Sunday, 30 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 21 – Nor Aizan Ab Halim

Terkejutnya Aku
Telefon rumah yang berbunyi berterusan kuangkat. Suara di hujung sana melenyapkan debaranku. Oh...hatiku berdebar tadi menunggu panggilan dari New York rupanya, bukan dari Australia. Buktinya, terdengar saja suara di talian, jantungku tidak lagi berdegup kencang. Mula pulih normal, seperti biasa. Aduh....apa sudah jadi dengan aku? Apakah kerana cincin berlian ini berada di tanganku, maka aku jadi merindui pemberinya.

“Hai sayang, apa khabar?” Suara Irfanku yang serak-serak basah merdu sekali ditelingaku. Debaran bertukar menjadi bunga-bunga di taman.

“Hai jugak...khabar baik. Di sana bagaimana, semuanya ok?” Aku pula bertanya khabar Irfan dan keluarganya.

“Semuanya okay...Nur, kangen deh ama kamu, kamu gimana, kangen sama aku nggak?” Seperti biasa Irfan meneruskan bicara rindunya. Aku senyum, sayangnya tidak dapat dilihat Irfan. Lupa, perbualan melalui telefon, tidak perlu senyumlah. Hehe....

“Nur, kenapa diam aja...?” Irfan mengejutkan aku dari lamunanku.

“Kamu rasa aku kangen nggak sama kamu?” Tanyaku menguji Irfan yang kini tidak segan silu lagi mengungkapkan rasa hatinya padaku, malah akhir-akhir ini kerapkali memanggilku sayang, senang deh.

“Taunya hanya aku aja yang rindu sama kamu, kamu langsung tidak ingat aku kali....,” rajuk Irfan. Aku mula ketawa mendengar suara Irfan merajuk. Seronok.

“Mana bisa nggak kangen sama kamu. Setiap detikku ingatkan kamu tau nggak. Kamu tuh, di sana sama cewek-cewek bule, jelas nggak ingat sama aku kaaan....?” Giliran aku pula pura-pura ‘ngambek’. Padahal, ada masanya ketika bersama Roslan, ingatanku kepada Irfan pudar seketika. Bukan lupa tetapi....tetapi... kabur dek layanan kelas satu Roslan terhadapku.

“Aduh....suka deh gua kalo kamu jeles sama cewek bule tuh, artinya kamu sayang dan rindu sama aku. Jangan risau, cantik seperti apapun bule-bule ini nggak sama dengan kamu Nur, sumpah......!” Irfan ketawa senang. Akupun ikut ketawa mendengar gula-gula kata Irfan. Mengampulah tu.

“Nur, benar nih, aku benar-benar kangen sama kamu, udah hampir sebulan tidak melihat kamu, gimana kayaknya rupamu sekarang, masih manis seperti dulu nggak?” Irfan meneruskan bicaranya.

“Udah nggak manis lagi, malah udah tua kayak mbah-mbah, mau kamu sama aku kalo udah gituan?” Aku membalasnya dengan nada sedikit serius.

“Bener ya....ehhh nggak sabar tuh mau ngeliat kamu yang gituan, pasti cakep deh....hehe,” ujar Irfan sambil ketawa berdekah-dekah.

“Tunggu deh gua mau terbang ke sana sekarang juga,” sambung Irfan lagi.

“Huh, ngawur kamu,” balasku, juga ketawa.

“Nggak percaya? Jangan kaget kalo tiba-tiba gue ada di depanmu,” kata Irfan dalam tawanya.

Aduhai hati, senang rasanya dapat bercakap dan bergurau senda dengan Irfan. Memang anak Jawa Jakarta ini tidak pernah sekalipun menyakiti hatiku. Aku jadi terfikir-fikir untuk melukai hatinya. Rasa-rasanya aku tidak akan dengan sengaja melukai hatinya. Segala keistimewaan dan kelebihan Irfan tidak memungkinkan aku melepaskan dia. Lelaki sebaik dia adalah anugerah Tuhan. Bukan senang nak jumpa, putus hatiku. Roslan bagaimana? Bukankah sama-sama ada kelebihan macam Irfan juga. Agaknya apa kata Irfan kalau tahu kewujudan Roslan dan cincin berliannya.

“Sayang....kapan pulang Jakarta?” Tanya Irfan memutuskan lamunanku.

“Hehe...kapan datang Jakarta, bukan pulang Jakarta, salah tu....” Aku memperbetulkan soalan Irfan. Sudah berapa kali aku beritahu tarikhnya, tetap saja dia bertanya setiap kali telefon.

“Lho...kan sama, Jakarta juga kota keduamu, nggak ngaku tuh....gimana mau jadi orang Jakarta kalo nggak terima jadi warganya,” komen Irfan. Aku hanya ketawa. Yakin benar Irfan bahawa kami akan bersatu sebagai satu keluarga. Mungkinkah Mak sudah memberi janjinya kepada Irfan untuk menyatukan aku dan dia.

“Apa benar kamu mahu melamar aku?” Tanyaku.

“Benar, Ibumu juga sudah setuju,” katanya penuh semangat. Aduh berarti benarlah Mak sudah setuju dengan niat Irfan untuk melamarku. Patutlah Mak marah sangat ketika aku mengambil cincin Roslan kelmarin.

“Kapan Mak setuju?” Tanyaku balas untuk meminta kepastian.

“Waktu Nur ngasih telefon untuk bicara sama ibu tiga minggu lalu,” jelas Irfan. Kan betul, Mak sudah setuju ketika berbual dengan Irfan tempohari.

“Apa kata ibuku waktu itu?” Tanyaku lagi tidak berpuas hati dengan jawapan Irfan.

“Ibumu ok,ok saja. Dia minta aku tanya sama kamu. Kalo kamu suka, dia terima saja. Cuma dia mau aku janji akan menjagamu dan membahagiakan hidupmu Nur, jangan sekali-kali menyakiti kamu?” Panjang lebar Irfan menjelaskan. Sebak rasa hatiku mendengarnya.

“Ok nggak, kamu gimana, suka nggak?” Tanya Irfan pula. Terkedu aku. Betul ke Mak begitu mudahnya menerima Irfan hanya dengan sekali cakap melalui telefon saja sudah percaya? Sedangkan sebelum itu ketika aku memaklumkan kepada Mak tentang niat Irfan, macam-macam alasan Mak, jauh lah, tidak kenallah, orang luarlah, orang kaya lah, tidak sekufu susah katanya, anak-anak nanti macamana, Mak susah nak jumpa akulah, akulah satu-satunya anak perempuan mak, nanti rindulah.....macam-macam alasan yang memang masuk akal hinggakan aku terdiam tanpa dapat berkata apa-apa untuk membela keinginan pada masa itu. Akhirnya waktu itu aku sudah redha menerima keputusan Mak bahawa aku dan Irfan tidak mungkin dapat bersatu.

“Trus, kamu gimana, kamu sanggup jaga aku dan tidak sakiti aku seperti permintaan ibuku?” Tanyaku untuk mengelak terus menjawab soalan Irfan.

Tiba-tiba hatiku jadi sayu untuk terus menjawab `ya’ akan pertanyaan Irfan tadi. Kenapa harus jadi begini? Adakah kehadiran Roslan mempengaruhi aku seperti ini atau rasa sedih untuk tinggal berjauhan dengan Mak dan keluarga. Kalau aku kahwin dengan Irfan, sudah pasti aku akan menghabiskan sebahagian besar masaku di Jakarta. Irfan pemilik utama perusahaan bapanya. Dia satu-satu anak lelaki keluarga ini, tidak mungkin dia akan ikut aku ke Malaysia. Apakah demi cinta aku sanggup tinggalkan keluargaku, terutama Mak yang keseorangan. Laa..dah jadi terfikir macam tu pulak? Macam tu lah agaknya kalau dah wujud orang ketiga.....

“Nur, kamu udah kenal aku kan, masa kamu tidak bisa menilai aku, sayang....bagaimana aku sekarang begitulah juga aku nantinya....” Amboi...idealis sekali jawapan Irfan. Betul ke manusia tidak akan berubah. Kenapa ada pepatah ‘pantai selalu berubah, bila ombak menghempas pantai’, bukankah itu petanda bahawa manusia selalu berubah sebagaimana pantai itu juga, terlalu rapuh pasir dan tebingnya, apa lagi kalau tebingnya adalah batu kapur, bukan batu granit.
Sebut batu granit, teringat akan AHH, dulu aku memadu janji dengannya di atas batu granit di Pulau Bidan, sebuah pulau berhampiran Pulau Langkawi, tempat kami mengadakan penyelidikan pinggir laut dan kepulauan. Sekuat-kuat batu granit yang kami labuhkan punggung itu tidak dapat membina kekuatan cinta AHH akan diriku.....adoiii.....lemahnya dia.

“Nur, kenapa kamu diam, lagi ingatin gue atau siapa tuh?” Irfan menegurku setelah lama menunggu responku di telefon.

“Oppss, sori...lagi mikirin kamu, rindu sih...,” helahku. Rasa bersalah juga fikiran sibuk melayang ke mana-mana sedangkan Irfan yang baik setia menunggu mendengar jawapanku.

“Trus, kamu gimana, mau terima aku nggak? Aku mau kasi tau mama dan papa kalau kamu setuju.” Irfan mengulangi pertanyaannya untuk mendapatkan kata putusku. Wajar ke aku memberi jawapan sekarang?

Kenapa lelaki yang aku temui selalu mendesak aku? Mulai dari AHH, mendesak aku terima dia kerana waktu itu aku jadi rebutan, setelah dapat, dia tinggalkan, jumpa Irfan, juga mendesak dalam diplomasi. Roslan lebih ganas mendesak aku. Mungkinkah nanti sama macam AHH? ~easy come easy go~ Huh....seram pula aku bila memikirkan semua ini.

Kenapa Tuhan tidak memberikan aku hanya satu cinta yang benar-benar tulus mencintai, menyayangi dan menjaga aku hingga hujung usiaku. Aku tidak perlu banyak-banyak begini, nanti aku jadi keliru dan minda bercapah seribu. Tidak suka bila terpaksa memilih. Takut melukai dan dilukai, sakit dan perit rasanya. Cukuplah sekali, hampir memusnahkan seluruh hidupku. Janganlah Kau ulangi ujian ini padaku Tuhan, aku rasa sudah tidak sanggup menghadapinya. Adakah aku hambaMu yang tidak baik di sisiMu, ya Allah, hinggaka perlu terus diuji? Kasihanilah hambaMu yang lemah ini.

“Sayang....ngelamun lagi tuh....mau ngomong apa nggak? Kalau nggak mau, aku stop ni?” Alamak. Irfan sudah merajuk, merasa dirinya tidak dilayan.

“Ok, ok sayang...mau ngomong, teruskan, tadi bicara apa ya?” Aku menyedari kekhilafan mengabaikan Irfan. Tersedar aku, untuk pertama kalinya aku memanggil Irfan ‘sayang’, sebelum ini bibirku berat nak menyebut kata ‘sayang’ padanya. Huh...terlepas juga akhirnya, tapi rasa lega dan lapang dadaku dengan perkataan ‘keramat’ pertama untuk Irfan itu.

“Kan tadi gue nanya, kamu gimana udah bisa terima gue apa enggak?” Irfan bersuara perlahan dengan nada merajuknya, namun ada getar gembira dalam nada suaranya.

“Hehe...janganlah ngambek...boleh nggak, kita bicarakan hal ini kalo udah ketemu nanti, ok nggak?” Aku masih mahu mengelak untuk menjawab soalan yang sangat penting ini.

“Sayang, bener nggak tadi gue dengar kamu panggil aku ‘sayang?” Tiba-tiba saja Irfan mengingatkan aku tentang itu. Aku jadi malu. Aku rasa mukaku merah dek darah naik ke muka. Maklum sebelumnya aku tidak pernah menyebutnya.

“Hehe...bener, kenapa, nggak boleh?” Aku membalasnya.

“Boleh, malah senang sekali. Boleh nggak kamu sebut sekali lagi sebelum aku stop telefon?” Pinta Irfan separuh merayu.

“Ok lah sayang, selamat tidur, selamat malam and selamat mimpi yang manis-manis,” ucapku dengan nada manja kubuat-buat. Aku tidak dapat menahan ketawa mendengar suara menggoda Irfan di sana.

“Lho...kenapa ketawa sayang, kamu ni benar apa nggak sayang sama aku sih?” Tanya Irfan ragu-ragu.

“Benar....jangan tanya terus dong, nanti aku jawab nggak, mau kamu?” kataku mulai geram.

“Ok, ok sayang.....met malam, met tidur dan mimpikan gue pacarmu yang satu nih ok......i love you so much, i miss you so much,” ucap Irfan mengakhiri perbualan kami sambil membunyikan kucupan sayangnya kepadaku. Adoi, romantisnya dia kalau berkata-kata merayu, dengan suaranya yang serak-serak basah, menggodaku, rasa luluh seluruh jiwaku. Aku selalu tewas denga Sophan Sophianku ini. Terbayang betapa ‘cakep’nya Widyawati di samping Sophan Sophiannya........akulah Widyawatinya tuh.

“Ok, sayang love you and miss you too,” balasku sambil meletakkan gagang telefonku setelah pasti Irfan telah mengakhiri perbualannya. Aku menghembus nafas lega, puas dan gembira. Maklum menerima panggilan dari seorang lelaki yang kuterima sebagai ‘pacarku’ tetapi belum resmi sebagai tunanganku. Lupa seketika tentang kewujudan Roslan.

Aku mahu terus tidur. Besok nak bangun awal pagi. Dah janji nak jumpa kawanku Liza yang sangat kurindui. Namun sayangnya mataku tidak mahu tidur. Puas aku memujuk hati dan mata untuk tidur, namun mata masih terkebil-kebil Macam-macam terbayang dalam minda, Roslan, Irfan, AHH, arwah kakak, adikku Am, Adik Izani yang sudah lama tidak menelefonku, dan akhirnya wajah Mak muncul dengan wajah sayunya. Betulkah aku sanggup tinggalkan wanita yang sudah sangat berjasa kepadaku ini semata-mata untuk memenuhi cinta hatiku Irfan. Huh...mata semakin keras, kelopak mata berkelip jarang-jarang menunjukkan sudah sangat letih dan mengantuk, tapi otakku belum mengarahkan mata untuk pejam.

Jam loceng berbunyi nyaring sekali, megejutkan aku. Pukul 6.30 pagi, sesuai untuk solat subuh. Aku tidak sedar pukul berapa mataku lelap malam tadi. Mata dan kepala rasa berat, kurang tidurlah tu. Cepat-cepat bangun, solat dan tidur lagi kerana masih sangat mengantuk, tidor lewat sangat malam tadi. Jam kukunci lagi, pukul 9 pagi, harap-harap bunyi loceng jam akan mengejutkan aku untuk ke bandar bertemu kawanku Liza, rindu sangat dah lama tidak berjumpa. Sudah tiga minggu balik, belum berkesempatan bertemu, hanya sempat bercakap dalam telefon saja. Mudah-mudahan janji kami untuk bertemu akan berjalan dengan mulus.

Alhamdulillah, rasa ringan sikit kepala bila mataku celik sewaktu jam sudah berbunyi, pukul 9 pagi. Bangkit dari tempat perbaringan, menuju ke bilik air dengan badan masih lemah. Lepas mandi nanti akan ringan dan segarlah. Rumah senyap sunyi, tiada orang, semua sudah keluar dengan aktiviti masing-masing. Aku cepat-cepat bersiap, sayu pula rasa hati bila keadaan rumah sunyi sepi begini. Ke bandar naik teksi lagi cepat, malas nak tunggu bas. Teksi Cuma RM2.00 saja ke bandar.
Liza sudah menunggu di tempat kami berjanji, di stesyen bas Kuantan, disebelahnya adalah Benteng, terletak di Kuala Sungai Pahang. Tempat yang sangat popular untuk kami remaja bertemu kawan-kawan atau makan-makan sambil berpacaran.

Banyak kenangan di sini masa sekolah dulu. Selalu melepak dengan kawan-kawan selepas sekolah. Inilah juga yang menyebabkan SPM ku tidak cemerlang. Banyak masa terbuang dengan kawan-kawan selepas hati kecewa pindah sekolah dan ketinggalan jauh dalam pelajaran di sekolah baru. Huh itu kenangan yang tidak manis. Kenangan manis bersama kawan-kawan juga banyak. Bersama AHH pun kerap makan di sini, maklum pelajar, mana ada duit banyak untuk makan di tempat yang lebih selesa dari di Benteng ini. Dapat selalu makan di Benteng pun dah kira hebat, golongan banyak duit dah tu, hehe, nostalgia lagi.

“Hai Zan....!” Panggil Liza tidak sabar setelah melihat aku tercari-cari dirinya.

Aku melangkah pantas menuju ke arahnya. Kami bersalaman dan berpeluk-pelukan melepaskan rindu hampir setahun tidak berjumpa. Seperti dulu juga aku dan Liza, sangat mesra kami. Kami belajar di tempat yang sama. Bidang yang sama. Kami pernah dipanggil kembar kerana saiz badan sama, rupapun ada iras-iras. Suka berpakaian sama fesyen dan warna kegemaran hampir sama. Apa yang aku ada Liza akan ada, begitu juga aku, apa yang Liza ada aku juga mesti ada. Waktu belajar di Kuala Lumpur, aku selalu menumpang Liza balik ke tempat kami belajar bersama-sama. Ayah atau abangnya akan menghantar kami. Gembiranya waktu itu. Hampir setiap minggu aku balik ke Kuantan.

“Heh...beranganlah tu,” tegur Liza melihat aku diam. Aku hanya ketawa, “nostalgia,” balasku.

Kami memilih untuk duduk ditempat yang biasa kami duduk melepak dulu. Wow, nyaman tiupan angin dari laut, walaupun tidak sekuat di tepi Pantai Batu Hitam waktu bersama-sama Roslan tempohari, ternyata tiupan angin sepoi-sepoi dari kuala Sungai Pahang ini juga cukup menyegarkan. Kami berdua duduk menghadap laut.

Bermacam-macam cerita kami bualkan. Lega dapat meluahkan cerita-cerita kisah kami yang lalu. Kami memang akrab. Tiada satu perkara pun yang menjadi rahsia antara kami. Hingga akhirnya cerita tentang Irfan dan Roslan aku bincangkan juga dengan Liza. Banyak nasihat yang diberikan kepadaku untuk menentukan pilihan. Hampir sama dengan nasihat orang-orang lain yang menyayangi aku.

Liza untung, hanya ada seorang kekasih yang sangat setia kepadanya dari masa sekolah hinggalah sekarang, sudah bertunang mereka dan akan berkahwin cuti sekolah akan datang. Sayangnya aku tidak dapat hadir di hari bahagianya kerana aku di Jakarta. Ruginya rasa.

“Tak apalah, doa Zan dari jauh untuk Liza ya. Nanti cuti semester tu Zan bawa hadiah spesial untuk Liza dari sana ok.,” janjiku.

“Terima kasih Zan, doakan saja Liza bahagia dengan Rizal. Liza juga selalu doakan Zan. Lupakan semua yang lalu. Pilih yang terbaik dari mereka tu, insyallah Tuhan dah sediakan untuk Zan,” ucap Liza. Rizal tunangan Liza memang sangat baik. Aku sangat mengenali Rizal kerana dia ‘head boy’ sekolah aku. Liza sekolah MGS Kuantan. Mereka berkenalan ketika Rizal datang ke rumah mak saudaranya yang tinggal berdekatan dengan rumah Liza.

“Susah juga Zan nak lupa AHH tu Liza. Liza pun tahu kan macamana rapatnya kami,” aku meluahkan apa yang terpendam akhirnya.

“Dah lah, lupakan saja dia, memang tak boleh diharap, nak buat apa laki macam tu,” selamba Liza menghukum AHH. “Pasti ada hikmahnya apa yang berlaku tu, percayalah dengan qada dan qadar Tuhan,” sambung Liza.

Sedang kami seronok menikmati makanan kami, tiba-tiba ada yang menegur kami dari belakang. Terkejut juga kami berdua.

“Hai Liza, apa khabar?” Terdengar suara yang sangat mesra di telingaku. Serentak aku dan Liza berpaling ke arah pemilik suara. Aduh, rasa nak putus jantungku. Kenapa dia muncul saat aku sedang gembira dan berusaha melupakan dia. Liza memandang aku yang seakan sedang menggeletar tubuhku, terperanjat dan gemuruh.

“Hei Ari, khabar baik, awak apa khabar?” Tanya Liza, yang juga terperanjat dan tidak menyangka kehadiran AHH ketika itu, atau panggilan akrab kami Ari. Memang kami tidak menyangka sama sekali. Sempitnya dunia ni. Eh bukan, sempitnya bandar Kuantan ni.

“Zan pun ada.....apa khabar?” Ari mengalihkan pandangannya kepadaku, lalu menghulurkan tangannya hendak bersalam denganku. Berat hati hendak menyambutnya, masih belum padam marah dan kecil hatiku dengan apa yang dia lakukan kepadaku.

“Boleh join kat sini ke, meja lain dah penuh?” Ari meminta izin aku dan Liza.

Padahal banyak meja kosong yang lain, sengaja nak duduk dengan kami. Memang jenis tak ada perasaan agaknya. Dah buat orang macam ni, masih nak duduk makan bersama, ya Allah, boleh ke Liza menolak bagi pihak aku.

Liza memandang aku, “Zan, tak ada orang kat sini kan?” Liza pura-pura bertanya, padahal dia sudah tahu jawapannya.

Belum tunggu jawapan atau persetujuan kami, Ari sudahpun meletakkan punggungnya di kerusi berdepan denganku. Aku susah nak melemparkan senyumku. Terasa bodoh betul aku bila berdepan begini, lebih banyak diam dari bercakap dan tidak mampu senyum di hadapan AHH. Dalam lukaku, terasa seperti berdarah semula.

“Zan, please, janganlah macam ni, dah tak sudi bercakap dengan saya lagi ke?” Ari menyedari aku yang sejak dari tadi hanya berdiam diri, sepatah tanya, sepatah jawab. Bukan diriku yang dulu, petah bercakap bila bersama. Riuh rendah suasana bila kami bertiga dulu.

Aku hanya melemparkan senyuman. Senyum terpaksa. Berat rasa hati nak memulakan perbualan aku dengan AHH semesra seperti dahulu. Kaku, disebabkan seketul darah yang masih menyimpan dendam kesumat. Aku selalu berdoa supaya hatiku lembut dan memaafkan dia atas apa yang dilakukan padaku dulu.

Namun sampai saat ini, belum dapat kumaafkan. Kenapalah keras sangat hatiku? Biarlah, semuanya sudah berlalu dan Allah telah memberi kekuatan untuk aku mengatasinya, pujuk hatiku. Tuhan juga telah temukan aku dengan Irfan, itulah hikmahnya bila hal ini berlaku. Aku cuba lembutkan hatiku untuk berkomunikasi dengan AHH seperti biasa.

Macam-macam soalan yang dikemukakan AHH kepadaku. Naik bosan dan malas nak menjawabnya. Untuk apa dia tahu tentang diriku. Akan lebih menyakitkan. Namun, aku melayan jugalah untuk menghidupkan suasana, dan tidak mahu kelihatan bodoh di hadapan insan yang telah memperbodohkan aku satu ketika dulu. Akhirnya AHH selesai makan dan akan masuk kerja semula pukul 2 petang. Dia meminta izin dari kami untuk pergi dulu. Lega rasa hatiku.

“Zan, sekejap, ikut saya.” Ari mengajak aku ke satu sudut yang jauh dari orang. Aku tidak mahu ikut, tetapi Liza memberi isyarat supaya aku mengikut saja permintaan Ari. Mungkin ada hal penting yang nak diperkatakan, kata Liza. Dengan berat hati aku mengekorinya.

“Zan, saya betul-betul memohon maaf dengan apa yang berlaku dulu,” ucap Ari dengan suara yang tersekat-sekat. Sebak juga dia, walaupun tadinya nampak macam seorang yang sangat keras hati. Aku hanya diam dan memandang tepat ke mukanya.

“Maaf untuk apa, setelah semuanya hancur?” Balasku dengan penuh dendam yang masih membara.

“Please Zan, jangan cakap macam tu. Saya masih sayang Zan sampai sekarang, tolonglah maafkan saya, kalau Zan sudi terimalah saya semula, itupun kalau Zan belum berpunya.” Ari meneruskan kata-katanya berbau harapan.

“Mana perginya budak perempuan yang awak bawa ke hulu ke hilir, tayang depan saya hari tu? Bukan ke dia special girl friend awak?” Aku melepaskan pendaman selama ini.

“Tidak, dia bukan girl friend saya, dia adik angkat saya, sengaja tunjuk dengan Zek supaya dia yakin, saya bukan boy friend awak.” Ari menjelaskan kedudukan sebenar waktu itu. Tapi semua itu tidak ada maknanya lagi. Semuanya sudah hancur.

“Maaf Ari, semuanya sudah berlaku. Tak apalah, memang kita tak ada jodoh. Jangan risau saya telah maafkan awak.” Tiba-tiba sahaja aku dengan berani mengeluarkan kata-kata tersebut. Ari hanya merenung aku dengan renungan yang masih seperti dahulu, tetapi bagiku sudah kosong, tiada lagi rasa seronok direnung begitu, malah timbul rasa menyampah.

“Terima kasih Zan, maafkan saya sekali lagi, maaf zahir batin, jangan marah atau dendam dengan saya ya,” ucap Ari sebelum berlalu. Aku hanya mengangguk tetapi tidak tahu sejauhmana keikhlasanku untuk memaafkan dia. Ari menarik tanganku, bersalam tanganku sambil mengoncangkan tanganku perlahan-lahan, sambil berkali-kali memohon maaf. Ari berlalu dengan matanya berkaca. Aku hanya merenung sayu, kehilangan lelaki yang pernah aku impikan untuk hidup bersama dan membina keluarga bahagia hingga ke hujung usia kami. Tidak kesampaian......

Aku dan Liza meneruskan aktiviti kami bersama-sama, mengunjungi tempat-tempat yang kami pernah kunjungi, ke Teluk Cempedak dan Kompleks Teruntum hingga ke petang. Sangat berharga waktu kami kerana ini adalah pertemuan terakhir kami sebelum Liza bergelar isteri. Selepas ini peluang untuk kami bersama-sama seperti ini belum tentu akan ada lagi dek kesibukan Liza menguruskan rumahtangga dan kerjayanya sebagai seorang guru.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 30 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment