baik ada Irfan bersamaku, dapatlah mengurangkan gayatku. Aku akan berbual-bual terus dengannya supaya dapat melupakan gayatku, hehe....

Sangat berbeza perjalananku ke Jakarta kali ini, penuh bermakna berbanding enam bulan dulu yang terasa kosong dan longlai walaupun ditemani kawan-kawan yang ramai di sekelilingku. Hadirnya Irfan bersama-sama kali ini sangat mengundang kegembiraanku.

Irfan meraih tangan kananku, mengenggam erat jari jemariku, seolah-olah tidak mahu melepaskan aku. Aku membiarkan sahaja Irfan memegang tanganku. Aku senang diperlakukan seperti itu sebenarnya. Amat terasa eratnya hubungan antara hati-hati kami, yang ketika ini sedang dilamun cinta rasanya.

Irfan yang pendiam lebih banyak melahirkan rasa sayangnya kepadaku dengan `body language’ tanpa banyak berkata-kata, dapat aku rasakan betapa mendalamnya rasa sayangnya kepadaku. Setiap kali dia merenungku selalu rasa tembus ke jantung dan hatiku, menyebabkan hatiku berdebar-debar tidak keruan. Senyum selalu terukir di bibirnya seperti salju menyejukkan hatiku. Raut wajahnya yang manis bersahaja, sangat menarik di mataku, amat menyenangkan mataku memandangnya. Tutur katanya yang sentiasa tersusun dan lembut seperti alunan irama musik keroncong atau jazz kesukaanku, sangat merdu di pendengaranku, hinggakan dapat meruntun segala kegundahan jiwaku. Huh....hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya rasa hatiku ketika ini atas kurniaanNya.

Perjalanan yang jauh dari balai berlepas ke pesawat tidak terasa penatnya, mungkin sebab tangan dipimpin Si Irfan, kalau sendirian mungkin penatnya berganda-ganda.....hehe... menggedik pula. Irfan kehairanan melihatku senyum sendirian.

“Kok senyum sendiri Nur?” Irfan melahirkan rasa hairannya dengan tingkahku. Aku hanya menggelengkan kepala sambil melebarkan senyumanku. Irfan terus merenungku sambil kaki melangkah masuk ke dalam pesawat yang akan membawa kami ke Jakarta. Aku memuncungkan bibirku beraksi seolah-olah mahu menciumnya. Irfan pun tertawa mesra melihat gelagatku.

Bahagianya rasa. Giliran aku pula menarik tangannya dan menggenggam erat tangan pria kesayanganku ketika ini. Hee...geramnya bila melihat dia merenung aku begitu. Rasanya dialah yang paling kacak, paling baik di dunia ini. Huh, dah sah lah aku sekarang angau dipanah asmaranya cinta si Irfan.

Kami menuju ke tempat duduk kami. Aku mengambil posisi di tepi tingkap. Terpaksalah Irfan duduk di tengah-tengah walaupun sepatutnya tiketku dikerusi tengah. Kebetulan di sebelahnya lelaki Mat Salleh separuh umur. Lega aku dapat duduk di tepi tingkap dan tiada gangguan orang yang tidak dikenali di sebelahku. Yang akan mengangguku hanyalah Irfanku. Tak apalah, malah lebih senang diganggunya. Makin berseri dan ceria hidupku jika Irfan yang pendiam ini akan mengangguku berterusan. Aduh, semakin kurenung wajahnya semakin sayang aku kepadanya. Mahu rasanya aku memeluk Irfan dalam bau wangian Polo kesukaanku, menusuk hidung dan jantungku, sekaligus menenangkan jiwaku.

“Kenapa sayang....?” Irfan mencuit pipiku ketika melihat aku termenung melayan perasaan sendiri. “Seram ketinggian ya?” Irfan terus bertanya melihat aku masih diam, hanya merenungnya. Aku mengangguk, “gayat,” jawabku perlahan, bimbang didengar orang lain, malu.

“Jangan takutlah, aku kan di sini. Akan hilangkan semua gayatmu sayang,” ujar Irfan sambil tangannya memeluk bahuku. Haruman Polonya makin menusuk hidungku. Tenang sekali perasaanku menghidu wangian ini, sekaligus mengurangkan gundah hati menghadapi gayat.

“Suka bau parfummu.” Jujur aku memujinya sambil aku merenung dalam ke wajah Irfan. Betul aku sudah sangat menyayanginya. Tiada lagi orang lain yang dapat merosakkan rasa sayangku padanya. Roslanpun rasanya tidak akan dapat menggantikan Irfan. Tuhan, lindungi dan restuilah hubungan kasih sayang kami ini. Cukuplah hanya satu ini. Kau tutuplah hati Roslan dan lelaki lain dari mencintai aku. Aku tidak lagi mahu keliru dalam menentukan pilihan teman hidupku. Aku menarik nafas dalam-dalam, menzahirkan rasa puas di dalam hatiku atas kurniaanNya kepadaku ketika ini. Janganlah aku diuji lagi, cukuplah Tuhan.

“Kenapa Nur, merenung aku begitu?” Irfan melontarkan pertanyaan yang juga mengejutkan aku dari lamunanku.

Aku menarik tangannya lalu aku menciumnya berulangkali, “aku sangat sayang kamu Fan.” Aku sendiri tidak menyangka akan melahirkan kata-kata seperti itu. Sumpah, aku tidak pernah mencium tangan dan mengungkapkan kata-kata ini kepada mana-mana lelakipun dalam hidup aku. Malah dengan Ari dulupun aku tidak pernah berkelakuan seperti ini. Memang aku sudah gila. Gila cinta atau inilah yang dikatakan angau agaknya.

Irfan senyum lebar. Dia mengambil tanganku dan menciumnya, “Nur, senang sekali aku mendengarnya. Kamu tau nggak, aku sudah lama mau dengar bibirmu melafazkan kata-kata ini, karena aku tidak pasti benar nggak kamu sayang aku apa nggak....hanya aku sendiri yang selalu bilang aku sayang kamu, kamu kok, nggak pernah bilang kamu sayang aku. Yah...ternyata hari ini aku sudah pasti, Nur aijan sayang sama aku.” Irfan meluahkan apa yang terpendam di hatinya selama ini agaknya. Setiap kali Irfan memanggil namaku Nur aijan, hati aku bagai digeletek geli, pelik bunyinya. Mungkin aku tidak suka mendengarnya.

Sekali lagi dia mencium tanganku lama sekali. Aku membiarkan saja, malah senang dia memperlakukan aku begitu kerana aku benar-benar yakin aku adalah miliknya dan dia adalah milikku, pilihanku, walaupun belum rasmi atau sah secara hukum. Aduh, lega rasa hati, sekali lagi aku menarik nafas dan menghembuskan perlahan-lahan, mengungkapkan rasa lega dan gembiraku dengan apa yang sedang kami lalui.

Tanpaku sedar, rupa-rupanya pesawat telah melepasi tempoh gayatku. Alhamdulillah. Aku dan Irfan sedang berdrama tadi ketika sepatutnya aku seram gayat rupa-rupanya digantikan mesra sayang oleh Irfan, haha, lucunya. Kapal terbang sudah di posisi terbang dengan tenang. Pramugari dan pramugara sedang sibuk menyiapkan hidangan makanan untuk penumpang.

Baguslah, perut pun sudah jadi lapar selepas berdrama tadi. Tapi Irfanku terus mengenggam tanganku tidak mahu dilepaskan, sehinggakan aku rasa tanganku mula kebas. Aku menarik tanganku perlahan-lahan mahu melepaskan dari genggaman Irfan. Irfan menggenggam makin kuat. Sengaja tidak mahu melepaskan tanganku. Kami sama-sama ketawa kecil.

“Sebentar, tanganku udah cape nih,” rayuku. Sekali lagi Irfan mencium tanganku, lalu melepaskan tanganku ketika pramugari manis yang cantik seperti Lydia Kandou menyapa kami untuk minuman jus nenas. Nasib baik aku diselamatkan oleh si Lydia Kandou tadi, kalau tidak tanganku akan kaku membeku dek aliran darah tersekat.

Pramugari kemudiannya terus menyediakan makanan untuk para penumpang yang memenuhi pesawat. Seperti biasa, ada nasi, macam nasi beriani dan daging masak rendang aku rasa. Tidak berapa jelas spesis menunya. Mungkin sudah dimodifikasi supaya mudah dibungkus dan sesuai untuk perjalanan jauh serta citarasa pelbagai bangsa, meyebabkan nasi beriani dan rendang ini tidak lagi seperti yang aslinya, agaknya lah. Apapun spesisnya, aku dan Irfan makan dengan seleranya makanan yang disediakan. Rupa-rupanya kasih-sayang tidak dapat membuatkan perut kenyang, hehe.....

Sekali lagi aku memandang Irfan lalu melemparkan senyuman kepadanya. Pramugari membawa surat khabar yang diminta Irfan. Mat Salleh di sebelah pun dapat juga surat khabar New Straits Time. Aku hanya menempel, menumpang membaca dengan Irfan, tiada berita menarik, malas membaca. Perut dah kenyang, mata mula kuyu. Nak melayan mata sementara Irfan leka menelusuri berita-berita di Surakhabar “The Star”, biarlah dia habis baca dulu. Aku melentukkan kepalaku ke bahu Irfan. Irfan membelai-belai kepalaku seketika. Semakin mengada-ngada aku ni rupa-rupanya. Mengambil kesempatan nak bermanja. Apa salahnya, dengan buah hati sendiri, bukannya orang lain. Hehe...aku terlena dengan senyum bahagia.

Lama rasanya aku terlena tadi, hampir sejam. Bila aku membuka mataku, rupa-rupanya Irfan juga terlentuk sama, bersandar di kepalaku. Ingatkan masih membaca dia. Tidak tahan, iri hati agaknya tengok aku tidur dengan lena. Lagipun, memang kami kepenatan beraktiviti berterusan sepanjang tiga hari lepas. Kalau tidak kuat stamina boleh demam rasanya. Kasihan dia. Aku merenung wajah Irfan yang kelihatan sangat tenang, lalu aku mengelus-elus pipi Irfan yang licin. Betul, aku betul-betul sayang dia. Aku membiarkan saja Irfan meneruskan mimpi indahnya.

Aku membelek-belek surat khabar. Bosan pula rasanya. Irfan belum terjaga. Rasa macam nak kejutkan dia. Aku meniup telinga Irfan perlahan-lahan. Irfan hanya bergerak-gerak memusingkan badannya, belum membuka matanya. Aku menarik hidung Irfan yang mancung perlahan-lahan. Irfan membuka matanya lalu menangkap tanganku. Kami sama-sama ketawa. Akhirnya aku dapat membangunkan Irfan. Nasib baiklah, di sebelah tu Mat Salleh, tidaklah dia pedulikan kami yang berperangai macam budak-budak. Kami menjenguk Mat Salleh di sebelah, rupa-rupanya dia pun tidur.

Adoi, pengumuman sudah dibuat, arahan memakai tali pinggang dan membetulkan tempat duduk kerana kapal terbang akan mendarat, gayat lagi. Irfan faham perasaanku. Dia mengenggam tanganku erat-erat. Senyum lagi padaku. Aku rasa sangat dimanjakan Irfan. Suka sangat.

“Tenanglah sayang, tarik nafas dalam-dalam, hembus pelan-pelan, agar lebih tenang ok....” Irfan cuba menenangkan aku dari rasa gayatku, sambil dia menepuk-nepuk tanganku perlahan. Dia bercerita macam-macam cerita lucu sepanjang dia di Australia dan di UI. Pandai juga bercerita yang boleh memancing aku ketawa terkekek-kekek. Aku memang kuat ketawa. Hampir separuh hidupku sehari-hari aku penuhi dengan ketawa. Kalau tak dapat kawan yang pandai membuat aku ketawa, rasa bosan dan tidak ceria hidupku ini.

Wow....sedar tak sedar pesawat kami sudah mendarat dengan selamatnya. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik dan mengembirakan. Kami melangkah keluar dengan semangat Jakarta berbunga-bunga di hati. Genggaman erat tangan Irfan memimpin aku keluar dari dalam pesawat sampai ke balai ketibaan, membuatkan hatiku semakin dekat dan bertaut kukuh nama dan susuk tubuh pria bernama Irfan di hatiku. Semakin kental tekadku untuk bersama Irfan sampai ke hujung nyawaku. Ya Allah berilah keredhaanMu dalam melestarikan hubungan kami dengan melupakan semua kepedihanku dahulu.

Sambil berjalan keluar, masih sempat Irfan singgah di kedai bebas cukai. Dia memilih sebotol perfium yang disukainya untukku, Calven Klein “for women”, aku pun suka baunya. Dia mengambil dua botol, satu untukku dan satu lagi untuk kakaknya.

“Sama dong baunya nanti,” protesku dengan lembut. Akhirnya Irfan menukar Eternity untuk kakaknya setelah menyedari apa yang kukatakan itu ada benarnya. Manalah tahu kebetulan kami memakainya pada masa yang sama, ke tempat yang sama. Aku tersenyum bila memikirkan jika keadaan sedemikian berlaku. Tidak seronok jadinya.

Irfan kemudiannya mengambil teksi untuk membawa kami keluar dari bandaraya Soekarno-Hatta menuju ke Depok, kemudian ke rumah Irfan. Irfan menghantar aku sampai di tepi jalan Margondaraya. Aku menolak Irfan menghantarku ke kost. Aku tidak mahu rakan-rakan Malaysiaku tahu kehadiran Irfan dalam hidupku buat masa ini. Biarlah dulu, bila tiba masa yang sesuai nanti, pasti mereka akan tahu juga. Selepas memastikan aku akan selamat menuju ke kostku yang hanya beberapa meter sahaja dari jalan besar, Irfan bergerak ke rumahnya. Janjinya kami akan berjumpa di kampus besok pukul 10 pagi, sama-sama mengambil keputusan peperiksaan kami.

Ketika aku sampai di kost, kelihatan Faiz di depan kost bersama beberapa orang rakan Malaysia yang lain. Faiz duduk di atas motor kesayangannya. Riuh-rendah suara mereka melihat kemunculan aku. Faiz hanya diam, macam biasa lebih suka mendengar orang bercerita. Hanya bila soalan ditujukan kepadanya barulah dia akan bercakap. Kadang-kadang pelik juga bila melihat Faiz, nampak macam sangat menebal rasa rendah dirinya. Entahlah, belum betul-betul kenal dia sebenarnya.

Memang begitulah keadaan kami yang tinggal berjauhan dari keluarga, akan merasa sangat dekat sesama kami, macam adik beradik. Gembira mereka melihat aku seolah-olah sangat merindui ketiadaanku. Memang betullah, sebulan tanpa aku, terasa rindu agaknya. Bukannya ramai kami yang tinggal di greenvilla ni, hanya lima orang anak Malaysia, yang lainnya adalah anak-anak Indonesia dari Palembang dan Riau.

“Salam dari orang Malaysia untuk semua.” Aku membalas jeritan gembira rakan-rakan melihat kemunculanku. Aku masuk ke dalam rumah. Keluar semula dengan ole-ole dari Malaysia. Keropok leko dan keropok keping. Ada juga roti canai yang kubawa khusus untuk kawan-kawan untuk menghilangkan rindu mereka kepada roti canai dan tanah air. Ketika berhenti makan di Bangsar, aku sempat membeli dua puluh keping roti canai untuk mereka. Seronok sekali melihat mereka makan dengan berselera selepas roti dipanaskan semula, lembut, rasa macam baru dimasak. Bolehlah, sekadar melepaskan gian dengan roti canai panas di kampung halaman. Rakan Indonesia jiran kami kuajak sama menikmati roti canai yang belum pernah mereka rasai sebelum ini.

Setelah berbual-bual seketika, menceritakan suasana terkini di Malaysia, aku meminta izin untuk masuk ke bilik, mandi dan merehatkan badan seketika. Penat juga rasanya, walaupun tadi sempat tidur dalam pesawat tetapi mata mula rasa mengantuk lagi. Mahu sambung tidur beberapa minit lagi supaya nantinya dapat bangun dengan rasa segar.

Sebelum tertidur masih sempat melayan angan-angan bersama Irfan. Tak habis-habis memikirkan tentang Irfan. Lama rasanya menunggu besok hari nak bertemu dengannya. Masa sangat lambat bergerak. Akhirnya aku terlena sambil mengenggam botol minyak wangi “CK for women” yang dibelinya untukku ketika di kedai bebas cukai bandara tadi. Wangian ini menemani tidurku menggantikan Irfan.

Ketika bangun, azan maghrib sudah kedengaran dari surau berdekatan. Pak Amin yang bertindak sebagai bilal mengalunkan azan yang sangat merdu menusuk pendengaranku di senja ini. Azan pertama setelah aku menjejakkan kakiku ke Jakarta untuk kedua kalinya. Badan rasa masih lemah, kelamaan sangat tidur tadi.

Tiba-tiba hati jadi sayu teringatkan Mak. Apalah khabarnya Mak tanpa aku setelah sebulan aku menemaninya.? Cepat-cepat aku cuba menempis kesayuan dan kesedihanku. Jika dibiarkan nanti hidup hilang seronoknya. Bau minyak wangi pemberian Irfan semerbak memenuhi bilikku yang sempit.

Bilikku hanya muat sebuah katil bujang, almari pakaian satu pintu, sebuah meja belajar dan kerusi serta ruangan untuk sehelai sejadah solat. Bau wangian ini akhirnya berfungsi seperti suntikan semangat ke dalam jiwa dan diriku. Bangun dan solat maghrib, kemudian isyak. Selepas solat aku panjatkan doa untuk kesejahteraan hidup Mak, adik-adik dan aku serta seluruh keluargaku. Bacaan Al-Fatihah dan surah Yassin kusedekahkan untuk arwah kakak. Lega selepas dapat menunaikan tanggungjawabku.

Kedengaran suara riuh dari rumah sebelah. Gelak tawa dan perbualan yang rancak, menarik minatku untuk menjenguk ke sebelah. Melalui pintu belakang aku boleh tembus ke rumah mereka jika tidak dikunci dari dalam sebelah sana. Ternyata tidak berkunci. Ramai sekali senior-senior Malaysia berkumpul rupa-rupanya. Faiz pun masih ada. Belum balik-balik lagi dari tadi. Lama betul dia bertapa kat sini. Tak rasa rimas ke dengan tidak mandi dan pakaian tidak berganti, komenku dalam hati. Hati rasa pelik melihat sikap Faiz. Akhir-akhir ini dia banyak menghabiskan masanya di kost kami. Biarlah Faiz dengan gayanya, suka hati dialah.

Bila berkumpul ramai-ramai, macam-macam cerita muncul, biasanya cerita kelakar dan cerita hantulah yang menjadi pilihan. Mereka datang dari kost-kost yang berhampiran, Wisma Malaysia dan Rawamangun. Sengaja datang untuk beramah mesra. Aku turut sama memeriahkan suasana. Mereka kuhidangkan keropok dan Lukman menyediakan air teh o dan kopi o.

Seronok dapat berkumpul dan berbual-bual bersama dengan rakan-rakan senegara. Sesekali berjumpa dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Sedangkan dalam hati masing-masing ada kebimbangan tentang keputusan peperiksaan yang akan keluar besok. Apalah agaknya angka yang akan aku terima?

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 27 November 2011.