Tuesday, 4 October 2011

Jawa Jaman Jali – Siri 2 – Jali Mat Jali

Sebuah Peristiwa yang tak dapat kulupakan - ini kisahku
Malam pertama di Depok, di sebuah desa di Kabupaten Beji, Desa Kukusan, begitulah nama diberi, mengikut cerita Desa Kukusan terdiri daripada tiga buah kampung iaitu kampung Bambon, kampung Serdang dan kampung Kukusan sendiri. Desa Kukusan bernama sedemikian kerana zaman dulu sebelum penjajahan Belanda desa yang harmoni ini dipenuhi dengan sejenis pohon duku yang banyak tumbuh di kampung ini. Orang menyebutnya dengan nama buah Kokosan. Buah-buah yang ada samada duku maupun Kokosan dijual di sekitar Jakarta hingalah ke Pasar Senen dengan hanya berjalan kaki. Dari nama Kokosan inilah kemudian orang menyebut sebagai kampung Kokosan ( tempat yang empunya buah Kokosan) dan sebutan itu mengalami perubahan kerana perubahan istilah vokal yang akhirnya disebut Kukusan.

Aku dan kawan-kawan seperjuangan mula berpindah ke Depok antaranya M. Rusdi, Mohd Yani, M. Fuad, Abd. Jalil, Saudara Tukimin, Amran dan M. Shafari telah menumpang buat sementara di rumah sewa (kost) para senior (sdr M.Fauzi, Saharuddin, Zulkifle dan M. Said) sementara menanti siang, dan besoknya barulah kami akan mencari rumah sewa. Tuan punya kost tersebut bernama Bapak Said, di belakang kost tersebut banyak sekali empangan(kolam) pertenakan ikan, terutamanya ikan lele dan ikan talapia. Boleh dikatakan kegiatan utama penduduk Kukusan, di RT02/RW03 menjalankan kegiatan perternakan ikan, dan kolam ikan ini biasanya berada di sekitar rumah mereka yang asalnya adalah sawah padi, kerana padi tidak lagi diusahakan oleh penduduk di Desa Kukusan.

Desa ini berpenghuni kira-kira 4000 orang dan terletak di tengah-tengah antara daerah Pasar Minggu (Jakarta Selatan ) dengan daerah Depok ( Bogor) . Desa ini belum lagi membangun walaupun Universitas terbesar di Jakarta telah di bina disini. Lingkugan alamnya masih dipenuhi dengan flora dan fauna dan ditumbuhi dengan pelbagai jenis tanaman, tidak jauh bezanya dengan kampungku. Mungkinkah aku akan dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat, kerana susana desa ini mengingatkan aku dengan kampungku yang jauh aku tinggalkan sejak dua minggu yang lalu. Kebanyakkan penduduknya berkerja sendiri, dengan bertani, menanam tanaman yang boleh dijual seperti sayur-sayuran dan buah-buahan khususnya “papaya”. Ada juga yang menjalankan akitivi perternakan sapi (lembu), banyak sekali kandang-kandang sapi berhampiran rumah penduduk, di samping berniaga secara kecil-kecilan seperti menjaja makanan yang senonim dengan kehidupan masyarakat Indonesia iaitu Bakso, Pangsit, Mie Ayam, Nasi Goreng dan sebagainya ketika waktu senja menjelma hinggalah ke larut malam.

Kami semua keletihan kerana perjalanan yang agak panjang ke Desa Kukusan, dengan keadaan cuaca yang panas, macet yang menyebabkan aku dan beberapa teman hampir deman akibat perubahan cuaca di Jakarta. Dengan mengunakan lori berbodi besi yang terbuka tanpa ditutupi kanves, hanya beratapkan langit, barang kami di angkut dari Wisma Pelajar di Jalan Budi Kemuliaan ke Depok, perjalanan bermula sekitar jam 10.00 pagi. Inilah perjalanan yang begitu menyiksakan kerana pertama kali dalam hidupku telah mengalami “kemacetan” yang menyebabkan aku mengerti arti ketabahan dan kesabaran dalam kehidupan. Keadaan ini yang mengajar penduduk Jakarta meneruskan hidup mereka. Mereka tabah berjuang untuk hidup di bumi Jakarta yang terkenal dengan jumlah penduduk yang begitu padat. Dan begitulah perjalanan aku bermula.

Kalau selama ini Kota Jakarta hanya aku ketahuai dari cerita guru-guruku, terutama guru sejarahku yang mengajar sejarah Asia Tenggara, iaitu CikGu Mohamad Abdullah, terima kasih CikGu, walaupun cacat penglihatan, tetap tabah mengajar kami sepanjang berada di tingkatan enam. Info yang diberi tentang kepadatan penduduk di Jakarta masih tergiang-giang di telingaku, dan semangat nasionlis orang Indonesia berputar di otakku. Betul kata guruku…..gerutu fikiranku yang melayang ketika itu.

Sepanjang perjalanan, tahun 1987, pertama kali aku melintasi “jalan layang” yang menuju ke Pasar Minggu ,”sudah sehebat ini Jakarta rupanya”, perkataan itu berlegar dibenakku.

Pasar Minggu nama sebuah pasar, yang nantinya di sinilah tempat pertukaran “Bis” yang menghubungkan Jakarta dengan kawasan sekitarnya, terutama ke Depok, tempat bermulanya aku sebagai seorang mahasiswa. Perjalanan aku dari pasar Minggu seterusnya ke Desa Kukusan, aku bertemu lagi satu pekan kecil kemudiannya aku kenali dengan nama Lenteng Agung, perjalananku kemudiannya menyelusuri jalan Margoda Raya dan kemudiannya kawasan ini nantinya menjadi tempat mangkal kebanyakkan mahasiswa Universitas Indonesia sebelum mutar ke Desa Kukusan. Lebih kurang sekitar jam 3.00 petang baru aku sampai ke destinasi tujuan kami.

Sampai saja kedestinasi tersebut, kami memunggah barang kami dan disimpan di tempat penginapan sementara, hanya buat semalam numpang tidur di kost senior kami sebelum keesokan hari dan berpindah ke kost kami yang berhampiran dengan kampus Universiti Indonesia, kampus yang baru siap di bina, dan kami merupakan anak sulong UI Depok, angkatan 87.
`
Sekali peristiwa terjadi apabila tibanya pada waktu malam, setelah seharian berkerja, keletihan menerpa badan, masing-masing kepenatan, dan akhirnya tertidur tanpa sedarkan diri. Kami tidur di bilik yang berasingan, aku, Shafari dan Abdul Jalil tidur di ruang tamu, sementara M. Yani, Rosdi dan M. Fuad tidur dalam bilik tidur kost tersebut. Sudah menjadi kebiasaanku, sebelum tidur biasanya aku bermain dengan fikiranku, dan akan tertidur dengan sendirinya setelah itu. Dan seperti kampungku, desa ini juga sunyi pada waktu malam, dan kawasan kampung gelap agak menyeramkan dengan bunyi cengkerik.

Setelah aku pasti semua kawanku telah terlena, aku bangun dan memadamkan lampu…..kerana aku juga ingin melelapkan mata, setelah hampir terlena tiba-tiba………..aku dikejutkan dengan satu jeritan yang sangat mengejutkan dan menakutkan aku. Aku terbangun dari tidur, begitu juga Abdul Jalil, yang terlena di sebelahku dan jeritan itu juga mnegejutkan kawan-kawan yang lain.

Aku cuba membangunkan kawanku yang menjerit itu, dan waktu itu sedang menangis dan dalam keadaan ketakutan. Kedua tangannya kelihatan sedang memegang lehernya. Kawanku Abdul Jalil juga secara spontan bertindak sepertiku, cuba menbangunkannya, tapi tetap tidak diendahkannya. Lalu entah bagaimana, aku membuka pintu rumah kost tersebut dan terus melaungkan azan dan mengejutkan kawan-kawan yang lain.

“Allahuakabar, allahhuaakabar……….”, aku mengazan. Selepas laungan azan tersebut, kawanku itu mula sedar dan berhenti menangis, ianya melegakan perasaan kami.

Dengan tidak sabar, lantas kami semua bertanya beliau, “….Kenapa kamu menangis?, kamu ingatkan keluarga kamu ke?”

“Tidak?....”, jawabnya perlahan….masih lagi dalam keadaan terkejut. Mukanya kelihatan pucat dalam samar-samar neon malam.

“Habis kenapa kamu menangis, jangan kamu menakutkan kami”, kata salah seorang dari kami.

“Sebenarnya……”, kata beliau.

“Sebenarnya apa? ….”, kami mula tidak sabar.

“Rilekslah kawan…..nie minum air nie, supaya kamu tenang sedikit…”, tiba-tiba salah seorang kakak senior kami menghulurkan air untuk diminum. Baru kami tersedar, kerana dari tadi terus mendesak simangsa. Setelah selesai minum air ….barulah air muka beliau agak ceria sedikit. Tanpa ditanya, beliau mula bercerita……….

Katanya, semasa dia sedang lena tidur, tiba-tiba datang dua makhluk melayang melalui tingkap di hadapan pintu masuk dan cuba mencekik lehernya. Dia cuba mempertahankan dirinya, tetapi gagal dan sebab itulah di menjerit meminta tolong, dengan memanggil nama ibunya.

Sambungnya lagi, dia sedar kita aku bangun memadamkan lampu, dan dalam lena tak lena itulah makhluk tersebut datang meyerangnya……..Kami semua mula ketakutan…….tambahhan pula kami baru saja tiba di desa tersebut.

Kami terus bertanya…sekadar inginkan kepastian, “..betulke yang diceritakan tu…”

Jawab beliau, sebenarnya dia mula menyedari kehadiran makhluk tersebut sejak sampai ke tempat itu, pada petang tadi lagi.

Tambahnya, dia melihat ada dua kunang-kunang, bermain-main di siling rumah tempat kami menginap itu terutama pada waktu mahgrib. Dan kunang-kunang inilah sebenarnya yang bertukar menjadi makhluk, yang cuba mencekik lehernya tadi.

Sambungnya lagi, dua mahluk tersebut adalah merupakan anak beranak, kerana katanya ada seorang perempuan dan seorang budak kecil seolah-olah anaknya, ibunya berpakaian serba putih sedangkan anaknya berpakaian hitam……Kami semakin ketakutan…….tambahan pula kakak dan abang senior kami telah balik ke kost masing-masing,

Tiba-tiba Mohd Yani bersuara, “…Apakata kita semua membaca Surah Yaasin sebelum tidur…”, gumam Mohd Yani yang sedari tadi mendiamkan diri. Kami semua setuju…..dan ramai-ramai membaca yasin…..Dan pada malam tersebut kami semua tidur diruang tamu yang sempit…sebagai langkah berjaga-jaga, takut-takut peristiwa tersebut berulang kembali. Kami kepanasan kerana berhimpit-himpit sesama sendiri di ruang tamu yang sempit itu.

Keesokkan harinya, kami semua mendesak agar abang senior kami bertanyakan peristiwa malam tadi kepada tuan punya kost, bapak Said.

Mengikut cerita Bapak Said, memang telah menjadi lumrah, didesa tersebut ada yang sengaja ingin menduga kehebatan warga yang baru sampai. Kemungkinan ada orang sengaja ataupun yang terlepas belaan mereka menyebabkan kedatangan makhluk yang diceritakan oleh kawan kamu itu, cetus Bapak Said, acuh tak acuh……

Dulu, ketika aku masih kecil, di kampungku memang ada kabar angin yang mengatakan setiap malam di jalan kampung ada hantu yang menganggu budak-budak yang keluar malam, hantu berbasikal, gitulah kabarnya……hantu ini selalu menggangu budak-budak suka balik lewat malam ke rumah….entah benar entah tidak, aku sendiri tidak pernah mengalaminya…ada juga isu yang mengatakan hantu mengganggu orang, kononnya selepas kematian seseorang, orang yang meninggal itu kembali kerumahnya melihat anak cucunya sedang melakukan apa, ada juga cerita mengatakan kuburan terbakar, kononnya ada orang melihat kubur si anu mengeluarkan api yang meyebabkan batu nesannya menjadi hitam kerana terbakar….dan macam-macam lagi. Kisah-kisah sedemikian sangat popular di kalangan masyarakat kampung…..dan hal inilah mungkin berlaku kepada kami di desa Kukusan.

Banyak pekara didunia ini yang kita tidak akan dapat jawapannya secara keseluruhan walaupun sehingga ajal menjemput kita nanti. Di dunia terlalu banyak perkara yang misteri dan menjadi tanda Tanya, walaupun selama kehidupan kita berusaha mencari jawapan disebalik sesuatu perkara yang dianggap misteri itu, tetapi tetap terus menjadi mesteri malah perkara mesteri itu tetap terus muncul. “Mesteri itu serupa dengan suatu tenaga yang tidak akan dapat dicipta dan tidak juga dapat dihapuskan” seingat ku pernah ku dengan pengajaran ustaz di masjid kampungku…

“Masyarakat Melayu lama cerdik dalam menyampaikan ‘peraturan’ dengan darjah keseriusan berbeza dan ia dapat dilihat melalui kesan dan akibat yang dikatakan berhubung perbuatan melanggar larangan yang ditetapkan,” mengingatkan aku kepada nasihat disampaikan oleh ayahku, sebelum aku berangkat meninggalkan kampungku.

“Beringat-ingat ketika berada di tempat orang, ingat pantang larang kampung orang, tidak sama dengan tempat kita, sentiasalah menjaga tingkah laku agar tidak dibenci orang,” kata ayahku tegas.

Mungkin kami semua telah melanggar patang larang yang ada di desa tersebut, betullah kata pepatah Melayu ,”Masuk kandang Kambing mengebek, masuk kandang Kerbau menguek dan masuk kandang Harimau mengaum,…..”, banyak pengajarannya…begitulah sekali peristiwa….yang terjadi dalam hidupku di pulau Jawa….Jawa Jaman Jali..

Jali Mat Jali, 4 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment