Monday 26 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 31 – Nor Aizan Ab Halim

Berkumpul Bersama Keluarga Irfan
Seronok hati mendengar dari Irfan, ibubapanya akan pulang bercuti panjang sebelum memulakan tugas di tempat baru, atau mungkin jika tidak dapat mencari pengganti Irfan, untuk mengurus perusahaan mereka, mungkin papanya akan memilih bertugas di kementerian luar atau pencen lebih awal.

Irfan yang sudah diterima meneruskan sarjananya di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, hanya menunggu masanya saja untuk berlepas ke sana. Berat rasa hati kami mahu berpisah, namun apa kan daya, inilah pengorbanan untuk masa depannya dan kami bersama.

Pertama kali mahu berjumpa ibubapa Irfan, bakal mertuaku. Berdebar juga dalam hati walaupun sudah mengenali mereka melalui gambar-gambar yang ditunjukkan oleh Irfan kepadaku, dan perbualan melalui telefon. Melalui perbualan telefon sangat menunjukkan keramahan, tetapi tidak tahulah nanti kalau sudah berjumpa adakah suasana mesra ini akan berterusan atau berubah menjadi lain pulak.

Mereka juga telah melihat gambarku, harap-harap dari gambar sudah turun ke hati walaupun aku tidak secantik dan sesempurna seperti yang diharapkan.

Aku dan Irfan ke Lapangan Terbang untuk menyambut kepulangan ibubapanya. Irfan membawa keretanya sendiri kerana dia menjemput aku di Depok dulu sebelum ke lapangan terbang. Supir mereka Maman yang menjemput ibubapa Irfan dan akan membawa mereka pulang ke rumahnya.

“Fan, seram deh gue...gimana nanti mama dan papamu, suka aku apa enggak...” Aku melahirkan kebimbangan yang akhirnya menyebabkan Irfan tersenyum. Aku tidak tahu apa maksud senyumannya.

“Kok senyum, aku nanya tapi kamu senyum, ngejek aku ye?” Tanyaku.

“Enggaklah...cuma aku kasian sama kamu Nur, khawatir trus... janganlah begitu sayang, kan mereka udah kenal kamu. Mama, dan papaku baik sekali orangnya. Aku udah bilang sama mereka tentang kamu. Mama dan papa menerima kamu, senang sama kamu, malah ngak sabar mahu ketemu kamu, tau ngak.” Irfan terus meyakinkan aku tentang penerimaan keluarganya terhadapku.

Aku tidak tahu apa yang harusku nyatakan tentang keresahanku ini. Aku hanya mengangguk tanda percaya dengan apa yang dikatakan. Irfan menarik tanganku dan menggenggamnya erat.

“Percaya sama aku ya sayang. Tenang-tenang aja, ngak apa-apa.” Irfan sekali lagi menyakinkan aku. Kami berjalan menuju ke balai ketibaan di Bandara Soekarno-Hatta. Papa dan mamanya sudah tiba. Hanya menunggu proses rutin di lapangan terbang.
Dari jauh aku dapat melihat sosok tubuh dan raut wajah papa dan mama Irfan. Aku boleh mengecam mereka dari jauh kerana sudah kerapkali melihat gambar-gambar mereka. Tidak berubah mereka dari gambar yang selalu ditunjukkan oleh Irfan kepadaku. Gambar keluarganya ada di rumah, ofis dan dalam keretanya juga. Katanya, untuk menghilangkan kerinduan kepada ibubapanya, dia telah meletakkan gambar mereka di mana-mana sahaja.

Masih tegap dan bergaya mereka berdua pada usia lima puluhan. Mamanya kelihatan anggun sekali dengan berbaju blaus putih berseluar hitam. Cantik sekali wajahnya. Papa dan mamanya jalan beriringan, dengan papanya memimpin tangan mamanya erat lagi. Seronok sekali aku melihatnya. Betapa bahagianya mereka. Akupun ingin bahagia seperti itu. Apakah aku juga akan Kau anugerahkan semua ini Tuhan.
Mama dan papanya datang menghampiri kami. Mamanya bersalam dan memeluk cium Mbak Fitri, Irfan dan akhirnya aku. Giliran papanya pula bersalaman dengan kami. Aku mencium tangan papanya. Papanya memegang kepalaku ketika aku mencium tangannya.
“Oh ini yang namanya Nur, yang disebutin Irfan trus.....,” tanya papanya, seorang yang kelihatannya sangat berhemah.

“Iya Om....apa khabar, bagaimana dengan perjalanan tadi?” Aku memulakan bicaraku untuk menutup kegugupan.

“Baik-baik saja, bagus. Kamu gimana, jauh dari orang tua, ada Irfan bantu kamu kalau lagi kangen sama orang tuamu?” Tanya bapanya pula ramah sekali.
Ibunya pun sama, aduh mesra sekali. Memimpin tanganku ketika berjalan keluar menuju ke mobil, “nanti trus mampir ke rumah ya Nur?” Tanya ibunya.

“Enggak Tante. Maaf, sekarang pulang dulu, nanti kapan-kapan saya datang ya.” Aku mula berani berdepan dengan ibubapa Irfan setelah melihat kemesraan dan keramahan mereka berdua. Begitu juga dengan adiknya yang telah aku kenal waktu dia pulang bercuti semester lepas.

“Oh iya...kenapa nggak terus ikut aja sekalian sama kami,” tanya ibunya meminta penjelasan.

“Udah sore, Tante....lagi ada urusan yang perlu dibereskan. Terima kasih Tante sama Om, senang banget ketemu sama Om dan Tante,” balasku ikhlas. Baik sekali orangtua Irfan. Aduh... jauh benar bezanya dengan mama Roslan, macam langit dengan bumi. Tiba-tiba sahaja muncul mama Roslan di mindaku. Ish....syaitan mula membisikkan ayat-ayat racunnya....jangan banding-banding orang dan melihat keburukan orang, kata hatiku sendiri, melawan bisikan syaitan yang selalu mengambil kesempatan.

Aku dan Irfan menunggu mereka pergi dulu sambil aku dan Irfan melambaikan tangan. Setelah mereka berlalu, Irfan menghantar aku ke Depok.

“Kita makan dulu ya Nur....,” kata Irfan sambil memandang ke arahku, menunggu persetujuanku. Aku menganggukkan kepalaku tanda setuju.

“Kok diam aja....?” Tanya Irfan apabila mendapati aku masih berdiam diri.

“Terima kasih sayang....” Aku jadi sebak.

“Lho....untuk apa terima kasihnya?” Tanyanya bingung.

“Punya papa dan mama yang baik dan memberikan aku bakal bapa dan ibu mertua yang baik sekali.” Aku meluahkan isi hatiku dalam nada sebakku.

“Adui....mulai lagi tuh...janganlah begitu sayang...doa aja semoga kita semua terus bahagia dengan kebaikan kita masing-masing. Kita belajar dari mereka apa yang baik....yang ngak baik jangan sekali-kali kita ikuti.....” Irfan mula menormalkan semula suasana. Lebih senang kalau kami seperti biasa berbicara tentang hal-hal kami sendiri dan isu-isu semasa. Setiap kali mahu bercerita tentang keluarganya, Irfan tidak suka aku memuji-muji. Dia selalu menegaskan semua manusia sama, ada baik dan buruknya.

Aku tidak tahu mahu makan apa ketika Irfan mengajakku makan. Terasa kenyang dapat berjumpa dengan orang tua Irfan.

“Mau makan apa...?” Ulang tanya Irfan. Hmm....baru terfikir mahu makan yang tidak mengenyangkan sangat.

“Hmm...Pempek Pelembang di Gang Cina......mau nggak?” Hanya itu yang terfikir olehku. Irfan mengangguk setuju. Dia pun suka makanan ini. Susah mahu jelaskan keenakan makanan ini. Dimakan bersama kuahnya yang manis, pedas dan sedikit rasa masam. Isinya macam bentuk karipap, tapi tidak garing, rasanya dibuat dari tepung juga, kurang pasti aku kerana aku kurang pandai memasak. Nanti ada timun juga dipotong-potong dimasukkan bersama kuah. Hmmm...sedap tu....meleleh air liurku bila ingatkan Pempek Palembang Gang Cina yang menyelerakan.

Kami makan dua porsi setiap seorang. Lapar, ganti makan tengahari tadi. Selepas makan Irfan menghantar aku pulang. Berpisah kami seketika.

“Besok aku jemput kamu ke rumah, ketemu mama boleh?” Tanya Irfan.

“Besok nggak bisa, aku mahu ke Wisma Malaysia, ada yang mau nelefon aku?” balasku.
Nasib baik aku tidak mengiakan ajakan Irfan. Teringat pesanan Lukman ada yang pesan suruh aku tunggu di Wisma Malaysia, ada yang akan telefon dari New York pukul sembilan malam. Roslanlah tu. Sejak di sana dia sudah beberapa kali menelefon aku. Aku sendiri sekalipun belum pernah telefon dia.

“Siapa mau telefon kamu, ibu?” Tanya Irfan berbau curiga.

“Temanku,” jawabku ringkas. Tergagap juga mahu menjawab, nyaris tersebut nama Roslan.

"Teman dari mana?” Tanya Irfan lagi. Nampaknya semakin menebal rasa ingin tahu Irfan dan sudah mula pandai cemburu rasanya.

“Alaah......teman lama di Malaysia,” maklumku lagi.

“Cewek atau cowok?” Irfan terus mengorek rahsia untuk mendapatkan kepastian. Ada riak kurang senang di wajahnya.

“Cowok, teman biasa aja la sayang,” jawabku untuk mengelak investigasi berterusan dari Irfan, buah hatiku. Cemburu juga dia...hehe, suka dia cemburu, bermaksud ada juga nilainya aku di hatinya.

“Benar nih...?” Irfan masih belum yakin lagi dengan jawapanku.

“Benar, swear......,” jawabku sambil aku mengangkat tangan seperti orang sedang bersumpah.

“Awas sayang, kalo kamu macam-macam tau,” kata Irfan sambil tersenyum malu, bila dia perasan aku dapat mencium rasa cemburunya...hehe.

“Hehe....cemburu ya,” ejekku. Kami sama-sama ketawa. Irfan menarik hidungku dengan kuat, melepaskan geramnya. Menjerit kesakitan aku, betul-betul sakit.

“Jahat kamu,” jeritku kesakitan.

“Sori, sori, sori......ngak niat sakitin kamu.” Pujuk Irfan sambil menarik tanganku dan menciumnya.. Terbang semua rasa sakit bila dimanjakan...buat-buat sakit, saja nak bermanja dan mengada-ngada sikit.

Tiba-tiba saja lagu kegemaran kami `Antara Anyer dan Jakarta’ Shiela Majid berkumandang di radionya, kami ikut sama menyanyi bersama-sama. Hilanglah sudah cemburu, rajuk dan sakit kami ditelan merdunya suara Shela Majid, aku dan Irfan.
“Siapa yang nemanin ke Wisma Malaysia?” Irfan ingin memastikan aku berjalan berteman di Jakarta, bahaya katanya kalau sendirian.

“Sama anak-anak Malaysia yang lain. Ada acara makan-makan, ada anak pegawai yang meraikan hari lahirnya hari ini,” jawabku untuk meyakinkan dia, aku tidak sendirian.

“Apa perlu aku ngantarin?” Irfan menawarkan pertolongan. Belum puas hati dia dengan jawapanku.

“Ngak usahlah...kan ramai anak-anak tu, don’t worry my dear?” jawabku perlahan terus meyakinkan dia. Begitu mengambilberat sekali dia tentang aku.

Apakah sikapnya ini akan berterusan sampai bila-bila, atau bila sudah berjauhan dari aku, ke US sana, dia akan berubah jadi orang lain. Selalu timbul pertanyaan di dalam diri mengenai perubahan sikap yang mungkin akan berlaku. Amat menakutkan bila memikirkan hal ini. Tetapi bila diletakkan pada Qada dan Qadar Allah, hati jadi tenang dan tidak perlu lagi memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menyakitkan. Berserahlah kepada Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Lega hati dan jiwa.

“Benar nih? Sementara aku ada di sini dan bisa bantu, kamu bilang aja kalau mahu bantuanku ya sayang.” Aku mengangguk senang. Namun jauh di sudut hati, setiap kali dia bercakap tentang ketiadaannya di sini, hati aku jadi kosong dan melayang. Hampa rasanya.

Sesungguhnya memang benar, cinta dan kasih sayang itu boleh membuatkan hidup ini jadi sangat indah, ceria, bersemangat, bahagia dan bermakna sekali. Bagaimana hidup boleh diteruskan dengan bersemangat, ceria, bahagia dan bermakna jika hanya tinggal cinta di hati tetapi jasadnya tiada di sini, untuk menzahirkan kasih dan sayang. Huh...sebu rasa hati....sebak dadaku. Sudah hampir tiba suasana ini dalam hidupku. Cuma tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Huuuhhhh.......Irfan, jangan tinggalkan aku.

Sudah sampai di kostku. Seperti biasa sangat berat hendak melepaskan Irfan pergi. Rasa sayangku semakin menebal dan rinduku kepadanya hampir setiap detik. Susah mahu mengucapkan selamat tinggal atau selamat jalan kepadanya. Janjinya besok dia akan menjemputku ke rumahnya jam 3 petang.

Aku melangkah longlai ke kostku. Makin lama makin longlai. Nanti malam, selepas Maghrib, kami ramai-ramai, berlima sebenarnya, aku, Lukman, Rodzi, Milah dan Sharifah akan ke Wisma Malaysia. Setiap kali ada acara di sana kami akan pergi bersama-sama pada petang atau selepas Maghrib.

Kalau acaranya selesai lewat, kami akan menginap di bilik-bilik yang tersedia di Wisma Malaysia, itupun kalau ada yang kosong. Kalau cepat habis, kami akan terus balik, tidak selesa di Wisma Malaysia kalau terlalu ramai. Biasanya kami akan memberi ruang untuk pelajar yang tinggal lebih jauh dan tidak sempat pulang ke rumah, apabila acara habis lewat.

Ada masalah juga di Wisma Malaysia tu, sepatutnya hanya tempat menginap sementara atau berkumpul kalau ada acara-acara tertentu sahaja, tetapi ada orang yang menjadikan Wisma Malaysia seperti tempat tinggal mereka. Walaupun mereka membayar sewa, tetapi akan mengganggu orang-orang lain yang berniat mahu transit di sini.

Sampai di bilik kostku, merehatkan badan seketika sebelum mandi, sambil mata merenung mawar merah yang tergantung di dinding, hujung katilku. Indah sekali. Makin direnung semakin hidup dan cantik warnanya, serta kelopaknya tersusun cantik.
Subhanallah, pandainya pelukis ini. Betul-betul anugerah Tuhan untuknya. Keindahan mawar merah ini melambangkan betapa indahnya Irfanku juga, semakin kurenung semakin menarik, seperti juga Irfanku, betul. Itulah yang menyebabkan aku semakin sayang kepadanya. Satu lagi, lagu Sekuntum Mawar Merah dendangan Alleycats, juga sangat suka aku mendengarnya. Terasa meresap ke seluruh jiwaku apabila penyanyinya mendendangkan lagu ini, indah sekali melodi dan liriknya, yang juga berkaitan dengan mawar merah. Kenapa istimewa sangat mawar merah ni? Entahlah......
Selesai mandi dan solat, aku merebahkan diri di katil bujangku sambil sekali lagi merenung mawar merahku. Aku menekan tombol kasetku yang kubeli dengan harga Rp250,000, berjenama Sony. Di dalamnya telah kuletakkan kaset lagu Alleycats, yang mana aku telah setkan lagu Sekuntum Mawar Merah. Kukecilkan volumenya supaya dapat menemani aku melayan perasaan sambil merenung mawar merahku. Adoi....merdunya lagu, syahdunya jiwa. Akhirnya aku terlelap dalam ulikan lagu mawar merah dan lukisan mawar merah pujaan hatiku.

Aku dikejutkan suara bising Lukman memanggilku makan mee hoon goreng, hasil tangannya di petang ini. Aku masih kenyang sebenarnya, tadi makan pempek palembang dengan Irfan banyak betul. Tetapi aku bangun untuk mengambil hati Lukman, sahabat dan jiran yang sangat budiman aku rasakan. Biasanya orang yang sangat baik ini, umurnya tidak panjang, cetus hatiku. Hisss...selisih malaikat empatpuluh empat, semoga itu tidak menjadi kenyataan, hanya cakap-cakap orang sahaja.

Selepas makan, azan maghrib kedengaran dari surau. Aku balik ke bilik selepas berterima kasih dengan Lukman. Cepat-cepat solat dan berpakaian yang sesuai untuk majlis malam ini. Kasual saja, baju blaus warna pink dengan sedikit ropol-ropol di bahagian leher. Seluar baggy warna putih dari kain sutera lembut. Sesuai dengan majlis parti kanak-kanak. Sentuhan terakhir untuk muka dan semburan minyak wangi Anais, hadiah hari jadi dari seorang kawan. Siap.

Lukman dan Rodzi sudah siap. Hanya menunggu dua dara teman serumahku. Setelah semuanya bersedia, kami melangkah ke Margondaraya menunggu bas mikrolet ke Pasar Minggu, kemudian ke Sarinah dan mengambil bajai ke Wisma Malaysia. Sampai di Wisma, sedang elok, majlis akan bermula. Mata tetap mengawasi jam untuk ke angka sembilan malam. Menunggu panggilan Roslan, takut terlepas, kasihan pula dia. Apapun, dia tetap kawanku, kerana dia baik dan sangat menghormati aku.

‘Birthday girl’ sudah potong keknya, berarti sudah kemuncak acara majlis. Ketika semua orang mulai mengambil makanan masing-masing, Pak pengawal memanggil aku, ada telefon katanya. Aku berjalan pantas menuju ke arah telefon, sambil membawa bersama makanan yang telah kumasukkan ke piring. Duduk di sofa sebelah telefon. Suara Abang Roslan sayup kedengaran. Tiba-tiba hatipun jadi sayu, mendengar suaranya dan melihat kesungguhan dia menghubungiku selalu, walaupun jaraknya jauh sekali.

Perbualan kami seperti biasa. Bertanya khabar masing-masing. Kata Roslan melepaskan rindu, tapi bagiku bukan melepas rindu, hanya mendapatkan khabar terkini tentang dia dan keadaan di New York ketika ini. Tidak mengapalah kalau dia rindu, bukan boleh ditahan atau disekat kemahuannya orang. Kalau sudah bosan, akan berhentilah dia merinduiku. Atau mungkin aku pulak akan merinduinya? Tidak ada perkara mustahil dalam hidup ini. Lama juga Roslan menelefon aku. Hampir satu jam kami berbual-bual kosong. Sudah habis idea aku untuk berbual-bual dengannya. Piring makananku pun sudah kosong.

Akhirnya dari rasa seronok, timbul rasa mengantuk. Mungkin lama sangat, jadi mengantuklah pulak. Maaf Abang Roslan, sesungguhnya aku tidak berniat untuk mengabaikanmu. Aku hanya manusia biasa yang sangat banyak kekurangan dan kelemahanku. Akhirnya kami menamatkan perbualan kami dengan Roslan memintaku menunggunya telefon lagi. Aku hanya mengiakan sahaja. Terpulanglah mengikut kelapangan dia. Sebenarnya seronok juga berbual-bual dengannya.

Kawan-kawan mengajak aku balik kerana terlalu ramai pengunjung yang datang ke Wisma Malaysia hari ini. Tiada bilik kosong untuk kami tidur. Jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Sudah lewat sangat, tetapi kena balik juga, tidak mungkin dapat tidur di sini. Sangat penuh.

Lukman sudah memanggil teksi. Naik berlima satu teksi. Kami berlepas pulang setelah bersalam dengan semua yang ada pada hari itu, terutama si cilik `birthday girl’ dan mengucapkan terima kasih kepada ibunya.

Hampir pukul dua belas sampai ke rumah, cuci muka, solat isyak, pakai bedak sejuk dan terus baring. Mata tetap merenung mawar merah di hadapanku. Mawar yang selalu tersenyum kepadaku, mengubat kerinduan untuk orang-orang yang kusayang. Akhirnya boleh melelapkan mata dengan tenang dan senyuman terukir dibibir.

Pagi-pagi boleh bangun dengan tenang. Tidur cukup, hati senang. Nanti petang akan bertemu bakal ibu dan bapa mertuaku. Selesai mandi, kedengaran suara bising di rumah sebelah. Aku menjenguk, oh..rupa-rupanya ada Faiz, Fuad dan beberapa orang kawan Malaysia yang lain. Akupun ikut sama memeriahkan suasana, sambil membawa tin biskutku dan secawan nescafe, sarapan pagiku. Aku mempelawa Faiz makan biskut kering yang kubawa. Akhir-akhir ini Faiz sering datang ke kost kami, berbual-bual dan berkumpul di sini. Sunyi agaknya di kost dia yang terpencil dan jauh ke dalam.
Di atas meja ada lempeng goreng Lukman dan ubi rebus yang diberi ibu Abri. Aku mempelawa mereka makan biskut dan Lukman ke dapur, buat air teh lagi, tambah, tekonya telah kosong. Seronok juga makan beramai-ramai walaupun makanan yang ringkas dan murah sahaja. Itulah nikmatnya dari hubungan silaturahim atau membina hubungan baik sesama manusia.

Tengahari pula kami sama-sama konvoi, ke rumah makan minang di Jalan Margondaraya. Makan nasi dengan ayam gulai minang dan daging dendeng. Teringin minum teh botol, lama tak minum. Masing-masing makan dengan seleranya. Semuanya jenis kuat makan. Mungkin sampai Rp10,000 atau lebih kurang RM 15 seorang agaknya.

Balik berehat seketika sementara menunggu Irfan menjemputku. Baring sambil merenung mawar merahku, damainya hati. Mata sudah layu disebabkan perut penuh diisi, malas nak berfikir, layan perasaan mengantuklah, lalu mata terpejam.

Terjaga hampir jam 2.20 petang. Sedang elok bersiap sedia untuk ke rumah Irfan. Mandi dan berpakaian, sesuai dengan pertemuan keluarga. Berjumpa dengan ibubapanya. Pakai seluar panjang dan blaus putih sesuai rasanya. Aku mesti bersiap cepat-cepat kerana seperti biasa Irfan akan tepat pada masanya. Janji pukul tiga petang. Pukul 2.50 petang, aku harus menunggunya di Jalan Margondaraya. Tidak boleh lambat. Malu dengan dia.

Betul, kurang lima minit pukul tiga, Irfan sudah sampai. Seperti biasa kami menuju ke rumah Irfan di Pondok Indah dengan selamatnya. Aku disambut ibu dan bapanya dengan mesra sekali. Memang keluarga mereka jenis yang meraikan tetamu. Aku dipeluk erat oleh mamanya. Begitu juga papanya, mengusap-usap kepalaku ketika aku mencium tangannya. Bahagianya rasa hati ketika berada di dalam keluarga ini. Moga-moga ini bukanlah hanya permulaan tetapi akan berterusan sampai bila-bila. Amin.

Majlis makan malam keluarga bermula. Tidaklah ramai. Hanya keluarga terdekat, termasuklah aku, yang mungkin sudah dianggap keluarga terdekat. Aku diperkenalkan kepada dua keluarga terdekat, Tante (ibu saudara sebelah mama) dan Om (bapa saudara sebelah ibu) serta dua orang ibu saudara sebelah papanya, bersama-sama anak mereka lima orang semuanya. Semuanya tiga belas orang ahli keluarga terdekat, tambah lima orang ahli keluarga Irfan dan aku. Ya...hanya sembilan belas orang semuanya.

Kami hanya makan dan berbual-bual sama sendiri, mengeratkan hubungan sesama kami. Dapat aku rasakan, hubungan aku dan Irfan sudah diperbincangkan sesama mereka.
Buktinya, ketika soalan-soalan diajukan oleh tante-tentenya, seperti sudah dimaklumkan mengenai hubungan kami. Tak kisahlah apa pun, yang penting aku rasakan keberadaan aku di sini menyenangkan mereka dan aku senang, cukuplah dulu setakat ini, sebagai permulaan sebuah perhubungan persaudaraan.

Aku dihantar pulang oleh Irfan sudah lewat malam. Sebelum pulang, mama Irfan mengingatkan aku supaya datang hari Jumaat nanti untuk majlis kesyukuran keluarga. Aku mengiakan sahaja sambil bersalaman dan mengucapkan selamat malam kepada semua yang ada. Sampai di rumah sudah hampir jam 12 malam.

“Jangan lupa Jumat nanti aku jemput kamu ke rumah...” Irfan mengingatkanku.

“Ada apa?” Tanyaku kebingungan

“Waduh...kan tadi ibu udah bilang,” balas Irfan. Aku memang betul-betul lupa.

“Kamu sih....lupa lagi tuh...acara kesyukuran.....arisan di rumahku...dalam rangka kesyukuran aku lulus dan mama papa pulang, kumpul sama famili....” Irfan menjelaskan, masih sabar dia dengan aku yang mudah lupa.

“Oh, ok....nggak lupa cuma nggak ingat,” jawabku.

“Apa nggak sama lupa sama nggak ingat?” Ejek Irfan. Aku hanya ketawa, menyedari kelemahan sendiri.

Irfan akan menemani aku dan memerhati dari jauh untuk memastikan aku selamat masuk ke rumah, barulah dia akan berlalu. Seperti biasa, kami berpisah dan berjanji untuk berjumpa lagi, hari Jumaat nanti.

Setelah siap mandi dan solat, merenung mawar merah di depanku dengan tenang. Akhirnya aku melelapkan mata dalam keadaan yang tenang kerana apa yang aku lalui hari ini sangat mengembirakan hati.

***********

Jumaat yang mencemaskan juga bagiku. Maklum, hari ini lebih ramai keluarga Irfan dan kawan-kawannya akan berkumpul sempena arisan keluarga dan kesyukuran keluarga mereka. Takut sangat menemui ahli keluarganya yang akan menyesakkan nafasku, atau yang terlalu banyak soalan-soalan yang merimaskan aku.

Namun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Aku tetap menerima layanan kelas satu bersama-sama keluarga ini. Mereka seolah-olah satu hati dalam setiap perkara. Apakah mungkin ini tradisinya keluarga Jawa. Irfan hanya tersengih ketika aku kemukakan soalan ini. Akhirnya dia menjawab, “nggaklah Nur, hanya kebetulan adem.” Aku tidak tahu apa maksudnya dan tidak sempat bertanya, dia sudah berlalu dipanggil kawannya. Keriuhan dan keramahan yang ditunjukkan merupakan perkara yang amat menyenangkan aku.

Di Malaysia, aku jarang sekali dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang ramai kerana kami lebih menumpukan kepada kerja kami mencari rezeki. Jarang sekali mak menutup kedainya, kecuali untuk sesuatu hal yang resmi sahaja. Kalau ada kematian atau kenduri perkahwinan ahli keluarga terdekat sahaja, maka mak akan menutup kedainya. Sebenarnya mak juga jauh hati dengan ahli keluarga terutama sebelah ayah, ketika mak dalam kesusahan, tiada yang sanggup menolong mak. Akhirnya mak lebih suka membawa hal sendiri, hati tidak sakit katanya. Kami hanya akur menerima apa kata mak, kerana dia yang melalui semuanya.

Ketika majlis hampir berakhir, Irfan naik ke biliknya untuk mandi sebelum menghantar aku balik, sudah berbau badan katanya. Memang betul, sibuk sekali dia melayan tetamu yang hadir tadi, maklum ini majlisnya, ramai kawan-kawannya yang datang. Kawan-kawan SMA (Sekolah Menengah Atas) dan SMP juga ramai yang datang. Aku tidak mengenali mereka kerana mereka belajar di universitas yang berlainan.

Aku melangkah satu demi satu tangga ke tingkat atas untuk ke bilik Irfan. Mamanya meminta aku memanggil Irfan turun segera kerana kawan-kawannya sudah menunggu. Ada lagi yang baru datang, ingatkan sudah habis. Penat juga rasa kaki, maklum sudah seharian aku di rumah ini membantu apa yang patut untuk majlis doa selamat dan kesyukuran pemergian Irfan ke Amerika Syarikat.

Aku menuju ke bilik Irfan yang terletak di hujung sekali. Aku mengetuk pintu, memanggil Irfan beberapa kali. Masih belum menyahut ini anak. Cuma kedengaran bunyi air mencurah dari bilik airnya, mungkin sedang mandi dia, sebab itulah lama benar dia di biliknya. Aku membuka pintu biliknya yang tidak berkunci setelah lama menunggu, dan panggilanku tidak berjawab.

Daun pintu bilik kutolak perlahan. Cantik kemas tersusun bilik tidur buah hatiku ini. Senang mataku memandangnya. Senang hatiku bila memikirkan nanti aku tidak perlu bersusah-payah mendisiplinkan si suami untuk menjaga bilik supaya rapi, tuala mandi tersidai, baju seluar kotor dimasukkan ke dalam bakul pakaian kotor yang sudah tersedia. Mataku terus menelusuri setiap sudut dan dinding. Tiba-tiba hatiku berdegup kencang apabila di satu sudut tergantung satu objek yang tidak kuharapkan akan kutemui disitu.

Ya Allah, apakah maksud yang tersirat disebalik apa yang kulihat di depan mataku ini. Tolonglah...bukan itu maksud sebenarnya. Hanya dia suka-suka meletakkan di situ. Aku tidak sanggup menerima semua ini kalaulah ia benar seperti apa yang bermain difikiranku. Lututku mula terasa lemah dan menggigil. Nafasku juga sesak. Aku keluar dari bilik secepatnya untuk menenangkan diriku sendiri. Kalau ini benar, akan hancurlah hidupku sekali lagi.

Ya Tuhan, tolonglah aku hambaMu yang lemah ini. Janganlah aku diuji lagi, cukuplah, aku tidak sanggup lagi.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 26 Disember 2011.

Thursday 22 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 30 – Nor Aizan Ab Halim

Kuliah Bermula Lagi
Subuh-subuh hari aku telah bangun. Memaksa diri bangun walaupun rasanya sangat malas dan masih mengantuk. Malam tadi tidur hampir pukul dua pagi. Badanpun penat. Tenaga digunakan dalam tempoh empat hari, hampir habis dan cukup memenatkan. Selepas solat subuh aku mahu tidur lagi sekejap. Pukul lapan nanti bangun dan ke kampus pukul sembilan untuk pendaftaran.

Aku menarik selimut. Seronok juga melayan perasaan malas. Kipas yang kuputar ke angka 5, cukup untuk mengingatkan aku kenyamanan Vila Irfan di Puncak. Hmm......masih segar dalam ingatan, semua itu. Bahagianya rasa, apalagi kalau dia berada di sisiku. Irfan yang baik. Irfan yang tampan. Irfan yang sangat bertanggung jawab. Irfan yang sangat sayang aku. Irfan yang.....yang.....yang...akhirnya aku sudah tidak sedar lagi. Tertidur dalam anganan Irfanku.

Apabila jam loceng berbunyi dengan nyaring, menandakan pukul lapan, aku masih malas hendak bangun. Penat benar rupa-rupanya aku ni. Terpaksa juga bangun. Pasti nanti sekejap lagi Lukman akan bising memanggil aku untuk sama-sama ke kampus, mendaftar bersama-sama. Semester ini masih banyak kuliah pengantar fakulti yang akan aku ambil bersama-sama Lukman. Semester tiga dan seterusnya, barulah kami akan menjurus ke jurusan masing-masing, aku ilmu komunikasi, dia kesejahteraan sosial.

Semester ini aku akan cuba untuk mengambil kuliah teknik menulis berita. Kata kawan-kawan, kalau ikut syarat sebenarnya, sepatutnya belum boleh semester ini, tetapi aku akan mencuba dan mungkin juga merayu kerana aku teringin sekali ‘magang’ di surat khabar Kompas, yang dikatakan surat khabar terbesar milik kumpulan kristian. Kata kawanku Kompas itu sendiri singkatan dari Kumpulan pastur. Betul atau tidak aku sendiripun tidak pasti. Yang penting aku mahu ‘magang’ atau praktikal di sebuah surat khabar yang hebat, banyak ilmu yang boleh ditimba. Cara kerja dan pengurusan mereka, sangat menggamit aku untuk ingin tahu.

Ketika aku menyuarakan keinginanku, kawan-kawanku terkejut, “gilak kamu Nur, ngak gampang lho mau magang di sana?” Kawanku Ela terkejut mendengar keinginanku.

“Ngak apa-apa, kita coba, mana tahu ada rezeki, siapa mau ikut aku?” Masih aku ingat perbualanku bersama kawan-kawan di akhir semester lepas. Nenty dan Ineng mahu ikut magang bersama aku di Kompas nanti.

Aku menarik selimutku. Baru mahu memejamkan mataku sekejap lagi, teringat bungkusan pemberian Irfan malam tadi. Aku terus bangun. Mengangkat ke atas katil lalu membukanya.

“Wah.....cantiknya....,” cetusku. Aku betul-betul terkejut melihat pemberian buah hatiku. Rupa-rupanya lukisan sekuntum mawar merah yang kami rebutkan di Puncak tempohari dibelinya untukku. Siap dengan bingkainya yang menarik. Tidak dapat aku gambarkan kegembiraan aku melihat mawar yang sangat cantik ini sudah jadi milikku. Terima kasih pujaan hatiku.

Sesungguhnya kaulah manusia paling istimewa yang dianugerahkan Tuhan untuk mengubat luka hatiku. Terima kasih Tuhan. Aku menarik nafas sayang aku kepadanya. Teruknya aku, tiada hadiah istimewa aku belikan untuknya. Hanya cincin perak di Bandung yang aku beli sepasang, satu untukku dan satu untuk Irfan. Akan kuberikan ketika kami berjumpa nanti.

Aku sudah mendengar suara Lukman dan Rodzi yang mulai bising di sebelah. Sudah siap ke mereka? Aku bangun dan terus ke bilik air. Nantilah, akan kugantung gambar ini di hujung katilku supaya boleh menatapnya setiap masa, sebagai tanda ingatanku kepadanya tidak pernah hilang.

“Zan....kau nak pergi pukul berapa, join aku ke pergi sendiri....!!!” Jerit Lukman dari beranda depan.

“Sama kau, pukul berapa kau nak pergi?” Aku juga menjerit dari dalam. Sungguh tidak sopan, “tapi aku belum sarapan lagi,” maklumku. Memang aku mesti sarapan dulu, takutnya tidak ada kawan nak menemani sarapan di kampus, Irfan tidak datang kampus hari ini. Rasa kosong dan malas mahu ke kampus tanpa Irfan. Aduh, macamana nanti kalau Irfan sudah ke US, apa jadi dengan aku, tanya hatiku.

“Aku dah buat air dan goreng cekodok, datang sarapan sinilah,” ajak Lukman. Alhamdulillah, baik sungguh Lukman. Dia memang macam tu, rajin memasak dan buat kerja rumah. Sudah dilatih maknya supaya membantu di rumah kerana adik beradiknya ramai tetapi yang besar-besar, semuanya lelaki. Sedap lagi kalau dia memasak.
Cepat-cepat aku bersiap-siap. Sentuhan terakhir di muka dengan lipstik, bedak, dan celak mata. Akhirnya semburan minyak wangi. Hari ini pakai Polo lah. Aku memang suka Polo, walaupun keras sebab yang aku beli ini untuk lelaki, tetapi aku suka. Bau macam Irfan, supaya aku rasa Irfan ada bersamaku walaupun dia tiada di sisiku hari ini.

Aku mengambil beg sandang untuk kuliah. Aku memastikan isi dalam bekas pensil cukup alat-alat tulisku. Aku keluar untuk sarapan dengan Lukman dan Rodzi di rumah sebelah. Sambil makan masih sempat kami berbual-bual.

“Macamana seronok kat Puncak?” Lukman memulakan perbualan kami di pagi hari. Aku menuang teh o dan menjamah cekodok bikinan Lukman. Memang sedap. Aku bingkas bangun masuk ke bilikku semula, mengambil ole-ole untuk mereka, buah-buahan dan sayur-sayuran. Lukman rajin memasak. Seronok dia menerima buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Lukman menyimpan pemberianku. Dibawanya dua biji apel untuk makan dalam perjalanan ke kampus.

Ketika kami sampai di kampus, sudah ramai pelajar menunggu untuk pendaftaran mata kuliah. Aduh...tidak larat nak berebut mata kuliah pilihan. Kuliah wajib fakulti dan jurusan tidak jadi masalah. Aku mahu berebut kuliah Statistik I dan Metode Penelitian Masyarakat 1 (MPM I), supaya semester depan aku sudah boleh mengambil Statistik II dan Metode Penelitian Masyarakat II. Jadi tiada halangan untuk aku mengambil kuliah yang seterusnya semester depan. Tidak sanggup berebut-berebut sebenarnya tetapi terpaksa. Ketika kami sampai, pengisian nama pada senarai nama sudah bermula.

Ketika aku mahu menulis nama pada senarai nama untuk MPM I, aku melihat namaku dan nama Ineng sudah tercatat di situ. Siapa yang menulisnya. Ineng? Tetapi kelibat Ineng belum kulihat. Tulisan pun bukan tulisan Ineng. Lalu siapa? Lupakan dahulu.

Aku tandatangan saja dengan cantik di hujungnya. Kemudian terus ke senarai nama untuk Statistik 1. Juga sudah tertulis namaku dan Ineng. Siapa gerangannya yang menulis nama kami? Aku terus saja menulis nama untuk kuliah teknik menulis berita. Kemudiannya, kedengaran suara Ineng memanggil namaku. Inengpun terkejut ketika aku memaklumkan tentang nama kami yang sudah siap tertulis di sana. Ineng hanya menandatangan. Kemudiannya kami bersama-sama mendaftar untuk mata kuliah yang lain. Sudah selesai semua, lega rasanya.

Tiba-tiba aku melihat priaku sedang bersandar di tiang berhampiran pejabat, sambil tersenyum manis memandang ke arahku. Laa...rupa-rupanya si Mamat ni la yang menulis nama kami tadi. Aku sudah mengagaknya bila melihat tulisannya, tetapi tidak yakin kerana dia kata tidak datang ke kampus hari ini. Datang juga dia. Rindulah tu....hehe.

Kami menuju ke arahnya, tidak sabar untuk bertanya tentang pendaftaran tadi. Dia mengangguk ketika aku kemukakan mengenai hal ini. Katanya, dia bimbang aku dan Ineng tidak sempat mendaftar kerana bilangannya terbatas. Kami menuju balsem untuk sarapan. Makan lagi aku. Aku memang suka makan, dapat pula kawan yang suka makan. Ineng pun sama, suka makan macam aku, tetapi kami sama-sama kurus, susah nak gemuk.
Aku pernah mengambil pil untuk meningkatkan berat badan, sampai kena jumpa dokter sebab mengalami sakit perut yang memulas-mulas. Rupa-rupanya, ubat-ubatan begitu tidak boleh dimakan ketika kita datang bulan. Itulah, belajar tidak khatam, tidak bertanya dulu, akhirnya dapatlah padahnya. Sakit bagai nak mati, macam orang nak bersalin, walaupun belum pernah melaluinya, cuma selalu dengar orang kata macam tu.
Selesai pendaftaran dan makan, kami keluar dari kampus. Ineng mahu pulang, ada janji dengan ibu katanya. Ineng pulang dijemput supirnya. Aku dan Irfan meneruskan perjalanan kami ke Ancol. Tidak puas hati tidak dapat ke Anyer atau Pelabuhan Ratu, lalu kami ke Ancol sajalah. Nak berehat sambil menyanyi dengan petikan gitar Irfan. Hmm...seronoknya.....memang kami sama-sama suka menyanyi. Irfan pula pandai main gitar. Hari-hari lapang kami dihabiskan dengan ke Ancol dan menyanyi bersama-sama, sambil membantu Irfan mendapatkan idea menulis tesisnya. Kalau dapat siap cepat, berarti Julai nanti dia sudah boleh meneruskan sarjananya di US, tinggallah aku sendiri.

“Nanti kalo kamu ngak ada di sini, gimana aku ya? Bisa ngak aku hidup sendiri...?” Aku meluahkan apa yang selama ini ada di mindaku. Memang sangat bimbang menghadapi hidup sendiri tanpa Irfan di sisi.

Irfan berhenti memetik gitarnya, melepaskan hembusan nafasnya perlahan-lahan, lalu bersuara, “gimana ya Nur, aku harus pergi, memang ini maunya papa dan aku sendiri, cari ilmu dalam bisnes studi sebenarnya, supaya nantinya aku lebih pintar ngurus bisnes papa. Nanti aku selalu telefon kamu dan setiap liburan aku pulang ok.” Irfan cuba meleraikan kebimbanganku.

Aku hanya menganggukkan kepalaku berat. Memang tidak pasti apa akan berlaku nanti, sebagaimana aku tidak sangka apa yang sedang aku lalui sekarang. Tuhan temukan aku dengan Irfan dan begitu mudahnya aku jatuh cinta dengan Irfan, dalam tempoh yang singkat. Padahal, aku dulu yakin tidak akan jatuh cinta lagi, atau akan sangat susah jatuh cinta, setelah apa yang aku lalui bersama Ari dulu.

“Wah...kamu juga udah pakai Polo aku ya...” Tiba-tiba Irfan menegur bauan Polo yang kupakai hari ini. Aku maklumkan kerana aku pakai untuk mengingatinya kalau dia tidak bersamaku.

“Sangkaku hari ini kamu nggak datang kampus, kalo kutahu kamu datang, ngak perlu pakai, udah ada baunya kamu,” jawabku jujur. Aku mahu dia tahu betapa pentingnya kehadiran dia di sisiku.

Aku mengeluarkan cincin perak yang kubeli di Bandung. Aku sarungkan untuk kekasih hatiku. Kami sama-sama ketawa, pelik, aku yang sarungkan cincin ke jari lelaki.

“Nur, kamu yang kasi cincin tanda untukku, bukannya aku,” kata Irfan. Tak kesahlah, yang penting cincin itu muat di jari manis Irfan, walaupun aku tidak mengukurnya, hanya mengagak sahaja.

“Tq sayang.” Irfan mencium cincin pemberianku, Senang aku melihat dia sukakan cincin itu, walaupun harganya sangat murah atau dia pura-pura sahaja suka aku tak peduli, terserah dialah.

Kemudiannya Irfan mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Waaa...kotak cincin lagi. Warna biru. Dulu kotak cincin berwarna merah jambu dari Roslan, sekarang dari Irfan. Irfan mengeluarkan cincin dan menyarungkan di jari manisku. Muat dan cantik sekali di jariku. Giliran aku pula mengucapkan terima kasihku kepadanya. Tidak sangka pulak diapun ada membelinya untukku. Irfan, Irfan, selalu buat kejutan untukku.

“Kapan belinya?” Memang sangat mendalam rasa ingin tahuku.

“Udah lama...sebelum liburan aku simpan, takut mahu memberikan kepadamu, manalah tahu tidak diterima,” jelas Irfan.

“Sayang kamu,” ucapku sambil mencium cincin bermata satu itu, sebagai ganti ciuman untuk tuannya. Irfan menunjukkan ke arah pipinya, minta aku cium pipinya. Aku membentuk jariku seperti bibir, lalu meletakkan ke pipinya, sambil memuncungkan bibirku dan membunyikan chupp....seperti ciuman. Irfan ketawa melihat gelagatku. Kami sama-sama ketawa. Bahagianya kami bersama, apalagi kalau dapat beraksi seperti kanak-kanak. Ceria selalu. Tetapi nanti tiada lagi gurauan seperti ini, bila Irfan sudah ke US.

Terasa begitu cepatnya masa berlalu, kuliah sudah bermula. Aku mengikuti kuliah dengan semangat untuk selesai dengan cepat dan keputusan yang baik. Walaupun Irfan jarang ke kampus tetapi kami sering bertemu di luar dan sama-sama menyiapkan tesis Irfan. Pertemuan kami akhir-akhir ini lebih banyak fokus kepada kebersamaan untuk menyelesaikan tesisnya dan juga menemani aku praktikal, jika aku dapat tugasan di tempat-tempat yang aku tidak berani untuk pergi sendiri, disebabkan terlalu jauh atau bahaya.

Aku juga sudah mulai praktikal di Kompas, Suara Karya dan Suara Pembaharuan. Aku juga mahu di Pos Kota tetapi Irfan tidak membenarkan aku ke sana kerana lokasi ofisnya terlalu jauh dari Depok. Skop beritanya juga lain, lokasi sumber beritanya juga tidak sesuai denganku, kata Irfan. Mungkin kerana banyak berita jenayah, jadi Irfan risau aku terpaksa berdepan dengan bahaya.

“Lho...kok nanti juga aku harus ketemu isu-isu jenayah gituan, mana bisa wartawan menghindar atau memilih-milih berita,” balasku ketika Irfan melahirkan pendapatnya.

“Ngak apa-apa nanti aku bikin koran atau majalah sendiri untuk kamu,” katanya. Aku melihat nampak serius mukanya ketika mengungkapkan kata-kata. Apa dia memang niat terlibat dalam industri ini atau, sekadar untuk menyenangkan hati aku supaya memilih tempat untuk bekerja.

Aku menjengilkan mataku kepadanya. Dia ketawa, “benar, kalo kamu mahu kita bisa urusin nanti, kalo kuliahmu udah selesai, aku janji,” sambung Irfan menjawab jengilan mataku. Aku ikut ketawa.

Alhamdulillah, di Kompas, Pak Paulus, ketua pengarang sekaligus penyelia kami, menerima kami dengan baik, aku, Ineng dan Nenty. Senang sekali aku berurusan dengan Pak Paulus, walaupun pada awalnya dia kelihatan sangat serius. Mungkin disebabkan sikapnya yang tegas dan serius inilah membolehkan dia menduduki posisi pengurusan di Kompas. Kata kawanku dia juga adalah orang kuat gereja. Tidak tahu pasti dan tidak mungkin aku bertanya kerana melihatnya saja aku rasa sangat seram hati, bukan takut tetapi sangat menghormati dia.

Walaupun aku ini orang asing dan masih banyak kelemahan, tetapi sangat sabar Pak Paulus membimbing aku, dan memberi peluang aku melakukan tugasan yang berat atau penting, sebagai tanda kepercayaannya kepadaku. Sangat bertuah aku di bawah bimbingan dia. Aku rasa hasil bimbingannyalah aku dapat menulis dengan baik selain tunjuk ajar pensyarah-pensyarahku yang dedikasi dan bijaksana.

Hmm...tidak mudah menjadi wartawan. Tempoh empat bulan praktikal, aku rasa sangat banyak ilmu yang kupelajari. Aku mengambil kesempatan belajar secara formal dan informal untuk menulis ‘hard news’ dan ‘soft news’ dalam tempoh yang sebegini singkat. Pada ketika anak-anak lain ‘dicuekin’ dan selalu tidak mendapat tugasan luar mencari berita, aku, Ineng dan Nenty sangat bertuah, setiap minggu ada saja berita kami yang akan masuk dan disiarkan, terutama untuk berita besar. Untuk berita yang sangat besar, atau ‘top story’ kalau masuk sebaris ayat yang kami tulispun, nilai kami untuk mata kuliah ini sangat tinggi, apa lagi kalau di Kompas.
Ketika anak-anak lain di surat khabar lain masih menjadi pembuat ‘transkrip’ untuk para senior, kami tidak pernah diarah untuk berbuat demikian, malah berita-berita yang kami terlibat hampir semuanya berita besar. Itu menunjukkan kepercayaan boss kami kepada aku, Nenty dan Ineng sangat tinggi. Apa lagi kami sudah berjanji akan menjaga etika kami, tidak boleh lewat dan jangan pernah menolak apa saja tugasan yang diberikan, serta mesti melakukan kerja dengan tuntas.

Memang betul itu aku lalui. Aku pernah ditugaskan untuk mendapatkan komentar dari pihak yang terlibat dengan pengusiran pelarian Kemboja dan Vietnam (UNCHR) dari perairan Indonesia. Ketika itu semua orang berdiam diri, tidak mahu komentar. Kecut juga hati sebab ini isu sensitif, berkaitan dengan kebijaksanaan politik, bagai menarik rambut dalam tepung. Seorang pegawai yang mengurus masalah ini yang aku temui, menolak untuk memberi komen.

Aku terus menunggu dia memberi komen, hanya sepatah kata cukuplah supaya aku boleh membuat laporan. Aku sabar menunggu dari pagi sampai petang. Ketika dia mahu balik waktu kerjanya habis, barulah dia mahu memberikan komen yang sangat ringkas.
Dia datang ke arahku dengan senyum tawar. Aku tahu dia terpaksa, tetapi aku abaikan dulu perasaannya kepadaku. Yang penting dia sudah mahu menemuiku. Itu sudah sangat bagus, bukan senang.

“Saya amat kagum melihat kesungguhan anda untuk mendapatkan komentar saya mengenai isu ini. Ikhlas sekali anda melakukan tugas anda. Anda pasti akan berjaya dalam kerjaya anda nanti,” katanya setelah aku seharian menunggu.

Kata-kata yang kuanggap pujian ini mungkin bertujuan untuk meredakan resah hatiku menunggunya, dan menghilangkan tanggapan negatif aku kepadanya.

“Terima kasih Pak, mahu ketemu saya dan maaf kalau bapak merasa terganggu dengan kehadiran saya,” kataku berbasa-basi.

“Ok, tidak mengapa. Apa yang bisa saya bantu?” Tanyanya terus kepada permasalahan.
Aku mengemukakan soalan-soalan yang dikirim bos aku. Dia lebih banyak senyum dari bercakap.

Akhirnya ayat sakti yang keluar dari bibirnya hanyalah, “saya mohon maaf kerana kami tidak bisa memberi komentar mengenai isu ini kerana masih panas dan bisa menimbulkan berbagai-bagai kontroversi. Untuk menjaga kebaikan semua pihak, kita biarkan pemerintah Indonesia yang memberi keputusannya bagaimana. Terima kasih atas prihatin saudara. Maaf, saya harus pergi dahulu.” Dia mengakhiri pertemuan kami yang tidak sampai lima minit. Aku harus terima dan menghormati keputusan dia.
Aku sudah kecewa dan meluahkan kekecewaanku kepada Irfan yang setia menunggu aku di mobilnya sambil membaca buku. Irfan menenang dan menyabarkan aku. Huh...sabar sekali dia menungguku. Aku hanya meminta dia menghantar aku ke sini dan pulang saja, tidak perlu menungguku, aku bisa pulang dengan teksi, tetapi dia menolak dan mahu menunggu aku sampai selesai. Bimbang akan keselamatanku agaknya.
Aku terus ke kantor Kompas. Irfan menunggu di mobil lagi. Aku menyiapkan laporan temubual aku tadi dan menyerahkan tape rakaman sebagai bukti. Aku dan Irfan betul-betul kepenatan. Memang aku tidak makan selepas sarapan pagi tadi. Irfan ke warung berhampiran pejabat UNCHR Jakarta tadi, tapi cuma minum dan makan kuih saja. Betul-betul lapar kami. Kami singgah makan di KFC Sarinah. Lepas makan, terus balik ke rumah. Penat tidak terkira. Kasihan Irfan, bersusah payah dan kepenatan untuk aku.

Aku terbaring lesu selepas mandi dan solat. Fikiran melayang mengingatkan tugasanku, susahnya menjadi wartawan. Mampukah aku meneruskan kerjaya sebagai wartawan setelah selesai kuliah nanti? Teringat pula Irfan dan kata-katanya sebelum dia balik tadi, aku melahirkan rasa bersalahku kerana selalu menyusahkan dia sejak aku bersamanya.

“Jangan ngomong begitu sayang, kan aku udah janji, selama masih di sini aku bisa bantu dan tunjukin kamu, agar kamu tau daerah-daerah sini. Semester depan kamu harus mandiri, aku udah tiada di sini.” Irfan mengingatkan aku tentang janji kami. Bahagia sekali bersamanya. Kami berpisah untuk malam ini.

“Nanti kalo ada apa-apa yang perlu, telefon aku ya Nur.” Itulah pesanan yang selalu diucapkan setiap kali kami akan berpisah. Semester depan, tiada lagi ucapan seperti ini akan kudengar. Akhirnya aku dapat melelapkan mataku juga dalam keletihan.

Seperti biasa, sarapan pagi dengan surat khabar Kompas. Aku melihat berita utama di muka depan. Wah... ini berita mengenai UNCHR yang aku ikut sama mencari sumbernya semalam. Tajuk utamanya adalah kutipan dari laporanku. Tidak diedit sedikitpun kerana itu adalah kutipan sumber pertama. Berbunga-bunga hatiku kerana aku rasa hanya akulah satu-satunya wartawan dalam kumpulanku yang berjaya mendapatkan komentar dari sumberku. Orang lain langsung tidak ada yang mahu komen, malah bertemu wartawanpun mereka menolak. Seronoknya aku rasakan. Itulah keseronokan seorang wartawan, bila melihat sesuatu yang ditulis menjadi sumber bacaan orang lain. Hmm....bahagia sekali.

Tidak sabar untuk memberitahu berita gembira ini kepada buah hatiku yang sama-sama bersusah payah. Aku yakin sekali kuliah Teknik Menulis Berita aku ini memberikan aku nilai ‘A’ nanti.

Banyak sekali berita-berita berkualiti yang aku ikut serta dalam penulisan di Kompas. Belum lagi berita ‘soft-news’ yang aku tulis, misalnya mengenai lingkaran sampah yang aku dapatkan sumber pertama dan bahan-bahan segar selama sebulan untuk membolehkan aku menulis laporan lengkap dalam dua versi, untuk tugasanku ke majalah di Malaysia dan juga di sini.

Cukup memenatkan tetapi menyeronokkan mengikuti pemulong (pengutip sampah), ke penadah, sorting dan ke kilang. Terasa macam aku pula yang jadi pemulung dan sangat memahami kesukaran yang mereka lalui.

Tiga berita ‘soft-news’ dan berpuluhan berita ‘hard-news’ serta laporan sidang akhbar (press-release) sudah cukup untuk aku dapat nilai terbaik, kata pensyarahku setelah aku menyerahkan bukti penulisanku.

Hanya terima kasih dapat kuhulurkan kepada Irfan kerana sangat membantu aku, menemani aku ke tempat-tempat yang aku tidak tahu pergi sendiri, ketika dia kelapangan.

Irfan juga sudah selesai skripsinya dan mendapat nilai A. Gembira tergambar di wajahnya ketika keluar dari bilik sidang. Aku menunggunya di luar, tidak mahu pensyarah kami tahu hubungan kami. Setelah bertunangan nanti barulah akan aku warwarkan hubungan kami kepada rakan-rakan dan pensyarah kami. Itu janji aku dan Irfan. Tidak mahu timbul berbagai spekulasi tentang hubungan kami.

Nor Aizan Ab.Halim, Bandar Baru Bangi, 21 Disember 2011.

Tuesday 20 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 29 – Nor Aizan Ab Halim

Sumpah Janji Jogjakarta Yang Historis
Kami tiba di kota Jogjakarta yang kaya dengan peninggalan sejarah lebih kurang pukul 8 malam. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kami terus mendapatkan hotel penginapan kami. Di sini banyak hotel, tidak menjadi masalah untuk kami mendapatkan dua bilik hotel.

“Sangkaku di sini aku bisa sekamar sama kamu, ehhh....taunya banyak sekali kamar kosong, huh rugi dong gue....” Irfan bercanda lagi, mengingatkan kisah kami di Bandung. Sekali lagi aku mencubit lengannya.

“Kamu mau ya...ayok, bisa aje...,” balasku, juga dalam nada bergurau.

“Benar nih...., ngak salah dengar aku Nur?” Irfan merenungku yang sedang ketawa terkekek-kekek.

“Ngawur ah kamu.....belum nikah ngak bisa dong...., tunggu dulu,” lanjutku yakin. Apa betul aku akan menikah dengan Irfan? Itulah harapanku, tidak mahu kecewa lagi kali ini, tolonglah Tuhan satukan kami di hujung perkenalan kami ini, doaku di dalam hati.

“Kapan kamu mau nikah sama aku.....?” Tanya Irfan sambil merenung mataku. Renungan matanya membuatkan hatiku tambah sayang padanya. Betul....sayang sangat, tiada galang gantinya lagi. Aku hanya senyum dan menatap mesra ke matanya, “nanti kalau udah jodohnya.....,” bisikku ke telinganya.

Urusan hotel kami selesai. Aku dan Irfan menuju ke bilik masing-masing yang bersebelahan sahaja. Aku tenang sekali kerana kali ini dapat menginap di hotel mengikut kehendak hati, selesa dan dekat dengan Irfan. Kalau di Bandung, bilikku jauh dari bilik Irfan, itupun nasib baik ada bilik kosong, kalau tidak, tak tahulah aku apa akan terjadi malam tadi.

Selepas mandi, solat Maghrib dan Isyak sekaligus, jamak dan qasar, aku dan Irfan keluar untuk meronda kota Jogja yang bersejarah, di waktu malam. Kami ke Malioboro, mencari warung lesehan yang menarik dan tidak ramai pelanggannya, lampunya samar-samar seperti yang aku inginkan dan telah kumaklumkan kepada Irfan sebelum ini. Dia berusaha mencarinya, akhirnya kami temui warung ini, walaupun tak sama persis apa yang aku bayangkan, tapi sedikit sudah menghampiri. Cukuplah. Senang sekali dapat duduk bersimpuh makan bersama kekasih hati di warung yang diidamkan.

Aku memesan ayam kampung goreng, ayam penyek. Ada juga puyuh goreng. Makan nasi dengan lalapan, sambal, tauhu dan tempe goreng. Tidak perlu memesan makanan lain lagi, sudah cukup dengan yang sudah dipesan ini, kami makan dengan berselera. Aduhai...makan asyik selera saja, boleh gemuk aku kalau selalu keluar makan dengan Irfan. Kami hanya minum es jeruk dan es alpukat. Sedang kami enak melayan selera kami, tiba-tiba datang kumpulan pengamen bertiga orang menghiburkan kami dengan lagu nyanyian Antara Anyer dan Jakarta, nyanyian Shiela Majid. Macam tahu sahaja aku orang Malaysia. Kemudiannya mereka terus mengalunkan beberapa buah lagu yang dipopularkan oleh Hetty Koes Endang, Harvey Maliholo, dan Vina Panduvinata, atas permintaan Irfan.

“Nur, mau ke Anyer atau Pelabuhan Ratu ngak? Pantainya cantik sekali,” jelas Irfan. Aku tahu Irfan memang sukakan laut dan pantai.

“Bisa nggak....kan masih banyak urusan bisnes di sini perlu diurusin....” Aku bertanya ingin dapatkan kepastian. Kalau ikutkan aku tiada halangan, Cuma aku yakin tidak sempat kerana agenda perjalanan kami banyak sekali.

“Kapan-kapan nanti kita pergi, memang sekarang tidak sempat agaknya...,” putus Irfan setuju.

Nyanyian penyanyi ini merdu sekali. Suara mereka sebenarnya setaraf dengan suara penyanyi profesional. Kalau menyanyi ‘life’ begini mereka boleh menyanyi begitu bagus, rasanya kalau buat rakaman lagu, pasti lagi merdu suara mereka, pastinya sangat laku, putusku.

“Kenapa ya, mereka ini tidak menjadi penyanyi benaran, yang bisa bikin album...kan bisa dapat uang lebih banyak...suara mereka bagus sekali?” Aku menyuarakan kekagumanku kepada penyanyi jalanan ini.

“Peluang Nur, mungkin mereka tidak dapat peluang untuk merakamkan lagu. Dalam hidup ini, tidak semua orang dapat peluang untuk melakukan sesuatu yang mereka suka, walaupun kadang-kadang mereka punya kemahiran, atau mungkin Islam bilang rejeki. Belum ada rejekinya mereka, kalau udah rejeki mereka, gampang aja ada produser yang nawarin bikin album.” Panjang lebar Irfan menjelaskan kepadaku, yang makin asyik dengan makananku sambil menikmati lagu nyanyian mereka.

Akhirnya penyanyi tadi mengakhiri persembahan lagunya, setelah dipanggil pelanggan sebelahku. Irfan menghulurkan wang 10 ribu rupiah, dua keping rasanya, tidak jelas, akupun tidak minat untuk bertanya. Selepas makan, kami hanya jalan-jalan sekitar hotel kami. Penat dan malas rasanya nak berjalan jauh, kekenyangan aku dan Irfan.

“Mau jalan-jalan lagi ngak?” Tanya Irfan setelah melihat aku seperti kepenatan dan tidak bersemangat seperti selalunya.

“Capek ah.....” Memang betul, aku rasa betul-betul penat, kami berjalan tidak berhenti-henti dari hari Rabu, besok dan lusa lagi. Lebih baik aku simpan tenaga dan jaga kakiku supaya terus bertenaga dan tidak sakit.

“Waduh, datang jauh-jauh mau makan doang, rugi ngak jalan-jalan, lihat kota Jogja di malam hari, mau ngak?” Ajak Irfan lagi.

“Udah capek lah sayang,” akuiku sambil aku melentukkan kepalaku ke bahu Irfan. Betul-betul tidak bersemangat.

“Ok...kita ke hotel aja ya....,” ajak Irfan sambil menggengam tanganku erat. Sebelum kami ke bilik, Irfan mengajakku duduk di sofa ruang legar hotel. Kebetulan tidak ramai para penghuni hotel yang berada di situ, dapatlah kami merehatkan diri sambil berbual-bual mesra di sofa ini.

Irfan mencapai surat khabar Kompas yang terletak di atas meja. Aku mengambil majalah Famili yang di depannya adalah gambar Hetty Koes Endang, cantik dia, pada pandangan mataku. Hampir 80 peratus isinya tentang isu keluarga, pastilah, namanya juga majalah Famili, ketawaku di dalam hati. Irfan begitu tekun mentelaah berita Kompas, helai demi helai diselaknya. Tekun sekali dia.

“Ada berita bagus ya sayang?” Aku sengaja mengacau Irfan yang begitu tekun membaca berita tanpa mempedulikan aku di sisinya. Tak suka aku ‘dicuekin’ begini.

“Biasa, berita politik dan bisnes, Kompas ni lebih banyak berita ginian, kan pro pemerintah,” jelas Irfan tanpa kusangka itu penjelasannya.

“Oh iya....lalu, koran apa yang bebas, bukan ke harusnya koran atau media massa itu bebas, ngak boleh pro atau anti pemerintah, harus neutral,” balasku, bersesuaian dengan apa yang aku pelajari dalam kuliah Pengantar Ilmu Komunikasiku semester lepas. Aku dapat A pun kuliah ini, pasti sangat menguasai isi kuliahku....hehe, perasan pulak.

“Ya....seharusnya begitu, tapi ngak bisa ngelak, akhirnya akan ada bias, lihatlah siapa pemiliknya. Setiap koran itu pula punya portion targetnya sendiri, golongan atas, golongan sederhana, dan bawahan. Kalau Kompas ni, target grupnya golongan atas dan menengah, Suara Pembaharuan dan Suara Karya pula golongan menengah, dan Pos Kota golongan menengah ke bawah.” Panjang lebar dia menjelaskan kepadaku. Tidak tahulah aku sejauh mana kebenarannya penjelasan Irfan tadi. Aku terima sajalah.
Suka dapat menarik perhatiannya berinterasi denganku. Suka juga merenung air mukanya yang akan kelihatan serius ketika bercakap tentang isu semasa. Ya...orang hubungan internasional la katakan. Irfan memang berminat untuk bekerja dalam bidang yang lebih global, tetapi rasanya dia tidak mungkin dapat bekerja dalam bidang yang diminati kerana terpaksa menguruskan perniagaan bapanya.

Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda memahami, sambil aku tersengih melihat kesungguhannya menjelaskan kepadaku. Irfan merasa dirinya diejek, lalu dia dengan pantas menarik hidungku.

“Awas loe, ngeledek aku terus dari kemaren ya...,” marahnya, sekali lagi dia menarik hidungku. Kami ketawa lagi. Hilang mengantukku tiba-tiba.
Irfan berhenti membaca kerana dia menyedari aku mahu mengajak dia berbual-bual denganku. Akhirnya kami bercerita macam-macam cerita, dari yang lucu hinggalah ke isu-isu yang berat. Semakin beratnya isu yang kami bincangkan sehinggakan mataku juga ikut berat sama.

“Udah ngantuk ya....?” Tanya Irfan sambil memeluk bahuku. Mungkin dia sedar mataku sudah mula kuyu.

“Terserah...kalau mahu baca lagi teruskan aja...aku bisa tunggu kok, senang duduk-duduk sama kamu, kalau di kamar sendirian aku,” kataku mengada-ngada, saja nak bermanja.

“Mau aku temanin?” Irfan pula menyakatku. Kami ketawa lagi. Akhirnya kami betul-betul mengantuk. Mahu pejamkan mata supaya besok boleh berjalan-jalan dalam keadaan yang bertenaga. Akhirnya dapat tidur dengan lena dalam suasana yang tenang.

Pagi-pagi bangun, sarapan di hotel sebelum keluar menemani Irfan ke kilang bapanya. Seperti selalunya aku hanya mengekorinya ke kilang bapanya di pinggir kota jogjakarta. Aku di bilik kerja bapa Irfan sambil membaca majalah yang tersedia di situ. Menunggu Irfan berurusan dengan pengurus kilang bapanya. Lama juga mereka berdiskusi, nampak serius dia bila dalam hal kerjanya. Kemudian Irfan datang memanggilku untuk mengikutinya meninjau kilang bapanya, sekaligus bawa aku melihat bagaimana kain-kain itu diproses. Memang inilah pertama kali aku mengunjungi dan melihat kilang pemprosesan kain. Selama ini hanya tahu membeli kain yang sudah siap di kedai saja, tidak tahu bagaimana kain dihasilkan.

Waa...bau bahan kimia yang sangat kuat menusuk hidungku menyebabkan aku rasa tidak dapat berlamaan di dalam kawasan ini. Rasa mahu mengajak Irfan keluar tetapi segan. Aku terpaksa juga mengikutnya sampai selesai sambil menahan nafas dari menghidu bau yag tidak menyegarkan itu. Bagaimanalah pekerja-pekerja ini boleh bertahan dengan bau yang begitu kuat setiap hari. Tidak bahaya untuk kesihatan ke, aku berdialog di dalam hati bila mengenangkan aku yang datang sekejap sajapun rasa tidak tahan, apalagi pekerja mereka ini. Alah bisa tegal biasalah agaknya. Inilah punca rezeki yang ada, mahu tidak mahu, terpaksalah dilalui mereka.

Irfan kelihatannya sangat teliti dalam kerjanya. Satu lepas satu bahagian diperiksa. Aku tidak pasti apakah itu kerja rutin yang perlu selalu dilakukan dari masa ke semasa atau hanya bila ada masalah yang timbul, sehinggakan nampaknya macam begitu tekun dan seriusnya dia melakukan pemeriksaan tersebut. Nantilah kalau ada peluang aku tanya. Hampir tiga jam kami menghabiskan masa di kilang ini. Akhirnya selesai juga. Alhamdulillah, terlepaslah aku dari rasa lemasku.

Kami bertolak ke Gunung Bromo. Tiba di sana, sudah ramai pengunjung yang lain. Betapa cantiknya pemandangan di sekitar Gunung Bromo ini. Patutlah ramai sekali pengunjungnya dari dalam dan luar negara. Keindahan dan kenyamanan cuaca di sini menjadi buah mulut para pelancong. Baru kini aku dapat menikmatinya, Aku dan Irfan menyewa kuda juga untuk ke atas. Hehe....aku naik kuda kecil. Seronok juga walaupun rasa gayat, maklum tidak biasa menunggang kuda. Boleh naik berdua satu kuda yang besar, tetapi aku segan, pasti nanti Irfan akan memeluk aku di atas kuda tu.
Hee....malu ditonton orang ramai dalam keadaan ini. Aku rasa aku masih wanita timur yang menjaga kesopanan dan kesusilaan orang timur...hmmm, insyallah. Aku lebih tepatnya masih menjaga tata susila bila di depan orang. Nasib baik ada Irfan yang memberi semangat dan keberanian untuk menunggang kuda ke atas perlahan-lahan beriringan. Irfan sangat memahami aku yang menghadapi masalah gayat. Jadi dia sangat berhati-hati mengawal aku dan kudaku sekali. Hmm...sayangnya dia kepadaku.....romantiknya.

Dari atas, sangat indah sekali pemandangan bila dilihat ke bawah. Memang sekali pandang macam padang pasir, tapi warnanya keputihan. Kalau padang pasir putih kekuningan warnanya. Indahnya ciptaan Allah, walaupun dahulunya kawasan ini pernah menakutkan penghuni sekitarnya akibat letusan gunung berapinya, tetapi akhirnya kesan peninggalannya boleh membawa rezeki pula bagi penduduk sekitarnya. Cuaca yang sejuk dan nyaman lebih menggamit ramai pengunjung untuk datang berehat ke kawasan ini.

Sudah penat rasanya walaupun kami hanya duduk di atas kuda, namun ada tempatnya terpaksa turun dan memimpin tali kuda. Kuda-kuda ini sangat jinak, sudah diajar untuk berinteraksi dengan manusia yang akan menggunakan perkhidmatannya, bermanja dengannya. Ada juga kuda yang ditemani pemiliknya ke atas. Bagi yang merasa tidak yakin dengan kuda-kuda ini, mereka bolehlah menyewa kuda dan pemiliknya sekali.

Sampai di puncak, berehat seketika, mengambil gambar kenangan bersama kuda yang kami sewa, dari puncak ke bawah, cantik sekali pemandangannya dan gambar kami berdua pun pastinya cantik sekali. Betul-betul kenangan indah untuk kami berdua. Manalah tahu hanya inilah peluang kami berdua datang bergambar bersama-sama. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segalanya, walaupun aku sangat berharap kami akan selalu datang bersama-sama melancung ke sini.

“Apa mungkin ngak, inilah pertama dan terakhir kali kita berdua berfoto bersama-sama di puncak ini?” Tiba-tiba sahaja aku melontarkan soalan ini kepada Irfan. Aku tidak menjangkakan soalan ini yang akan keluar dari bibirku.

“Jangan khawatir sayang, kita akan selalu datang ke sini kalo kamu mau...aku juga senang dengan suhu yang dingin dan tempat yang indah begini....selalu juga ke Jogja untuk urusan kerja.” Irfan tetap tenang menjawab soalanku dengan tangannya mengenggam erat tanganku. Matanya menatap mataku penuh rasa sayang. Aku melepaskan keluhan berat, tidak tahu apa maksudnya, tiba-tiba jadi sesak nafas begini. Yang aku pasti semakin hari makin menebal rasa sayangku kepadanya.

Sedang kami asyik memadu kasih sambil merehatkan diri di puncak Gunung Bromo, kedengaran suara riuh dari arah belakang kami. Bila aku berpaling ke arah tersebut, kelihatan sekumpulan remaja, mahasiswa dan mahasiswi, sedang bergambar dan bergurau senda mereka. Cantik-cantik sungguh yang perempuannya. Kadang-kadang iri hati melihat kecantikan mereka dengan kulit putih gebu, rupa kacukan ‘pan-asia’, mungkin kacukan Belanda dengan Sunda atau Jawa, atau Betawi, atau lain-lain suku kaum di Indonesia, menghasilkan seorang anak yang cantik sebegitu. Semuanya, cantek, kumpulan lebih kurang sepuluh orang semuanya.

“Waduh....cakep-cakep semua mereka itu ya Fan? Cuba kamu lihat aku, bandingkan sama mereka, banyak sekali bedanya kan, kenapa kamu pilih aku jadi pacarmu, atau kamu punya pacar yang lain selain dari aku? Banyak sekali yang cantik, aku sepertinya ngak percaya kamu sayang sama aku?” Aku melahirkan keraguanku yang memang bermain di fikiranku sejak dari awal Irfan menyatakan hasratnya kepadaku.

Tiba-tiba saja Irfan memeluk erat bahuku, “Nur, cuba kamu lihat beda kamu sama mereka, boleh ngak kamu lihat?” Irfan merenung dalam mataku.

“Maksudmu apa?” Aku ingin dapatkan kepastian kerana aku memang tidak faham apa yang dimaksudkan.

“Memang mereka cantik dan banyak lagi yang lebih cantik, tetapi kamu ngak seperti mereka, santunmu melebihi mereka Nur. Mama dan papaku selalu mengingatkan aku untuk memilih gadis yang sopan dan penuh rendah diri dalam pergaulan sehari-hari,” jelasnya.

“Kamu sendiri lihat bagaimana aku, Mbak Fitri dan adik perempuanku diasuh? Walaupun kami punya segala-galanya yang bisa membuatkan kami hidup sebagai anak yang hura-hura, dan mewah tetapi kami nggak kan? Dari kecil kami udah diasuh dan diingatkan tentang hidup yang sederhana dan penuh keperibadian yang mulia. Ngak boleh bangga diri, jaga hubungan sama orang lain,” sambung Irfan lagi.

“Semua itu ada pada dirimu dan kebetulan kita ditemukan berdua. Kamu masih ingat nggak, bagaimana Tuhan menemukan kita berdua di awal kamu mendaftar tempohari?” Irfan bertanya aku. Aku mengangguk, masih ingat lagi bagaimana Irfan cuba menolong aku yang terpinga-pinga, macam rusa masuk kampung untuk proses mendaftar.

“Bukan kita yang merancang semua itu, Tuhan yang memanggil aku untuk membantumu, padahal aku ini mahasiswa yang seharusnya udah pensiun, tapi masih kuliah pada usia tua, cuman mau menambah nilai kumulatif. Sebetulnya ngak usah lagi kuliahpun ngak apa-apa kan, udah skripsi aku. Tapi Tuhan mahu menemukan aku sama kamu, yang akhirnya sangat menyenangkan hatiku dan bisa memenuhi segala syarat hatiku sebagai calon isteriku. Rupa cantik bagiku yang kedua, kamu kan cantik, cantik di luar dan di hatimu sekali.” Irfan terus meluahkan perasaannya, memujiku sebenarnya, untuk menghapuskan keraguanku.

Aku hanya mendengar dengan hati-hati setiap patah yang diucapkan, cukup membuatkan hatiku rasa sangat bahagia bercampur sebak di dada. Kalaulah betul apa yang diucapkan ini, akulah orang yang paling bahagia dan bertuah memiliki Irfan sebagai calon suamiku. Aku pasti sangat bahagia dalam hidupku akan datang.

“Benar nih....?” Tanyaku sambil aku merenung wajahnya yang sangat tenang dan menyenangkan.

Dia merenung aku sambil menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. Aku mencium tangannya yang masih terus menggenggam erat tanganku.

“Percaya sama aku sayang. Aku tidak akan pernah meninggalkanmu dengan sengaja atau menyakitimu, karena aku amat sayang ama kamu. Kamu bisa janji sama aku, kamu juga tidak akan tinggalkan aku. Boleh janji?” Irfan minta aku juga berjanji dengannya.

“Aku juga tidak akan tinggalkanmu, kecuali Tuhan yang akan memisahkan kita. Hanya Tuhan, benar...., kalau Dia mahu kita berpisah, aku tidak bisa menolaknya, walaupun aku amat sayang sama kamu. Benar..., aku yakin sekali sama cintaku sekarang.....,” akuiku. Memang aku selalu berdoa semoga Allah menetapkan jodohku dengan Irfan. Tidak mahu lagi sama orang lain. Berilah kami hidup bahagia bersama hingga ke hujung nyawa kami.

“Nur, bersaksikan Gunung Bromo ini aku berjanji akan setia sama kamu....percaya sama aku ya sayang...demi Tuhan, aku tidak pernah sayang perempuan lain selain darimu...aku harap kamu juga akan sayang dan setia sama aku sampai kapan-kapan pun, sama seperti aku juga....boleh sayang....?” Irfan terus berbisik ke telingaku, tanda ikrarnya padaku. Aku mengangguk tanda setuju itulah ikrar kami berdua. Hati jadi lega mendengar pengakuan Irfan kepadaku.

Kami meninggalkan Gunung Bromo dengan seribu kenangan manis kami bersama. Rasa sayang hendak meninggalkan tempat yang begitu indah dan mendamaikan hati ini, namun apakan daya, masih banyak tempat yang ingin kami kunjungi dalam masa yang singkat. Belum puas di sini.

“Nanti kita datang lagi, aku akan selalu ke mari, urusan kerja, nanti aku ngajak kamu lagi ya sayang.” Pujuk Irfan bila melihat aku yang keberatan meninggalkan kawasan peranginan ini. Aku mengangguk seperti anak kecil dipujuk si bapa. Aku ketawa melihat muka Irfan seperti gaya seorang ayah memujuk anaknya. Sangat kebapaan sifatnya, suka melihatnya.

Perjalanan kami seterusnya adalah ke Jepara. Kata orang, Jepara merupakan pusat pembuatan perabut dari kayu jati, mahoni dan berbagai jenis kayu yang bermutu. Harga barangan di sini sangat jauh bezanya, lebih murah dari di tempat lain. Apa lagi kalau barangan ini sudah sampai ke Malaysia, harganya hingga lima kali ganda dari di Jepara. Mutu dan corak rekaan yang sangat berkualiti dan pelbagai boleh didapati di sini. Rakyat Malaysia dan Singapura biasanya datang ke sini semata-mata untuk mendapatkan pilihan mereka yang terbaik. Boleh juga membeli dalam bentuk siap, separuh siap atau suku siap. Kemudiannya berkongsi kargo untuk membawa balik perabut yang dibeli dari Jepara. Dengan berkongsi kargo, kos yang ditanggung lebih murah.

Sebenarnya aku tidak berniat untuk membeli barangan perabut seperti mereka yang aku dengar tu. Cuma aku mahu tahu atau kenal tempat yang menjadi sebutan banyak orang tentang kehebatan perabot di sini, terutama hasil kayu jatinya. Sejauhmana kebenarannya semua cerita itu? Hari ini dapatlah aku melihat sendiri produk-produk tersebut. Tidak mampu aku untuk membelinya sekarang. Mungkin satu dua hiasan kayu yang kecil mampulah aku beli.

Memang betul cerita orang tentang Jepara ini. Masuk sahaja ke kawasan ini di kiri dan kanan jalan ada deretan kedai menjual dan membuat barangan hiasan dan perabot dari kayu, memenuhi kawasan ini. Terasa seperti pening kepala melihat terlalu banyaknya barang yang dipamerkan dan dijual. Tidak tahu memilih apa yang sesuai.
Kami keluar masuk kedai-kedai yang berderetan tersebut. Kami mahu mencari sesuatu yang menarik sebagai kenangan-kenangan, tanda ke Jepara. Akhirnya Irfan membeli sebuah cermin bingkai yang sangat cantik corak hiasan yang diukir tangan bermotifkan bunga awan larat penuh di bahagian bawah, atas, kiri dan kanan bingkai tersebut. Warna coklat kayu divarnis berkilat, sangat menarik. Irfan meminta aku nantinya menggantung cermin ini di bilikku.

“Kalau ngaca nanti, ingatin aku terus ya.....” Irfan mengingatkan aku untuk memanfaatkan pemberiannya. Aku tersenyum senang menerima pemberian Irfan yang sangat cantik sekali.

Seterusnya aku membeli beberapa buah ukiran barang hiasan seperti lampu antik yang boleh diletakkan mentol di dalamnya dan boleh menyala dengan cantik. Akan kugantung lampu ini di ruang tamu rumah mak nanti. Sebuah jam dinding yang sederhana besar berukiran penuh, sama warna dengan lampu dan cermin hiasan yang dihadiahkan Irfan tadi, juga menjadi milikku. Biar warnanya sedondon ketika menghiasi ruang tamu rumah mak nanti. Diserikan lagi dengan meja bertingkat tiga susun, yang akan kuletakkan di bawah cermin bingkai tadi. Wah....tentu makin meriah rumah mak dengan tambahan aksesori yang ada nanti.

Rasanya sudah cukup banyak barang yang kubeli. Risau pula nanti tidak muat bonet kereta Irfan, kesian kereta dia yang pastinya tidak biasa membawa barangan yang berat. Tiba-tiba sahaja hari ini muatannya macam lori...hehe.

Seluruh kawasan deretan kedai ini telah kami lewati semuanya. Akhirnya kami bersetuju untuk mengakhiri acara cuci mata kami hari ini. Mahu pulang ke hotel, berehat dan pagi-pagi besok ke Borobudur pula, destinasi percutian kami yang terakhir di Jogja ini. Atau lebih tepat percutian kerja Punbanjog aku dan Irfan kali ini.

Sampai di kota Jogja sudah malam. Aku dan Irfan terus mengambil makan malam kami sebelum kami ke hotel untuk berehat. Kami terus ke bilik hotel, mandi, solat dan terus tidur kepenatan. Hanya sempat menerima ucapan selamat malam dari Irfan sebelum tidur ketika dia menjenguk ke bilikku. Aku yang sudah sangat penat dan mengantuk hanya mampu membalas ucap selamat seperti orang mabuk, sedar tidak sedar, yang pasti aku senyum dan melambaikan tanganku kepada buah hatiku.

Pukul lapan pagi Irfan sudah memanggilku seperti dijanjikan, untuk ke Borobudur, destinasi terakhir kami sebelum balik ke Jakarta hari ini. Selepas sarapan di hotel kami terus bergerak ke Borobudur. Alhamdulillah, cuaca menyenangkan, redup, menyamankan, tidaklah penat sangat nanti kalau kami memanjat tangga Borobudur.
Kami bersama para pengunjung lain memanjat tangga Borobudur dengan hayunan kaki yang bersemangat. Maklum, kami sedang meneroka salah satu benda ajaib di dunia. Setanding dengan Taj Mahal dan lima benda ajaib yang lain, Borobudur, pastinya mempunyai kelainan yang tersendiri. Katanya, Borobudur dibina dengan keringat empat kerat manusia. Ada logiknya, kerana mana ada mesin waktu itu. Atau ada juga cerita mengatakan, dibina dengan menggunakan kuasa sakti, tahunya sudah siap. Aku tidak tahu pasti atau lebih tepatnya aku tidak banyak membaca tentang kejadian Borobudur ini, belum sempat membaca secara mendalam kisah pembinaan Borobudur. Nantilah, bila ada masa aku akan betul-betul membaca kisah-kisah sejarah seperti ini dengan lebih mendalam supaya boleh diceritakan kepada anak cucu nanti.

Kami bergambar berdua, diambil oleh jurugambar yang ramai di sana, sedang mencari rezeki. Gambar polaroid kami berdua, yang terus siap sangat cantik dengan pemandangan yang menarik. Jelas sekali wujud aku, Irfan dan kubah rasanya bolehlah aku sebut kubah atau bumbung Borobudur gambar tersebut yang kami bayar Rp15,000. Rupa-rupanya sepadan kami berdua jika dilihat dalam gambar ini, tidaklah buruk sangat rupa aku di samping Irfan yang sangat tampan aku rasakan, haha...ketawaku di dalam hati sambil merenung gambar kami berdua.

“Bisa tembus foto ini kalo direnung begini. Kenapa kamu senyum sendiri...?” Irfan kehairanan melihat aku senyum sendirian.
Aku menunjukkan gambar kami kepadanya, “cuba lihat, kayaknya aku lebih cakep deh,” kataku bergurau.

“Memang, kan aku udah bilang, kamu cakep, eh..taunya kamu terus-terusan bilang ngak cakep. Mana mau aku sama kamu kalo nggak cakep...?” Giliran dia pula menyakat aku.

“Tapi.....kalu lagi ngambek, emang nggak cakep....huh buruk banget....,” sambungnya lagi. Aku terus mencubit lengannya. Mengaduh dia kesakitan sambil menyambar tanganku.

“Sori, sori, sori...., maksudku, kalau ngambek lagi cakep.....” Irfan menarik tanganku yang dari tadinya dipegang, takut aku mencubitnya lagi. Tanganku lalu dikucupnya sambil ketawa dia. Aku tidak tahan melihat dia ketawa, aku ikut ketawa sama. Bahagianya aku bila bersamanya. Aku rasa sangat dimanjakan. Demi Tuhan, aku sangat mencintainya.

Aku merenungnya lagi.....lama sangat. Rasa mahu memeluknya erat, tidak mahu melepaskannya lagi.

“Sayang.....aku cinta kamu....sungguh mati aku sayang kamu, cinta kamu...aku janji akan sayang kamu sampai kapan pun,” ucapku perlahan, bimbang didengar orang lain, malu nanti.

“Aku pun sayang kamu sampai kapan pun Nur....percayalah sama aku. Kita bukan anak-anak remaja lagi, udah mula dewasa, ngak main-main.” Irfan pula menyakinkan aku. Wah...semalam di Gunung Bromo, sekarang di Borobudur pula kami memadu janji, sumpah setia, hebat tu. Aku tidak tahulah apa akan jadi kalau kami tidak dapat bersatu nanti. Hanya doa setiap saat moga-moga kami dijodohkan.

Turun dari Borobudur dengan semangat cinta yang semakin berkobar-kobar. Sesungguhnya takdir Tuhan menemukan aku dan Irfan bukan satu kebetulan, tetapi satu takdir. Itulah yang aku sematkan di dalam sanubariku.

Kami pulang ke hotel dan berkemas-kemas untuk pulang ke Jakarta. Besok pagi aku harus bersiap-siap untuk mendaftarkan mata kuliahku untuk semester dua. Kami pulang dengan semangat baru yang akan menghangatkan lagi kasih sayang kami berdua. Harapan aku dan Irfan sangat tinggi. Hanya Puncak, Bandung dan Jogja yang menjadi saksi akan cinta dan kasih sayang kami berdua.

Dalam perjalanan balik, kami singah di Puncak, makan di rumah makan Rindu Alam. Selepas makan, kami membeli ole-oleh untuk teman-teman kami di Jakarta. Aku lebih banyak membeli buah-buahan segar. Aku memang suka makan buah, ada epal, limau atau mereka panggil jeruk, salak dan juga karet. Karetnya manis, sedap dimakan begitu saja, apa lagi yang kecil-kecil, aku panggil ‘baby carrot.’

“Heh...kayak kelinci...,” ejek Irfan sambil mentertawakan aku ketika melihat aku makan karet macam arnab. Sekali lagi aku mencubit lengannya.
Kemudiannya kami singgah di villa Irfan sekejap. Kata Irfan dia mahu mengambil barangnya yang ketinggalan. Aku keluar juga bersalaman dengan Sirna. Kelihatan Irfan dan Tukiman mengusung sesuatu yang besarnya lebih kurang dua meter kali setengah meter, berbalut cantik.

“Apaan ni Fan...?” Aku ingin tahu isinya. Irfan tersenyum sambil menjawab, “pesanan orang,” katanya. Aku hanya diam. Kami melambaikan tangan kepada Sirna dan Tukiman.
Kami meneruskan perjalanan kami ke Jakarta dengan tenang. Tidak perlu tergopoh gapah.

“Kamu tidur aja Nur kalo ngantuk, besok mau ke kampus. Aku ngak daftar besok, nanti-nanti aja, Cuma mahu daftar skripsi aja....kapan-kapan pun bisa,” maklum Irfan.

“Trus, besok kamu ngak ke kampus, ngak bisa ketemu kamu? Aduh...ngak enak dong..” Aku rasa tidak seronok tanpa Irfan di sisi. Betul. Lalu bagaimana kalau nanti tahun depan Irfan ke US, aku akan tinggal sendiri di sini.

“Nanti sore aku jemput kamu, jam 5, kita jalan-jalan dan makan-makan,” pujuk Irfan. Aku mengangguk setuju.

Kami sampai di Depok hampir jam satu pagi. Irfan mengangkat beg dan barang-barangku keluar dari bonet. Dia juga mengeluarkan barang yang dibungkus cantik tadi bersama-sama.

“Untukmu sayang......terima kasih temanin aku.” Irfan menghulurkan bungkusan itu kepadaku.

“Apa ini?” Tanyaku terkejut. Irfan hanya tersenyum dan meminta aku membukanya nanti bila sudah sampai di bilikku.

Irfan menolong aku mengangkat barang ke kostku. Suasana sunyi sepi, semua teman-temanku sudah tidur. Irfan pulang selepas memastikan aku selamat sampai. Aku melambaikan tanganku kepadanya. Aku mandi. Solat. Semoga Irfan selamat sampai di Pondok Indah. Aku akhirnya tertidur dengan nyenyaknya.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 20 Disember 2011.

Thursday 15 December 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 28 – Nor Aizan Ab Halim

Ujian Di Bandung
Pagi-pagi subuh aku sudah terjaga. Jamku tadi berbunyi nyaring menusuk masuk ke telingaku, dari atas meja sisi katil. Malas rasanya nak bangun, kesedapan tidur berselimutkan gebar biru yang tebal, dari bulu kambing biri-biri rasanya. Mata terkebil-kebil, fikiran bercelaru, macam-macam perkara yang bertandang di fikiran. Sesak juga nafas dibuatnya. Ah....Lupakan dulu fikiran yang macam-macam, lebih baik melayan diri bermalas-malasan dalam selimut tebal ini. Ehmm...sedap juga kalau jadi orang kaya ni ya.....? Aku baru nak melayan perasaan.

“Mbak Nur.....udah bangun apa belum? Udah subuhan?” Kedengaran suara Sirna bersama ketukan pintu bilikku beberapa kali. Adoooi...mengganggu sajalah si Sirna ni. Aku baru nak memulakan angan-angan kalau jadi orang kaya. Tidak menjadi, putus sudah angananku.

“Iya, udah Sirna, ma kasih, Den Mas udah bangun? ” jawabku dengan nada yang malas.

“Udah, dia yang nyuruh saya bangunin Mbak Nur.” Sirna menjelaskan dengan suara yang lembut. Aduhai...sudah bangun jejakaku, sedangkan aku masih bermalas-malasan begini, eh, memang tidak patut, lebih sudu dari kuah ni..... Aku terus menolak selimutku dengan terpaksa.

“Ok Sirna, terima kasih. Bilang sama Den Mas, saya mandi dulu.” Aku mengakhiri interaksi dengan Sirna. Aku tersenyum sendiri, rasa geli hati memanggil Irfan Den Mas, macam pelik saja bunyinya. Tetapi tak apa, biasanya kelainan akan lebih membawa keakraban, insyallah.

Aku bingkas bangun. Tidak boleh berlengah-lengah lagi, Irfan sudah bangun dan pastinya sudah siap, sekejap lagi mahu bertolak dia agaknya. Terlupa aku akan tabiat buah hatiku yang sangat disiplin tentang masanya. Kalau aku yang menjadi penyebab kepada kelambatan akan sangat memalukan aku....hee.....tidak boleh.
Dua puluh minit aku selesai solat dan bersiap-siap. Keluar dari bilik, Irfan sudah berada di depan televisyen, sambil membelek-belek majalah Tempo, sudah siap berpakaian dia. Melihat aku keluar dari bilikku, dia terus memberi salam pagi,
“morning sayang.” Irfan melemparkan senyuman paginya yang seperti biasa segar dan bersemangat.

“Morning....sorry, aku lambat,” balasku dengan sedikit rasa segan silu.

“Ok...ngak apa-apa.....penat ya? Ayok sarapan, nanti kita boleh keluar awal-awal pagi.” Irfan terus bangun meraih dan memimpin tanganku ke meja makan, yang di atasnya sudah tersedia pisang goreng, lontong serta teh panas.

Kami makan kurang selera, mungkin terlalu awal pagi, jam belum pukul tujuh. Lontong pula bagiku kurang sesuai di pagi hari, rasanya Irfanpun sama, nampak tidak bersemangat makannya. Aku hanya makan sedikit sahaja lontong untuk tidak mengecewakan Sirna yang penat menyediakannya awal-awal pagi begini. Kemudiannya aku makan tiga keping pisang goreng dan secawan teh. Rasa sudah tidak mampu lagi menelannya. Irfan tersenyum memandangku.

“Ngak selera makan ya sayang, ngak enak?” Irfan memahami aku yang biasanya kuat makan.

“Ngak, masih terlalu awal, ngak bisa telan.” Aku menjelaskan, bimbang disalahfaham Irfan dan Sirna.

“Aku juga, nanti kita sarapan lagi kalau lapar ya.” Irfan amat memahami aku dan cuba menjelaskan kepada Sirna situasi kami.

“Sirna, nanti tolong habisin ya makanannya, masih awal, kami ngak bisa makan pagi-pagi begini, maaf ya.” Irfan menjelaskan kepada Sirna, bimbang Sirna berkecil hati kerana kami makan sedikit sahaja hasil penat lelahnya.

Irfan, begitu budimannya kamu, hal yang kecil begini pun kau sempat perhatikan dan ambil berat, kata hatiku. Tidak hairanlah kenapa dia sangat disenangi pekerja-pekerjanya. Tiada riak atau gaya ketuanan langsung pada dirinya. Makin sayangnya aku sama kamu, bisik hatiku lagi.

“Maaf ya Sirna...terima kasih karena menyiapin semua ini dan masak sayur asem untuk kami kemaren.” Aku juga memohon maaf dari Sirna sambil melemparkan senyuman maaf dan terima kasihku atas susah payahnya.

“Ngak apa-apa Den, Mbak Nur, maklum pagian begini, buru-buru lagi, memang ngak enak makan. Nanti pulang mampir lagi ya, saya bikinin sayur asem lagi kalo mau,” balas
Sirna berbasa-basi juga. Aku mengangguk senang.

Kami meminta diri pergi dulu. Sirna dan Tukiman membawa beg aku dan Irfan ke mobil. Hanya terima kasih kami berikan atas layanan yang begitu baik sekali dari mereka berdua. Langsung tiada cacat celanya mereka berdua sebagai penjaga dan pengurus rumah ini.

“Pulang nanti mampir lagi ya Mbak Nur, Den Mas, jangan kapok ya, “ kata Sirna. Perkataan yang membawa maksud ‘jangan serik’ ini selalu bermain di bibir mereka yang berbudi bahasa seperti Sirna, Mbak Fitri, Irfan dan seluruh keluarga Ineng.
Kami berlepas pergi dengan membalas lambaian mesra dari Sirna dan Tukiman. Masih jauh perjalanan kami, banyak tempat-tempat yang indah akan kami lalui.

Sebenarnya, sepanjang jalan dari Jakarta ke Bogor dan Bandung, banyak tempat yang kami lewati yang dinamakan dengan nama ‘Ci’ di awalnya. Ketika aku bertanya Irfan apa maksud Ci itu sebenarnya. Kata Irfan maksudnya sungai dalam bahasa Sunda, kalau tidak silap. Oh...jadi ketika perjalanan kami semalam sudah ditemui banyak nama berasaskan sungai, ada Cipanas, Cibogo, nanti ada Cibodas serta macam-macam Ci yang sudah tidak dapat aku ingat lagi dengan jelas. Kenapa banyak benar nama-nama yang bermula dengan Ci di sepanjang perjalanan ini? Mungkin menunjukkan betapa pentingnya sungai dalam kehidupan masyarakat di sini, dan sebenarnya masyarakat lain juga di dunia ini. Kalau kita lihat hampir semua pusat bandar, bandaraya utama atau penempatan bermula di kuala sungai atau pertemuan antara beberapa sungai, contohnya saja Kuala Lumpur dengan Sungai Kelangnya, Jakarta dengan Sungai Ciliwungnya, dan Bangkok dengan Menam Chao Phrayanya.

Tempat-tempat yang disebutkan tadi merupakan tempat yang sangat disukai dan sering dikunjungi para pelancong termasuklah pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia, sekitar tahun 70an dan 80an, yang belajar di Bandung, Bogor dan Jakarta, untuk merehatkan diri dan berlibur pada hujung minggu atau cuti semester.
Pelajar ITB dan IPB juga selalu melakukan praktikal mereka di kawasan hutan di Cibodas, kaki Gunung Gede dan Gunung Pangrango. Biasanya mereka akan menginap di rumah rehat Pegawai Kebun Raya dan BOTROP, Bogor, yang terletak di puncak bukit ini. Katanya, dari atas puncak ini, boleh dilihat jelas, sangat indahnya pemandangan ke kaki gunung dengan suhunya yang sangat sejuk. Sayangnya, aku tidak dapat menikmati dan menghayati kebesaran Allah menciptakan semua ini, dek kekangan masa kami yang suntuk, cuma empat hari untuk lawatan kerja Irfan. Namun Irfan berjanji, jika ada kelapangan nanti, dia akan membawaku ke sana.

Perjalanan yang nyaman di awal pagi kami lalui dengan tenang dan penuh gurau senda dan gelak ketawa. Tanpa kami sedari kami telahpun memasuki kota Bandung yang cuacanya juga tidaklah panas menjelang tengahari ini. Belum sempat bosan rupa-rupanya kami telah sampai. Perjalanan yang beberapa jam terasa macam sejam sahaja, dek seronok berbual-bual dengan Irfan, yang rupa-rupanya sangat pandai bercerita dengan gaya Tok Selampit atau tukang cerita di zaman dahulu, walaupun dia kelihatan seperti pendiam, tetapi apabila bercerita boleh tahan juga, cukup menghiburkan.

Aku hanya mengekori Irfan menguruskan tugasan yang diamanahkan oleh papanya. Kami memasuki beberapa toko pakaian, dan kulihat Irfan bercakap-cakap atau berbincang dengan tuan punya kedai atau pengurus kedai tersebut. Ku tidak ikut campur kerana pasti dia sedang dalam urusan kerjanya. Aku membawa diri sendiri membelek-belek pakaian dan kain-kain yang terdapat di dalam kedai tersebut. Aku dapati ada desain corak yang sangat menarik. Aku membelinya empat meter dengan harga Rp25,000 sahaja. Mungkin untuk aku atau untuk mak, kalau mak mahu, kerana coraknya lebih sesuai untuk orang muda. Nantilah cari lagi satu yang sesuai untuk orang tua pulak kalau ada yang berkenan.

Aku mengikut Irfan ke toko pakaian di seberang jalan sana pula. Toko pakaian juga. Sebenarnya hati aku ingin bertanya, apakah toko pakaian ini milik bapanya juga, atau mereka berlangganan kain-kain yang dikeluarkan oleh kilang bapanya Irfan. Tetapi rasanya masa tidak sesuai kerana kelihatannya Irfan sangat sibuk dan serius sekali melaksanakan tugasnya. Tak apalah, aku ikut saja dulu, nanti baru tanya. Nanti dibilang menyibuk pulak aku ni. Masuk ke toko ini, lebih banyak kain-kain bahan baju yang lebih cantik. Kedainya juga lebih besar. Aku ingin melaksanakan misiku juga, mencari sepasang lagi kain untuk mak. Akhirnya aku jumpa juga kain yang sangat cantik, warna asasnya adalah coklat dan corak-coraknya bercampur coklat tua dan warna krim, sesuai untuk mak yang sangat cerewet dalam memilih pakaiannya.
Irfanku juga telah selesai melakukan tugasnya. Dia berjalan menuju ke arahku dengan senyumnya yang tidak pernah lekang dari bibirnya ketika bersamaku. Kelihatannya penyabar benar insan bernama Irfan ini. Walaupun penat masih mampu senyum dan mesra sekali denganku. Suka dan tenang sekali hati ketika melihat raut wajahnya. Ya Allah, kekalkanlah hubunganku dengan dia, restuilah kami di atas landasanMu.

“Sudah siap sayang?” Aku tidak lagi segan silu memanggilnya sayang, malah rasa seperti meresap ke jantung hatiku setiap kali aku menyebut sayang atau aku mendengar dia memanggilku sayang, perkataan yang tidak pernah aku dengar dari bibir ayah untuk mak atau dari mak untuk ayah, semenjak aku hidup bersama mereka. Kenapa berat benar masing-masing mengungkapkan kata-kata keramat seperti itu. Aku rasa ianya kata-kata keramat kerana akan menjalin kasih sayang antara dua hati, benci jadi kasih, jauh jadi dekat dan sayang akan makin rindu, renggang jadi mesra. Kenapa ramai orang tidak mahu memaksa diri untuk menyebutnya setiap masa? Pelik rasanya, sesuatu yang elok sukar hendak diamalkan.

“Belum sayang, masih ada satu lagi, lepas itu kita check-in dulu. Kamu mau solat kan?” Irfan memaklumkan. Aku menganggukkan kepala dan sebenarnya kaki sudah penat, berdiri dan berjalan tidak henti-henti dari tadi. Nanti boleh rehat, solat jamak dan qasar sekali bila sudah di hotel.

“Sebelum itu kita pergi minum dan makan dulu, boleh?” Irfan meneruskan jadualnya. Aku mengangguk lagi. “Abis solat kita keluar lagi jalan-jalan. Malam kita keluar makan. Besok ke Cibaduyut dan Tangkuban Perahu, boleh, kuat ngak?” Irfan terus mengatur agendanya sepanjang kami di Bandung. Aku hanya tersengih dan mengangguk setuju. Apa-apa sajalah asalkan aku dapat mencapai matlamat aku dalam siri lawatan
*Punbanjogku ini.

Kami menuju ke toko pakaian yang disebut Irfan. Kebetulan toko sebelahnya ada menjual batu-batu permata dan barangan perak. Mak sangat suka batu-batu permata untuk diikat dengan emas menjadi gelang, rantai, cincin atau loket. Irfan menghantar aku ke kedai batu permata tersebut. Nampaknya mereka sudah saling mengenali dan bertegur sapa. Agaknya Irfan sudah biasa sangat ke mari dalam urusan perniagaan bapanya.

Kemudiannya Irfan bergerak ke kedai sebelah, sebelumnya dia berpesan, “jangan ke mana-mana ya Nur, kamu di toko ini aja, kalau udah siap, nanti ke toko sebelah tau.” Bimbang dia aku akan hilang atau sesat agaknya. Aku menganggukkan kepalaku lagi. Aku memilih beberapa biji batu permata berharga Rp5000 dan sebentuk cincin perak dengan harga Rp15,000. Kemudiannya, cepat-cepat ke toko sebelah setelah aku rasa tidak selesa dikerumuni budak-budak peminta sedekah.

Irfan sudah nampak kelibatku masuk. Dia mengangkat tangannya meminta aku menunggu sebentar kerana urusannya belum selesai. Aku melihat-lihat dan membelek-belek kain-kain dan pakaian yang ada di toko ini, tapi tidak mahu lagi membelinya, hanya cuci mata sajalah. Cukuplah sehari ini sudah berbelanja Rp70,000, sudah seratus ringgit lebih, dalam masa tidak sampai dua jam.

Setengah jam kemudian, Irfan sudah selesai urusannya, lalu mengajak aku minum dan makan kerana dari tadi kami belum makan tengahari, sedangkan sekarang sudah masuk waktu minum petang. Tidak terasa lapar kerana sepanjang perjalanan tadi kami makan buah-buahan yang kami beli di Puncak Pass semalam. Bila Irfan ajak makan, barulah perut mula terasa lapar. Kami makan gudeg, opor ayam dan gulai kambing. Aku dan Irfan minum es jeruk.

Selesai makan, kami menuju ke hotel berdekatan, semuanya penuh. Wah gawat, takkan nak tidur dalam kereta pula. Akhirnya di hotel yang paling jauh dari pusat bandar, hanya ada satu bilik kosong, dua katil. Irfan memandangku.

“Gimana Nur? Udah ngak ada kamar ni.....bisa ngak share kamar berdua?” Tanya Irfan ingin mendapatkan kepastian dan persetujuanku. Wah kerja gila tu, mana pernah aku buat kerja macam ni, kalau mak tahu mati aku, kata hatiku.

“Aduh...gimana ya, masak kita tidur satu kamar, ngak selesa dong.” Aku melahirkan rasa kurang senangku untuk idea yang tidak masuk akal sebenarnya.

“Udah semua hotel kita pergi, ngak ada kosong, Apa mau tidur di mobil, ngak apa-apa
kamu?” Irfan merenung dalam ke mataku. Aku diam, serba salah sebenarnya.

Irfan mengenggam tanganku sambil bersuara, “percaya sama aku Nur, aku sayang kamu, aku janji akan jaga kamu dan tidak akan melakukan sesuatu yang kamu tidak suka. Aku kan udah janji sama Tuhan, sama mamamu akan jaga kamu, ingat tuh, percaya aku ok.” Irfan betul-betul menyakinkan aku. Aku berserah saja kepada Tuhan. Memang aku tidak tahu mahu berbuat apa dalam keadaan ini. Semoga Tuhan melindungi aku dari dosa dan sesuatu yang akan mencemarkan nama baik aku dan keluargaku. Akhirnya aku mengangguk setuju dalam terpaksa. Irfan tersenyum lega, masalahnya sudah selesai.

Ketika aku dan Irfan sedang berbincang tentang berkongsi bilik, tiba-tiba ada pasangan yang baru keluar, mahu ‘check-out’ ketika itu. Irfan memandang aku. Alhamdulillah, Allah melindungi kami, siapa sangka akan dipermudahkan begini. Irfan terus meminta bilik itu untuk aku, tetapi rugi juga Irfan kerana dia terpaksa membayar sekali ganda kerana bilik yang ada dua-duanya adalah bilik ‘double-bed’. Nasiblah, salah dia juga, aku sangkakan dia sudah membuat tempahan bilik lebih awal lagi. Dia menjangkakan banyak bilik kosong kerana bukan musim cuti sekolah, katanya.

“Rugilah...harus bayar mahal,” kataku. Irfan senyum, “Ngak apa-apa, yang penting kamu happy. Rugi duit nggak apa-apa, tapi gue yang rugi ngak bisa tidur sama kamu....” Irfan memandangku dengan tawanya.

“Oh...memang kamu niat ya...?” Aku menyakatnya pula sambil aku mencubit pinggangnya. Irfan mengelak kegelian atau kesakitan, tidak pasti, kuat aku mencubitnya tadi, tidak sengaja.

“Ngaklaa... cuma gue cemas juga takut malam-malam gue nyasar, eh..taunya udah ke tempat tidurmu,” balasnya bercanda. Kami sama-sama ketawa.

Sebenarnya dalam tawa besarku, aku sangat bersyukur kepada Tuhan kerana masih memberi perlindungan kepadaku, makhluknya yang sangat lemah ini. Sesungguhnya aku sendiri tidak dapat menjangkakan apakah yang akan berlaku sekiranya kami terpaksa tidur satu kamar. Kami sama-sama muda dan takutnya pihak ketiga sangat berfungsi di sini, akan memusnahkan ketahanan iman kami, siapa tahu, ujian akan datang pada kami, nauzubillah.

Selepas mandi dan solat Maghrib aku dan Irfan keluar untuk meninjau kota Bandung di waktu malam. Keluar makan sate kambing di warung sate yang berhampiran dengan hotel penginapan kami. Kemudian meninjau barang-barang yang dijual di sepanjang jalan sekitar hotel, macam pasar malam di Malaysia, macam-macam barang boleh didapati di sini.

Aku cuma membeli beberapa set ‘cross-stich’ bermotifkan bunga dan pemandangan. Setiap set sudah dilengkapi dengan jarum, benang, jaring atau kain dan gambar atau coraknya. Jadi lebih mudah, tidak perlu mencari-cari benang di kedai. Ikut saja apa yang diberikan dalam set tersebut, akan siaplah sebuah gambar hiasan yang cantik, dibingkaikan dan digantung ke dinding.

Tidak lama kami berjalan-jalan di sini, tiada yang menarik sangat. Lebih penting perjalanan kami besok ke Cibaduyut dan ke Tangkuban Perahu. Supaya perjalanan kami esok lancar dan segar, kami mengambil keputusan untuk pulang ke bilik dan tidur awal, besok bangun pagi-pagi. Pukul 10.30 malam kami sudah menuju ke bilik masing-masing dan tidur dengan nyenyaknya.
Pagi-pagi sekali selepas solat subuh, kami sudah menuju ke Tangkuban Perahu. Dalam perjalanan, singgah sarapan, Indomie goreng. Sedap juga rasanya, sudah bosan dengan makanan yang lain-lain. Irfan minta telur ayam kampung separuh masak dua biji, aku pun teringin sama, sebiji untukku. Ikut cara Irfan makan. Telur pecahkan dalam mangkuk, campur sesudu makan madu, kicap dan serbuk lada hitam. Sedap dan rasa segar lepas makannya. Kata Irfan, kalau batuk berterusan boleh ambil telur ayam kampung dengan sesudu madu asli sebelum tidur, boleh baik. Itu cara rawatan tradional Raden Mas akulah tu, turun temurun nenek moyang, katanya. Boleh juga cuba, insyallah berkesan, katanya.

Selesai sarapan, kami teruskan perjalanan. Sampai di sana, cuaca masih redup di awal pagi. Cantiknya pemandangan di pagi hari. Para pengunjung juga sudah mula memenuhi kawasan ini. Nampaknya mereka juga awal-awal pagi sudah sampai, mungkin untuk mengelak panas terik matahari bila tengahari, walaupun cuaca di sini memang tidak panas sangat.

Seperti lazimnya kawasan pelancongan lain, deretan kedai cenderahati atau barangan kraf tangan banyak sekali di kawasan ini. Barangan yang dijual hampir sama sahaja. Aku jadi tidak tertarik sangat untuk meneliti barangan yang dijual. Aku lebih tertarik untuk menikmati keindahan kawasan pelancungan ini bersama kekasihku.

Kami mula menelusuri kawasan tersebut. Seperti biasa Irfan memaut jari jemariku, tidak terlepaskan lagi walaupun seketika. Begitulah juga tautan hati kami yang semakin erat tidak mungkin akan terpisahkan lagi. Keindahan Tangkuban Perahu tidak lama kami nikmati. Hanya mengabadikan beberapa keping gambar kenangan bersama Irfan di beberapa sudut yang menarik. Para pengunjung pun semakin ramai yang datang. Keadaan mulai tiada lagi ketenangan. Aku dan Irfan mengambil keputusan untuk menamatkan kunjungan kami di sini, dan seterusnya ke Cibaduyut.

Perjalanan ke Cibaduyut lancar sahaja. Kami singgah makan tengahari di sebuah restoran yang menyediakan makanan panas. Aku makan nasi dengan gulai telor itik. Sebenarnya aku tidak suka telur itik tetapi disebabkan kelihatannya menyelerakan gulai tersebut dalam periuk yang berasap-asap itu, lalu aku memilihnya. Irfan pula memilih nasi dengan paru-paru masak sambal. Nampak sedap juga, nantilah aku minta sikit dari Irfan, kata hatiku. Kalau aku ambil juga, nanti tidak kena dengan seleraku, pasti tidak habis, membazir pulak. Ada daging dendeng, masakan Padang, mungkin masakan orang sini, tapi menyamai masakan Padang. Sama agaknya. Ah...makan sajalah, banyak ‘songel’, macam-macam nak fikir, makan pun susah ke......tertawa di dalam hati, mengingatkan diri sendiri yang kadang-kadang cerewet, dan suka fikirkan yang bukan-bukan.

Masing-masing menikmati hidangan di depan kami dengan tenang. Aku ambil sekeping paru-paru sambal Irfan, malah diberinya dua keping. Sedap. Daging dendengnya juga sedap. Aku memang kuat makan dan mudah menyesuaikan lidah dengan apapun jenis makanan asalkan halal. Bercakap pasal selera makan, teringat aku, waktu Opie, kawan kelas kami baru pulang dari Perancis, membawa ole-ole makanan kering dalam paket yang sangat menarik. Aku melihat mereka makan dengan berseleranya. Opie menghulurkan kepadaku, aku terus mengambil dan mengunyah dengan bersemangat.

“Wah, enak sekali Opie, apa ini?” Aku bertanya sambil mengunyah makanan yang sangat rangup dan lemak rasanya.

“Bekicok.” Opie menjawab pantas sambil memandangku.

“Apa itu bekicop?” Tanyaku lagi. Opie yang cantik, anak kacukan Belanda dan Cina itu memandang tepat ke mukaku, menjawab sambil berfikir jawapan yang sesuai supaya aku faham agaknya, “itu siput yang panjat tembok.....” Opie menjelaskan dengan muka yang serius.

“Hah....siput babi,” pekikku dengan kuat, hinggakan semua rakan sekelas memandang ke arahku. Terkejut. Aku berlari sepantas kilat menuju ke bilik air sambil aku meludahkan apa yang ada di dalam mulutku, yang tadinya hanya menunggu masa untuk ditelan.

Nasib baik belum tertelan. Syukurlah aku bertanya dulu sebelum menelannya. Tapi bodohnya aku, kenapa tidak bertanya terlebih dahulu sebelum makan. Terlupa aku, Opie beragama Kristian, tiada halangan untuknya makan apa-apa pun. Itulah masalahnya, kadang-kadang kalau terlalu rapat dan mesra, kita akan mudah lupa batas-batasnya.

Aku menjolok keluar dan membersihkan semua saki baki yang ada. Nasib baik aku jenis yang selalu membawa ‘travel pack’ berus gigi dan ubat gigi di dalam beg sandangku. Aku berus gigi sepuas-puasnya untuk memastikan aku tidak mual kesan dari saki baki siput babi tadi.

Apabila masuk ke kelas, mereka semua mentertawakan aku dan bertanya kenapa aku seperti kerasukan. Setelah aku menjelaskan bahawa siput babi ini kalau di Malaysia, orang Islam tidak boleh makan kerana dia binatang yang dianggap kotor dan boleh hidup dua alam. Begitulah penjelasan aku lebih kurang, tetapi jawapan yang tepat aku tidak pasti sebenarnya. Rupa-rupanya di Perancis, mengikut Opie, isi sibut babi yang dikeringkan ini merupakan makanan yang sangat mahal. Macam-macam kepelbagaian dan perbezaan dalam dunia ini. Sesuatu yang di Malaysia dibuang, dan dibunuh, rupa-rupanya sangat berharga bagi orang lain, di tempat lain.

“Nur, bengong lagi....udah siap makannya, ayuk...kita jalan...heh, bengong terus....,” perli Irfan sambil mencubit manja pipiku. Aku hanya senyum sumbing sambil mengekori Irfan ke keretanya.

Kelakar juga bila teringatkan betapa paniknya aku ketika itu. Selepas kejadian itu aku sangat berhati-hati bila mahu makan. Aku akan terlebih dahulu bertanya dan mendapatkan maklumat yang jelas, baru berani makan.

Sampai di Cibaduyut tengahari. Sudah kelihatan ramai juga peminat barangan kulit yang leka memilih barangan yang dihajati di deretan kedai tersebut. Aku dan Irfan melihat-lihat dahulu apa yang menarik hati di sini. Berjalan dahulu sambil melihat barang dagangan yang begitu banyak sekali. Barang pertama yang menjadi pilihanku ialah dompet duit syiling yang harganya sekitar RM1.50 satu. Aku memilihnya tigapuluh buah. Cantik-cantik sekali. Sesuailah untuk ole-ole kawan-kawanku. Harga murah, untuk mahasiswa macam aku.

Irfan membawaku ke kedai beg tangan yang paling besar dan banyak sekali tersedia dengan pelbagai saiz dan bentuk yang menarik. Irfan meminta aku memilih satu yang aku suka.

“Kenapa, mau kasih aku ya...?” Aku bertanya untuk kepastian. Irfan mengangguk.

“Mahu yang paling cantik dan paling mahal boleh?” Sengaja aku bertanya menduganya.

“Boleh, untuk kamu berapa saja aku bisa bayar.....pilih aja,” katanya sambil senyum dan memeluk bahuku. Aku ikut senyum sambil mengangkat keningku, pura-pura terkejut.

Aku memilih beberapa buah beg untuk orang-orang penting dalam hidupku sebagai kenang-kenangan, untuk mak, kakak iparku, mak saudara dan sepupuku. Lima semuanya, tapi untuk aku, belum jumpa yang sesuai. Tiba-tiba Irfan menunjukkan sebuah beg tangan yang sangat cantik, pilihannya. Aku terus bersetuju kerana memang betul sangat cantik. Bahagian hadapan beg itu sebahagiannya dijalin seperti tikar. Saiznya sederhana, dengan talinya pula sebesar dua inci. Warnanya, warna kulit sedikit gelap dan berkilat.

“Wah....Cantik sekali, pandai kamu memilih..., sayang kamu,” ujarku spontan, memang tak sedar kerana terlalu sukakan beg tersebut.

“Berapa harganya...?” Sengaja mahu tahu setelah puas aku mencari tanda harganya tidak kutemui.

“Murah aja,” katanya. Rupa-rupanya Irfan sudah mengeluarkan tanda harganya. Sengaja tidak mahu aku tahu, tapi sebenarnya aku sempat mengintai harganya tadi, boleh tahan juga hampir RM300 duit Malaysia. Aku membiarkan sahaja Irfan ingat aku tidak tahu harganya.

“Udah beli semuanya?” Irfan bertanya sambil menoleh ke arahku setelah membayar semua barangan yang aku beli tadi.

“Kok, yang lain juga kamu bayar?” Aku bertanya terkejut. Tidak berniat mahu dia membayarkan untuk yang lain, cukuplah beg aku yang dibayarnya.

“Ngak apa-apalah sayang, untukmu aku sanggup bayar semuanya,” balasnya. Aku mengucapkan terima kasih dan memaut lengannya serta menggenggam erat tangannya.

Kami menuju ke kedai sepatu kulit buatan tangan pula. Aku memilih kasut untuk aku dan selipar bertumit untuk mak. Cukuplah, aku tidak mahu memilih banyak, nanti kesian Irfan, pasti dia juga akan membayarnya. Dia juga menolongku memilih dua pasang kasut lagi untukku. Aku mengambilnya setelah dipersetujuinya.

Destinasi akhir di Cibaduyut ini adalah mencari jaket kulit untuk dua adik lelakiku. Ada banyak yang cantik berharga seratus ringgit lebih sahaja setiap satu. Aku memilih dengan bantuan Irfan kerana aku kurang arif dengan keperluan dan minat orang lelaki. Jaket ini sesuailah untuk dua orang adik lelakiku yang suka menunggang motosikal. Irfan juga yang berkeras mahu membayarnya.

Selesai semuanya kami bertolak balik ke hotel kami. Berkemas dan akan meneruskan perjalanan kami ke Jogjakarta pula. Di sana nanti masih banyak urusan kerja yang perlu dilakukan Irfan dan banyak pula tempat yang akan aku kunjungi seperti, Gunung Bromo, Candi Burobudor, dan Jepara kalau sempat.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 14 Disember 2011.

*Punbanjog = Puncak Bandung Jogjakarta