Kliping rencana dalam Utusan Malaysia tentang masalah pelajar Malaysia di Indonesia
DENGARLAH RAYUAN ANAK DARI BANDUNG
DENGARLAH RAYUAN ANAK DARI BANDUNG
OLEH A.F.YASSIN
Lelucon dan hilaian ketawa yang memecah kesunyian malam di Pusat Pelajar Malaysia (PPM) di Bandung tidak dapat menandingi betapa seriusnya persoalan yang dihadapi oleh para mahasiswa Malaysia di Indonesia ketika ini. Hinggakan anggota Panitia yang dibentuk khas oleh Duta Besar Malaysia di Indonesia untuk menyiasat masalah pelajar ‘pening” memikirkan apakah mahasiswa Malaysia di Indonesia selama ini belajar sambil memikul beban masalah demi masalah.
Pertemuan selama hampir empat jam antara anggota panitia yang terdiri daripada Menteri Kedutaan, Sdr Kamaruddin Abu. Penasihat Kedutaan Sdr Khairuddin Ibrahim, Atace Penerangan Sdr Abdul Majid Othman dan Pegawai kerja Jabatan Hal ehwal Pelajar Malaysia di Indonesia (JPMI) Sdr Aziz Othman dengan 80 orang mahasiswa Bandung berhasil mengemukakan beberapa masalah yang selama ini dibebankan kepada para mahasiswa di Bandung khasnya dan seluruh mahasiswa di Indonesia umumnya. Sebabnya, apa yang sebenarnya menjadi masalah mahasiswa Bandung tetap juga menjadi masalah para mahasiswa di lain-lain kota besar di Indonesia, seperti di Jakarta, Medan, Surabaya, Jogjakarta dan Bogor.
Antara masalah yang diutarakan pada 10 Mei malam itu ialah kekurangan biasiswa untuk menampung kos hidup di Bandung, problem imigrasi, perubatan daan rawatan rumah sakit, kontrak rumah dan paling penting hubungan yang semakin “bertambah retak” antara JPMI dan mahasiswa. Sejak akhir-akhir ini mengikut para mahasiswa hubungan antara JPMI dengan hampir seluruh mahasiswa Malaysia di Indonesia seolah-olah tidak dapat diperbaiki lagi.
Mahasiswa menuduh bahawa ada pegawai-pegawai di JPMI yang tidak menjalankan tugas dengan baik hingga bisa menimbulkan banyak salah faham dan kepincangan hubungan antara pejabat ini dengan mahasiswa Malaysia. Seorang mahasiswa sampai berkata bahawa JPMI terbentuk asas dasar adanya mahasiswa, dan ia berfungsi untuk mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di Indonesia. Kerana itu mengikut mereka JPMI tidak sepatutnya menjauhkan diri dan menutup pintunya kepada mahasiswa.
Para mahasiswa merasakan mereka dianaktirikan dan dengan penuh rasa emosional mengeluarkan dendam kesumat hati mereka. Terang-terangan mahasiswa meminta agar panitia “dengarkanlah bapak, keluhan si anak tiri ini.”
Mendengarkan keluhan itu lantas saya teringat akan ura-ura Persatuan Bekas Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia di bawah ketuanya, Sdr. M. Noor Azam yang baru-baru ini ingin mengadakan satu pertemuan khas di salah senuah hotel terkemuka di Ibukota guna menggariskan dasar-dasar perjuangan persatuan, yang antara lain akan memperjuangkan persamaan taraf ijazah Indonesia dan layanan yang sama rata kepada bekas mahasiswa Malaysia di Indonesia dalam semua lapangan, terutama lapangan pekerjaan dalam pemrintahan.
Apabila dihubungkan antara kedua-dua ini maka jelaslah bahawa selama ini para lulusan dari Indonesia masih belum menerima perhatian wajar., baik dari kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan. Mereka ibarat orang yang terus-terusan mempunyai “ayah tiri” mulai saat mereka belajar di Indonesia hingga sampai kepada peringkat mencari pekerjaan.
Sebenarnya, siri pertemuan antara mahasiswa dan kedutaan adalah julung kali pernah diadakan dalam konteks memahami dan menyelesaikan masalah mahasiswa. Dan dengan terbentuknya panitia ini maka Memoranda yang dihantar oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia sebulan sebelumnya sudah mendapat response dari pihak berwenang terutama dari kedutaan di Jakarta.
Bagi mahasiswa ini sahaja jalan terakhir untuk mreka menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab, terutama kerajaan sendiri supaya cuba melihat problem yang dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di Indonesia dengan perspektif yang betul. Bagaimanapun, soal biasiswalah yang mula-mula jadi sasaran. Hampir seluruh mahasiswa yang menerima biasiswa kerajaan sebulat tekad menjelaskan bahawa jumlah yang mereka peroleh satu-satu bulan tidak mencukupi memandangkan kos hidup yang semakin melambung dua tiga tahun terakhir ini.
Pada masa ini setiap mahasiswa menerima $230 sebulan, iaitu kira-kira Rp 37 ribu. Seorang mahasiswa tahun akhir dari Institiut Teknologi Bandung (ITB) berkata, “Kita tidak tahu bagaimana nak mencukupkan perbelanjaan harian. Sewa rumah harus dibayar untuk selama dua tahun sekaligus, kira-kira Rp 300 ribu atau $1900. Untuk in-de-kost kira-kira Rp 25 ribu hingga Rp 30 ribu sebulan. Paling-paling murah sewa kamar kecil yang luasnya 9’ x 9’ sudah berharga Rp 10 ribu sebulan. Ini belum termasuk makan dan cuci pakaian. Bayangi dengan jumlah biasiswa seperti kami terima hari ini.”
Pada bulan Mac lalu, seramai 12 orang mahasiswa private telah ditemu duga oleh JPMI, Jakarta untuk permohonan biasiswa. Mereka terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa IKIP dan Universitas Padjadjaran yang telah menunjukkan kelulusan yang baik dan layak menerima biasiswa. Tetapi, mengikut salah seorang pemohon, yang sekarang dalam tahun akhir, hingga ke hari ini belum diterima jawapan apakah mereka berjaya atau sebaliknya. Kelambatan menjawab dari pihak JPMI sungguh menghampakan mereka kerana dalam keadaan hidup yang terdesak mereka pasti kurang dapat menyempurnakan perkuliahan dengan baik.
Fasilitas meminjam memang diberikan kepada mahasiswa yang menerima biasiswa kerajaan, terutama yang menyangkut pembayaran sewa rumah. Tetapi untuk mendapatkan pinjaman itu para mahasisa dikatakan “terpaksa menghadapi berbagai soalan yang kadang-kadang menyakitkan hati hingga kalau tak kuat mental enggak tahu apa akan jadi.” Kadang-kadang keputusan pinjaman itu tidak diberikan pada hari itu juga. Pmohon terpaksa datang lagi di waktu yang lain. Tanya mahasiswa, “ Apa halnya dengan mahasiswa yang belajar di Bandung, Jogjakarta atau Surabaya? Bukankah untuk datang beberapa kali ke Jakarta memerlukan waktu dan wang?”
Sering mahasiswa mengadakan simpanan bersama dengan mengumpulkan sejumlah wang untuk dipinjamkan kepada mereka yang mengontrak rumah atau kamar mengikut giliran . Dan cuma inilah sahaja jalan keluar mengurangi kekurangan dalam kalangan mereka.
Masalah imigrasi memerlukan penyelesaian yang sesegera mungkin, terutama dalam soal menguruskan proses mendapatkan Kartu Izin Menetap Sementara (KIMS) bagi warganegara asing. Akhir-akhir ini kerana kesuntukan waktu barangkali Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur cuma sempat memberikan visa kunjungan yang berlaku bulan ke bulan untuk selama tiga bulan.
Masalah ini tidak timbul satu masa dulu bagi mahasiswa kerajaan tetapi sekarang hampir semua mahasiswa baru angkatan 1976 mengalami kesulitan mendapatkan visa pelajar untuk tiga atau empat tahun. Malah ada setengah-setengahnya diperlukan pulang selepas tiga bulan untuk mengambil visa pelajar di KBRI di Kuala Lumpur.
Mengikut salah seorang mahasiswaa private, beliau terpaksa menunggu lima bulan untuk mendapatkan KIMS dan selama itu beliau terpaksa memperpanjang tempoh visa kunjungannya bulan ke bulan. Sekali diperpanjang beliau harus membayar Rp 9,000 ($55) untuk wang stemnya, padahal stem yang digunakan cuma berharga Rp 1000. ($6). Maka di sini harapan mahasiswa kepada kerajaan adalah pada masa akan datang baik pelajar yang menerima biasiswa atau yang datang secara persendirian harus melengkapkan dahulu dokumen imigrasi seperti visa pelajar dan segala sebelum berangkat ke Jakarta. Ini tentunya akan memudahkan pross mendapatkan KIMS di Jakarta. Dan proses mendapatkan KIMS memerlukan komitmen pihak JPMI dengan menanganinya secara lebih efisien lagi.
Tetapi selepas mendapatkan KIMS timbul pula masalah lain. Masalah pendaftaran dengan Kotamadya, Kepolisan (Jabatan Polis) dan Kejaksaan. Baru-baru ini timbul pula satu persoalan mengenai pendaftaran di Kejaksaan. Mahasiswa-mahasiswa Malaysia yang harus mendaftar dikenakan membayar kira-kira Rp 3,500 dan mengikut mahasiswa “yang anehnya jumlah bayarn ini tidak sama dari tahun ke tahun.”
Apa yang diungkitkan bukan jumlah bayaran mahupun proses bayaran itu sendiri tapi adalah siapa yang harus membayar: Kerajaan atau mahasiswa? Kalau mahasiswa yang harus mengeluarkan wang dari kantong sendiri, ia sudah tentu menambahkan lagi beban yang ada. Padahal ia diperkirakan adalah urusan antara Kerajaan Malaysia dengan kerajaan Indonesia. Dan sepatutnya pula urusan ini diselesaikan oleh kedua-dua kerajaan.
Dalam soal ini Penasihat Kedutaan, Sdr Khairuddin menarik perhatian pertemuan apabila beliau menyatakan bahawa sebarang urusan demikian harus diajukan kepada kedutaan di Jakarta. Buat sementara waktu, katanya, mahasiswa tidak diperlukan berbuat apa-apa tindakan. “Kami akan berhubung dengan pihak Kejaksaan di masing-masing Kotamadya,” katanya.
Untuk belajar dengan baik memerlukan kesihatan tubuh badan yang baik dan kesihatan perlu diawasi, tambahan pula mengikut mahasiswa di Bandung, Kota Bandung memang “tempat penyakit.” Maka soal rawatan dan perubatan ditimbulkan. Di Bandung, misalnya, setiap warga, lebih-lebih lagi warganegara asing dikenakan Rp 50 ribu jika mahu masuk wad. Masalahnya bukan “mahu masuk wad” tetapi kalau keadaan yang memaksa seseorang itu masuk wad.
Kata seorang mahasiswa tahun akhir ITB, “Kalau tidak ada wang Rp 50,000 jangan mimpilah nak masuk wad. Terpaksalah berendam air mata. Terpaksa menahan sakit di kamar sendiri. Untuk mendapatkan ubat di kedai-kedai ubat ia memerlukan pengesahan doktor. Dan untuk satu pemeriksaan doktor kita harus membayar sekurang-kurangnya Rp 1,000. Ubat lag. Bapak-bapak bayangkanlah.”
Apa yang diharapkan para mahasiswa ialah agar pihak JPMI dapat mengadakan hubungan dengan salah sebuah rumah sakit atau klinik dan mengadakan kontrak rawatan untuk para mahasiswa Malaysia. Maksudnya kalau salah seoang mahasiswa Malaysia masuk wad ia harus diterima terus dan pihak rumah sakit mengajukan segala pembayaran langsung kepada pihak JPMI. Mahasiswa private juga harus diberikan kemudahan ini dengan syarat mereka akan membayar balik wang yang telah dibelanjakan secara ansuran, mengikut kemampuan bulanan.
Masalah rekreasi dan bahan bacaan tidak ketinggalan. Satu ketika dahulu, Sdr Yahaya Ismail pernah menulis dari Australia menyatakan betapa kurangnya bahan-bahan bacaan dari tanah air sehingga beliau merayu agar ada penyumbang yang sudi menghantar apa sahaja bahan bacaan dalam bahasa Malaysia. Rupa-rupanya di sini juga problem ini semakin bertambah akut. Sudahlah alat-alat sukan kurang, bahan-bahan bacaan boleh dikira. Rak-rak bahan bacaan di pusat pelajar kosong selalu. Kalau ada akhbar dan majalah yang sampai tarikh penerbitannya, mengikut mahasiswa, ia menunjukkan seolah-olah “kita masih lagi di zaman Allahyarhan Tun Abd. Razak.”
Perlunya ditambah bahan-bahan yang berbagai seperti semua majalah terbitan Malaysia di samping akhbar-akhbar semakin dirasakan, lebih-lebih lagi memandangkan situasi dan kondisi di Malaysia sekarang. Hal ini dibuktikan lagi oleh semangat para mahasiswa yang begitu asyik mendengar berita-berita terakhir dari Atace Penerangan, Sdr Abdul Majid Othman sewaktu minum teh selepas pertemuan.
Sdr Ismail Hamzah, pengawas Pusat Pelajar di Bandung, yang juga mahasiswa tahun akhir, Fakultas Publisistik, Universitas Padjadjaran, sambil menunjuk ke dinding berkata, “DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang baru sudah lama ditabalkan. Allahyarham Tun Abd. Razak sudah lama meninggalkan kita. Tapi lihatlah di dinding masih tergantung gambar Yang dipertuan Agong yang lama dan kita juga sedang rindukan wajah Perdana Menteri Datuk Hussain Onn.”
Demikianlah dalam pertemuan malam itu beberapa masalah yang mendesak yang dialami oleh para mahasiswa dari tahun ke tahun dapat dilimpahkan keluar. Persis kerana adanya objek untuk melemparkan masalah itu. Objek, mengikut perkiraan mahasiswa, yang dapat memberikan harapan baru kepada mahasiswa.
Sejauh mana keluhan para mahasiswa di Indonesia umumnya dan mahasiswa Malaysia di Bandung khususnya didengar dan dipertimbangkan oleh pihak yang berwenang akan tergantung banyak kepada kebijaksanaan para anggota Panitia yang datang mendekati para mahasiswa dalam rangka kunjungan “fact-finding” mereka. Dan usah pula menganggap bahwa jamuan teh dan kuih-muih di akhir pertemuan sebagai “ingin berbudi untuk mengharap sesuatu” dari pihak mahasiswa.
(Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, 24 Mei 1976).
No comments:
Post a Comment