Mengatur Langkah ke Menara Gading
Setiap kali bercerita tentang kota Jakarta maka setiap kali itulah album kenangan mengamitku untuk membuka kembali lembaran kisah ketika aku bergelar seorang mahasiswa. Kisah diriku yang panjang pastinya bermula ketika aku mendapat tawaran Jabatan Perkhidamatan Awam (JPA) untuk menghadiri kursus persediaan ke perguruan tinggi di Indonesia. Relung-relung pita kenangan ku putar bagai menyiarkan kembali cerita yang sudah sekian lama terakam.
Inilah kisah ku…
Hatiku terasa berbunga-bunga apabila mendapat surat tawaran untuk menghadiri kursus persediaan ke perguruan tinggi di Indonesia. Senyuman tak lekang daripada bibirku semasa aku memohon izin daripada emak untuk pergi menghadiri kursus tersebut.
“Mak, orang boleh pergikan?” tanyaku kepada emak semasa aku menolong emak di dapur.
“Orang boleh pergikan?” Tanyaku berulang kali.
“Tanya bapak.” Jawab emak ringkas.
“Bapak mesti kasi pergi punya. Mak cakaplah dengan bapak.” Rayuku lagi.
Peluangku untuk menggapai kunci ke menara gading di Indonesia terbuka apabila bapaku memberikan izin untuk aku menghadiri kursus yang diadakan di Kuala Lumpur.
Masih segar diingatanku semasa bapak menghantarku dan kakak ke kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus tersebut. Di situlah pertama kali dalam hidupku dapat merasakan suasana tinggal berjauhan dengan keluarga walaupun cuma dua minggu. Kesempatan dapat tinggal di asrama dan bertemu dengan kawan-kawan baru menambah keseronokan hari-hariku di situ.
Jadual kursus yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan kelas untuk mempersiapkan diri menduduki ujian SIPENMARU tidak melelahkan aku sama sekali. Aku lalui hari-hari kursusku dengan penuh semangat dan ceria. Aku menaruh harapan tinggi untuk terpilih melanjutkan pelajaran ke Indonesia. Aku ingin sekali menjadi ahli arkeologi sebagaimana yang aku angan-angankan setelah mendengar taklimat tentang kursus-kursus yang boleh diikuti di sana.
Putaran hari-hariku selepas menghadiri kursus di Kuala Lumpur terasa sangat panjang. Menunggu jawaban samada aku lulus seleksi untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia bagaikan satu siksaan. Doaku tidak putus-putus kepada Allah yang maha esa agar aku lulus dan dapat belajar di Universitas Gajah Mada (UGM). Universiti yang aku sering dengar kegahannya itu. Universiti yang sering disebut-sebut orang kala bercerita tentang belajar di tanah seberang. Selain itu, aku ingin sekali menjejakkan kakiku ke Jogja agar aku dapat melihat dengan mata kepalaku sendiri Candi Borobudur yang menjadi ikon antara tempat yang menakjubkan di dunia. Aku ingin sekali memanjat sambil menghitung anak-anak tangga Candi Borobudur yang dikatakan tidak pasti berapa jumlahnya kerana setiap orang akan memberikan jawaban yang berbeza-beza. Aku ingin membuktikan kebenaran hasil tulisan tentang Candi Borobudur yang pernah aku baca.
Memang sudah rezekiku, aku terserempak dengan pak cik posmen yang membawa bingkisan buatku. Kebetulan aku pergi ke kedai runcit Pak Ngah untuk membeli barang yang disuruh oleh emak selain melihat-lihat kalaulah ada surat untuk ku. Memang surat-surat semuanya akan diletakkan di kedai runcit Pak Ngah. Orang-orang kampung akan ke situ untuk melihat kalau-kalau ada surat untuk mereka. Maklumlah zaman itu manalah rumah ada nombor macam sekarang.
“Ini surat penting. Kesian juga kalau dia lambat terima.” Kata pak cik posmen yang penuh dedikasi itu.
“Ini surat sayalah pak cik.” Aku seakan-akan berteriak kegembiraan sambil menarik surat itu daripada tangannya.
“Ini nama kau ke Teh?” Tanya pak cik posmen seperti tidak percaya.
“Bapak kau bukan abang Nong ke?” Tanya pak cik posmen itu dengan wajah kebingungan.
“Bapak ada dua nama.” Aku menjawab sambil berlalu pergi.
“Pak Cik, terima kasih ya.” Teriakku sambil cepat-cepat berlalu. Tidak sabar rasanya
untuk membuka surat itu dan membaca isinya.
Surat yang bercop “Urusan Kerajaan” itu datangnya daripada JPA. Surat itulah yang aku tunggu-tunggu sekian lama. Surat itu bagaikan membawa seribu rahmat bagiku. Surat yang membawa khabar gembira. Surat yang isinya menawarkan aku tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia.
Penantianku kini sampai kepada titik penamat. Penantian yang aku rasakan bagai sebuah beban akhirnya membawa kegembiraan. Namun kegembiraan yang aku rasakan
tiba-tiba terhenti. Aku sangat kecewa membaca isi surat tersebut. Aku ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universitas Indonesia (UI) di Jakarta dalam jurusan Sastra Indonesia. Aku sangat kecewa sebab angan-anganku untuk melanjutkan pelajaran ke UGM hancur musnah. Hasrat hatiku untuk menjadi seorang ahli arkeologi tidak akan kesampaian. Pelbagai persoalan berlegar-legar dalam kepalaku. Hatiku mula ragu samada aku mampu mengikuti kursus yang ditawarkan itu. Sejak di sekolah aku memang kurang minat dengan mata pelajaran sastera. Di sebalik keragu-raguan itu, tersemat keinginan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran. Aku bertekad untuk meneruskannya saja walaupun tawaran yang ku dapat itu sangat jauh daripada apa yang ku harapkan.
Emak adalah orang pertama yang mendapat khabar gembira itu walaupun pada hakikatnya aku kurang teruja dengan tawaran yang aku terima. Emak sangat gembira sebab aku dapat menyambung pelajaranku ke luar negara walau sekadar ke negara seberang.
Berita gembira itu emak kongsikan dengan datukku yang kebetulan datang menghantar pisang dari kebunnya. Beria-ia emak bercerita kepada datuk bahawa aku ditawarkan biasiswa oleh JPA untuk sambung pelajaran.
“Si kembar nak belajar di seberang? Tak payahlah… belajar di sini sudah! Kalau pergi negeri orang putih tu lainlah pula”, Suara Tok Endon bercakap dengan emak kedengaran jelas sekali dari kamarku.
Aku memasang telinga dengan berdiri dekat dengan pintu. Aku mahu tahu apa saja yang dibualkan oleh Tok Endon dengan emak.
“Dah rezeki dia di situ. Lagi pula dia dapat biasiswa kerajaan.” Jawab emak seolah-olah membelaku.
“Kalau dia belajar di sini, dia tak dapat biasiswa. Siapa pula nak tanggung dia?”
“Nak harapkan gaji bapak dia tu berapalah sangat Bah… duit bawa teksi tu cuma cukup-cukup makan je.” Sambung emak lagi.
Mendengar kata-kata emak, dadaku bagai dihimpit bata. Aku menahan sebak. Batir-butir air mata mulai bertakung dikelopak mataku. Akhirnya kelopak mataku tidak lagi dapat menampung genangan air mata lalu berjujuran jatuh membasahi pipiku. Aku sangat pilu mendengar kata-kata emak. Aku ingin sekali membela nasib emak dan bapak. Aku ingin sekali berjaya dan menjawat jawatan tinggi. Aku ingin emak dan bapak bahagia.
“Alah… tak payah pergilah… Yang kau bela-bela sangat anak angkut kau tu apa pasal?”
Suara Tok Endon agak tinggi.
Bait terakhir yang meluncur daripada mulut Tok Endon membuatkan telingaku berdesing bagai mendengar bunyi nyaring radio yang tidak kena frekuensinya. Fikiranku tiba-tiba melayang jauh. Lalu membuka lembar-lembar kisah laluku semasa tinggal dengan Tok Endon. Hari-hari yang aku lalui ketika itu penuh dengan kesuraman. Aku hidup dalam serba tidak kena pada mata Tok Endon. Apa saja yang aku lakukan ada saja yang menjadi tegurannya. Sampaikan kalau mencuci pinggan mangkuk pun akan aku buat berhati-hati. Jangan sampai terdengar bunyi lagaan pinggan mangkuk. Yang pasti sindiran pedas akan berdesing di telinga… “Banyak duit mak kau nak beli pinggan baru!”
Aku dapat rasakan bahawa Tok Endon tidak menyukaiku sebab aku adalah anak yang dibela oleh emak sejak kecil. Emak dan bapak mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi antara aku dengan anak-anak yang lain. Tok Endon selalu meragui kalau nanti apabila aku sudah dewasa dan berjaya aku akan berpaling kepada keluarga kandungku. Ternyata sikap Tok Endon itu menguatkan lagi kasih sayang aku kepada emak dan bapak. Sikap itu juga yang berjadi pemacu untuk aku mengejar cita-cita dan hasrat untuk berbakti kepada emak dan bapak.
Episod duka ketika tinggal dengan Tok Endon berakhir apabila emak dan bapak berpindah ke rumah sendiri. Namun kedatangan Tok Endon sekali sekala ke rumah kami tetap membuatkan hatiku kecut.
“Ateh…” Aku tersentak mendengar panggilan emak. Suaranya dengan tiba-tiba menghentikan tayangan kisah-kisah laluku. Tanpaku sedari rupa-rupanya aku telah jauh melayang dibuai oleh kisah-kisah silam tatkala tinggal dengan Tok Endon.
“Ya, mak.” Sambil mengesat air mata aku bergegas keluar.
Aku nampak Tok Endon mula beredar. Aku berasa lega kerana tidak perlu bersua dengannya. Mataku merah dek baru menangis sudah tidak menjadi kisah bagi mak lagi.
“Atok mana mak?” Tanyaku seolah-olah tidak tahu bahawa Tok Endon sudah pulang.
“Tok tak suka orang sambung belajar kan?” Aku memulakan perbicaraan dengan emak.
“Ntahlah… tok kau tu macam tak suka kau nak belajar di Indon. Habis nak buat macam mana? Dah rezeki kau di situ” Jawab mak panjang lebar.
“Bila nak kena pergi Kuala Lumpur tu?” Emak cuba mengalihkan topik perbicaraan dengan bertanyakan soalan kepadaku pula. Belumpun sempat aku menjawabnya emak menyambung kata-katanya.
“Mak dah cakap dengan Wan Busu kau minta Cik Suri hantar kau ke airport masa kau nak berangkat nanti.”
Alhamdulillah segala proses untuk menyambung pelajaranku ke Jakarta berjalan dengan mulus. Daripada hal menandatangani kontrak tawaran dan membuat paspot sampai kepada hari untuk berangkat telah dipermudahkan Allah yang Maha Esa.
Aku yang tadinya ragu-ragu dengan tawaran untuk belajar di UI sudah mula menerima hakikat bahawa tempat untuk aku menempa kejayaan adalah di Jakarta bukannya di Jogja. Aku telah menyemat satu tekat bahawa aku tetap akan menjejakkan kakiku ke Candi Borobudur suatu hari nanti dan Jakarta akan menjadi batu loncatannya.
Aturan langkahku dan kakak ke menara gading tidak diiringi oleh emak dan bapak mahupun adik beradikku yang lain. Walaupun begitu tidak sekelumitpun kami berasa sedih. Kami faham kesusahan yang menyelubungi keluarga kami. Kami sudah biasa berdikari. Menurut emak, lebih baik duit untuk pergi ke Kuala Lumpur diberikan kepada kami sebagai bekal tambahan duit biasiswa yang kami terima.
Aku dan kakak menaiki bas ke Pudu Raya dengan hanya membawa sebuah beg yang berisi pakaian seadanya. Kami di jemput oleh Cik Suri, sepupu emak untuk bermalam di rumahnya di Subang Jaya. Kami menginap di rumah Cik Suri satu malam sebelum keesokan paginya Pak Atan, suami Cik Suri menghantar kami ke Lapanagan Terbang Antarabangsa Subang sebelum beliau berangkat ke tempat kerja.
“Belajar rajin-rajin. Good luck.” Pesanan ringkas daripada Pak Atan semasa aku mencium tangannya.
“Insya’allah” Jawabku ringkas. Aku memang tidak tahu nak jawab apa lagi ketika itu.
Di lapangan terbang itu, aku dan kakak mencari tempat duduk. Di situ kami memeriksa semua dokumen yang perlu dibawa. Kami menghabiskan masa bersama kerana saat itulah kami akan berpisah buat pertama kali dalam hidup ini. Sejak dalam rahim ibu sehinggalah kami dewasa, kami tidak pernah berpisah. Amat berat bagi kami untuk melakukannya. Namun demi mengejar cita-cita ke menara gading dan harapan mengubah nasib diri dan keluarga kami kuatkan semangat untuk mengharungi cabaran yang mendatang sendiri tanpa teman sejati di sisi.
Pengumuman daripada Encik Kamarulzaman, pegawai JPA yang bertanggungjawab menguruskan pemergian pelajar kumpulan pertama program “G to G” ini menambah gementar hatiku. Kami diminta berkumpul di tempat berasingan antara kumpulan yang akan ke Sumatera Barat dengan kumpulan yang akan ke Jakarta.
Kini kesayuan mula menyelubungi hati dan perasaanku. Aku dan kakak saling berpelukan. Kami seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan yang erat itu. Air mata mula jatuh berderai. Tiada perasaan malu yang lahir ketika itu. Biarlah kami menjadi tontonan orang-orang sekeliling. Kalau ikutkan hati kami tidak mahu berpisah namun suratan Illahi telah menetukannya. Kami berjalan mengikuti kumpulan yang telah ditetapkan. Kakakku mengikuti kumpulan ke Sumatera Barat untuk meneruskan pelajaran di Universitas Sumatera Utara (USU) dalam bidang yang sama seperti aku.
Aku berkumpul dengan pelajar-pelajar lain dalam kumpulanku. Aku tutupi perasaan duka dengan sikap ramah dan ceriaku itu. Aku mula berbual-bual dengan teman-teman baru ku dan keluarga mereka. Sesekali hatiku terusik juga apabila ada orang yang bertanya di mana keluargaku. Sambil tersenyum, dengan selamba aku berkata aku tidak ditemani siapa-siapa.
Apabila kumpulanku dipanggil untuk “check in” dengan yakin aku mengorak langkah. Langkah ke menara gading dengan berbekalkan semangat yang kental dan berperisaikan kata-kata azimat daripada emak dan bapak. Kata-kata azimat yang mahukan aku cekal dan berani menggempur apa saja rintangan untuk berjaya di hari muka.
Ateh Halimah, 9 Nov 2011
No comments:
Post a Comment