Debar Keputusan Peperiksaan
Pagi-pagi lagi sudah bangun. Malam tadi tidak lena tidur, memikirkan apakah bentuk keputusan yang bakal keluar besok. Maklumlah, ini peperiksaan pertama aku di sini. Memang kata orang senang sebab bahasa sama, tetapi sebenarnya tidak semudah itu kerana banyak istilah macam sama tetapi pengertian berbeza. Serupa tapi tak sama. Bila ditulis dalam bentuk ayat, maksudnya jadi lain dan berbelit-belit, susah difahami, itu kata dosenku , yang sudah kulupa orangnya, Bang Ade rasanya. Itu pengalaman penulisan tugasan pertamaku pada semester lepas. Berkat kesungguhan membetulkan, akhirnya terhasil juga sebuah tugasan yang diterima baik dan dipujinya. Rasanya lebih mudah kalau menggunakan bahasa Inggeris kerana sudah jelas perbezaannya.
Selepas siap berpakaian, aku membancuh teh o dan makan biskut kering untuk mengalas perut, orang gastrik macam aku perut tidak boleh kosong. Nanti ambil sarapan pagi di balsem dengan Irfanlah, lebih berselera makan berteman. Rindu makanan Indonesia di balsem. Air liur merembes keluar bila teringatkan somay, pempek palembang, mee ayam, es alpukat dan macam-macam lagi yang sudah sebulan tidak aku cicip.
Di sebelah, kedengaran suara Lukman yang lantang sedang berbual-bual dengan Rodzi agaknya. Merekapun sama macam aku, resah menunggu keputusan peperiksaan yang akan diumumkan hari ini. Adoi....berdebar-debar rasa hati, takut sangat keputusanku di bawah 3.0, nanti tak dapat nak ambil lebih mata pelajaran semester ini.
Perbualan mereka makin rancak, sedangkan aku minum sendirian, dua rakan kostku belum keluar dari bilik masing-masing, tidak tahu apa yang dibuatnya, tidak mahu minum ke? Susah, memang mereka kurang rapat denganku. Kurang serasi agaknya, hehe....Mungkin aku yang kurang pandai mengambil hati mereka yang sopan santun, sedangkan aku ni lebih fleksibal dalam hidup.
Tiba-tiba jadi tidak selera nak meneruskan minum sendirian. Aku mengangkat mug berisi teh o dan tin biskut ke rumah sebelah. Kebetulan mereka pun sedang minum. Aku duduk dan minum bersama-sama mereka sambil berbual-bual kosong.
“Nak serunding daging tak...?” Aku menawarkan serunding daging yang dibekalkan mak semalam.
“Beli atau buat sendiri?” Lukman ingin kepastian tetapi aku tidak tahu apa tujuannya bertanya begitu.
“Mak aku buatlah,” jawabku pantas. Mak memang suka buat sendiri serunding daging dengan menggunakan daging lembu tempatan. Kalau serunding siap tu biasanya dibuat dari daging import. Serunding daging tempatan sangat mahal, hampir sekaliganda harganya berbanding serunding daging import.
“Nak,” jawab Lukman ringkas. Aku tahu dia juga suka serunding daging, makan dengan nasi panas sangat menyelerakan walaupun tanpa lauk lain. Apalagi kalau makan dengan roti pun sedap juga.
Perantau macam kami suka bawa bekal serunding banyak-banyak untuk dimakan di kala terdesak seperti hujung bulan atau malas nak keluar ke kedai makan. Serunding mak buat tahan lama, enam bulan masih bertahan bau, rasa dan rupanya kekal seperti asli, kerana proses membuatnya sangat dijaga kualiti, rempah ratusnya betul-betul masak dan kering.
Aku bangkit masuk ke rumahku untuk mengambil sebungkus serunding untuk mereka. Mak memang menyediakan tiga kilogram serunding yang dibungkus dalam 10 paket semuanya. Aku memberikan Lukman satu paket. Dua paket aku berikan kepada Irfan semalam. Nanti dua paket lagi akan aku berikan kepada Ineng besok. Tinggal 5 paket lagi untuk kegunaanku sendiri dan rakan-rakan serumah jika mereka sudi.
Lukman menerima bungkusan serunding dagingku dengan senyuman dan ucapan terima kasih, “nanti kalau nak lagi cakap tau,” pesanku kepada Lukman. Rodzi sudah masuk ke biliknya untuk bersiap-siap hendak ke kampus. Lukman dan aku sudah siap. Kami berpakat untuk keluar bersama-sama pukul 9.30 nanti. Biarlah lambat sikit keluar.
Pasti anak-anak mahasiswa yang lain juga datang lambat kerana mereka tinggal di luar Depok. Ada juga anak-anak Jakarta yang menyewa di kost-kost Depok, tetapi jarang menginap, selalunya hanya dijadikan tempat berehat sementara menunggu jam kuliah seterusnya yang mungkin senggang waktunya lama, atau menginap jika kuliah jam 8 pagi, takut lewat sampai. Budaya belajar di perpustakaan kurang di kalangan anak mahasiswa di Jakarta, tidak seperti kita di Malaysia, mungkin kerana mereka mempunyai koleksi buku rujukan yang mencukupi kerana boleh dibeli dengan mudah dan murah di Pasar Senin. Kalau di Malaysia, harga buku mahal, apalagi kalau buku import, tidak terbeli dek anak-anak mahasiswa, terpaksalah menjadi pegunjung tetap perpustakaan.
Aku balik ke bilikku, bersiap-siap untuk ke kampus. Semburan minyak wangi pemberian Irfan kukenakan ke leher dan pergelangan tanganku. Huh...semerbak baunya memenuhi ruangan kamarku yang sempit. Tersenyum sendiri aku menatap botol minyak wangi kesayanganku, sinonim dengan tuannya. Datang semula angauku seketika bila terkenangkan Irfan. Tidak sabar nak bertemu si buah hatiku di kampus sekejap lagi. Cepat-cepat aku melakukan `final touch up’ di muka dan membetulkan kemeja dan seluar jeansku, apabila mendengar Lukman menjerit memanggil namaku dari halaman.
Tergesa-gesa aku keluar dari bilikku, bimbang ditinggalkan jejaka Malaysiaku yang dua orang ini. Tiba-tiba keluar pula rakan-rakan serumahku ingin bersama-sama ke kampus dengan kami. Kami berlima berjalan berkumpulan perlahan-lahan menuju ke kampus dengan hati berdebar-debar.
“Hai Mbak Nur, kapan pulang?” Tiba-tiba kedengaran suara Ibu Abri menegurku dari halaman rumahnya.
“Kemaren sore Bu, ole-olenya nanti ya, belum sempat ngasih ibu.” Cepat-cepat aku memaklumkan, takut dia berkecil hati aku tidak memberinya ole-ole, sudah budaya begitu, kena ikutlah, lagipun apa salahnya sebagai tanda kemesraan dan silaturahim dengan tetangga, `orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa,’ selalu sangat makan percuma masakan Ibu Abri. Ibu Abri menganggukkan kepalanya sambil senyum, ayu sekali, walaupun usianya sudah cecah 50an, awet muda.
Kami meneruskan perjalanan ke destinasi kami. Kami tutupi gementar hati dengan berbual-bual sambil ketawa gembira, tidak berhenti-henti, ada-ada saja kisah lucu yang diceritakan sepanjang perjalanan menuju ke kampus.
Aku dan Lukman sampai dulu di Fakulti kami. Rodzi dan dua orang lagi kawan kami meneruskan perjalanan ke Fakultas Sastera. Aku sempat mengucapkan “good luck’ untuk tiga rakan kami tadi. Aku melihat jam di tangan, tepat menunjukkan pukul 10 pagi. Mataku melilau mencari susuk tubuh Irfan. Aku pasti dia sudah berada di kampus. Orangnya selalu menepati masa, salah satu ciri yang pastinya dimiliki seorang bakal usahawan yang berjaya.
Akhirnya aku temui orang yang kucari. Berdiri sambil menyandarkan badannya ke tiang berhampiran tangga. Dia melemparkan senyumannya kepadaku, sarapan di pagi hari. Aku meletakkan jariku ke bibir agar dia tidak menegurku, sambil menunjukkan ke arah Lukman di hadapanku. Tidak mahu Lukman tahu akan hal kami.
Aku mencari alasan yang sesuai untuk memisahkan diriku dari Lukman dan menemui Irfan yang sedang menungguku bersama Ineng. Apa lagi alasan yang paling sesuai kalau bukan ke bilik air. Lukman hanya mengangguk ketika aku memaklumkan yang aku akan ke bilik air. Lukman menuju ke arah kawanan mahasiswa Kesejahteraan Sosial yang sama kursus dengannya. Masing-masing menunggu untuk mendapatkan keputusan masing-masing.
Irfan dan Ineng mengekori aku setelah aku memberi isyarat dengan menganggukkan kepalaku kepada mereka. Kami sepakat untuk sarapan dahulu agar lebih tenang menerima apapun bentuk angka yang akan tercatat di atas slip keputusan kami nanti. Aku dan Ineng lebih cemas sebab ini adalah keputusan pertama kami. Irfan lebih relaks kerana semua subjek yang diambil semester lalu hanya untuk membaiki Indeks Prestasi Kumulatifnya agar lebih baik untuk melayakkan dia melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Hingar bingar suasana di balsem, maklum hari pertama selepas bercuti, anak-anak mahasiswa berkumpul, pastinya banyak cerita yang terkumpul sepanjang cuti, hendak diluahkan hari ini kepada kawan-kawan mereka masing-masing. Kami bertigapun sama. Banyak cerita nantinya, Cuma gaya kami bercerita tidaklah sehebat anak-anak ini. Kami bertiga kebetulan spesis yang bersopan santun....hehe....dua orang jawa bersamaku ini sangat bersopan kalau bercakap, mungkin suaraku yang melebihi suara mereka, macam suara orang Batak kata mereka, lemak merdu....hehe.
Selesai makan kami bertiga menuju pejabat. Kumpulan pelajar sudah mengerumuni hadapan kaunter pejabat. Ada yang sudah memegang helaian kertas, pastinya keputusan peperiksaan sudah dikeluarkan. Hati aku mula berdegup kencang, tidak tentu hala. Takut, bimbang, cemas.....aduh tidak selesanya rasa.
Aku memegang tangan Ineng, sejuk seperti ais, rupa-rupanya kebimbangan Ineng lebih teruk dariku. Irfan memegang tanganku, mungkin tanpa disedarinya untuk mengurangkan perasaan cemasku. Perlahan-lahan aku menarik tanganku dari tangan Irfan, bimbang ada yang nampak. Ada beberapa orang pelajar senior Malaysia yang sama fakulti denganku, dan pastinya hari ini merekapun hadir sama untuk mengambil keputusan mereka. Nanti apa kata mereka bila nampak Irfan mengganding tanganku. Pasti riuh warga Malaysia di Jakarta ini agaknya, perempuan Malaysia dengan lelaki Jakarta tidak boleh, ganjil agaknya, tetapi kalau lelaki Malaysia dengan perempuan Jakarta, banyak sekali, tidak mengapa.
Irfan kelihatan tenang sentiasa. Tidak pernah gelabah dia. Aduh, ketenangannya membuatkan aku iri hati padanya. Malah dia setiap detik menenangkan aku . Ketika ini pun sama, tetap dia memainkan peranannya sebagai ‘stabilizer’. Tidak dapat menenangkan aku dengan sentuhan, renungan mata dan kata-katanya dijadikan alat untuk tujuan itu. Memang Irfan betul-betul pelengkap hidupku.
Ineng sudah dapat keputusannya, 2.8. Terpancar keceriaan di wajahnya dapat melepasi targetnya 2.5 sahaja. Giliran aku pula. Berdegup kencang lagi jantungku. Ketika Mbak Win, kerani di bahagian pentadbiran menyerahkan slip aku, dia senyum mesra,
“tahniah Nur,” ucapnya. Wah pasti bagus ni, kalau tidak tak kan lah Mbak Win yang cukup mengenaliku kerana selalu berurusan dengannya, mengucapkan tahniah.
Dengan tangan gementar aku membukanya, “alhamdulillah, syukur kepada Allah.” Aku melahirkan kegembiraanku lalu menyerahkan kepada Irfan dan Ineng, “wah tahniah Nur, hebat dong 3.3.” Serentak Ineng dan Irfan bersuara sedikit menjerit, sambil menyalami aku dan Ineng memelukku.
Teman-teman bersebelahan menghampiri kami dan ikut sama mengucapkan tahniah dan menyalami aku. Aduh...jadi malu aku dipuji-puji dan dibanding-banding begitu. Aku sangat gembira dengan keputusanku yang boleh dikatakan memuaskan bagi anak mahasiswa asing yang pertama kali menduduki peperiksaan dalam bahasa Indonesia. Ini berarti aku boleh mengambil lapan mata pelajaran kuliah dengan 24 kredit, untuk semester ini, syukurlah, aku bisa menghabiskan kuliahku lebih cepat.
Giliran Irfan pula mengambil keputusannya. Untuk lima subjek yang diambilnya semuanya dia dapat A. Tersenyum memanjang dia dengan keputusannya yang sangat baik, berarti kumulatifnya sangat tinggi, 3.8 untuk keseluruhan, belum masuk nilai skripsinya yang sedang disiapkan. Jika skripsi atau tesisnya nanti dapat A untuk 8 SKS berarti, CGPAnya tetap 3.8, sudah Kelas Pertama tu.
“Tahniah Fan, hebat sekali kamu, semuanya A,” ucapku dengan gembira juga, tumpang gembira untuk buah hatiku. Ini berarti dia mendapat semua A kecuali satu sahaja iatu Pengantar Antropologi yang nilainya B dan memang dia tidak mahu mengulangnya kerana sangat tidak minat mata kuliah ini katanya.
“Terima kasih Nur.” Tiba-tiba sahaja ucapan ini terpancul keluar dari bibirnya Irfan.
“Kenapa terima kasih untukku?” Aku kehairanan sambil memandang tepat ke mukanya.
“Karena kamulah inspirasiku, aku jadi suka kuliah dan belajar,” balasnya sambil tersengih. Akupun senyum sama, “mengada-ngada,” ujarku. Kami sama-sama ketawa. Ineng sibuk melayan kawan-kawan kami yang lain.
“Seharusnya aku yang berterima kasih sama kamu karena berbuat banyak untukku. Terima kasih ya Fan,” balasku jujur.
Kami menyemak jadual pendaftaran mata kuliah semester ini. Semuanya akan berlangsung minggu depan. Huh...ruginya hampir seminggu aku masih belum mula kuliah, kan bagus kalau aku datang lewat, masih sempat seminggu di kampung. Alah...perkara dah lepas, apa nak kesalkan lagi, hadapi sajalah.
“Nur mau nggak ikut gue sementara masih libur ni?” Tiba-tiba sahaja Irfan mengajakku, menyedarkan aku dari ingatan ke kampung halamanku.
“Ke mana?” Pantas aku ingin tahu.
“Ada urusan kerja di Jogja, Bandung dan Puncak, mau nggak?” Irfan menjelaskan lebih bersemangat, bila melihat responsku positif.
“Berapa hari?” Tanyaku lagi, kedengarannya menarik, belum pernah sampai ke sana.
“Empat hari, mau ngak?” Tanyanya lagi seperti mengharap sangat aku mengikutinya.
“Lama tu Fan?” Aku melahirkan kekhawatiranku.
“Kenapa, kamu takut aku ngapain kamu ya...?” Irfan meneka apa yang ada di mindaku. Aku hanya tersengih.
“Jangan khawatir, aku kan sayang kamu, aku pasti jaga kamu, percaya sama aku, udah janji sama mamamu akan menjagamu seperti diriku sendiri,” janji Irfan. Sebenarnya aku teringin juga mahu ikut. Maklum, belum pernah sampai ke tempat yang sebelum ini aku hanya kenal pada nama saja.
“Pergi dengan apa?” Aku pula yang terlebih semangat ingin tahu.
“Mobil, aku setir sendiri, ngak usah pake supir lah, kasih Parjo rehat. “ Irfan menjelaskan. Betul ke aku nak ikut ni. Berbelah bagi perasaan ingin pergi dengan perasaan bimbang.
“Kapan pergi?” Aku memang tertarik untuk pergi, Cuma rasa berbelah bagi sebab akan berpergian berdua untuk tempoh yang agak lama juga tu. Bimbang akan berlaku perkara-perkara yang tak diingini.
“Rabu berangkat, pulang sabtu, boleh?” Irfan merenung ke mukaku, ingin tahu jawapanku. Dari raut muka dan nada suaranya Irfan seperti berharap sangat aku ikut.
“Kuat kamu nyetir sendiri untuk jarak yang jauh begitu?” Risau juga aku dengan kemampuan jejaka kesayanganku ini.
“Kan ada kamu yang bisa buat aku kuat,” jawab Irfan dalam nada bercandanya. Aku tersengih lagi, senang mendengar kata-kata Irfan.
Setelah didesak Irfan berkali-kali atau lebih tepat Irfan meminta aku menemaninya dalam rangka lawatan sambil kerjanya, akhirnya aku bersetuju mengikutinya. Irfan janji akan membawaku ke Borobudur dan beberapa tempat yang lain mengikut kesempatan masa kami nanti.
Irfan mengajak aku ke rumahnya. Aku memohon balik ke kost dahulu untuk mengambil ole-ole aku untuk kakak Irfan. Kemudiannya aku ke rumah Irfan. Hanya ada kakaknya yang sedang membelai pokok bunga orkid di laman rumahnya. Ramah dia menyambut kedatangan aku. Suka berinteraksi dengan keluarga Irfan, terutama kakaknya. Aku bersalam dan menghulurkan ole-oleku, sehelai skarf sutera yang cantik menurut seleraku. Mbak Fitri terus mengambil, membuka dan melilit ke lehernya. Warna skarf yang lembut pink kebiruan lebih menyerlahkan keayuan Mbak Fitri yang berkulit putih kuning. Aduh...cantik sekali dia.
“Terima kasih Nur, cantik sekali warnanya, tau ya kamu warna kesukaanku.” Adoi, manisnya bahasamu Mbak Fitri untuk mengambil hatiku. Aku senyum mengiakan.
Irfan masuk ke dalam rumahnya, mahu ganti baju katanya. Selepas ini aku minta Irfan menghantarku ke Wisma Malaysia untuk melihat suratku, kemungkinan ada yang dialamatkan ke Wisma Malaysia. Sementara menunggu Irfan selesai, aku menemani Mbak Fitri memanjakan pokok bunga orkid yang berbagai spesis dan berbunga dengan lebatnya, cantik sekali.
Mbak Fitri mengajak aku masuk, aku menolak kerana rasa lebih selesa berada di laman rumah yang dipenuhi bunga-bungaan ini, segar rasanya. Pembantu rumah menyediakan minuman jus limau dan gado-gado di meja halaman rumah.
Melihat jam di tangan, sudah masuk waktu Asar. Aku minta solat dulu. Terpaksa juga masuk ke dalam rumah untuk solat. Selesai solat, keluar lagi menyertai Mbak Fitri di halaman orkidnya.
“Ayuk Nur, minum dulu,” ajak Mbak Fitri lembut. Aku mengekori Mbak Fitri ke arah meja di mana minuman diletakkan oleh Bu Iyem, pembantu rumah mereka. Seketika kemudian Irfan juga menyertai kami, makan gado-gado yang sangat sedap dan menyelerakan.
“Mau ke mana lagi kalian?” Mbak Fitri bertanya, setelah melihat Irfan mengganti baju dan siap memakai sepatu.
“Ngantarin Nur ke Wisma Malaysia,” jawab Irfan.
“Lho, bukannya mau makan malam di sini?” Mbak Fitri melahirkan sedikit rasa kesalnya. Bosan dia sendirian di rumahnya. Kalau aku dan Irfan ada, sekurang-kurangnya dapatlah meramaikan ahli makan malamnya, lebih berselera agaknya. Kesian, rumah besar tapi penghuninya hanya berempat, Mbak Fitri, Irfan dan pembantu rumahnya Bu Iyem serta supir mereka Parjo.
Selesai makan gado-gado dan minum, aku dan Irfan meminta izin untuk meneruskan aktiviti kami ke Wisma Malaysia, kemudian jalan-jalan di kota Jakarta, mengisi masa kami bersama-sama.
“Kapan-kapan main ke sini lagi ya Nur, jangan kapok.” Mbak Fitri bersalam dan memelukku mesra. Senang sekali aku dengan bakal kakak iparku ini. Seperti adiknya juga, lembut dan penuh sopan santun budi bahasa serta tenang gaya hidup mereka.
Belum lagi jumpa ibu bapa dan adik perempuan Irfan, hanya melihat gambar, rasa-rasanya sama macam Mbak Fitri dan Irfan juga. Insyallah, jika betul situasi ini akan berterusan, lega hatiku. Aku takut berdepan dengan orang yang ‘cengir’ atau garang macam Mak Roslan. Meremang bulu romaku bila teringatkan wajah mak Roslan di malam perkahwinan adiknya. Ayah Roslan ok, baik macam Roslan juga nampaknya, tenang saja wajahnya.
Aku memang nampak keras dan tegas tetapi sebenarnya memiliki hati yang sangat sensitif dan lembut, memang sangat sesuai dengan bintangku Cancer. Sangat susah nak menyakiti hati orang dengan sengaja, tetapi jika sekali hati disakiti, sangat pedas tindakanku, itu kata-kata arwah kakakku ketika kami bertelagah. Tetapi aku sangat pemaaf. Hmm...itu hanyalah kenangan, jarang kami bertelagah kerana kakak seorang yang tenang dan lembut, berbeza denganku.
Sampai di Wisma Malaysia, aku menjenguk ke dalam, hanya beberapa orang pelajar Malaysia yang belajar di IAIN dan AIP yang ada sedang menonton television. Wajah-wajah yang tidak aku kenali. Aku hanya menyapa dengan salam, kemudian pergi. Aku segera mengambil surat di pos jaga. Ada tiga pucuk suratku semuanya. Aku pasti surat SJ ada dua. Kenal benar aku dengan tulisannya yang kecil tersusun rapi. Tulisannya memang sangat cantik, berbeza benar dengan tulisanku. Terbalik kot, tulisan aku sepatutnya jadi tulisan SJ dan tulisannya jadi tulisanku...hehe. Satu lagi surat dari sahabat baikku Nik.
Surat Lukman dan Rodzi pun ada, aku tolong ambilkan untuk mereka. Aku mengucapkan terima kasih kepada Pak Mawardi, kalau tak salah namanya, jaga yang bibirnya sumbing sikit. Cepat-cepat masuk ke mobil kerana Irfan sudah lama menunggu di dalam mobilnya. Cinta rahsialah katakan.
“Sori say, kelamaan dikit.” Aku memanggil Irfan dengan panggilan say, singkatan dari perkataan sayang. Tersenyum Irfan melihat tingkahku.
“Senang banget,” kata Irfan.
“Senang karena nunggu lama-lama ya...,” tanyaku pura-pura tidak mengerti sambil senyum mengejek.
“Alah kamu, udah tau pake nanya segala.....” Irfan marah-marah sayang. Sama-sama kami ketawa.
Jam sudah menunjukkan ke angka lima. Aku sendiri tidak tahu Irfan mahu bawa aku ke mana. Aku rasa perutku mula berkeroncong, lapar. Seharian belum makan nasi lagi.
Perut Melayuku tidak boleh tidak makan nasi sekali sehari, rasa nak pitam. Tiba-tiba liur pecah teringatkan Lembah Anai, Nasi Padang.
“Makan yuk Fan.” Aku mengajak heroku makan.
“Ok, makan di mana?” Irfan menunggu arahanku.
“Ikut seleraku ya sayang.” Ajakku berbentuk arahan sebenarnya. Irfan mengangguk setuju.
“Tapi orang Jawa bisa makan nasi padang ngak?” Tanyaku mendapatkan kepastian Irfan.
“Bisa aja Nur. Makanan Malaysiapun aku bisa, inikan pula nasi padang. Lidahku universal tau nggak,” jawab Irfan sambil ketawa.
Setelah mendapat `green-light’ Irfan, aku menunjukkan arah jalan ke restoran nasi padang Lembah Anai yang letaknya tidak jauh dari Wisma Malaysia. Akhirnya hati puas dapat melayan selera kami di Lembah Anai, restoran nasi padang pertama yang kukenali setelah datang ke Jakarta bulan Ogos yang lalu.
Selesai makan, Irfan membawaku pusing-pusing sekitar kota Jakarta yang sudah sebulan aku tinggalkan.
Mau ke mana kita Nur?” Irfan pun mati langkah agaknya, tidak tahu mahu ke mana kami. Hari pun sudah petang begini.
“Kamu ngak cape?” Aku ingin memastikan apakah perlu sebenarnya kami buang masa dan minyak kereta begini. Aku sebenarnya rasa sangat mengantuk, rasa mahu tidur.
“Kamu udah cape ya? Oklah, kita pulang dulu, kamu istirahat, nanti rabu kita ke Puncak, lihat kebun teh papa, kemudian ke Bandung ada urusan di perusahaan papa, kemudian kita jalan-jalan ke Jogja ya.” Irfan sepertinya memahami situasi aku yang tidak berapa semangat untuk meneruskan perjalanan kami hari ini.
Aku menganggukkan kepalaku yang sudah berat, “ok lah, kita pulang dulu ya.”
“Mahu beli apa-apa ngak, keperluan harianmu masih ada?” Irfan sangat prihatin orangnya. Sampaikan hal yang sebeginipun masih sempat dia pikirkan untukku. Aku sendiri sudah lupa keperluan asasku memang tiada lagi stoknya. Dia memusingkan mobilnya menghala ke Golden Truly, tempat yang biasa kami berbelanja.
Selesai semua keperluan kubeli, aku rasanya tidak sabar untuk balik ke bilikku dan merebahkan badanku, berehat. Lebih tidak sabar lagi hendak membaca surat SJ yang baru kuterima sebentar tadi. Apalah agaknya isi dua pucuk surat yang bertulis tangan rapi nama dan alamatku, Nor Aizan Ab. Halim, Wisma Malaysia, Jalan Hoscokroaminoto, Jakarta Pusat.
“Sayang, kenapa diam, ngantuk ya?” Irfan menegurku setelah mendapati mulutku yang becok tiba-tiba diam menyepi. Aku mengangguk menyembunyikan rasa terkejutku ditegur dari lamunanku kepada SJ, insan yang sangat baik dan banyak menolongku ketika aku kesempitan dan kesedihan di Kuala Lumpur.
SJ yang berkulit putih melepak, bertubuh tinggi lampai, berwajah ala Arab dan selalu bercakap merendah diri, sehinggakan aku merasa rimas bila bercakap dengannya. Kadang-kadang penat berbual-bual dengannya yang terlalu banyak bermain dengan hadis, firman-firman Allah dan pendapat-pendapat para ulamak. Jiwa mudaku kurang serasi kerana terlalu banyak pantang larang dalam hidup sehingga merasa sangat terbatas dan sempitnya hidup ini waktu itu. Itu dulu, dengan meningkat usia dan pengalaman serta kematangan, barulah tahu bahawa apa yang selalu diungkapkan SJ itu adalah benar belaka.
Dalam sibuk melayan perasaan, terlelap rupa-rupanya aku sebentar. Irfan membiarkan aku merehatkan mataku seketika. Kesian dia terpaksa membawa mobilnya sendirian tanpa aku melayannya bercakap.
Aku merasa hidungku ditarik perlahan. Bila kubuka mataku, Irfan sedang memandang ke wajahku sambil tersenyum mesra. Aduh, rupa-rupanya sudah sampai di kostku. Lama juga aku tertidur tadi.
Melihat aku sudah membuka mataku Irfan bertanya, “udah sampai, mau makan dulu sebelum pulang ke kost?” Bimbang benar dia aku kelaparan. Maklum anak rantau, jauh dari ibu bapa dan keluarga. Apalagi setelah berjanji dengan Mak untuk menjagaku semasa aku di sini, semakin menampakkan dia sangat mengambil berat tentang aku. Alhamdulillah aku merasa sangat selamat, dilindungi dan bahagia sekali.
“Ngak mau, masih kenyang. Nanti malam makan roti aja, udah beli tadi,” jelasku sambil menunjukkan ke arah beg plastik Golden Truly tadi.
“Ok sayang, istirahat dulu, nanti aku jemput kamu hari rabu jam 9 pagi, atau besok mau ke mana-mana?” Irfan masih memastikan apa juga kehendakku dipenuhi. Maklum ketika masih sayang begitulah selalunya, itu kata orang. Mudah-mudahan Irfanku akan berterusan begini sampai ke hujung nyawaku. Insyaallah.
Aku bersalaman dengan Irfan. Mahunya cium pipi tetapi tidak boleh, haram sangat, cium tanganlah haram sikit, kata hatiku sambil ketawa di dalam hati. Bibirku mengukir senyum dan ucapan terima kasihku kepada pria buah hati pengarang jantungku, sayang sangat, tiada yang lain lagi bisa menggantikan dia. Irfanpun mencium tanganku. Semerbak bau perfiumnya menyegarkan aku, rasa ingin memeluknya. Kata orang, itulah bahayanya bau perfium, boleh mengundang aksi terlarang.
Aku melangkah ke kostku selepas melambaikan tanganku kepada Irfan. Apa yang ada di fikiranku sekarang adalah mahu mandi, solat dan tidur. Sebelum itu aku mmenghantar surat Lukman dan Rodzi. Kemudiannya mandi dan solat maghrib. Aku akhirnya tertidur sebelum sempat solat Isyak.
Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 3 Disember 2011.
No comments:
Post a Comment